Adsense

Selasa, 20 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Berkorban demi Indah

Posted: 19 Sep 2011 04:11 PM PDT

Hip

Atilia

Atilia

Cari tapak di Indonesia

KEHADIRAN Atilia di persada muzik mungkin tidaklah sehebat sesetengah penyanyi, kerana aliran muzik pilihannya iaitu jazz dan R&B dianggap kurang popular bagi kebanyakan peminat muzik tempatan.

Mungkin atas sebab itulah album yang pernah dikeluarkan oleh penyanyi ini berjudul Indah tidak menjadi bualan. Namun, tidak mendapat reaksi masyarakat di negara sendiri bukan isu kerana album yang turut memuatkan paduan suara dengan sebuah kumpulan Indonesia, Sore berjudul Silly Little Sing turut diterima baik di sini.

Cuma dalam soal pengedaran, Atilia mahu mengembangkan dan berkongsi 10 lagu, selain tiga klip video bersama pendengar luar mengikut jejak langkah penyanyi terdahulu terutama Datuk Sheila Majid.

"Album Indah ini di pasaran tempatan sejak akhir tahun lalu, manakala pengedar di Indonesia, Demajors bertanggungjawab mengedarkan album terbabit di sana. Antara perancangan saya nanti mahu mengadakan konsert mini bersama Sore.

"Saya sendiri meminati mereka dan berbesar hati dapat berpadu suara membawakan Silly Little Sing, malah tidak sabar ke Jakarta untuk menemui pendengar. Demi Indah, saya sedia berkorban masa dan berulang alik ke sana," katanya lagi.
Bersyukur apabila lagu Kekanda Dinda, paduan suara bersama Monoloque masih kerap diputarkan di radio, akuinya cadangan merakamkan semula lagu Doa Buat Kekasih yang dipopularkan Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim akan diteruskan.

Lagu gandingan bersama Monoloque itu bakal diberi nafas baru bagi memancing perhatian ramai seterusnya menjadi tambatan seperti Kekanda Dinda yang tetap menjadi siulan ramai.

"Sememangnya penangan Kekanda Dinda tidak boleh dinafikan kerana walau di mana-mana pun orang akan meminta lagu itu. Ia kemelayuan dan diterima ramai dek sifat catchy melodi dan liriknya, malah sedari awal saya sudah jangka ia mampu menyerlah.

"Terima kasih kepada Monoloque selaku penciptanya apabila secara tidak langsung saya sebagai penyanyi duet turut mendapat tempias populariti lagu ini. Baik kanak-kanak hingga dewasa mengetahui lagu ini," katanya yang muncul bersama album sulung, Sangkar pada 2007.

Anak kepada Salamiah Hassan ini, selain menyanyi namanya juga agak menonjol dalam dunia pementasan berskala besar dengan memegang peranan penting seperti dalam The P Ramlee Musical dan Muzikal Lat...Kampung Boy.

Rancang perkahwinan di rumah sendiri

PERANCANGAN kembali ke alam rumah tangga selepas lebih dua tahun menyendiri sudah lama difikirkan Atilia apatah lagi jejaka yang mencuri hatinya juga sudah sedia menggalas tanggungjawab mengemudi sebuah keluarga bahagia.

Namun tuntutan tugas terutama promosi album baru yang memerlukannya kerap terbang ke Jakarta, Indonesia selain komitmen terhadap program Idola Kecil musim baru membuatkan niat suci itu terpaksa ditangguhkan.

Bagi empunya nama Putri Atilia Raja Haron, 36, dirinya bertuah mendampingi seorang insan yang begitu memahami keadaannya tetapi tidak bermakna dia cuba melengah-lengahkan perkara baik.

"Kalau ikutkan kami mahu menyegerakan majlis pernikahan akhir tahun ini, cuma tarikhnya belum diputuskan. Setakat ini juga saya belum melakukan apa-apa persediaan, jadi sukar menyatakan bila hari itu dirancang. Lagipun saya mahu menyudahkan dulu beberapa tugasan.

"Pada 17 Oktober saya akan melancarkan album Indah di Indonesia dan selepas itu mula sibuk sebagai juri Idola Kecil hingga Disember. Boleh dikatakan kami sama-sama sibuk, mungkin ia dianjakkan tahun depan," katanya yang jarang kelihatan bersama buah hatinya.

Walau tampak urban, Atilia tetap senang mengadakan majlis perkahwinan seperti masyarakat Melayu dulu yang berlangsung di kediaman sendiri dengan acara penyediaan juadah dilakukan seisi keluarga dan saudara mara.

Katanya, ia adat yang jarang lagi diteruskan di bandar besar dek kekangan masa namun sebenarnya sebagai pengukuh hubungan dengan sanak saudara kerana segala-gala persediaan dilaksanakan secara bergotong royong.

"Saya suka dengan semangat penduduk kampung apabila setiap persediaan kenduri kendara dilakukan bersama-sama. Seronok kerana kita dapat berkumpul dan berbual mesra sambil melakukan tugasan masing-masing.

"Kalau boleh saya mahu majlis perkahwinan nanti diadakan di rumah. Lebih meriah dan bermakna. Lagi ramai saudara mara yang hadir, lagi seronok kerana acara sebegini kita berpeluang berhimpun seisi keluarga," katanya.

Sebelum ini Atilia mendirikan rumah tangga dengan Ariff Johan Abdul Jalil pada 18 Disember 1998 tetapi mereka berpisah pada Mac 2009 selepas sedekad hidup bersama.

Info

NAMA PENUH: Raja Putri Atilia Raja Haron
TARIKH LAHIR: 15 September 1974
UMUR: 36 tahun
ASAL: Muar, Johor
KERJAYA: Penyanyi, penulis lirik dan pelakon
ALBUM: Kompilasi RAP, Sangkar (2007) dan Indah (2010)
TEATER: P Ramlee The Musical dan Muzikal Lat
FILEM: Ransan dan Bisikan Puaka


Sudah bersedia melibas

Posted: 19 Sep 2011 03:53 PM PDT

Hip

BARISAN penerbit, pengarah, pelakon dan kru filem Libas pada majlis pratonton filem itu di TGV Wangsa Walk Mall.

BARISAN penerbit, pengarah, pelakon dan kru filem Libas pada majlis pratonton filem itu di TGV Wangsa Walk Mall.

Filem mengenai sukan sepak takraw mula berada di panggung 29 September

KISAHNYA mudah - mengangkat bola takraw sebagai warisan bangsa Melayu yang perlu dipertahankan daripada jatuh ke tangan orang lain - namun ia penuh simbolik sekali pun paparan kronologi filem yang diberikan judul sebagai Libas itu sarat dengan jenaka.

Di tangan pengarahnya, Jurey Latiff ROsli, Libas menyajikan kelainan bersama konsep filem ringan yang menonjolkan sukan sebagai elemen tambahan apatah lagi hampir separuh daripada persembahannya menerima suntikan teknik imej janaan komputer (CGI). Walaupun tujuh tahun skrip disimpan dan dua tahun lagi untuk proses menyiapkan, Pengarah Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2006 itu mengakui ia dilakukan semata-mata mahu mencari kelainan dan memastikan hasilnya memenuhi kehendak peminat filem tempatan.

"Ini filem sulung saya. Tentunya saya mahu Libas meninggalkan impak. Namun cabaran mengarahkan filem ini besar kerana selain memerlukan kos tinggi, ia banyak bermain CGI dan jika silap percaturan, jalinan cerita akan tampak palsu.

"Tapi saya puas hasil yang ditunjukkan berbaloi dengan masa yang diperuntukkan.

"Kalau ikutkan skripnya ditulis pada 2002 tetapi penggambaran bermula pada 2009. Prosesnya panjang kerana kami mengambil masa agak lama hanya untuk penerapan CGI membabitkan hampir 60 peratus kronologi kisah," katanya pada pratonton filem yang menelan belanja hingga RM2 juta itu.
Bakal menemui penonton bermula 29 September ini, ia berkisar azam Raja Libas yang berusaha menubuhkan kembali pasukan sepak takraw Malaysia dengan mencari bakat muda sebagai pengganti memandangkan dirinya mengalami kecederaan kaki ketika merampas piala kemenangan bola warisan dari pasukan Thailand.

Dalam pencarian dan perjuangan mempertahankan bola raga yang menjadi khazanah Melayu, Raja Libas berdepan pelbagai cabaran termasuk dikhianati teman sendiri serta mengalami episod cinta yang tidak kesampaian.

Didukung Rosyam Nor sebagai Raja Libas, garapan yang dilihat mampu memancing penonton ke pawagam ini turut ditunjangi Scha Al-Yahya, Johan Raja Lawak, Beego, Fadzly Kamarulzaman, Zabri Ibrahim, Yuswaisar serta Adam Corrie Lee.

Nyata ,sekali pun baru pertama kali menghasilkan produk untuk layar lebar, sutradara yang sudah menampakkan taring menerusi puluhan drama sejak belasan tahun berkecimpung dalam dunia pengarahan bijak menyelitkan unsur drama dan cinta sepanjang 90 minit berlangsung.

Begitupun, dia enggan mendabik dada sebaliknya terbuka menerima kritikan atau pandangan daripada sesiapa bagi memperbaiki mutu persembahan dalam buah tangan akan datang.

"Sebagai pengarah yang masih baru dalam pengarahan, masih banyak ruang untuk saya pelajari. Mustahil orang baru dalam penghasilan kerja kreatif seperti saya boleh terus sempurna," ulasnya lagi mengenai filem terbitan MDAG Sdn Bhd itu.

Ditanya antara Libas dan filem Stephen Chow, Shaolin Soccer yang dikatakan punya persamaan, Jurey pantas membuat persamaan kerana plot pengkisahan sangat berbeza tetapi barangkali orang nampak sukan dinaikkan sebagai subjek selain penggunaan CGI dalam pergerakan.

"Inilah kelainan yang kita mahu berkongsi dengan penonton. Kami tidak meniru Shoalin Soccer sebaliknya mengangkat sukan sepak takraw. Plot serta sub plot juga jauh lari daripada filem itu terbabit namun jika mahukan kepastian, datanglah ke pawagam dan lihat hasilnya sendiri.

"Saya cuma tidak mahu sepak takraw dilupakan dengan menampilkan pendekatan yang diinginkan anak muda. Konsep kalah mati serta teknik aneka libasan hanyalah kelainan untuk mengelakkan penonton bosan malah boleh dikatakan aksi komikal mewarnai lagi Libas.

"Mungkin aksi komikal yang diketengahkan menerusi filem ini yang dilihat mirip Shaolin Soccer namun persamaan hanya dari konsep komikal manakala penceritaan begitu jauh berbeza.

Rosyam berkorban demi rakan

Sementara itu, Rosyam Nor melihat Libas sebagai sebuah filem tempatan yang mempunyai keunikan hingga membuka pintu hatinya untuk menerima tawaran Jurey selepas hampir setahun tidak muncul di layar lebar.

"Saya memilih bukan disebabkan mahu watak besar tetapi ingin ia nanti meninggalkan kesan. Apabila membaca skrip, saya sudah tertarik dengan watak Adnan Saladin yang juga Raja Libas. Dia ditonjolkan bersemangat jitu namun masih punya sisi melankolik.

"Walau sudah lama pelakon, Libas memberi sesuatu yang berbeza bukan saja pada watak, malah saya perlu banyak bermain dengan imaginasi untuk membayangkan kesan khas pada sebiji bola yang diwujudkan dalam kebanyakan babaknya," katanya yang hanya mengambil cuti sehari walau dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan.

Mengimbas semula detik itu, katanya bahu yang terjatuh hanya dipasang anduh untuk mengelakkan kecederaan lebih teruk dan hanya selepas penggambaran selesai barulah dia menjalani pembedahan.

"Waktu itu hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk penggambaran tamat. Jika saya mengikut arahan doktor, tidak adil kepada pelakon lain kerana perlu menunggu beberapa bulan untuk sembuh.

"Kesannya bahu 'jatuh' itu masih terasa hingga kini dan syukur sebaik segala-galanya selesai saya menjalani penggambaran. Melihatkan hasil Libas saya rasa pengorbanan menahan sakit sepanjang tempoh itu cukup berbaloi," katanya yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi Kala Malam Bulan Mengambang.