Adsense

Isnin, 5 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Langkah besar Mila

Posted: 04 Sep 2011 06:29 PM PDT

Hip

Mila

Mila

Bersemangat asah bakat di London

MENGUKIR nama di negara asing bukan mudah, apa pun ia bukan sesuatu yang mustahil bagi anak Malaysia untuk meluaskan bakatnya dalam muzik.

Sebelum ini Zee Avi dan Yuna sudah membuktikannya dengan bernaung di bawah syarikat rakaman di Amerika. Mungkin hendak mengikut jejak dua gadis itu, kini bersandarkan pada konsep pop, juara Akademi Fantasia musim kelima, Nor Sharmila Jirin atau Mila pula berjaya mencuri tumpuan orang luar, yang mana dia dilamar oleh CEO syarikat rakaman dari London, iaitu Mike King.
Walaupun tidak berjaya meraih kemenangan di pertandingan Open Mic United Kingdom di Manchester pada hujung tahun lalu, Mila bertuah kerana dari situ bakatnya dilihat, sekali gus ditawarkan untuk menerbitkan album Inggeris bersama mereka.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Mila bakal melancarkan single bahasa Inggeris yang pertama, berjudul Breakdown, manakala albumnya akan dipasarkan pada awal tahun hadapan.

Untuk album Inggeris yang pertama itu, terdapat beberapa komposer dari United Kingdom, Russia dan Scotland yang terbabit, yang mana salah seorang dari mereka pernah bekerjasama dengan penyanyi popular Britain, Pixie Lott iaitu Laurence Hobbs.
Sepanjang dua bulan di sana, dari Jun lalu, Mila berjaya merakam 15 lagu, namun pihak syarikat rakaman hanya memilih 10 lagu yang dirasakan terbaik untuk dimuatkan dalam album yang diterbitkan sepenuhnya oleh BGM Music London itu.

Mengulas mengenai perjalanan seninya, penyanyi bertubuh kecil ini menegaskan mungkin apa yang dilakukan seolah-olah seperti satu trend, tapi baginya itu semua sebagai peluang keemasan dan secara tidak langsung menunjukkan industri kita mengalami satu perkembangan yang positif.

"Tidak salah Mila mencuba, dan dengan cara ini Mila boleh membuka lebih banyak mata di samping menarik pendengar baru.
Sebelum ini boleh peminat Mila banyak terdiri daripada Melayu, (tetapi) dengan penerbitan album Inggeris ini Mila boleh menarik pendengar kaum Cina dan India, bahkan mungkin pendengar di United Kingdom dan negara di benua Eropah yang lain.

"Sementara itu, untuk album ini Mila tidak mengeluarkan duit sendiri. BGM Music yang menanggung perbelanjaan penerbitan album ini, Mila hanya mengeluarkan duit poket sendiri dan untuk pengangkutan saja.

"Rakaman yang dijalankan di sana tidak seperti di sini, yang mana Mila merakam lagu pada waktu pagi dan dalam seminggu Mila dapat merakam dua atau tiga lagu. Sebelum proses rakaman bermula, Mila ada kelas intensif vokal dan Bahasa Inggeris, di mana Mila diajar cara sebutan serta pelbagai teknik vokal yang baru," jelasnya bersungguh-sungguh.

Berbeza dengan album pertama dan kedua yang pernah diterbitkan sebelum ini, album terbaru Mila itu berkonsepkan Pop Dance dan Electropop kerana mengikut permintaan pasaran di United Kingdom. Namun begitu, Mila tidak mengetepikan peminat di sini, di mana album ini turut dilancarkan di sini dalam tahun hadapan.

"Di sana tidak ada yang mengenali Mila seperti di sini, jadi hanya lagu yang akan dilancarkan di iTunes lepas raya ini. Selepas lagu-lagu itu dikenali, mungkin kita akan lancarkan album di sana pula. Mila juga sempat menjalani penggambaran muzik video untuk lagu Breakdown di Camden Town, London," katanya yang ditemui pada sidang akhbar pengumuman Mila mewakili negara dan penyerahan tajaan sebanyak RM30,000 oleh Malaysian Society Building Berhad (MBSB) ke Golden-Talent International Performers TV Competition Batumi Georgia di D'Saji Felda Villa baru-baru ini.

Mila sampaikan lagu Beyonce di Georgia

BELUM lagi panas punggungnya, gadis yang baru saja pulang dari London awal Ogos lalu ini akan ke Georgia pula untuk menyertai sebuah pertandingan nyanyian yang akan menggabungkan peserta dari 23 buah negara.

Selepas berjaya mengharumkan nama negara di Festival Muzik Pop Antarabangsa ke 17 Discovery, di Varna Bulgaria pada 2008, anak jati Pulau Pinang ini terus berbakti pada negara dengan dijemput oleh Georgian Art Festival dan World Associatioan of Festivals and Artiste (WAFA) bagi mewakili negara dan stesen TV Astro, selaku penyiar rasmi.

Mila bakal berkongsi pentas dan berentap dengan barisan artis antarabangsa dari seluruh Eropah dan Asia, antaranya ialah Shontele, Amerie, Blue dan ramai lagi serta akan diadili oleh lebih 20 orang juri dari serata negara.

Festival yang julung kali diadakan ini akan ditayangkan secara langsung di stesen TV terbitan Georgia, iaitu Imedi TV, manakala siaran tertunda akan dapat dilihat di 23 buah stesen TV di 23 buah negara yang terbabit antaranya, United Kingdom, Itali, Spain, Turkey dan Thailand. Festival ini akan berlangsung selama empat hari dari 7 hingga 10 September ini.

Mila yang berangkat ke Georgia pada 3 September lalu, berkata, dia akan membuat persembahan pada hari kedua dan ketiga dan pada 8 September akan menyanyikan lagu Kasih Yang Terdampar dan hari seterusnya kombinasi dua lagu Inggeris, Benny and The Jets dan Listen, nyanyian asal oleh Elton John dan Beyonce.

Dalam pada itu, berbekalkan hasrat dapat mengharumkan negara sekali lagi, Mila berharap dia dapat melakukan yang terbaik dalam mengembangkan lagi namanya di persada muzik antarabangsa selaras dengan pelancaran album Inggeris yang pertama itu.


Aizat mahu buat kejutan di DFP

Posted: 04 Sep 2011 03:58 PM PDT

Hip

Aizat

Aizat

Rancang hasil lagu baru dinyanyikan bersama Ella dan Tam Spider

PELUANG beraksi di pentas berprestij seperti Dewan Filharmonik Petronas (DFP) memang dinantikan setiap penyanyi tempatan seperti yang sudah dilakukan oleh Tan Sri SM Salim bersama Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Shiela Majid, Ramli Sarip, Rezza Salleh dan Dayang Nurfaizah.

Sejak dari itu DFP mula menunjukkan dasar keterbukaannya dengan memberi peluang kepada lebih ramai artis membuat persembahan di konsert DFP Spotlight dalam suasana bertaraf antarabangsa. Malah, penyanyi Yuna juga turut diberi penghormatan pada konsert yang akan berlangsung pada 12 dan 13 September depan.

Peluang itu turut dirasai penyanyi, Aizat yang akan beraksi di pentas yang gah dengan kemudahan akustik bertaraf antarabangsa pada 3 Oktober depan.

Kesempatan yang diberikan itu satu penghargaan besar bagi penyanyi muda ini sejak terbabit dalam bidang seni lima tahun. Malahan itu sudah menjadi sebahagian daripada impiannya untuk membuat persembahan solo di arena terbabit.

"Ini adalah cabaran bagi saya dan satu rezeki kerana bukan mudah untuk kita mengadakan persembahan di sana dengan kemudahan akustik nombor dua terbaik di dunia memang mengujakan.
"Sudah lama saya impikan untuk membuat persembahan di sana dan bila dapat peluang ini saya rasa macam mimpi. Saya rasa inilah konsert yang paling hebat," katanya.

Mengharapkan persembahan yang memukau dan mengagumkan penonton nanti, Aizat menjangka akan ada beberapa kejutan yang akan dipersembahkan termasuk mendendangkan barunya.

Menerapkan konsep santai pada persembahannya itu, lagu-lagu yang akan dipersembahkan akan diberi nafas baru dari segi rentak dan muzik.

"Saya akan sampaikan lagu saduran dan ada beberapa lagu baru. Konsep santai tapi masih memikirkan mungkin ada kejutan buat penonton.

"Akan ada visual bagi menampakkan kelainan. Persembahan mungkin dengan orkestra tapi ada suntikan baru dari segi susunan muzik supaya berbeza daripada persembahan saya sebelum ini," jelasnya.

Aizat atau Muhammad Aizat Amdan, anak muda yang dilahirkan pada tahun 1989 adalah bakat yang dicungkil daripada program realiti Akademi Fantasia musim kelima bersama Dafi, Mila dan Heliza. Selain menyanyi, Aizat suka mencipta lagu dan lirik. Dia juga pandai menari dan mempunyai kebolehan melukis komik.

Pada peringkat awal, Aizat popular dengan lagu Kau Aku yang menjadi tema untuk drama Merah Putih. Penyanyi ini pernah menghasilkan dua album iaitu Percubaan Pertama pada 2008 dan Urusan Aizat Amdan (2010). Daripada album itu, muncul beberapa lagu single yang diminati pendengar seperti Itulah Dirimu , Pergi, Sungai Lui dan Perpisahan Ini.

Tidak sabar menantikan detik terbabit, Aizat menjanjikan persembahan penuh bertenaga agar meninggal kesan kepada penonton yang hadir.

Terdahulu, selepas berhempas pulas di konsert Borneo Tour baru-baru ini, Aizat mengambil cuti panjang untuk merehatkan minda dengan bercuti di Queensland, Australia selama dua minggu.

Bermula kira-kira seminggu selepas Hari Raya, dia memberi tumpuan kepada pengubahsuaian studionya di Ampang, Selangor untuk menyiapkan studio rakamannya sendiri.

"Memang harapan saya untuk memiliki studio rakaman sendiri agar dapat melakukan proses rakaman sepenuhnya di sini. Bila sudah ada studio rakaman sendiri bolehlah proses di sini saja.

"Sebelum ini saya buat di rumah sampai kena terperap dalam bilik jadi dengan adanya kemudahan di studio dapatlah saya keluar rumah tengok dunia luar," katanya.

Selain itu, Aizat juga sedang menumpukan pada penghasilan single terbarunya berkemungkinan akan bergandingan dengan Tam Spider dan Ella.

Malah, Aizat turut mengumpul material bagi penghasilan album barunya yang dijangka tahun depan dengan konsep serta rentak baru hasil ciptaannya sendiri.

"Studio saya agak besar sedikit berbanding studio yang pernah saya pergi sebelum ini dengan bajet kurang daripada RM100,000 termasuk kelengkapan di dalam studio.

"Bila sudah siap studio baru dapat tumpu pada single dan album nanti. Album baru saya kali ini mungkin akan ada berbelas lagu," jelasnya.

Lebih membanggakan, Aizat akan mengadakan persembahannya di Sydney, Australia tahun ini serta akan menyambung pengajiannya ke luar negara tahun depan.