Hip
Diana Danielle
Gangguan eratkan lagi hubungan HATI mana yang tidak bimbang andai si arjuna hati kini berdepan dengan ugutan yang mengancam keselamatan nyawanya. Apatah lagi kejadian ugutan itu berlaku ada kaitan dengan dirinya, tentunya tidak senang duduk dibuatnya.
Perasaan risau sentiasa bersarang dalam jiwa dan hati sering tertanya-tanya, bagaimanakah keadaan si kekasih yang kini jauh di mata. Namun hambatan tugas membuatkan si dara hanya mampu berdoa dari jauh, mengharapkan kekasihnya selamat dan berada dalam keadaan sihat walafiat.
Meskipun tidak begitu pasti apakah benar buah hatinya, Farid Kamil diugut disebabkan hubungan cinta yang terjalin antara mereka, namun jelas Diana Danielle, naluri hatinya kuat mengatakan kejadian ugut itu berlaku kerana ada pihak yang tidak puas hati melihat kemesraannya dengan pengarah dan pelakon itu.
"Memang saya risau sangat dengan keselamatannya sekarang ini. Maklum sajalah, tugasnya sering membuatkan dia berada di tempat terbuka. Apa pun, saya berdoa semoga tiada perkara buruk berlaku.
"Mengenai kejadian ugut itu, saya rasa memang ada kaitan dengan hubungan kami. Mungkin ada yang tidak suka melihat kami bercinta. Pada kami, ugutan itu tidak akan dapat mengubah perasaan kami berdua.
"Kami tak mahu menuduh sembarangan jika tiada bukti yang kukuh menunjukkan mereka terbabit," jelas Diana ketika ditemui di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya berjudul Azazil di Ulu Yam, Selangor.
Biarpun mengakui mempunyai hubungan yang serius dengan Farid, tegas Diana, mereka belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Malah pelakon muda berdarah campuran Melayu-Inggeris ini hanya tertawa besar apabila pihak media bertanyakan soalan adakah benar dia dan Farid akan bertunang tahun ini juga.
"Tiada majlis pertunangan yang akan berlangsung tahun ini. Bagaimanapun, saya tidak menafikan yang kami ada juga berbincang soal kahwin. Sementelah hubungan kami yang semakin serius ini, sudah tentu saya tak mahu terhenti di sini saja.
"Namun kami tak mahu beriya-iya merancang dan menguar-uarkannya kerana kami takut hubungan ini tidak menjadi seperti yang diharapkan.
"Sudah banyak contoh yang kami lihat. Apa yang boleh saya katakan, kami memang ada perancangan ke arah itu," ujar Diana serius.
Dengan pengakuan itu, nampaknya gosip yang bertebaran menyatakan hubungan Diana dan Farid tidak mendapat restu ibunya nampaknya tersasar jauh. Apabila ditanyakan mengenai kesahihan berita itu, dia turut menyangkal sekeras-kerasnya.
"Mama merestui hubungan kami. Sebagai ibu, apa saja yang terbaik untuk anaknya, dia tidak akan menghalang," tegas Diana memperbetulkan dakwaan yang tidak berasas itu.
Dapat bimbingan pengarah handalan
JIKA diukur dari segi pengalaman, Diana boleh dianggap masih baru dalam bidang lakonan. Namun biarpun masih hijau, dia boleh dianggap bertuah kerana berpeluang berlakon di bawah pengarah handalan yang bukan saja berkarisma, tetapi menjadi idaman pelakon lain.
U-Wei Shaari, Khir Rahman dan terbaru Kabir Bhatia adalah antara pengarah yang pernah bekerjasama dengannya.
Ternyata anak tunggal kepada Norsiah Ramli ini memang bertuah apabila berpeluang bekerja dengan ikon dalam dunia pengarahan filem.
"Saya akui saya memang teruja apabila berpeluang dapat bekerja dengan ramai pengarah yang bukan saja berpengalaman, tetapi mempunyai karisma tersendiri dalam bidang ini. Setiap pengarah ada keistimewaan tersendiri dan saya mendapat banyak ilmu dari setiap mereka," kata Diana yang memegang watak sebagai Aishah dalam Azazil.
Menerusi filem arahan Kabir Bhatia itu, Diana memegang watak seorang gadis yang hidup pada zaman peperangan sekitar era 1940-am.
Filem bergenre seram itu juga adalah kerjasama kali ketiga Diana bersama Kabir. Kali pertama, dia berlakon menerusi Setem diikuti telefilem Aidilfitri berjudul Di Telapak Kaki Bonda.
Ketika tinjauan dilakukan, Diana bersama Remy Ishak dan Sharnaaz Ahmad sedang melakonkan babak pertarungan.
Mengulas gandingannya bersama Remy, Diana berkata, pengalaman berlakon sama menjadi bonus untuk mereka mencipta keserasian segera dalam filem ini.
"Kami tiada masalah berlakon bersama kerana ini bukanlah gandingan pertama kami. Sebelum ini kami pernah berlakon dalam filem Barajiwa dan apabila digandingkan sekali lagi dalam filem ini, kami tak perlu mengambil masa yang lama untuk serasi," katanya.