Harian Metro: Rap |
Posted: 06 Sep 2011 04:40 AM PDT BUKANLAH pertama kali dipertemukan, sebaliknya ketiga-tiga bintang muda ini pernah beberapa kali bekerjasama baik menerusi program televisyen, drama atau filem mahupun sesi fotografi. Bagaimanapun, suasana petang itu tidak sunyi dengan tiga jejaka ini, Fizo Omar, 26, Kamal Adli, 25, dan Amar Baharin, 26, kerana masing-masing punya pelbagai cerita. Bagi mereka, sesekali bertemu terutama untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri memang menarik dan menyeronokkan. Ada saja yang boleh dijadikan topik perbualan dan usikan. Meneliti sembang panjang mereka, seperkara yang menyamakan tiga bintang muda ini ialah bakat dan peluang dalam jalur seni yang terbentang luas buat mereka selepas mencuba nasib dalam program realiti dan pertandingan pencarian bakat.
Fizo umpamanya yang membesar dengan lasak di Kota Bharu, Kelantan menyifatkan kedatangan Aidilfitri setiap tahun adalah saat terindah untuknya menghabiskan masa bersama teman, sepupu dan jiran di kampung halaman. "Kalau diimbas semula, memang macam-macam yang kami lakukan. Maklumlah anak lelaki dan kebetulan saya memang minat bersukan dari kecil. Apabila tiba raya, memang kami semua berkumpul dan inilah masa terbaik untuk bermain. Tapi Alhamdulillah, tidak pula saya sampai bermain mercun hingga membahayakan diri atau merisaukan ibu bapa. "Jujurnya memang saya rindukan saat itu dan ingin sekali kembali melihat keindahan Aidilfitri ketika masih kecil. Tiada apa yang perlu difikirkan seperti sekarang kerana semuanya ada di depan mata. Apa yang diambil kira adalah persalinan baru dan sibuk mengumpul duit raya," katanya. Bintang filem Kongsi yang juga pengacara program 3 Hari 2 Malam ini hadir ditemani ibu dan sepupunya. Meskipun, sudah besar panjang dan pandai berdikari, anak kedua daripada empat beradik ini masih akrab duduk berkepit dengan ibunya. Fizo atau nama sebenar, Wan Hafizol Wan Omar berkata, tahun ini tiada apa yang istimewa dirancang bagi menyambut kedatangan Syawal kerana sibuk menguruskan gerai menjual serunding daging istimewanya di bazar Ramadan di depan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur. "Tahun ini, saya berkejar-kejar menguruskan gerai serunding dan ke lokasi penggambaran. Alhamdulillah, tawaran tidak henti datang hingga Ramadan kali ini saya lebih banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran. "Saya begitu sibuk dengan melunaskan dua filem iaitu Minyak Dagu dan Azazil. Kemudian berlari pula menyelesaikan watak Ilyas menerusi drama siri baru, Sophia bersama Tiz Zaqyah," katanya yang pulang ke kampung sehari sebelum raya dan bercuti selama lima hari. Kamal yang mengakui bahagia bersama kekasih hatinya, Intan Ladyana, gembira pulang beraya di Jitra, Kedah kerana diberi rehat panjang selepas berhempas-pulas sebelum ini. "Saya memang terlalu penat kerana kerja tidak henti dalam beberapa bulan sebelum puasa. Bayangkan, saya baru saja habis drama Aku Ada Kau Ada, terus ke lokasi drama siri Ana Lulu. "Kemudian selepas sibuk mempromosikan filem Kembar Siang, saya masih sibuk dengan proses pembikinan filem 3 Temu Janji dan Gerimis Mengundang pula. "Justeru, saya memang berhasrat ingin berehat seketika sepanjang puasa untuk fokus kepada diri sendiri dan keluarga pula," katanya. Menyentuh soal cintanya, Kamal lekas menjawab yang mereka berdua belum terfikir untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana masing-masing masih ligat mengukuhkan nama dalam pentas lakonan. "Kami serius dalam perhubungan dan sememangnya kami ingin mengakhiri percintaan kami ke jenjang pelamin. Bagaimanapun, perkara itu belum sempat kami bincangkan memandangkan masing-masing ligat mencipta nama dan mengejar impian dalam lapangan ini. "Kami serahkan semuanya pada takdir dan ketentuan kerana jika terlalu mengharap bimbang mengundang rasa kecewa pula kalau sebaliknya berlaku. Setakat ini, saya memang cukup selesa dengan Intan dan bertuah kerana dia tidak henti-henti menyokong apa saja yang saya lakukan terutama soal kerja. "Begitulah indahnya hubungan ini kerana masing-masing faham dan sentiasa percaya antara satu sama lain. Insya-Allah jika ada jodoh dan kepastian, kami tidak sekali menyembunyikannya," katanya. Sementara itu, Amar daripada program Anak Wayang, meskipun profil kerjaya seninya masih baru dan jauh tertinggal berbanding Kamal dan Fizo, si empunya wajah kacak manis ini bersyukur kerana tidak disisihkan terus dari gelanggang seni, sebaliknya masih ramai meletakkan kepercayaan kepadanya. "Selepas Anak Wayang, saya terus dibawa ke Jakarta untuk drama siri Kau & Aku dan diberi tawaran lain. Jika difikirkan semula, saya memang bertuah. Walaupun masih baru dan belum ada nama yang kukuh, pihak penerbitan dan produksi nampak bakat saya. "Saya harap diberi watak berat dan serius untuk membuktikan kemampuan selepas ini," katanya. PROFIL Nama penuh: Amar Baharin PROFIL Nama penuh: Wan Hafizol Wan Omar PROFIL Nama penuh: Ahmad Kamal Ahmad Adli |
‘Saya memang kecewa’ Posted: 06 Sep 2011 04:37 AM PDT KETIKA ini filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri mendaki tangga dari segi kutipan tiket sehingga dilaporkan setakat ini mencecah RM5 juta untuk lima hari tayangan. Filem kelima terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Global Station Sdn Bhd itu ditayangkan serentak dengan satu lagi filem Melayu, Karipap Karipap Cinta (KKC) arahan Othman Hafsham sempena Aidilfitri kali ini.
KKC terbitan Alternate Pictures menelan kos perbelanjaan sekitar RM1.7 juta diadaptasi daripada novel karya penulis blog, Nazri M Annuar. Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Gambit Saifullah, Mellia Aimellia, Syawal Ruslan, Eman Manan, Elyas Iskandar, Syamira Azmil dan P Jagen.
Hafsham turut mencatat kejayaan memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) menerusi Rahsia dan FFM4 (Mekanik) selain FFM1 bagi Anugerah Skrip Terbaik (Adik Manja). Percubaan Hafsham selepas hampir sedekad tidak duduk di kerusi pengarah tampak kurang menjadi selepas melihat sambutan yang kurang menggalakkan menerusi filem itu. Komen untuk filem itu juga mengatakan pelakon utamanya gagal memikul tanggungjawab diserahkan ditambah pula kontroversi dicetuskan Gambit Saifullah yang sebelum ini disifatkan kurang mesra media dan terbaru, kelancangannya mengeluarkan kata-kata melalui lama sosial facebooknya hingga melabel orang tertentu sebagai binatang. Apakah itu antara punca filem ini kurang mendapat sambutan? Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, WAN ASRUDI WAN HASAN bersama Hafsham mengenai sambutan KKC dan perancangannya selepas ini. RAP : Bagaimana sambutan filem Karipap Karipap Cinta (KKC) setakat ini? HAFSHAM: Saya tidak tahu berapakah jumlah kutipannya setakat ini tetapi apa yang boleh saya katakan, sambutannya kurang memberangsangkan berbanding saingannya yang ditayangkan serentak pada musim raya kali ini. Mungkin disebabkan penonton masih dalam 'mood' perayaan dan ramai yang balik kampung. Saya harap penonton akan terus menyaksikan filem ini ketika ditayangkan di pawagam. RAP : Apakah faktor genre filem yang tidak mempunyai kaitan dengan perayaan antara puncanya? HAFSHAM: Tidak semestinya. Filem KKC memang tidak mempunyai kaitan dengan suasana raya. Memang kami tidak menyasarkan filem KKC untuk ditayangkan pada hari raya. KKC termasuk filem lain yang ditayangkan di pawagam ketika ini bukan genre perayaan. Ia ditayangkan secara kebetulan kerana memperoleh tarikh tayangan dalam tempoh berkenaan. RAP : Bagaimana Hafsham melihat lakonan tunjang utama filem ini? HAFSHAM: Saya berpuas hati dengan barisan pelakon dan pasukan yang menjayakan filem ini walaupun ia membariskan pelakon kurang ternama sebagai teraju utama. Jika zaman filem Mekanik dulu, orang tidak mengenali Susan Lankester begitu juga Azmil Mustapha. Begitu juga filem Rahsia (1987) tidak mencatat kutipan box office ketika ditayangkan namun memperoleh kejayaan apabila menang lapan anugerah pada Festival Filem Malaysia ke 7 (FFM7). RAP : Adakah Hafsham berpuas hati dengan produk akhir filem ini? HAFSHAM: Sudah tentu saya berpuas hati. Jika tidak, tentu saya tidak menayangkannya kepada umum. Mungkin nasib tidak menyebelahi kami. Senario sekarang sudah berbeza. Penonton lebih utama kepada komersial. RAP : Ada yang melihat pemilihan Gambit Saifullah dan pelakon baru, Melia Aimellia untuk watak utama kurang menjadi kerana kelihatan kaku dan seperti dibuat-buat. Apa komen anda? HAFSHAM: Mereka melaksanakan tugas dengan baik sekali. Pelakon bukan faktor utama apa yang penting bagi saya jalan cerita. Semua bergantung kepada penonton yang membeli tiket wayang. Kalau hendak dibandingkan dengan Hantu Bonceng, ternyata genre filem ini berbeza. Hantu Bonceng mengetengahkan genre komedi dan seram sementara KKC genre romantik komedi pula ada babak konspirasi, pesanan ringan dan percintaan. Penampilan Zizan Raja Lawak menerusi Hantu Bonceng juga menjadi salah satu tarikan utama memandangkan dia boleh dikatakan ketika ini antara bintang seni yang semakin bersinar. Selain mempunyai peminat tersendiri. RAP: Komen Hafsham mengenai kenyataan Gambit di Facebook yang mengeluarkan kata-kata kesat dan mencaci individu tertentu? Adakah ia turut mempengaruhi promosi filem berkenaan? HAFHAM: Saya rasa ia tidak menjejaskan filem berkenaan. Ia sebaliknya lebih kepada faktor peribadi. Malah Gambit juga sudah memohon maaf berhubung isu berkenaan. RAP : Selepas hampir sedekad tidak mengarah, nampaknya sambutan terhadap filem KKC tidak begitu menjadi? Apakah ini akan melemahkan semangat Hafsham untuk kembali mengarah? HAFSHAM: Memang saya agak kecewa sedikit. Mungkin kata orang tiada rezeki. Kadangkala rezeki juga ditentukan oleh orang. Memang selepas membaca buku KKC penceritaannya memang mempunyai tarikan tersendiri. RAP : Apa perancangan Hafsham selepas ini? HAFSHAM: Setakat ini, saya belum merancang apa-apa. Memang saya ada beberapa cerita yang bagus untuk diangkat di layar perak. Salah satunya seperti yang saya maklumkan sebelum ini, Tractor Bay kemungkinan besar akan memulakan penggambaran pada tahun depan. Filem berkenaan mempunyai tahap pemikiran intelektual yang tinggi dan mempunyai elemen aksi selain berwajah Malaysia. Saya menunggu masa yang sesuai untuk ditayangkan kerana takut penonton tidak dapat menghayati penceritaannya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |