Berita Harian: Hip |
Posted: 01 Aug 2011 05:59 PM PDT Hip Erra Fazira SUDAH menjadi kebiasaan pula, setiap kali Ramadan, golongan artis dengan tidak semena-mena mengambil 'cuti panjang' atas alasan mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah. Bukan bermakna soal ibadah dipandang ringan pada hari lain, cuma kesibukan di lokasi penggambaran kadang kala membawa ke malam membuatkan ramai memilih untuk berehat seketika. Dalam tempoh sebulan itu, selain berpeluang memperuntukkan masa berkualiti dengan keluarga dan berpuasa yang dilengkapi solat tarawih, ada sebilangan selebriti mengambil kesempatan menjalankan perniagaan dari rumah.Erra Fazira, antara mereka yang mengusahakan perniagaan bermusim yang disifatkan sebagai peluang menambah pendapatan, sekali gus pendedahan awal untuk lebih serius dalam bidang serba mencabar itu pada masa depan. Memilih perniagaan hamper raya sejak beberapa tahun lalu menggunakan jenama Eea's Hamper, akuinya sebelum puasa lagi dia sudah menerima tempahan daripada pelanggan tetap terutama rakan rapat. "Kebiasaannya saya mengehadkan jumlah tempahan supaya tidak terkejar-kejar. Memang ada pembantu malah, hasil gabungan idea semua, kami pastikan kualiti gubahan produk kami sentiasa mengikut peredaran semasa. Begitupun, Erra menjelaskan, belum ada perancangan untuk menjadikan perkhidmatan menyediakan hamper raya sebagai perniagaan yang serius kerana tumpuannya ketika ini masih terhadap kerjaya seni dan keluarga. Cuma buat masa ini dia mahu belajar dulu selok- belok perniagaan sebelum melebarkan jenama Eea's Hamper kepada pelanggan yang tidak hanya menyediakan hamper musim Syawal, sebaliknya perayaan lain dan sambutan lain. Dedah ibu kepada Engku Aleesya, 2, itu lagi, kebetulan sepanjang Ramadan ini dapat bercuti sepenuhnya apabila penggambaran yang sepatutnya berlangsung pada tempoh berkenaan ditunda ke tarikh lain. Apa pun, masa yang ada bakal dimanfaatkan untuk perkara lain terutama menyediakan keperluan untuk perniagaannya serta melayani keletah si kecil yang semakin lasak dan mula belajar bercakap. Biar masih terlalu awal, persediaan untuk hari raya terutama baju kurung buat si kecil serta suami tercinta, Engku Emran dilakukan lebih awal supaya tidak berebut dengan orang lain. "Saya dan suami hanya bersederhana, cukup dua pasang baju kurung dan baju Melayu, tetapi paling seronok sudah pasti melihat Aleesya semakin membesar dan sudah pandai berjalan. "Apabila tengok gaun comel, mulalah saya geram, malah tahun ini saya mahu mendapatkan beberapa pasang baju kurung untuk Aleesya gayakan pada 1 Syawal nanti," ucapnya. Rancak bercerita soal perniagaan dan keluarga, persoalan beralih pula mengenai perancangan merealisasikan album baru yang sudah tertangguh lama walau sebelum ini beberapa lagu sudah dirakamkan sejak beberapa tahun lalu. Rancang berduet dengan Salma BIAR berdiri di landasan kukuh sebagai aktres terkenal, jauh di sudut hati pemilik nama Fazira Wan Chek, itu masih membuak rasa cinta terhadap nyanyian membuatkannya tidak pernah berhenti berharap. Penyanyi lagu lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu tidak mampu menyembunyikan rasa terkilan apabila gagal menghasilkan album ketika bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Record (SRC) tidak lama dulu. "Kontrak dengan SRC sudah tamat, tetapi saya sempat merakamkan lima lagu. Saya memang berharap dapat tampil dengan lagu baru, cuma barang kali rezeki belum tiba. "Kalau boleh biarlah dapat lagu yang mampu meninggalkan impak kepada pendengar. Lagu sedia ada sudah bagus, tetapi saya sendiri belum dapat seperti yang dicari membuatkan saya masih sabar menunggu," katanya yang tetap rancak memenuhi undangan menghiburkan tetamu pada majlis korporat. Erra juga tidak menolak untuk berpadu suara dengan protegenya, Salma sekiranya mendapat tawaran malah menganggap juara Mentor musim lima itu mampu bergerak lebih jauh bersandarkan bakatnya. Bagaimanapun, projek baru paduan suara antaranya dengan Sohaimi Mior Hassan berjudul Dalam Rumah Tangga dianggap pengubat kerinduan terhadap single baru dan istimewanya, melodi serta mood nyanyian lebih seperti gandingan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Seri Saloma. Beralih kepada dunia lakonan, selain sibuk dengan latihan pementasan Badai Semalam yang bakal berlabuh di Istana Budaya bermula 11 November ini, bintang yang digilap menerusi filem sembilu itu juga bakal terbabit dengan sebuah filem yang menyaksikannya membawakan watak pembunuh upahan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: 01 Aug 2011 05:49 PM PDT Hip Gigih asuh anak meminati seni suara dalam album VOUPEMILIK nama indah, Wan Norafizah Ariffin atau lebih dikenali sebagai Nora kini mahu tampil menggunakan frasa Nora J dalam menghayun langkah barunya dalam industri seni suara. Penyanyi yang mula mencipta nama pada 1994 dengan album pertama berjudul Sandiwara ini, berkata, huruf J yang dipilih itu adalah sempena nama suami tercinta yang sentiasa menyokong kerjayanya, Johan Nawawi."Menjadi kebiasaan akhir-akhir ini apabila nama saya sering tertukar dengan seorang model di Singapura yang juga menggunakan nama sama. Jadi, saya lebih suka menggunakan nama Nora J atau Nora Johan untuk mengelakkan kekeliruan berlaku," katanya ketika majlis pelancaran album Voices of Ummi (VOU) – Erti Al-Fatihah di Saloma Bistro, Selasa lalu.Wanita yang sudah bertudung ini dalam nada bergurau berkata, kelahiran nama baru dalam laluan seni itu umpama penjenamaan semula namanya ke dalam industri seni tanah air. Ibu kepada tiga cahaya mata ini, berkata genre muziknya kini berubah kepada genre pop kerohanian yang bersesuaian dengan imej barunya. Katanya, VOU adalah kumpulan penyanyi kanak-kanak yang digabungkan kerana suara mereka juga digunakan sebagai suara bagi watak-watak utama dalam siri animasi muzikal kanak-kanak berjudul Ummi! Ceritalah Pada Kami. "Naluri saya kuat mengatakan lagu-lagu dalam VOU ini punyai kekuatan tersendiri dan ia bakal diminati bukan saja kanak-kanak tetapi juga semua lapisan masyarakat," katanya tersenyum. Wanita yang dilahirkan di Kampung Dewan Beta, Kota Bharu Kelantan ini turut memberitahu, dia bersyukur kerana kedua-dua permata hatinya itu ada bakat dalam dunia nyanyian dan dia tidak akan menghalang minat semula jadi yang lahir dalam jiwa anak-anaknya jika seni menjadi impian kerjaya mereka satu hari nanti. "Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan kepada anak-anak saya dan mereka rela melakukan kerja ini tanpa paksaan. "Saya yakin album ini akan mendapat sambutan dan berharap lagu-lagu yang terdapat dalam album ini seharusnya diberi peluang untuk dimainkan di stesen radio," katanya penuh semangat. Ketika ditanya berkenaan penampilan barunya itu, penyanyi ini menjelaskan rahsia langsing badannya itu adalah hasil keazaman untuk menguruskan badan yang turut dikongsi suami dan anak-anaknya. "Saya tidak mengambil ubat-ubatan. Hanya jaga pemakanan dengan makan banyak sayur-sayuran yang dikukus. Saya juga tidak amalkan makan makanan yang digoreng serta berminyak. Jika memasak sayur, saya pastikan ia dikukus," katanya yang berjaya menurunkan berat badan sehingga lapan kilogram. Nora yang bergiat aktif menjual kuih raya tatkala bulan mulia menjelang tiba , ini berkata dia mengambil masa selama empat bulan untuk mendapat berat badan yang diinginkan dan memberitahu niatnya untuk tampil kurus bukan untuk kecantikan diri tetapi paling penting adalah untuk menjaga kesihatan diri. Animasi Ummi siap akhir tahun Sementara itu, Johan selaku penerbit album VOU, memberitahu album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu adalah album runut bunyi bagi mempromosikan animasi terbitan syarikatnya, Hud Hud Media. " Menariknya, album yang menampilkan 13 lagu sedap didengar itu akan diedarkan oleh Erama Creative Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd melalui portal www.erama.tv menjelang Ramadan ini. "Manakala bagi siri animasi Ummi 36 episod, ia dijangka akan siap pada hujung tahun ini. Oleh itu, sementara menunggu animasi siap sepenuhnya , kami hasilkan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam animasi ini kerana ia akan diselang-seli dengan lagu berkonsep pop kerohanian," katanya yang tidak menafikan album itu akan memasuki pasaran muzik Indonesia jika diberi peluang. Antara lagu-lagu yang mampu mengisi selera dan memberikan ketenangan jiwa dalam album VOU ini adalah Erti Al Fatihah, Ahai! Riangnya Hari Raya, Ummi, Indahnya Pelangi, Pemimpin Terpuji dan Aku Hud-Hud. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |