Adsense

Rabu, 27 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Reaksi penonton jadi penentu

Posted: 26 Jul 2011 06:37 AM PDT

SEKALI pandang wajahnya seolah-olah dikenali ramai sebagai pelakon.

Memiliki wajah seperti gadis naif, nama pelakon Sara Ali semakin menjadi bualan selepas penampilan di layar perak. Berbanding nasib pelakon baru lain, Sara dianggap bertuah kerana perjalanan seni dibina bermula di skrin lebar sebelum terjun ke TV.

Penampilan awal menerusi filem Nur Kasih The Movie arahan Kabir Bhatia ditayang–kan pada 19 Mei lalu antara lakonan meninggalkan kesan pada penonton.

Impak lakonan itu bukan saja memperkenalkan dirinya sebagai pelakon baru, tetapi menimbulkan persoalan kepada penonton mengenai kewujudan watak Julia yang dibawanya.


Sara atau nama sebenar, Siti Sarah Hairi Ali, 20, tidak menafikan ada penonton berasa keliru dengan watak sampingan itu.


Namun, apa yang ingin disampaikan mengikut kehendak pengarah dan plot filem berkenaan.

"Penonton ingin tahu siapa Julia sebenarnya dan dengan siapa dia bercinta. Sebenarnya, watak itu memang dicipta sebegitu agar memberi persoalan dan penonton kemudian tahu, dia bercinta dengan Jamal (lakonan Syafie Naswip).

"Walaupun hanya empat babak saya terbabit dalam filem itu, pengalaman ditimba memberi pengetahuan baru yang cukup menyeronokkan.

"Ketika penggambaran filem itu, Kabir banyak mengajar saya bagaimana cara pelakon melontarkan dialog.

"Dia tidak suka dialog kecoh, tetapi mantap sambil menggunakan pergerakan mata yang menunjukkan ekspresi lakon.

"Menariknya, saya juga belajar adegan dirakam secara 'tracking' menggunakan kren termasuk mengetahui lebih lanjut proses 'colour grading'," katanya bersemangat.

Nyata, hubungan baik terjalin antara Sara dengan produksi Filmscape Sdn Bhd milik Kabir yang bertanggungjawab menerbitkan filem itu bersama produksi Primeworks Studios dan Juita Viden Sdn Bhd membuka pintu rezeki padanya.

Sara berkata, setahun selepas penggambaran filem itu selesai, dia diajak menjayakan projek baru produksi itu untuk drama bersiri terbaru 26 episod, Wasiat yang akan menemui penonton Astro Prima di saluran 105 pada setiap Rabu, 10 malam bermula hari ini.

Berkongsi pengalaman terbabit dalam drama adaptasi telenovela Argentina, Herencia De Amor dan diarahkan Faisal Ishak ini, Sara menyatakan pengalaman pertama kali berlakon drama memberikan pendedahan berbeza yang mencabar dirinya.

"Banyak adegan saya lakonkan dalam drama ini mengambil masa penggambaran panjang sehingga tiga bulan. Pada saya, pengalaman ini memberi cabaran baru apatah lagi perlu konsisten dalam menjiwai watak.

"Jika diikutkan, berlakon filem juga penat, tetapi pengalaman kali ini berbeza.

"Dari aspek lakonan, ia lebih mencabar kerana saya perlu membawa watak gadis baik yang sememangnya bukan personaliti sebenar saya.

"Saya mengaku watak Hana ini kontra dengan diri saya berperwatakan kasar. Namun, pengarah sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya dan mengingatkan karakter Hana yang dimahukan.

"Hana adalah model lemah-lembut, tetapi tidak kisah bergaul dengan sesiapa saja. Walaupun sikap dia begitu, dia kuat semangat dan boleh bersabar apabila ditindas," katanya.

Memberi lakonan berkesan, Sara tidak terkecuali perlu melakonkan adegan air mata.

Dia menyatakan, Hana tidak mudah menangis, tetapi dia tetap melakonkannya.

Di sebalik pengalaman depan kamera, kata Sara, kejayaan awal drama berkenaan bergantung pada kerjasama baik antara pelakon dan kru.

"Di lokasi memang penat, tetapi saya gembira kerana semua komited dan mesra seperti satu keluarga. Soal kepuasan, saya percaya setiap pelakon tidak pernah berasa puas dengan apa yang dipersembahkan.

"Begitu juga, saya perlu banyak belajar dan menggandakan usaha untuk berjaya dalam bidang seni ini. Saya bersyukur kerana Kabir memberikan respons positif kepada hasil lakonan saya.

"Mungkin atas lakonan saya bersama Nur Kasih The Movie, Kabir mengambil saya berlakon dalam Wasiat. Bekerja untuk Wasiat, saya tidak mempunyai masalah kerana lebih faham. Namun, saya tidak berasa di kedudukan selesa kerana saya teringin bekerja di bawah pengarah lain seperti Mamat Khalid dan Farid Kamil," katanya.

Memilih lakonan sebagai kerja sepenuh masa, Sara turut mendapat sokongan anggota keluarga walaupun menangguh hasrat menyambung pelajaran buat sementara waktu.

"Dari aspek peribadi, saya sukakan aktiviti lasak dan ekstrem seperti menunggang kuda dan mendaki. Saya pernah melakukan aktiviti 'bungee jumping' dan jika ada peluang, saya ingin mencuba aktiviti payung terjun.

"Sejak berlakon, ada orang yang perasan saya adalah pelakon. Ada juga hairan kerana dalam Nur Kasih The Movie saya berambut pendek, tetapi rambut saya panjang untuk Wasiat.

"Tidak kira sama ada sesiapa perasan kehadiran saya atau tidak, apa yang penting saya menghargai sokongan penonton terhadap lakonan saya," katanya yang suka bergaya ringkas.

Meluaskan pengalaman seni, Sara berharap Wasiat membuka ruang lebih besar pada penonton untuk melihat aksi lakonnya.

Ketika berlakon Wasiat, dia mengakui ada tawaran filem baru diterima, tetapi menolak kerana mahu memberi fokus pada satu kerja pada satu masa.

"Saya bimbang jika terbabit dengan dua projek berlakon dalam satu masa boleh mengganggu komitmen sendiri. "Sepanjang berlakon selama ini, saya berasa bertuah kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Syafie Naswip dan Tiz Zaqiah.

"Saya banyak minta nasihat daripada mereka dan saya bersyukur kerana perjalanan seni saya menjadi pelakon hampir sempurna.

"Mereka mengajar saya agar merendah diri. Walaupun ada segelintir skeptikal
mengenai penampilan luaran saya seolah sombong, saya tidak kisah dengan
pandangan itu.

"Pada usia masih muda, saya mahu melihat ke mana takdir saya dalam bidang lakon. Bagi saya, apa yang dilalui berlaku terlalu cepat. Saya berharap filem baru, Songlap dapat menaikkan nama saya kerana saya percaya, ia adalah filem ditunggu ramai.

"Mulanya, saya hadir uji bakat drama Gadis Semasa, tetapi tidak sangka mendapat tawaran berlakon Songlap," katanya.

Menanti Songlap dijangka tayangan pada penghujung tahun ini, Sara juga muncul dengan filem baru, Jangan Pandang-Pandang arahan Ahmad Idham.

Dalam filem ini, dia membawa watak Yaya, pelajar bercinta dengan Ajis lakonan Zizan Raja Lawak.

"Saya menunggu respons penonton terhadap Wasiat dan Songlap dulu. Jika positif, saya akan terus berlakon. Jika sebaliknya, saya harus memikirkan semula fokus hidup saya selepas ini," katanya.

PROFIL:

NAMA: Siti Sarah Hairi Ali
NAMA KOMERSIAL: Sara Ali
TARIKH LAHIR: 11 Oktober 1990
USIA: 20 tahun
ASAL: Batu Pahat, Johor
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon

FILEM: Sesuatu Yang Tertinggal, Penunggu Istana, Klik3GP, Nur Kasih
The Movie, Songlap dan Jangan Pandang-Pandang

DRAMA: Jalan Pintas (filem pendek) dan Wasiat

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Moreh ganti Geng Surau

Posted: 26 Jul 2011 06:23 AM PDT

RAMADAN Al-Mubarak datang lagi! Sempena bulan puasa yang mulia dan penuh keberkatan ini, stesen berbayar Astro menerusi tiga salurannya utamanya iaitu Astro Oasis, Astro Prima dan Astro Ceria bakal menyajikan program hebat dan terbaik khusus buat pelanggan setianya.

Saluran Astro Oasis akan menyajikan dokumentari Salam Ramadan China, Salam Ramadan Turki dan drama bersiri Moreh buat penonton setianya.

Manakala, saluran Astro Prima menyajikan drama bersiri Geng Mengaji, Deru Ombak dan empat telemovie hebat iaitu Berselindung Di sebalik Kaabah, Pintu Sakaratul Maut, Cinta dari Kaabah dan Pelita Penyuluh Kiblat. Tidak ketinggalan, saluran Astro Ceria yang menayangkan siri animasi popular, Upin dan Ipin buat peminat setianya.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, drama bersiri Geng Surau berjaya mencatatkan rating paling tinggi ketika ditayangkan pada Ramadan tahun lalu.


"Pada Ramadan kali ini, saluran Astro Oasis (saluran 106) mempertaruhkan drama Moreh yang mengetengahkan konsep sama seperti Geng Surau.


"Pihak kami yakin, drama Moreh akan mendapat sambutan dari penonton sama seperti Geng Surau apabila ditayangkan nanti.

"Kami juga sedar ramai peminat yang berharap sambungan cerita Geng Surau, tapi kami tampilkan Moreh sebagai kelainan tahun ini.

"Jalan cerita Moreh lebih kurang sama dengan Geng Surau, tetapi kami tetap menerapkan nilai-nilai kekeluargaan dalam drama ini," katanya.

Sekalipun untuk hiburan seisi keluarga, kata Izelan, Moreh tetap menerapkan nilai kekeluargaan dan mampu memberikan impak positif pada penonton.

"Drama Moreh menceritakan Pak Abu yang sudah berpindah dari kampung ke pangsapuri baru di bandar bersama-sama isteri dan anaknya.

"Bagaimanapun, Pak Abu mendapati tradisi moreh pada Ramadan tidak diamalkan penduduk di kawasan itu.

"Justeru, Pak Abu bersama-sama Tok Siak, Tok Imam dan Ustaz Steady berusaha meneruskan kembali aktiviti moreh di surau berhampiran," katanya.

Tambah Izelan lagi, dua dokumentari menarik iaitu Salam Ramadan China yang akan mengupas cara-cara berbeza umat Islam di serata dunia menyambut bulan yang suci ini.

"Fokus adalah pada bangsa Cina-Muslim di China. Salam Ramadan Turki memaparkan lokasi Turki yang memiliki budaya beragam hasil campuran pelbagai unsur Turki Oguz, Anatolia, Ottoman dan budaya Barat yang bermula dengan Empayar Ottoman.

"Kami juga menayangkan siaran langsung solat sunat Tarawih secara langsung dari Masjidil Haram, Makkah dan Tadarus Al-Quran serta tazkirah Ramadan menjelang waktu berbuka puasa," katanya.

Izelan ditemui di majlis pratonton program Ramadan Astro di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ia disemarakkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air iaitu Rusdi Ramli, Zul Ariffin, Ayu Raudhah, Khaty Fauziah, Elfira Loy, Aqasha, Nabila Huda, Natasha Hudson, Razak Ahmad, Rozie Rashid, Eja, Mas Muharni, Roslan Salleh dan Khatijah Tan.

Hadir sama, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani; Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi; Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh dan Pengurus Pemerolehan Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli.

Mengulas lanjut program Ramadan di Astro Prima, Nizam berkata, saluran itu juga menayangkan dua drama bersiri dan empat telemovie yang pasti tidak menghampakan peminatnya.

Drama bersiri yang disiarkan di saluran Astro Prima ialah Geng Mengaji dan Deru Ombak. Manakala, telemovie yang akan ditayangkan sepanjang Ramadan di Astro Prima ialah Berselindung Di Sebalik Kaabah, Pintu Sakaratul Maut, Cinta Dari Kaabah dan Pelita Penyuluh Kiblat.

"Semua drama bersiri dan telemovie yang akan ditayangkan pada Ramadan juga mempunyai tarikan tersendiri pada penonton. Selain itu, ia menampilkan lakonan mantap barisan pelakon popular tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Evon berkata, saluran itu juga menayangkan siri kartun popular, Upin & Ipin istimewa untuk Ramadan yang pasti menepati cita rasa penggemarnya dikalangan kanak-kanak.

Buat julung kalinya, Astro Arena menayangkan program berjudul Arena Sukan yang diterajui pengulas sukan terkenal, Datuk Rahim Razali yang akan ditayangkan di Astro Arena (saluran 801) bermula 29 Julai ini.

Arena Sukan turut menampilkan 13 personaliti sukan tempatan iaitu Adnan Saidin, Zainal Abidin Hassan, Datuk Eddy Choong, Datuk Ghani Minhat, Rosman Alwi, Datuk Malek Noor dan Minarwan Nawawi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.