Adsense

Selasa, 2 Ogos 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Cinta Henry di Malaysia

Posted:

Cinta Henry di Malaysia

Cinta Henry di Malaysia

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan 8TV


SELEPAS 15 tahun, Henry Golding kembali ke bumi Malaysia untuk mencari peluang yang lebih besar.


MESKIPUN sebahagian besar hidupnya dibesarkan di Surrey, England, namun jauh di sudut hati jejaka kacak ini, Malaysia tetap bertakhta di hatinya.

Dilahirkan di Betong, Sarawak, bapanya keturunan Inggeris dan ibunya seorang wanita Iban, tidak hairan mengapa Henry Golding tidak boleh memisahkan dirinya dengan Malaysia.

"Bagi saya, Malaysia mempunyai nilai sentimental tersendiri. Apatah lagi saya pernah tinggal di Dungun, Terengganu dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Itulah yang menyebabkan Malaysia begitu dekat di hati saya.

"Apabila kembali ke negara ini tiga tahun lalu, saya mahu terus menyelongkar dan menerokai apa yang saya tertinggal selepas saya berhijrah ke England.

"Jangan terkejut kalau saya katakan antara makanan kegemaran saya adalah tempoyak dan ulat sagu yang terdapat di Sarawak," katanya dalam loghat British yang sangat pekat.

Henry ditemui pada pelancaran program Without Boundaries - Islands & Beaches terbitan stesen televisyen 8TV di Fullhouse, Sunway Giza, Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Without Boundaries - Islands & Beaches merupakan kesinambungan daripada program bercorak pengembaraan, Welcome To The Rail World yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penonton stesen itu.

Sekadar berkongsi sejarah hidupnya, Henry menjelaskan sejak usianya empat tahun, keluarganya telah berpindah ke Dungun.

Di sanalah kata Henry, dia sempat menikmati zaman kanak-kanak seperti rakan sebaya yang lain dan juga melalui zaman sekolah rendah sehingga darjah tiga.

Selepas itu, dia mengikut keluarganya pulang ke England dan selepas 15 tahun, barulah Henry mendapat peluang balik ke Malaysia.

Atas alasan itu jugalah, apabila dtawarkan 8TV untuk mengacarakan Without Boundaries - Islands & Beaches, Henry menganggapnya sebagai peluang terbaik untuk terus menyelami keindahan Malaysia.

"Apa yang boleh saya katakan, segala-galanya tentang Malaysia adalah fantastik. Banyak perubahan yang telah berlaku sepanjang ketiadaan saya di sini.

"Sewaktu krew produksi memberitahu salah sebuah destinasi yang akan dikunjungi untuk program ini adalah Terengganu, saya benar-benar teruja.

"Meskipun ada sebahagian tempat telah berubah, tetapi memori yang pernah terpahat masih lagi kekal di sana," ceritanya penuh bersungguh.

Antara lokasi yang sempat dikunjungi Henry dan dimuatkan dalam program tersebut ialah rumah yang pernah didiami Henry dan keluarganya.

Tidak ketinggalan, Henry juga menggunakan peluang keemasan itu untuk mengunjungi semula sekolah lamanya selain bertemu dengan beberapa individu yang ternyata masih lagi mengingati Henry.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu chef yang saya kenali iaitu Chef Ann masih lagi bekerja di tempat yang sama di Tanjong Jara, Terengganu. Dulu dia hanya seorang chef tetapi kini dia sudah dinaikkan pangkat sebagai seorang ketua chef.

"Apa yang membuatkan saya terharu apabila beliau masih lagi kenal dan ingat muka saya ini," cerita Henry yang mula dikenali sebagai pengacara program 8TV Quickie ini sambil ketawa kecil.

Pengalaman

Dalam masa yang sama juga, Henry melahirkan kekagumannya terhadap keindahan Pulau Redang sambil memberitahu rakyat Malaysia sepatutnya rasa bertuah kerana memiliki destinasi pelancongan seindah Pulau Redang.

Sebagai seorang yang didedahkan dengan aktiviti lasak sejak kecil, sesungguhnya pengalaman itu juga banyak membantu Henry melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengacara program ini.

Selama tiga bulan menjalani penggambaran di seluruh Malaysia dengan melawat destinasi pelancongan terbaik di negara ini, Henry benar-benar puas dengan Without Boundaries - Islands & Beaches.

"Salah satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan apabila saya berdepan dengan ikan jerung Hammerhead sewaktu di Pulau Layang-Layang, Sabah.

"Ketika itu, saya sedang asyik menikmati panorama bawah laut dengan terumbu karang yang begitu indah. Tiba-tiba sahaja, ikan jerung yang besar itu menghampiri saya lalu membuat saya takut dan kaku.

"Saya cuba untuk memberi isyarat kepada teman-teman lain ketika itu tetapi belum sempat saya berbuat demikian, jerung tersebut sudah beredar," kata Henry yang turut berkesempatan mengunjungi Pulau Perhentian, Cherating, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Tenggol.

Selain itu, Without Boundaries - Islands & Beaches juga membawa Henry mendalami dasar laut di perairan Sabah seperti Pulau Manukan, Pulau Sapid serta Pulau Tiga yang sebelum ini menjadi lokasi program realiti popular dunia, Survivor.

Satu yang pasti kata Henry, untuk program ini dia bukan hanya untuk berseronok tetapi sebagai seorang individu yang cintakan alam sekitar, dia melibatkan dirinya dengan kerja-kerja amal.

"Memang sesuatu yang cukup menarik apabila kebanyakan pulau dan perairan di negara ini tidak hanya menyediakan pengalaman percutian yang menarik.

"Tetapi, mereka juga mendedahkan kepada masyarakat untuk terlibat dengan kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar seperti menyelamatkan penyu, batu karang, kebersihan pantai dan banyak lagi.

"Kelebihan dan keunikan yang ditonjolkan ini menjadikan program Without Boundaries - Islands & Beaches ini menjadikan ia sebuah program berbeza dan seronok ditonton.

"Jadi, penonton sendiri pun berpeluang mendapat informasi dan tips menarik yang barangkali tidak pernah diketahui oleh mereka sebelum ini menerusi program ini," kata Henry yang cukup mengagumi kredibiliti pengacaraan hos ternama, Anthony Bourdain.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sensasi 2 kuasai malam raya

Posted:

Sensasi 2 kuasai malam raya

Sensasi 2 kuasai malam raya

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI dan DJOHAN SHAHRIN SHAH


ALYAH dan Ramlah Ram menyampaikan lagu Hari Raya Hari Bahagia yang pernah dipopularkan kumpulan Ideal Sisters.


MENJELANGNYA bulan Ramadan, stesen televisyen pasti berlumba-lumba mengadakan rakaman rancangan yang akan disiarkan sama ada sepanjang bulan puasa atau pun tibanya hari raya nanti.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga tidak mahu ketinggalan apabila mereka tampil dengan sebuah program ala konsert, Sensasi 2 yang akan ditayangkan menerusi tiga episod.

Episod pertama akan ditayangkan pada Hari Raya pertama, pada pukul 9 malam, episod kedua, pada hari raya kedua dan episod terakhir, pada hari raya ketiga di TV2.

Menggunakan formula gandingan artis baru dan lama yang mempunyai pengaruhnya yang tersendiri di era masing-masing, ia menjadi percaturan yang diharapkan RTM agar audiens tidak berganjak dari kaca televisyen sewaktu menonton Sensasi 2.

Walaupun meletakkan nama-nama besar seperti Ramlah Ram, Alyah, Mas Idayu, Datuk Jeffrydin, Misha Omar dan Tomok, format program berkenaan dilihat tidak banyak bezanya dengan puluhan program berkonsep serupa.

Bersandarkan kepada lagu-lagu hit setiap penyanyi dan beberapa lagu raya kegemaran ramai, program ini mungkin mampu menarik peminat muzik tanah air untuk setia menontonnya selama sejam ia disiarkan.

Dalam mencari kunci Sensasi 2, RTM membuat percaturan mempertemukan penyanyi asal lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram dengan Alyah kerana lagu itulah yang membawa tuah kepada Alyah untuk bergelar Bintang HMI 2000.

Buat pertama kalinya, Ramlah yang menjadi idola Alyah, digandingkan atas satu pentas bersama penyanyi muda itu.

Sebelum rakaman bermula, kedua-dua penyanyi itu melahirkan rasa teruja kerana mereka adalah bintang kelahiran RTM yang diberi kesempatan untuk menjayakan Sensasi 2.

"Kak Ramlah merupakan idola saya dalam bidang nyanyian. Saya sukakan kemerduan dan kelantangan suara yang dimiliki Kak Ramlah.

"Gaya nyanyian yang dipersembahkan menjadi ikutan saya ketika mula-mula menjejakkan kaki dalam bidang ini, kira-kira 10 tahun lalu.

"Baru sekarang saya berpeluang berpadu suara dengan Kak Ramlah di atas satu pentas," kata Alyah menzahirkan penghargaan kerana diberi peluang berkenaan.

Sementara itu, Ramlah pula menjelaskan, dia suka melihat cara Alyah yang pandai bergaya dan mengenakan fesyen yang bersesuaian dengan imejnya.

"Gaya Alyah atau fesyen yang dipakainya saya lihat, lain daripada yang lain dan itu menampakkan keunikan dia.

"Sebagai penyanyi, Alyah juga tahu itulah yang akan membuatkan dia berjaya menarik perhatian peminat.

"Namun biar apa pun pandangan kita terhadap Alyah, saya secara peribadi kagum dengan kekuatan vokal dia. Bagai saya, vokalnya hebat," puji Ramlah terhadap penyanyi lagu Kisah Hati itu.

Gabungan Dangdut dan pop yeh yeh

SELAIN daripada Ramlah Ram dan Alyah, Sensasi 2 tidak ketinggalan mengundang pelantun lagu Bolehlah Boleh, Mas Idayu untuk bergandingan dengan Datuk Jeffrydin.

Kemunculan dua gandingan mantap itu dapat disaksikan menerusi episod kedua Sensasi 2.

Ketika berpeluang bertemu dengan Mas Idayu yang mesra disapa Ayu, dia berkata, Sensasi 2 harus diadakan setiap tahun untuk memberi ruang kepada artis-artis lama dan baru bersua muka dan berkongsi pengalaman.

"Kadang-kadang kalau kita nak duduk berbual lama-lama, memang susah kerana masing-masing sibuk dengan undangan yang perlu dipenuhi.

"Tetapi apabila ada satu program seperti ini, sekurang-kurang dalam kita sibuk nak bersiap di bilik solekan, bolehlah kita berbual panjang dan bertanya khabar antara satu sama lain.

"Bukan senang nak berjumpa macam ini dan Sensasi 2 atau rancangan mirip kepada program ini harus diteruskan setiap tahun," kata Ayu secara jujur dalam memberikan pendapatnya tentang program Sensasi 2.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.