Adsense

Selasa, 2 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tangguh keluar album baru

Posted: 01 Aug 2011 06:06 AM PDT

SELEPAS tampil cemerlang membuktikan dirinya tidak sekadar bersandar pada wajah menerusi pementasan teater, anak muda yang tidak lekang senyum, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi berjalan lagi tanpa henti dalam mengorak percaturan kerjaya seninya.

Kali ini, bintang muda berusia 23 tahun ini disambar pula sebagai duta dan jurucakap istimewa restoran Istana Bambu sepanjang Ramadan ini.

Meskipun sedikit janggal, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tetap melihat peluang yang diberi satu kelebihan buat dirinya dalam melebarkan lagi sayap seninya.

Bertemu di majlis pelancaran dan perkenalan dirinya selaku duta di Restoran Istana Bambu, Hulu Klang, baru-baru ini, memberikan masa untuknya berkongsi sedikit rasa.


"Alhamdulillah kerana hingga kini, rezeki dan peluang yang datang tidak pernah henti. Semua ini adalah berkat kesungguhan dan keikhlasan dalam saya bekerja.


"Bukan mudah memancing kepercayaan orang namun kerana berpegang pada prinsip dan disiplin yang lama saya amalkan, akhirnya banyak pihak membuka mata.

"Saya sifatkan undangan menjadi duta khas sepanjang Ramadan bagi mempromosikan juadah berbuka puasa di restoran ini adalah satu platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat serta melakukan sesuatu yang berfaedah di bulan mulia.

"Apapun, saya tidak semudah itu menerima setiap tawaran sebagai duta melainkan saya sendiri percaya dengan produk yang ingin saya promosi.

"Namun bersama restoran Istana Bambu dan segala juadah makanannya, saya yakin ia satu pilihan terbaik buat sesiapa saja yang ingin mencuba masakan istimewa sepanjang Ramadan nanti," katanya.

Dafi juga bintang teater Kenangan Mengusik Jiwa...60-an (KMJ) dan Dreamgirls ini tidak sekali mempersoalkan setiap undangan dan tawaran yang datang buatnya sebaliknya semua rezeki yang menghimpit tanpa henti dilihat pemangkin semangat dan ruang terbaik untuknya memperbaiki mana yang perlu.

"Jika ada pihak datang memberi jemputan dan undangan sebegini, ia adalah satu penghargaan terutamanya buat bintang baru seperti saya.

"Justeru, saya tidak sekelumit berasa janggal untuk mempromosikan juadah berbuka puasa seperti ini sebaliknya ia adalah satu lagi tanggungjawab yang menarik dan berbeza kepada saya.

"Fungsi saya adalah untuk membuat persembahan dalam beberapa tarikh yang sudah dipersetujui selain bersembang bersama pelanggan yang datang berbuka di sini nanti.

"Saya sendiri tidak sabar untuk menghiburkan peminat dan pelanggan nanti kerana saya sudah pun menyediakan beberapa buah lagu selain gimik istimewa buat mereka nanti.

"Peranan selebriti jauh lebih luas daripada apa yang dilihat. Lantas saya mengambil kesempatan dengan menggunakan status yang ada bagi membuka jalan kepada masyarakat atau khalayak untuk mencuba sesuatu yang mungkin melangkaui imaginasi sendiri," katanya.

Majlis sidang media dan pelancaran bufet berbuka puasa restoran Istana Bambu itu turut dihadiri beberapa selebriti lain termasuk Ifa Raziah, Haida, Saida AF, juara program realiti Pilih Kasih musim pertama, Iqbal Mazlan dan pengacara manis, Fida.

Menyentuh persiapannya menjelang Ramadan tidak lama lagi, bingkas bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini menyusun cerita mengenai kerjaya seninya dan beberapa projek lain yang bakal menyusul.

Sejurus selesai tanggungjawabnya memikul watak C.C White dalam teater muzikal Dreamgirls, si empunya wajah manis ini terus meletak sepenuh fokus kepada lapangan nyanyiannya kembali.

"Ramadan kali ini akan memperlihatkan kesibukan saya dalam menguruskan beberapa perkara penting dalam kerjaya seni. Selain sibuk mempromosikan juadah berbuka puasa di restoran Istana Bambu yang mana saya akan hadir sebanyak lapan kali di sini dan membuat persembahan istimewa, saya juga akan kembali menyusun strategi dalam menerbitkan album terbaru.

"Jelas peminat dan sesiapa yang mengikuti perkembangan seni saya pasti boleh lihat yang kini wajah saya lebih banyak mewarnai drama televisyen dan teater.
Bukan kerana tiada undangan nyanyian atau sudah mahu melupakan hasrat menjadi
seorang penyanyi sebaliknya rezeki dalam lapangan lakonan datang mencurah.

"Tidak mungkin saya menolak undangan sebegini kerana jauh dalam hati saya ada juga minat yang mendalam untuk berlakon dan beraksi di pentas teater.

"Memang lama-kelamaan saya lihat teater juga memberi kepuasan yang tersendiri.

"Perasaannya lain dan jiwa seni itu juga berubah jauh apabila seseorang pendatang baru seperti saya berjaya merealisasikan sesebuah watak di pentas teater.

"Namun semua itu adalah selingan dan satu penghargaan buat saya. Bagaimanapun minat terhadap nyanyian masih utama dan saya sendri akan cuba mencari masa untuk meletak sepenuh fokus dalam pembikinan album penuh terbaru nanti.

"Sebelum ini saya pernah memberitahu yang album terbaru nanti akan diterbitkan selewat-lewatnya Oktober namun kini ia terpaksa ditangguhkan kerana beberapa perancangan yang perlu didahulukan.

"Namun ia tidak langsung berkaitan dengan sebarang masalah lain kerana bila difikirkan semula, tiada apa yang perlu digesa-gesa. Biarlah saya mengambil masa sendiri dan ruang secukupnya bagi mendapatkan kualiti terbaik untuk album nanti.

"Sekarang pun lagu Euphoria masih rancak diputarkan di radio dan biarlah saya cari masa yang sesuai untuk melancarkan album itu nanti.

"Malah, saya juga ingin mengadakan persembahan jelajah seluruh Malaysia bagi bertemu peminat yang setia menyokong kerjaya nyanyian saya sejak di AF lagi.
Insya-Allah jika tepat apa yang dirancangkan, semuanya akan berlaku dalam awal tahun depan," katanya tersenyum.

Bertanyakan soal perancangan Aidilfitri nanti, lekas Dafi menyahut yang dirinya langsung belum sempat memikirkan soal itu kerana semuanya masih jauh dan terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat.

"Semuanya belum sempat saya fikirkan kerana kebiasaannya keluarga yang akan sibuk menguruskan semua benda. Tapi ayah dan ibu serta keluarga lain sudah pun menempah baju raya tahun ini dengan memilih rona hijau sebagai warna tema kami sekeluarga. Namun yang lainnya masih belum saya rancangkan.

"Mungkin jika ada rezeki saya akan cuba untuk memenuhi setiap undangan yang datang selain menziarahi saudara-mara yang mungkin tidak berkesempatan untuk kami lawati tahun lalu," katanya.

PROFIL:

Nama Penuh: Gadaffi Datuk Seri Ismail Sabri
Tarikh Lahir: 14 Disember 1988
Umur: 23 tahun
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Pendidikan: Diploma Profesional, Bunyi dan Muzik dari Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya
Pencapaian: Finalis Akademi Fantasia 5 (AF5) dan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007
Album: Seumur Hidup (KRU Studios Sdn Bhd)
Filem: Sayang U Can Dance
Drama: Hotel Mania, Waris
Iklan: Aiskrim Walls, Brands, Silky For Men, kempen 60 Earth Hour dan TM Everyone Connect

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tradisi singgah sahur diteruskan

Posted: 01 Aug 2011 05:52 AM PDT

SEMPENA kedatangan 1 Ramadan bersamaan 1 Ogos semalam, stesen TV3 tidak ketinggalan mengatur pelbagai aktiviti menarik khusus untuk penonton setia mereka.

Membawakan tema Sesuci Fitrah, peranan TV3 bukan saja tertumpu pada program berkonsep hiburan semata-mata. Malah, apa yang menarik perhatian program terbitan sendiri atau 'in house' memberi peluang pada penonton turut serta.

Menerusi program Singgah Sahur yang disiarkan pada tengah malam semalam menyaksikan kru program ini berkunjung ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Episod pertama yang disiarkan selama sejam ini turut ditonton secara langsung.

Produser, Syarida Shariff atau Sherry berkata, program ini masih memberi fokus pada pendekatan meraikan masyarakat menerusi aktiviti bersahur bersama.

Untuk episod pertama, program ini berkesempatan meraikan kakitangan hospital termasuk pesakit serta tetamu jemputan dari pihak pengurusan TV3, rakan artis dan Puteri Umno.

Memeriahkan suasana, ia dihadiri tetamu istimewa, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, MPB, Ahmad Izham Omar.

"Ini adalah kunjungan julung kali program ini ke hospital ini. Segala kerja produksi berjalan lancar dan komitmen yang diberikan pihak hospital di sini sangat positif.

"Menariknya, episod pertama ini turut mengadakan lintas langsung dengan mengambil suasana di wad kecemasan, berjumpa bayi yang baru lahir pada 1 Ramadan, bersembang dengan doktor pakar mengenai diet berpuasa dan berkongsi pengalaman kerja kakitangan hospital.

"Pelepasan kembara program ini juga dilakukan menerusi konvoi 25 ahli Kelab Motor TV3 yang diketuai Datuk Seri Farid Ridzuan. Kembara ini akan berkunjung ke empat negeri di lapan lokasi berbeza antaranya, Chow Kit, Ipoh dan Kubu Gajah, Perak, Hulu Langat, Penjara Kajang, Hospital Kusta, Sungai Buloh dan bersama masyarakat Bidayuh dan Kenyah di Sarawak.

"Pada peringkat awal memilih hospital sebagai lokasi pertama program ini, ia sudah memberi kelainan untuk musim ketujuh. Walaupun mungkin ada beranggapan lokasi ini tidak sesuai kerana faktor bising tetapi program ini membawa niat baik," katanya ketika dihubungi.

Sepanjang tujuh tahun program ini bersiaran, Sherry berpandangan program ini semakin dikenali dan diminati ramai. Menariknya, kematangan program ini dilihat dari aspek pemilihan lokasi dan aktiviti yang dijalankan.

"Meskipun lokasi persinggahan di sekitar Lembah Klang tetapi penceritaan yang disampaikan harus mantap. Apabila memasuki musim baru, kami tidak mahu program ini sekadar aktiviti pemberian sumbangan.

"Apa yang penting, kami mahu melihat bagaimana program ini memberi impak pada penonton untuk insaf dan mendalami subjek atau cerita itu sendiri," katanya.

Untuk episod kedua bersiaran pada 3 Ogos, ia meraikan insan gelandangan di sekitar Chow Kit. Sebanyak tujuh produser terbabit dalam sembilan episod musim kali ini.

Mulai 5 Ogos, program ini bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu jam 12.35 tengah malam manakala siaran ulangan pada Sabtu dan Ahad jam 5 petang bermula 6 Ogos. Untuk episod akhir pada 28 Ogos, program ini akan mengambil lokasi di Hentian Puduraya.

Usaha TV3 mengadakan program ini sebagai kesinambungan musim lalu yang mendekati kumpulan atau individu kurang bernasib baik. Menariknya, kunjungan ini disertakan menerusi pemberian sumbangan termasuk aktiviti bersahur bersama.

Pengacara berpengalaman, Ally Iskandar masih diberi kepercayaan mengendalikan program ini bersama rakan penyampai TV3 yang lain antaranya, Nor Azzura Azizul Azman, Fiza Sabjahan, Nurul Syuhada, Azizah Ariffin, Teh Syuhaida, Ahmad Fedtri Yahya, Hazrena Kassim, Zainal Ariffin, Hazlin Hussain, Syarida Sharif dan Aidid Marcello.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.