Utusan Online - Hiburan |
Posted: Tidak tagih publisiti murahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
POPULARITI anak muda ini memang melangkaui segala-galanya. Hanya dalam tempoh lima tahun saja Remy Ishak sudah mampu menempa kemasyhuran yang jarang sekali dimiliki oleh bakat baru sepertinya. Dalam sekelip mata, dia dipuja dan menjadi kegilaan ramai yang mengagumi bukan hanya bakat lakonannya tetapi wajah lelaki Melayu tulen yang menjadi penyedap mata para peminatnya. Semuanya kerana fenomena drama rantaian paling popular, Nur Kasih yang telah meledakkan nama Remy sehingga mampu berdiri setanding dengan aktor ternama negara lain. Namun, apa yang tidak sedapnya apabila ada dakwaan mengatakan Remy kini bukan lagi seperti dulu. Dalam erti kata lain, jejaka kacak ini sudah mula berubah menjadi seorang yang bongkak, lupa diri dan merasakan dirinya seorang aktor yang hebat. Bukan itu sahaja, ada angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup ke telinga mengatakan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini juga telah meletakkan dirinya sebagai seorang yang cukup eksklusif. Mendengar segala soalan dengan penuh teliti, Remy menghela nafas panjang sebelum memberikan justifikasi. Barangkali tidak mahu lagi segala kenyataan disalah erti sehingga mengundang kontroversi seperti sebelum ini. "Jujurnya, saya sendiri segan dengan publisiti. Jauh sekali untuk saya mendabik dada mahupun merasakan diri saya terbaik. Tetapi, kehadiran saya ke dalam industri bukan mahu menagih publisiti semata-mata "Saya cukup sedar sebagai seorang artis, kisah peribadi dan gosip memang tidak dapat lari untuk diceritakan. Bagi saya, biarlah kisah peribadi itu mendapat liputan berpada-pada. "Ingin saya jelaskan di sini, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang eksklusif dan menjauhkan diri daripada sebarang publisiti. "Dalam konteks ini, saya lebih gemar kalau cerita tentang karier saya yang mendapat tempat. Saya percaya seandainya kalau kita memberi hasil kerja yang berkualiti, publisiti akan datang dengan sendirinya," ujar Remy sewaktu menjawab pertanyaan Hits. Aktor berusia 27 tahun itu berkata demikian dalam satu pertemuan selepas majlis pelancaran haruman terbaru Dashing, Bold dan Edge yang berlangsung di Pusat Membeli-Belah Alamanda, Putrajaya, baru-baru ini. Menyambung bicara, pelakon yang mula dicungkil bakatnya oleh pengarah Osman Ali ini masih lagi menganggap dia seorang yang mentah dan hijau dalam dunia lakonan. Katanya, sepanjang lima tahun itu, denai yang dilaluinya tidak sempurna seperti mana yang disangka oleh ramai pihak kerana perlu meredah onak dan duri sebelum tiba ke destinasinya. Tidak mahu alpa dengan kemasyhuran yang dinikmatinya kini, ada kala kata Remy, dia akan duduk bersendirian di rumah dan cuba muhasabah untuk memperbaiki kelemahan dirinya. "Saya merangkak dan bermula dari bawah untuk mencari peluang mengembangkan bakat lakonan saya. Hanya pada tahun ketiga sahaja, barulah orang mula memandang bakat saya dan perlahan saya diterima oleh masyarakat. "Perjalanan saya terlalu jauh dan saya sendiri mahu kekal lama dalam bidang ini. Atas alasan itu, saya harus akui saya perlu menjadi lebih selektif dalam setiap tawaran yang datang kerana tidak mahu dianggap stereotaip," kata pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak ini penuh ini bersungguh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Wanita pilihan RemyDALAM pertemuan itu, Remy sempat ditanya tentang soal perkahwinan dan teman hidup. Maklumlah, umur Remy pun sudah mencecah 29 tahun. Kiranya sudah cukup haul untuk mendirikan rumah tangga. Jauh sekali untuk mensensasikan perkara tersebut tetapi hanya sekadar mahu berkongsi dengan peminatnya tentang wanita yang layak untuk dijadikan suri Remy. Tidak berselindung, Remy dengan penuh terbuka memberitahu dia mendambakan seorang wanita yang konvensional tetapi mampu berdikari tanpa terlalu bergantung kepadanya setiap masa. "Saya tidak mahu terlalu terburu-buru membuat keputusan untuk berkahwin dan biarlah saya mengumpul pengalaman hidup terlebih dahulu. Apatah lagi dengan pengalaman kawan-kawan saya yang ada di antara mereka yang bercerai membuatkan saya sedikit gentar. "Tetapi, dalam masa yang sama, semuanya perlu lahir dari hati setiap pasangan itu yang harus tahu tanggungjawab masing-masing dalam melayari alam rumah tangga. "Saya menyerahkan soal jodoh ini kepada Allah SWT dan menerima segala ketentuan-Nya. Seandainya saya ditakdirkan jodoh saya dengan artis, saya terima dan begitulah sebaliknya," kata Remy yang mensasarkan untuk mendirikan rumah tangga pada usia 32 tahun. Ujar Remy lagi, jika jodohnya itu dengan seorang artis, dia mahu isterinya itu kelak akan mengurangkan aktiviti seni dan lebih menumpukan perhatian kepada keluarga untuk mendalami tanggungjawab sebagai seorang isteri. Seperti biasa, apabila ditanya tentang sejauh manakah hubungannya dengan aktres berkulit putih gebu, Tiz Zaqyah, Remy hanya menjelaskan dia masih lagi berkawan dengan pasangannya dalam Nur Kasih itu. Sementara itu, Remy melahirkan rasa syukurnya apabila terus diberi kepercayaan untuk menjadi duta kepada jenama Dashing bagi tahu kedua. Sejak dari zaman sekolah lagi, jenama itu sering menjadi pilihannya dan setiap kali memakai wangian dari rangkaian Dashing, secara automatik dia merasakan dirinya seorang lelaki maskulin. "Pada waktu itu, Dashing memang digilai dan menjadi kegemaran pelajar lelaki di sekolah. Jadi, apabila badan berbau wangi sepanjang hari, rasa bangga mula terbit dalam diri (ketawa). Menjadi duta Dashing merupakan satu penghargaan buat saya," katanya yang turut menerima beberapa tawaran duta produk namun belum memberikan kata putusnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |