Harian Metro: Rap |
Posted: 04 Sep 2011 05:55 AM PDT PESONA dan kategori kecantikan mereka berada dalam kelas tersendiri. Sang pemilik nama, Miera Leyana Kasmi (Miera), 18, misalnya mewakili gadis metropolitan yang cantik dan aktif, sementara Noor Neelofa Mohd Noor (Lofa), 22, pula tampak ayu dan rupawan. Namun, persamaan nyata di antara mereka karier seni yang masih hijau bermula kurang molek ekoran terganggu dek kontroversi. Sekadar mengimbas, Miera pernah hangat dengan isu pemakaian seksi selain kisah di kelab malam manakala Lofa dilabel perampas kekasih orang. Pun begitu, sempena Aidilfitri yang mulia ini bukan kontroversi dan sensasi yang mahu dibicarakan, sebaliknya hikayat raya mereka yang penuh glamor.
"Justeru, Miera andaikan sambutan Aidilfitri tahun ini cukup istimewa kerana dapat merasai pengalaman beraya di Eropah. Kalau tak silap Miera, kawan papa berjanji untuk membawa kami beraya dengan kawan rapatnya juga berasal dari Malaysia," ujarnya. Ditanya, apakah setiap tahun mereka menyambut Syawal di luar negara, gadis tinggi lampai yang juga pendukung watak penting dalam filem Apokalips ini berkata, ia adalah kunjungan pertama. "Baru tahun ini kami merancang beraya di luar negara. Kalau tidak di Kuala Lumpur saja tidak pun di kampung sebelah mak di Johor Bahru, Johor dan sebelah papa di Parit Buntar, Perak. "Setiap tahun boleh dikatakan kami sekeluarga menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan datuk dan nenek pun lebih suka datang ke KL," katanya. Mengandaikan suasana Aidilfitri sama saja tidak kira sambutannya berlangsung di kota mahupun desa, apa yang penting, perayaan itu perlu disambut dengan rasa kesyukuran dan bersama keluarga. Mendengar bicara Neelofa, ia berbeza pula. Dia kini yang masih berada di Pasir Mas, Kelantan memaklumkan kesibukan bekerja membuatkan dirinya tidak sempat melakukan persiapan raya secara besar-besaran. "Raya tahun ini saya 'ulang tayang' semula baju yang pernah saya pakai pada majlis undangan berbuka puasa lalu. Tidak perlu rasanya nak membazir, tambahan pula baju itu baru sekali dua digayakan. "Apapun sambutan Aidilfitri berlangsung dalam suasana yang begitu meriah kerana keluarga saya, ibu dan ayah saudara berpakat mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran. "Kiranya, siap naikkan 'banner dan bunting' gitu. Naik segan pula saya melihat sepanjang jalan terpampang kain rentang wajah kita sendiri. Apapun, saya amat menghargai usaha mereka kerana rumah terbuka ini diadakan juga atas permintaan kenalan mereka yang mahu jumpa saya secara dekat. "Alang-alang, adakan sekali untuk peminat. Majlis itu juga menemukan saya dengan kawan masa sekolah rendah dulu," katanya gembira. Seketika saja berpeluang menikmati kemeriahan Aidilfitri, Neelofa akan kembali bertugas bagi menyempurnakan penggambaran drama bersiri, Jiwa & Lara yang bakal ditayangkan di Slot Samarinda TV3. PROFIL MIERA NAMA: Miera Leyana Kasmi DRAMA: Luna Fantasiku, Ceria- Ceria Cikgu Rubina, Kecuali Cintamu, Apa Itu Cinta, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun, Nana Naruto FILEM: Apokalips PROFIL LOFA NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor PENDIDIKAN: Ijazah Pemasaran & Perniagaan Antarabangsa Kolej Universiti Sunway PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2010 DRAMA: Kasih Najiha, Kitab Cinta, Tahajjud Cinta, Pusing Raya JURUCAKAP PRODUK: U2 Watch IKLAN KOMERSIAL: Nokia, Celcom, Safi, Fair & Lovely, Bank RHB, Mee Sedap, Bank HSBC, McDonald's |
Depan Mata: Hantu Bonceng warnai mood raya Posted: 04 Sep 2011 05:45 AM PDT SALAM Aidilfitri. Selepas cuti panjang, hari ini saya kembali memulakan tugas. Alhamdulillah, raya tahun ini digunakan sebaiknya untuk mengunjungi rumah saudara-mara dan sahabat-handai di Teluk Intan dan Ipoh, Perak. Paling menarik, dapat bertemu kawan lama yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Seri Perak, Teluk Intan dulu. Ada yang tidak bertemu lebih 20 tahun selepas tamat belajar.
Apapun, mood raya diteruskan di ibu kota kerana inilah masanya bertemu pula saudara-mara dan sahabat-handai yang mengadakan rumah terbuka. Sepanjang seminggu ini juga, perkembangan dunia hiburan kurang diikuti kerana tidak berkesempatan membaca akhbar ataupun menonton televisyen. Tidak diketahui apa program menarik atau drama menarik yang disajikan stesen televisyen.
Bagaimanapun, kemudahan Internet ini nampaknya mengubah suasana sambutan hari raya apabila kanak-kanak yang berkunjung ke rumah pada hari raya makin berkurangan. Kalau dulu, awal pagi lagi sekumpulan kanak-kanak memberi salam mahu berhari raya untuk bersalaman dan diberi duit raya, tetapi tahun ini fenomena ini sudah berkurangan. Mungkin kanak-kanak ini lebih suka berada di rumah bersama komputer dan telefon bimbit bermain video game dan berfb. Bagaimana pula sambutan peminat terhadap filem Melayu yang ditayangkan di pawagam? Kali ini filem yang menjadi pilihan untuk sajian di pawagam adalah Karipap-Karipap Cinta arahan Othman Hafsham dan Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham. Kedua-duanya karya pengarah hebat tetapi berbeza genre. Satu romantik komedi dan satu lagi komedi seram. Kalau mengikut rekod sebelum ini, sambutan terhadap filem seram dan komedi lebih meriah berbanding genre lain. Buktinya, sambutan Hantu Bonceng lebih hebat berbanding Karipap-Karipap Cinta.
Khabar yang disampaikan peminat dari utara di Kedah sampailah selatan di Johor mengatakan lebih ramai yang memilih Hantu Bonceng apabila dua genre berbeza ditayangkan serentak di pawagam sama. Difahamkan juga, sambutan di panggung utama cukup hangat apabila panggung penuh. Kalau begitu gayanya, mungkin pemilik panggung boleh membuka beberapa panggung di lokasi utama itu untuk memberi laluan kepada Hantu Bonceng. Kalau ramai bersemangat ke panggung untuk menonton filem ini tetapi hanya buka satu panggung, itu sangat merugikan. Tapi, jangan pula ada yang mengambil peluang dengan mengambil tempat Karipap-Karipap Cinta untuk memberi laluan kepada Hantu Bonceng. Janganlah ambil ruang yang sedikit itu untuk filem Melayu, sebaliknya bukalah ruang panggung lain dengan mengurangkan filem luar ketika musim raya ini. Ahmad Idham ketika dihubungi Jumaat lalu, meluahkan rasa gembiranya dengan sambutan terhadap karya terbarunya ini hingga ada yang mengatakan dirinya sudah kembali ke dunia box office selepas beberapa filemnya sebelum ini sekadar boleh tahan saja. Senjakala sekadar RM1.1 juta manakala Damping Malam lebih RM2 juta tetapi itu dikatakan ada kaitan dengan tayangan eksklusif di rumah terus dari panggung melalui Astro First. Damping Malam menjadi filem Melayu pertama ditayangkan di Astro First menyebabkan minat orang untuk menonton Astro First mengatasi sambutan di panggung. Bagaimanapun, kali ini Ahmad Idham berbincang dengan Astro First bahawa sambutan penonton terhadap Astro First bergantung kepada sambutan penonton di panggung. Kalau sambutan di panggung laris, bermakna akan diteruskan di Astro First dan begitulah sebaliknya. Apapun, agak sedih juga kerana kali ini tiada filem yang ada mood raya ditayangkan di pawagam, sebaliknya filem yang ada kena mengena dengan raya, Raya Tak Jadi Terbitan LineClear Motion Pictures ditayangkan pada 15 September nanti. Ada yang berpendapat, tidak perlu ada filem berkaitan raya ditayangkan di panggung pada musim raya kerana risikonya tinggi. Sebabnya, stesen televisyen sudah menyiarkan program menarik mengenai raya beberapa hari sebelum raya hingga seminggu raya. Begitu juga dengan juadah pada hari raya penuh dengan rendang dan ketupat. Jadi, lebih baik filem di panggung lari daripada mood raya kerana sudah menjadi adat, orang suka berubah selera. Malah Hantu Bonceng juga bukanlah filem seram tetapi lebih banyak komedi dan seramnya hanya 20 peratus saja. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |