Harian Metro: Rap |
Siti bangga dapat Sean Kingston Posted: 19 Sep 2011 10:46 AM PDT KEMUNCULAN Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bersama suaminya, Datuk K, pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman kakak iparnya, Datin Zaiton Muhd Jiwa (Kak Ton) di Kemansah Heights, Hulu Klang, baru-baru ini mendapat perhatian tetamu. Siti yang memakai busana satin ala kaftan bersama seluar dan alas serban tampak ceria melayan tetamu sambil mendukung seorang bayi lelaki comel. Apabila ditanya, rupanya anak kepada bekas pengacara TV3, Aziah Jasmin Azizul iaitu Putera Mecca Azlan Shah, berusia enam bulan. Kata Siti, ketika ini dia sangat teruja menantikan album Inggeris pertamanya, All Your Love, yang akan dipasarkan 26 September ini. Majlis pelancaran album itu akan diadakan di Shook! Starhill, Kuala Lumpur. Lebih menarik, album itu akhirnya berjaya mempertemukan Siti dengan penyanyi terkenal Sean Kingston dalam lagu Remember You.
"Dari segi penerbitan album ini, kebetulan anak DK (panggilan untuk suaminya) iaitu Adib, ada syarikat rakaman sendiri, What's Up Entertainment dan antara artis yang menaungi label itu adalah Chris. "Sewaktu pergi ke studio Adib, Siti tertarik dengan lagu dan hasil kerja Chris dan tidak lama selepas itu Siti meminta menulis beberapa lagu untuk album Inggeris ini. Sebanyak 10 lagu disiapkan dan semuanya Siti suka sehingga Siti terlintas pula untuk berduet dengannya. "Produser untuk album ini adalah Brian B. Dia berkawan baik dengan Sean Kingston. Jadi Brian yang bertanggung jawab mengadakan kerjasama antara Siti dengan Sean untuk lagu Remember You. "Sebenarnya Siti tidak pernah menyangka pembikinan album ini akan jadi lebih besar atau sejauh ini kerana asalnya Siti hanya mahukan sebuah album yang biasa. Tapi mungkin ia rezeki dan semuanya sudah siap," katanya. Jika diizinkan Tuhan, Siti bersedia untuk menembusi pasaran antarabangsa bagaimanapun buat permulaan biarlah di sekitar Nusantara dulu. Ditanya, apakah dia ada perancangan menghasilkan muzik video bersama Sean, Siti berkata, tiada masalah kalau Sean ada kelapangan. Dengan statusnya sebagai penyanyi terunggul di Malaysia, mungkin ramai berpendapat Siti sepatutnya bergabung vokal dengan artis wanita terkenal seperti Mariah Carey, Celine Dion atau Christina Aguilera. "Itu terlalu awal, biarlah Siti bermula dengan yang ini dan siapa tahu, kalau ada rezeki, ia boleh menjadi kenyataan. Tahu sajalah, harga mereka juga mahal. Contohnya sebelum ini, Siti mahu dapatkan penyanyi rap, Pitbull kerana dia tengah laris sekarang namun harganya juga terlalu tinggi," katanya. Sementara itu, ramai artis berkunjung ke rumah terbuka Kak Ton pada hari itu termasuklah, Eja, Rizman Khuzaimi, Arash Mohamad, Rozie Rashid, Kartina Ayob, Fahrin Ahmad, Noniswara dan Anne Abdullah. |
‘Tak ragui Eira walau sesaat’ Posted: 19 Sep 2011 07:36 AM PDT LAFAZ nikahnya lancar dan kemas. Dengan sekali ucap, bintang berimej 'Penang' Azad Jazmin, sah menjadi suami kepada buah hatinya juga seorang pelakon Eira Syazira, malam Jumaat lalu. Lebih dramatik, air mata Azad tidak henti menangis sejurus ibu yang setia di sisinya mendakap mengucap tahniah. Jelas, tangisan mereka itu punya erti yang sangat besar bersulam kesyukuran. Soalan itu dilontarkan kepada Azad yang tidak lekang memegang erat tangan isteri tersayang sebaik selesai majlis akad selesai, dia menyifatkan keputusan mereka berkahwin adalah pengalaman terindah. "Eira memiliki segala kriteria yang saya cari-cari. Dia begitu lembut, bersopan-santun, pandai berbual dan berjenaka. Dia juga memahami serta begitu bijak memenangi hati kedua-dua orang tua saya serta sanak- saudara kami.
Tiga tahun menyemai cinta atas paksi ikhlas dan memahami, akhirnya pasangan romantis yang bertunang pada pertengahan Mei lalu disatukan dalam sebuah majlis pernikahan meriah dengan kehadiran ahli keluarga terdekat dan teman-teman rapat. Majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarga Eira di Presint 14, Putrajaya malam Jumaat lalu memberi jawapan kepada teka-teki yang selama ini membelenggu ramai pihak mengenai hubungan cinta mereka. Meskipun agak tergesa-gesa kerana keputusan untuk bernikah, jelas Eira, 27, semuanya sudah tertulis sebagai jodoh buat mereka berdua. "Memang semuanya berjalan begitu cepat. Mana tidaknya sebaik ayah saya pulang dari umrah pada Ramadan lalu terus dia inginkan kami bernikah pada minggu kedua pada Aidilfitri sedangkan perancangan awalnya ingin kami laksanakan pada tahun depan. "Mujur semuanya berjalan lancar kerana keluarga kedua-dua belah pihak banyak membantu dan meringankan segala urusan. Jadual kerja kami kebetulan padat dan kerana ingin juga dilangsungkan secepat mungkin, kami curi juga masa untuk menyiapkan segala persediaan. "Bagaimanapun kami memang bertuah kerana banyak pula kawan-kawan dan pihak yang ingin menaja. Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan kini kami sudah sedia untuk meniti satu lagi fasa kehidupan yang sudah lama kami impikan. "Apa yang penting kami ingin membina sebuah keluarga yang bahagia dan sempurna. Soal anak tidak pula kami bincangkan kerana ia rezeki dan ketentuan," katanya yang bakal berbulan madu di Jakarta atas tajaan Poto Travel. Azad, 35, dinikahkan ayah Eira sendiri, Shuhaimi Haji Acheh dengan disaksikan Imam Besar Masjid Putra Jakim Putrajaya, Abdul Manaf Mat. Dengan sekali lafaz, pelakon yang popular menerusi filem Kongsi dan Ngangkung ini sah menjadi suami Eira. Hadir sama pada malam pernikahan itu keluarga Azad dan ibu bapanya, Jeffri Abdullah dan Rosidah Kadir. Pasangan mengenakan busana putih rekaan Hairi Tajuddin dan Wanpa. Eira menerima sembilan dulang hantaran berbalas 11 yang ditaja sepenuhnya Zaha Wedding Planner dan Ari Wedding Couture. Selain jam tangan, tas tangan lelaki, kasut dan tali pinggang, Eira turut menghantar jambangan coklat, gubahan buah-buahan, sejadah dan al-Quran, sirih junjung, satu set barangan sukan dari jenama pasukan bola sepak kegemaran Azad, Chelsea serta sepersalinan baju Melayu berona putih. Malah sebentuk cincin yang dirahsiakan harganya juga dihadiahkan kepada Azad. Manakala pihak Azad pula membalas dengan beg tangan berjenama Tod's, jam tangan Fossil, sepasang kasut, buah-buahan dan coklat, telekung, sejadah, al-Quran, sirih junjung, iPad2 serta sebentuk cincin berlian. Menyentuh soal kerjaya, Azad berkata tiada apa yang bakal berubah kerana sejak awal lagi sudah sedia maklum dia kerja dan tanggungjawab masing-masing. "Alhamdulillah sambutan dan reaksi peminat terhadap album solo saya, Di Hati Ini yang dilancarkan Julai lalu. Jadi selepas ini saya akan sibuk dengan promosi album ini dengan mengadakan jelajah seluruh Malaysia. "Menariknya, kami juga begitu seronok untuk mempromosikan lagu duet kami berjudul Lagu Jiwa," katanya. Pasangan ini akan melangsungkan majlis resepsi mereka pada 19 November depan di sebelah keluarga perempuan di Presint 14, Putrajaya dan 26 November di Dewan Merin, Georgetown, Pulau Pinang. PROFIL NAMA PENUH: Syazira Shuhaimi PROFIL NAMA PENUH: Azad Jazmin John Louis Jeffri |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |