Adsense

Rabu, 13 Julai 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


ECX mohon izin menapak

Posted:

ECX mohon izin menapak

ECX mohon izin menapak



SEPULUH minggu bertarung bersama 12 pasukan lain selepas sukses melepasi sesi uji bakat, hasil yang diperoleh benar-benar mampu memasyhurkan nama kumpulan yang menggelarkan diri mereka Elecoldxhot atau ECX.

Lebih serasi dengan jenama ECX berbanding panggilan sebenar yang agak merumitkan dari segi sebutannya, perjalanan kumpulan itu berakhir pada hari Rabu minggu lalu pada final Showdown 2011.

Berdepan dengan tiga lawan lain yang mempunyai kekuatan masing-masing iaitu HMC Phlow, Bounce Stepperz dan Rokusteps , ECX nyata membuktikan undian peminat masih berpihak kepada mereka.

Maka, hadiah wang tunai RM50,000 menjadi hak mutlak kumpulan tarian itu, sekali gus mengikut jejak langkah Wakaka Crew selaku penyandang trofi juara Showdown tahun lalu.

Walaupun sudah menempatkan diri mereka antara kumpulan tarian terbaik di Malaysia, ECX memendam hasrat hati yang mendalam untuk meletakkan kedudukan sebenar mereka dalam industri tarian.

Ujar Dennis Yin atau pemilik nama sebenar Yin Zheng Huang yang mengepalai kumpulan itu, perjuangan mereka pada hakikatnya baru bermula dan kejohanan dunia menjadi sasaran mustahak.

"Sasaran kami untuk menyertai kejohanan peringkat dunia yang lebih besar dan lebih ramai pesaingnya, mudah-mudahan gelaran juara Showdown menjadi batu loncatan untuk kami menggapai hasrat itu," akui ahli kepada kumpulan yang ditubuhkan empat tahun lalu itu.

Tambahnya yang pernah memasuki pertandingan tarian So You Think You Can Dance Malaysia musim pertama, pelbagai agenda telah dirancang untuk kumpulannya itu selepas meluangkan masa bersama keluarga sejurus tamatnya pertandingan itu.


PERTARUNGAN dua penjuru antara HMC Phlow dan Elecoldxhot.


"Kami ingin 'membalas dendam' setelah hampir sepuluh minggu berhempas pulas bertarung sehinggakan masa bersama keluarga amat terbatas.

"Peluang selepas memenangi kejayaan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk berehat sebelum kembali beraksi di pentas tari," bicaranya yang ditemui selepas pertandingan akhir Showdown di i-City Shah Alam baru-baru ini.

Popping & locking

Bermula pada minggu pertama lagi, ECX sudah berani menunjukkan taringnya menerusi pergerakan popping dan locking dalam setiap persembahan mereka.

Buktinya, ECX mampu mendominasi kedudukan kumpulan terbaik pada minggu pertama, minggu ketiga hingga kelima dan minggu kelapan sekali gus terselamat daripada pusingan battle sepanjang pertandingan.

Tertunggu-tunggu untuk berentap bersama pasukan lain dalam pusingan battle dan teruja untuk menunjukkan kehebatan tersendiri, kesudahannya ECX berjaya ke pusingan battle akhir.

"Mujurlah sepanjang pertandingan kami berjaya mengekalkan kedudukan daripada tersenarai sebagai empat pasukan tercorot dan akhirnya berjaya mempamerkan skil battle kami ketika pusingan akhir melawan HMC Phlow.


HEBAT. Pergerakan popping & locking antara faktor kelebihan Elecoldxhot.


"Apapun, jutaan terima kasih kepada semua peminat yang mengundi kami dan izinkan kami meneruskan perjuangan seni tari ini dalam industri," tuturnya yang ditemani air mata kegembiraan.

Locking iaitu menghentikan pergerakan serentak dan menyambung jurus yang sama pada momentum terdahulu sudah sebati dengan diri kumpulan yang dianggotai oleh Yin Zheng Huang, Yap Jin Hou, Ang Joo Yee dan Lin Yit Zhou.

Selain itu, teknik merehatkan otot yang akan menyebabkan anggota badan tersentak-sentak umpama robot atau dipanggil popping menjadi pertaruhan kumpulan itu sejak awal pertandingan.

Memang layak

Menurut juri tetap Joe Flizzow yang menjadikan ECX sebagai pasukan kegemarannya pada Showdown 2011, keupayaan ECX menghidangkan sesuatu yang berbeza setiap kali beraksi merupakan faktor utama kemenangan pasukan itu.

"Corak persembahan mereka pasti berbeza setiap kali mereka muncul di pentas dan penonton akan tertunggu-tunggu kejutan yang bakal mereka cetuskan," ujarnya yang mengagumi kehebatan skil tarian ECX.

Sementara itu, koreografer terkenal Maple Loo yang turut berkongsi tempat dengan Joe berbangga dengan prestasi pasukan itu yang tidak pernah menghampakan.

"Kualiti yang ditampilkan ECX berbeza dengan kumpulan lain dan mereka layak untuk mendapat apa yang sepatutnya," katanya yang optimis dengan peluang ECX pada masa akan datang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Emma Stone biseksual?

Posted:

Emma Stone biseksual?

Emma Stone biseksual?


EMMA STONE


BIARPUN ketika ini aktres Emma Stone dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Andrew Garfield yang juga hero dalam filem The Amazing Spider Man yang akan ditayangkan pada tahun hadapan, namun terdapat cerita negatif yang membabitkan aktres tersebut.

Ketika ditanya mengenai individu istimewa yang sedang bertakhta di hatinya kini, Emma menjelaskan individu berkenaan ialah aktres Christina Hendrick yang terkenal dengan watak Joan Holloway dalam drama bersiri Mad Men.

"Memang ini adalah satu perkara yang langsung tidak masuk akal. Namun, dia adalah seorang wanita yang begitu menawan dan saya sangat tertarik dengan ciri-ciri yang ada pada dirinya," jelas Emma yang sekali gus membayangkan dirinya seorang biseksual.

Sebelum ini, aktres berkenaan juga pernah dilabel sebagai seorang lesbian apabila sering kali mengelak apabila ditanya mengenai teman lelaki dan mengakui bahawa dia tidak kisah menjalinkan hubungan cinta sesama jantina.

"Sehingga kini saya tidak ada sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana wanita, tetapi perkara tersebut tidak mustahil berlaku sekiranya dapat bertemu dengan pasangan yang mampu buat saya jatuh cinta dengannya," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Konsert RM1 juta Ning

Posted:

Konsert RM1 juta Ning

Konsert RM1 juta Ning

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


NING bakal menimba pengalaman dengan mengadakan konsert amal di UK pada tahun depan.


120buah lagu, 11 buah filem dan 11 buah album dalam tempoh 18 tahun, itulah bukti betapa figura yang terkenal dengan vokal soprano, Ning Baizura bukan calang-calang bintang.

Selepas menyepikan diri sekian lama, Ning kini muncul semula berdepan peminatnya bersama album yang ke-12 diberi judul Dewa hasil kolaborasi syarikat miliknya Happenings dan Satu Entertainment milik komposer Audi Mok.

Merujuk kepada interpretasi cahaya dalam bahasa Sanskrit selari dengan perubahan baharu hidupnya bergelar seorang isteri dan ibu, Dewa memuatkan lapan buah lagu baharu berkonsepkan balada, pop, elektro dan dance.

Mama Papa, Raksasa dan Bila antara lagu yang makin kerap diputarkan di corong radio. Termasuklah juga beberapa lagu lain yakni Propaganda yang liriknya ditulis sendiri oleh Ning, selain Alhamdulillah, Sampai, Pencarian dan Aku Bukan Dewa.

Sebulan berlalu setelah album yang dibikin dalam tempoh tujuh tahun dikeluarkan di pasaran tempatan dan hasilnya cukup memuaskan hatinya.

"Album ini ibarat seorang anak yang sepatutnya telah lama dilahirkan, tapi kesabaran menunggu itu sebenarnya kepuasan sebenar bagi saya.

"Ini komitmen saya dan tidak adil bagi seorang artis yang lama bertapak tidak keluarkan album. Alhamdulillah, setakat ini respons yang diterima sangat bagus namun saya akan tetap menerima hakikat jika album ini tidak mencapai sasaran seperti yang saya impikan," bicaranya yang ditemui selepas majlis pelancaran album Dewa di Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini.


NING bakal membuat kejutan menerusi konsert meganya di KL Life Centre yang dijadual berlangsung pada bulan Disember nanti.


UK dan AS

Dalam pada itu, Ning yang kini dalam proses persediaan menjelang konsertnya pada 2 dan 3 Disember, di KL Life Centre, Kuala Lumpur mencuba pendekatan baharu untuk menimba lebih banyak ilmu demi kejutan buat peminatnya.

Justeru, Ning sanggup merantau ke United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menonton konsert artis-artis antarabangsa yang berskala tinggi demi mencari idea baharu.

"Insya-Allah pada 21 Julai ini saya bersama suami (Omar Sharif) akan menyaksikan konsert Celine Dion di Scissor Palace, Las Vegas," ujarnya teruja.

Tambah pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu juga, tiket untuk menyaksikan persembahan itu sebenarnya satu kejutan yang diberikan suaminya sempena hari jadinya yang ke-36 pada 28 Jun lalu.

Menurut Ning, untuk konsertnya yang dijangka memakan kos sehingga RM1 juta itu juga, dia akan menekankan kualiti teknikal seperti bunyi dan pencahayaan demi menjamin kepuasan kepada peminatnya.

Oleh itu, Ning juga akan menyaksikan beberapa persembahan akrobatik untuk melihat dan mengenal pasti aksi lagak ngeri yang mungkin boleh digunakannya dalam konsertnya itu kelak.

Ning Live In Concert merupakan sebuah persembahan berskala penuh yang bakal menggunakan khidmat penyanyi latar, penari dan 12 orang pemuzik.

Sambutan Aidilfitri

Sementara itu, Ning turut meluahkan keterujaannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga suaminya sepanjang satu setengah bulan berada di sana.


GIMIK hebat pada majlis pelancaran album terbaharu Ning yang berjudul, Dewa.


"Tahun lepas saya ke sana pada bulan puasa saja, tapi tahun ini merupakan pertama kali saya akan beraya di rantau orang," katanya yang turut merancang untuk mengadakan konsert amal di UK pada bulan Mac tahun depan.

Ujarnya, konsert amal untuk mengumpul dana pertubuhan Make A Wish itu akan dilaksanakan di lokasi yang mempunyai ramai penduduk Malaysia antaranya di London, Manchester dan Nottingham.

"Hasil sumbangan daripada konsert itu akan disalurkan terus ke pertubuhan Make A Wish khusus membantu kanak-kanak yang kurang upaya dan mempunyai peluang tipis untuk hidup.

"Dalam konsert itu saya akan menyanyi beberapa buah lagu dan pada masa yang sama dapat juga beramah mesra dengan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana," tuturnya penuh bersemangat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.