Berita Harian: Hip |
Posted: 12 Jul 2011 05:17 PM PDT Hip Dynas NALURI seorang ibu bukan saja jelas terpancar daripada jernih retinanya, tetapi turut mengalir deras dalam darah wanita ini. Sejak kelahiran puteri sulungnya, Khyra Khalyssa, 13 bulan lalu, pelakon jelita Wan Intan Edrinas Mokhtar atau lebih mesra disapa Dynas mengakui putaran hidupnya kini berubah sebanyak 180 darjah berbanding asal. Daripada seorang wanita yang mengabdikan keseluruhan hidupnya kepada kerja, kini seluruh hidupnya diserahkan untuk buah hatinya yang comel itu. Kehadiran Khyra menjadikan Dynas lebih prihatin terhadap tanggungjawab sebagai seorang ibu. Kalau dulu, ketika belum mempunyai anak dia bebas untuk membuat keputusan, tapi selepas bergelar ibu, kepentingan Kyra mengatasi segala-galanya."Sebelum ini, ketika tak ada anak, saya boleh berada di lokasi penggambaran sehingga lewat pagi. Tapi bila sudah ada Kyra, saya sendiri menetapkan kepada pihak produksi yang ingin mengambil saya berlakon supaya melepaskan saya pada jam 11 malam kerana saya mahu bersamanya. Sebagai ibu, saya rasa adalah perlu untuk saya berada di sisinya. "Walau sibuk macam mana pun, saya tetap pastikan yang Khyra perlu diberi perhatian sewajarnya. Jika saya pergi ke butik pun, saya pasti akan membawanya bersama dan membiarkan dia bermain di kawasan persekitaran," kata Dynas yang begitu teruja menceritakan perasaannya bergelar ibu. Mungkin bagi sesetengah pihak menganggap, status selebriti yang dipegang Dynas membolehkan tanggungjawab mengasuh anak itu diserahkan kepada pembantu. Maklum sajalah, kesibukan di lokasi dan juga di butik mungkin membuatkan dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan tugasan itu. Namun pendapat nakal itu disangkal sekeras-kerasnya oleh Dynas.
"Saya tidak mahu melepaskan detik indah seorang ibu apabila anaknya semakin membesar. Apabila dia pandai berjalan, mula bercakap, sejak bila rambutnya panjang, semuanya itu saya mahu saksikan sendiri. Tak mahulah saya mendapat tahu mengenai perkara itu menerusi pengasuh semata-mata. Lagipun, jika kita sendiri yang mengambil berat soal anak, sekurang-kurangnya jika ada sesuatu yang berlaku padanya, contohnya masalah dalam peringkat tumbesaran, kita boleh kesan lebih awal dan rujuk pada doktor," katanya yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama seram, Khurafat The Series. Pengalaman mengasuh dan mendidik anak sulungnya itu turut dikongsi bersama orang ramai menerusi program bercorak keibubapaan yang dikendalikannya iaitu Si Kecil Ku Chakk! di TV3, yang kini sudah pun memasuki musim ketiga. Kata Dynas, selain berkongsi pengalaman sendiri, program itu juga turut memberi panduan berguna padanya untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian. "Saya seronok mengacarakan program ini kerana ia banyak menurunkan ilmu kepada mereka, terutama golongan ibu bapa yang menontonnya. Bukan saja pandangan daripada mereka yang pakar mengenai kanak-kanak kami paparkan, tetapi kamu juga memberikan panduan yang berguna," kata pengusaha butik berkaitan penyusuan susu ibu iaitu Dynas Nursing Attire (DNA) yang terletak di pusat membeli belah The Curve. Beralih kepada butik yang baru beroperasi itu, pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008 ini begitu teruja apabila butik yang diusahakannya itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Maklum balas itu, katanya, menunjukkan wanita kini begitu prihatin untuk menyusukan bayi mereka. "Semua pakaian yang dijual di butik ini memudahkan wanita untuk menyusukan anak mereka. Semuanya adalah hasil rekaan saya sendiri. Selalunya saya mendapat ilham untuk mereka pakaian ini ketika berada di lokasi ataupun mana-mana majlis yang saya sertai. "Insya-Allah, saya kini merancang untuk membuka satu lagi cawangan DNA, kemungkinan besar di Shah Alam," ujar Dynas sambil memberitahu butik D&A: Celebrity di Hartamas, D&A Fashion Cafe dan juga di Empire Shopping Gallery sudah pun dibubarkan. Kembali kepada drama seram LAKONAN yang dipaparkan Dynas drama Susuk bukan saja meninggalkan kesan mendalam di hati penonton, malah pada dirinya sendiri. Akui Dynas, memang sukar untuknya melupakan watak Cinda yang mengamalkan ilmu hitam dengan memakai susuk supaya kelihatan cantik. Disebabkan kesukaran untuk melepaskan watak itu daripada dalam dirinya, membuatkan si empunya diri terpaksa melupakan seketika tawaran yang mahukan dirinya berlakon di dalam drama bergenre seram. Bagaimanapun, selepas terbabit dalam drama komedi seram, You Saka Pergi Jauh-Jauh, pintu hati Dynas bagai terbuka kembali untuk berlakon dalam genre seram yang pernah dilupakannya dulu. "Watak Cinda membuatkan saya terpaksa mengatakan tidak untuk tawaran berlakon dalam drama seram. Bagaimanapun, drama You Saka Pergi Jauh-Jauh membuatkan pintu hati saya kembali mahu berlakon dalam drama sebegitu. Disebabkan itulah saya menerima tawaran untuk berlakon dalam drama bersiri Khurafat yang akan disiarkan di Astro Ria. "Dalam drama itu, saya memegang watak Faridah, seorang bomoh yang mewarisi ilmu hitam daripada ibunya. Watak saya penuh dengan dendam apabila saya sanggup melakukan apa saja termasuk membunuh bagi melunaskan segala dendam yang ada," kata Dynas mengenai drama arahan Syamsul Yusof itu. Ditanya tidakkah dia mengalami kejadian pelik ketika menjalani penggambaran drama itu, Dynas memberitahu, persediaan sudah pun dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. "Apa yang penting, kita jangan leka dan sentiasa beringat. Lazimnya selepas pulang dari lokasi, saya akan mandi terlebih dulu. Maklum sajalah, kami shooting sampai jauh malam dan lokasinya pula jauh," cerita Dynas. Khurafat mengisahkan Johan dan Mastura yang mengikat perjanjian sehidup semati dengan melakukan upacara menjamu darah mereka pada satu busut. Sebagai balasan, hati mereka akan tertutup untuk jatuh cinta dengan orang lain. Malangnya, belum sempat Johan melamarnya, Mastura terbabit dalam kemalangan menyebabkannya koma dan Johan dapat berasakan perubahan berlaku pada dirinya. Dia perlahan-lahan dapat melihat makhluk dari alam lain seperti jin dan roh. Drama sebanyak 13 episod disiarkan setiap Selasa, menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104), mulai 12 Julai. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 12 Jul 2011 05:07 PM PDT Hip PASANGAN ini lebih memahami diri masing-masing selepas berkahwin. SEAKAN baru semalam Akhil Hayy dan Waheeda mencetuskan kontroversi gara-gara menjalin hubungan intim dalam diam. Namun antara sedar dan tidak, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu sudah hampir memasuki usia dua tahun. Biar usia perkahwinan kian matang tahun demi tahun, namun rumah tangga yang dibina pada Ogos 2009 itu masih kuat disulam kasih sayang tidak bertepi. Ketika hadir pada majlis pelancaran program baru kelolaan Akhil berjudul Cubaan untuk Astro Oasis, Isnin lalu, Waheeda turut hadir memberikan sokongan. Sempat seorang teman membisikkan ke telinga penulis kekagumannya terhadap pasangan ini lantaran sejurus selesai sidang media, mereka berdua merancang mahu meluangkan waktu menonton wayang bersama.Mungkin kerana dua anak di bawah jagaan masih di sekolah, dapat mereka meluangkan waktu untuk berdua-duaan. Memang tergambar kebahagiaan pada pasangan ini apabila Waheeda kelihatan cukup manja di sisi suami. Ketika yang sama, barangkali sudah lama tidak ditemubual, Waheeda nampak gugup lalu meminta suaminya terus berada di sisi menemaninya menjawab pertanyaan wartawan. Bagaimanapun Akhil tidak dapat menemani kerana perlu memenuhi sesi temuramah bersama sebuah stesen televisyen. Namun sebelum berlalu pergi, sempat Akhil memujuk sambil mengusap penuh lembut belakang isterinya supaya bertenang. Malah sempat dia berseloroh, jika ada wakil media cuba mengusiknya, mereka akan menerima balasan daripadanya.
Namun akui wanita peramah yang berpurdah kerana mengikut jejak iasteri Rasulullah ini, tidak terbit sedikit pun sesalan di jiwa apabila dia meninggalkan dunia glamor. Sebaliknya ujar anak jati Johor itu, dia kini lebih tenang dengan haluan hidupnya sekarang. "Alhamdulillah, saya kini lebih tenang serta lebih takut dengan Allah selepas mengetahui wanita dilarang melunakkan suara di depan orang. Tidak sedikit pun saya berasa rugi meninggalkan bidang nyanyian. Kini saya banyak memberikan tumpuan pada perniagaan jubah secara talian dan saya juga lebih selesa melakukan kerja di belakang tabir seperti menghasilkan lagu untuk album suami. "Setakat ini tidak pernah lagi terbit perasaan rindu untuk kembali menyanyi mahupun berlakon. Ada ketikanya saya rindukan rakan yang pernah berlakon bersama-sama. Cuma saya berharap sekiranya saya mati nanti, janganlah ditayangkan filem mahupun diputarkan lagu-lagu saya. Saya tidak mahu diseksa di dalam kubur nanti," kata Waheeda yang menghasilkan dua lagu iaitu Subahanak dan Ighfir Zunubi. Berbicara soal cahaya mata pula, wanita ini ternyata reda dengan rezeki dikurniakan Tuhan. Lambat mahupun cepat, selagi Allah tidak mengizinkan, kata wanita ini, dia reda. Malah hidupnya tidak pernah sunyi dengan kehadiran dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu suaminya. Belum ada rezeki timang anak BAGI si suami pula, dia sudah memiliki empat cahaya mata. Justeru, dia tidak begitu terdesak untuk menimang anak kecil. Apatah lagi, dua anaknya juga kini berada di bawah jagaannya. Malah dia bangga kerana Waheeda berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan cukup baik. "Dalam rumah tangga, setiap pasangan itu tidak terlepas daripada diuji. Apa yang penting, cara masing-masing menanganinya. Alhamdulillah saya amat mengenali dirinya. Saya lebih mengenali isteri selepas kami berumah tangga.
"Mungkin belum ada kurniaan dari Allah lagi. Nabi Allah, Ibrahim sendiri pada usia 80 tahun baru berpeluang menimang cahaya mata. Lagipun saya sudah ada empat anak, jadi tidak perlu terburu-buru. Isteri juga berjaya melayan mereka dengan baik dan penuh kasih sayang seperti anak sendiri," kata Akhil yang kini sibuk menguruskan perniagaan berkaitan urusan umrah. Selain sibuk dengan perniagaan, dia kini kembali menghiasi kaca televisyen dengan program terbaru, Cubaan, yang menemui penonton bermula Sabtu ini. Cubaan ialah sebuah program mengenakan orang ramai, tetapi dalam bentuk keislaman.
"Saya terima tawaran ini kerana programnya berbentuk santai yang tidak memerlukan saya berserban atau berjubah. Saya juga menerimanya kerana kena dengan hati nurani saya. Terbabit dalam program ini bukan sesuatu yang mudah kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam jiwa orang yang terkena. Antara adegan yang kita tonjolkan dalam program ini ialah aksi seorang wanita hendak bersalin ketika sedang membeli belah. "Bagaimanapun, orang yang lalu lalang buat tidak tahu sehinggalah seorang warga tua berbangsa India, menjerit meminta bantuan orang ramai supaya membantu wanita itu. Sedangkan kebanyakan orang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam hanya buat tidak tahu kepada mangsa yang seagama. Walaupun ketika itu kamera sudah dikeluarkan dari persembunyian, warga tua berkenaan masih terus panik.
Turut hadir pada majlis sidang media berkenaan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |