Utusan Online - Hiburan |
Keperibadian Nurul Syuhada memikat Amir Posted: Keperibadian Nurul Syuhada memikat AmirOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
SIAPA sangka hanya dengan pertemuan singkat semasa menghadiri majlis pertunangan rakan menjadi detik permulaan hubungan pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin dan suaminya Raja Amir Shah Raja Azwa. Salam perkenalan yang dihulurkan tahun 2009 itu akhirnya mencambahkan benih-benih cinta dalam hati mereka sehingga membawa ke gerbang perkahwinan. Lalu bertempat di The Binjai On The Park, KLCC, Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu, Nurul Syuhada sah menjadi milik Raja Amir hanya dengan sekali lafaz. Mengimbau kembali detik perkenalan itu, Nurul Syuhada mengakui, ruang masa yang dilalui sepanjang tempoh berkawan digunakan sebaiknya untuk lebih mengenali antara satu sama lain. "Kami berkenalan dua tahun lalu semasa menghadiri majlis pertunangan rakan di Subang. Bermula dari situ kami selalu berhubung sehinggalah menjadi semakin rapat. "Sepanjang dua tahun itu juga, kami mengambil masa untuk mengenali diri masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bersama membina mahligai cinta," ujar Nurul Syuhada yang ditemui selepas majlis resepsi yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambah pengacara berusia 27 tahun itu lagi, sikap dan penampilan yang ditonjolkan Raja Amir telah berjaya mencairkan hati wanitanya. Baginya, jejaka berusia 29 tahun itu pandai mengambil hati dan membuatkan dirinya sering diulit rasa selesa untuk terus berdampingan bersamanya. "Cara Amir membuatkan saya rasa selesa kerana dia seorang yang sederhana dalam banyak perkara, baik dan prihatin. "Dan yang paling penting, dia seorang yang amat memahami diri saya dan tugasan saya yang tidak menentu waktu," jelas Nurul Syuhada yang kelihatan anggun dengan busana pengantin rekaan Datuk Radzuan Radziwill. Berkongsi detik indah ketika dilamar oleh Raja Amir, dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir Nurul Syuhada, matanya melirik memandang ke arah suaminya untuk mengingati semula, detik-detik manis itu. Jelas Nurul Syuhada, tiada apa yang istimewa dilakukan oleh Raja Amir ketika menyatakan hasrat untuk memperisterikan dirinya. "Macam mana ya dia lamar? Sebenarnya tiada yang istimewa pun cuma apa yang Amir lakukan, dia datang berjumpa ayah untuk berterus terang tentang niat di hatinya. "Dalam pertemuan itulah dia memberitahu ayah bahawa dia berhasrat untuk menjadikan saya sebagai suri hidupnya. "Permintaan Amir itu tidak mengejutkan saya kerana saya sedar, dalam usia kami berkawan, dia menunjukkan sikap keikhlasannya, bukan sekadar bercinta sahaja," ujarnya. Sementara itu, Raja Amir ketika ditanya, apakah yang membuatkan hatinya terpaut kepada Nurul Syuhada? Dengan pantas dia menjawab, kejelitaan wanita itu telah menawan hatinya. "Raut wajah Nurul Syuhada yang lembut dan ayu menarik perhatian saya untuk terus mendekatinya. "Tetapi saya bukannya memandang kepada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya peribadi Nurul turut menambat hati saya. "Dia yang saya kenali adalah seorang wanita yang merendah diri, baik hati dan memahami saya. "Apa yang penting, Nurul adalah jodoh yang telah ditentukan oleh-Nya untuk saya," tegas Raja Amir yang segak bertanjak, berbaju Melayu moden putih gading, warna sedondon dengan isterinya. Dalam majlis yang mendapat sentuhan pereka pelamin Khalid Ahmad, majlis berkonsepkan moden-tradisional itu dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan selebriti pasangan Raja Sehari itu. Antaranya, pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan, Maria Tunku Sabri, pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Azizah Ariffin serta rakan-rakan personaliti TV3 yang lain iaitu Teh Syuhaida, Azliyanti Ibberahim, Azawate Zenol Abidin, Saiful Nizam Ismail dan Puteri Erin. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Kuasa luar biasaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BARANGKALI peminat muzik di negara ini mempunyai alasan untuk berasa bangga apabila untuk tiga tahun berturut-turut, Malaysia dipilih sebagai lokasi penganjuran MTV World Stage. Uniknya konsert ini apabila ia membariskan artis-artis popular dan terbaik dari seluruh dunia yang dipilih berdasarkan populariti serta pencapaian dalam bidang muzik. Jika tahun lalu, empat nama besar iaitu Katy Perry, Tokio Hotel serta dua kumpulan dari Asia iaitu Wonder Girls (Korea) dan Bunkface (Malaysia), tahun ini juga menyaksikan barisan artis yang tidak kurang hebatnya. Mereka yang diberi penghormatan untuk membuat persembahan ialah kumpulan rap/rock terkenal iaitu Pop Shuvit yang mewakili Malaysia, Beast (Korea) serta dua kumpulan muzik ternama dari Amerika Syarikat (AS), Neon Trees dan Thirty Seconds To Mars. Bertempat di i-City, Shah Alam, Selangor, tirai MTV World Stage Live In Malaysia dibuka dengan kata-kata aluan oleh dua pengacara MTV Asia iaitu VJ Utt dan VJ Holly sebelum memperkenalkan Pop Shuvit untuk membuat persembahan mereka. Tidak menunggu lama, Pop Shuvit yang dianggotai oleh lima orang pemuzik iaitu Moots! (vokal), JD (gitar), AJ (bass), Rudy (dram) dan Uno (turntables) memilih lagu Ol Skool Rocka. Dibantu dengan permainan visual menerusi lima skrin LED yang melatari pentas MTV World Stage itu dilihat melengkapkan lagi persembahan Pop Shuvit pada petang itu. Seterusnya, Pop Shuvit menyampaikan pula salah sebuah lagu popular mereka berjudul Oh! Sizuka yang ternyata mendapat sambutan luar biasa daripada penonton. Kelihatan ada sebahagian daripada mereka yang turut menyanyi bersama mengiringi Pop Shuvit menerusi lagu tersebut sekali gus membuktikan bahawa kumpulan ini sebenarnya ada kelompok peminat mereka sendiri. Peluang beraksi di pentas MTV World Stage juga digunakan sepenuhnya oleh Pop Shuvit bagi mempromosikan lagu terbaru mereka, Running Away yang dipetik daripada album terbaru mereka, Cherry Blossom Love Affair. Tidak disangka-sangka, kumpulan itu telah mengundang penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Kau Ilhamku iaitu Man Bai untuk berduet dengan mereka menerusi lagu Seperti Syurgamu. Mengakhiri slot persembahan mereka dengan lagu yang dianggap sebagai mahakarya Pop Shuvit, Marabahaya yang mendapat tepukan gemuruh daripada peminat. Lebih memantapkan lagi persembahan mereka untuk lagu itu, Pop Shuvit telah mengundang tiga rapper terkenal dari rantau Asia iaitu Daly (Singapura), Daniel Tanapon Supwattanaa (Thailand) dan Jamir (Filipina) yang sebelum ini pernah disatukan dalam projek khas, Project E.A.R. (East Asian Revolution) untuk menyanyi bersama Moots!. Popular Berehat seketika, i-City kembali 'ganas' dengan sorakan peminat yang sudah tidak sabar lagi untuk menyaksikan aksi kumpulan Beast di atas pentas yang telah berjaya menarik sebahagian besar peminat mereka di negara ini dan barangkali di negara serantau juga. Sebaik sahaja kelibat mereka kelihatan di atas pentas dengan berpakaian serba putih, keadaan bagaikan tidak dapat dikawal lagi apabila kumpulan yang dianggotai enam orang anak muda itu menyampaikan set pertama mereka yang merangkumi tiga lagu iaitu Shock, Fiction dan When It Rains. Bukan hanya mempertaruhkan wajah kacak mereka semata-mata, tetapi, Beast membuktikan mereka memiliki pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penghibur di atas pentas. Memang hebat untuk melihat tenaga luar biasa Beast yang mempamerkan persembahan mantap apabila mampu menari dan menyanyi dalam waktu yang sama. Dengan mutu suara mereka yang langsung tidak terjejas dan tidak kedengaran tercuncap-cuncap itu nampaknya telah mengundang kata-kata nakal yang mengatakan Beast sebenarnya hanya menggerakkan bibir mengikut lagu atau miming. Apakah ia benar? Hanya Yoon Doo Joon, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seob, Lee Gi Kwang dan Son Dong Woon yang tahu. Seandainya itu realitinya, maka, Beast secara terang-terangan sudah menipu peminat mereka. Berehat seketika untuk menukar busana, peminat dihiburkan seketika dengan rakaman klip video sebelum Beast muncul dengan dua buah lagu, Special dan Breath. Sebagai hadiah kepada peminat mereka, kumpulan yang mula ditubuhkan pada tahun 2009 itu menghadiahkan jambangan bunga kepada peminat wanita terpilih sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Beautiful. Hebat Walaupun jam sudah menginjak menghampiri 9 malam, peminat yang hadir seawal 3 petang nampaknya tidak mahu berganjak dan mahu terus berhibur. Kumpulan Neon Trees mengambil alih pentas MTV World Stage dengan menyaksikan vokalisnya, Tyler Glenn muncul di celah 15,000 penonton yang membanjiri i-City sambil menyampaikan lagu popular mereka, Your Surrender. Ternyata, persembahan mantap Tyler dan kumpulannya memberikan kepuasan kepada peminat sekali gus membuktikan pemilihan Neon Trees untuk konsert kali ini adalah bertepatan sekali. Berkali-kali menyatakan kekagumannya terhadap Malaysia biarpun kali pertama menjejakkan kaki ke negara ini, Tyler sempat memberitahu dia dan kumpulannya mahu kembali di masa akan datang untuk sebuah konsert yang besar pula. Neon Trees juga bijak memilih lagu-lagu wajib yang menjadi kegemaran peminat mereka seperti In The Next Room, 1983, Love and Affection dan Sins of My Youth yang menyaksikan peminat mereka turut menyanyi bersama-sama mereka. Selain Tyler, kumpulan yang berasal dari Utah, AS itu turut dianggotai oleh Chris Allen (gitar dan vokal), Branden Campbell (gitar bass dan vokal) serta Elaine Bradley (drum, percussion dan vokal). Melengkapkan lagi persembahan mereka, Neon Trees menyampaikan lagu Animal yang merupakan salah sebuah lagu popular di kalangan peminat mereka yang dipetik dari album sulung mereka, Habits. Klimaks Memang tidak dinafikan lagi, faktor utama peminat hadir terutama peminat muzik rock hadir untuk menonton MTV World Stage adalah kerana Thirty Seconds To Mars. Peminat yang membanjiri i-City ternyata menanti dengan penuh sabar untuk melihat aksi kumpulan itu yang muncul di atas pentas tepat pukul 10.10 malam. Sebaik sahaja kelibat penyanyi utamanya yang juga seorang pelakon popular, Jared Leto, keadaan seperti tidak dapat dikawal lagi apabila peminat bersorak dan menjerit bagaikan memberi tanda MTV World Stage sudah mencapai klimaksnya. Memulakan persembahan dengan lagu Escape yang merupakan salah sebuah lagu popular dari album ketiga mereka, This Is War, peminat tidak menunggu lama untuk menyanyi bersama Jared. Tampil dengan pakaian serba hitam termasuk kaca mata hitam cukup menyerlahkan ketampanan Jared yang pastinya membuatkan peminat khususnya wanita tidak mampu tidur lena. Seterusnya, lagu-lagu yang menjadi pilihan kumpulan berasal dari Los Angeles, AS itu termasuklah A Beautiful Lie, Attack, Search and Destroy dan lagu nombor satu mereka, This Is War. Persembahan mantap yang penuh bertenaga itu sekali gus membuktikan bahawa Thirty Seconds To Mars bukan sembarangan kumpulan yang sememangnya memiliki aura tersendiri. Selain Jared, kumpulan itu turut dianggotai oleh abangnya, Shannon yang bertindak sebagai pemain drum dan percussion serta Tomo Milicevic (gitar utama, violin dan keyboard). Menampilkan kelainan, Thirty Seconds To Mars kemudiannya mengalunkan Vox Populi yang merangkumi lagu-lagu popular mereka seperti The Kill, Hurricane dan Closer to the Edge yang dimainkan secara akustik. Bagi memastikan peminat mereka pulang dengan kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakan, Jared telah mengundang sekumpulan peminat bertuah untuk naik ke pentas menari mengiringi lagu Kings and Queens. Buat peminat yang tidak berpeluang menonton MTV World Stage Live In Malaysia, usah bimbang kerana rakamannya akan disiarkan pada 8 Ogos ini menerusi MTV Asia (saluran 713, Astro) pukul 12 tengah malam. Lebih menarik apabila konsert eksklusif yang akan disunting menjadi dua jam itu dirakamkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) yang kali pertama diterbitkan seumpamanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |