Adsense

Khamis, 2 Jun 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ukhuwah, ikhlas

Posted:

Ukhuwah, ikhlas

Ukhuwah, ikhlas

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan ASTRO


PERSAHABATAN yang terjalin lebih 10 tahun telah membuka peluang kepada Yus dan Taukeh untuk mengangkat mereka ke peringkat lebih tinggi.


PROGRAM realiti popular masa kini, Maharaja Lawak semakin menghampiri ke kemuncaknya. Jika tiada aral melintang, malam kemuncaknya bakal berlangsung pada 24 Jun ini di sebuah lokasi yang masih belum ditetapkan.

Tiada siapa pernah menyangka Maharaja Lawak telah mencetus fenomena luar biasa mengalahkan program realiti yang sedia ada.

Harus diakui, populariti program ulung terbitan Astro Warna itu banyak dipengaruhi oleh nama-nama besar yang menyertai pertandingan yang menggabungkan juara serta finalis daripada program Raja Lawak musim pertama hingga kelima itu.

Namun, sejak Maharaja Lawak membuka tirainya pada awal April lalu, nama kumpulan yang satu ini dilihat semakin hari semakin mengganas sehingga mereka dianggap sebagai pesaing kuat kepada peserta lain termasuk nama-nama popular.

Kumpulan yang dimaksudkan ialah kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria atau lebih dikenali sebagai Taukeh.

Mungkin ada yang tidak tahu, kedua-duanya merupakan sahabat baik lebih sedekad yang lalu dan dipertemukan menerusi rancangan Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007.

Nasib menyebelahi Yusry atau dikenali dengan panggilan Yus apabila dinobatkan sebagai juara sulung program berkenaan manakala Taukeh pula sekadar menduduki tempat keempat.

Barangkali ada yang sependapat, di awal kemunculan Jambu, tiada siapa yang mempedulikan mereka kerana merasakan Jambu tidak cukup popular untuk setanding dengan nama besar lain seperti Jozan, Sepah dan Nabil.

Tetapi, kini semuanya telah berubah dan Jambu sekarang ini merupakan calon pilihan untuk bergelar juara sulung Maharaja Lawak.

Jambu bukan hanya memikat hati juri tetapi nama mereka juga kini mula meniti di bibir peminat yang sekali gus meletakkan kedudukan Jambu di tangga teratas.

Mungkin akan ada yang bertanya, dari manakah idea Yus dan Taukeh untuk menggelarkan diri mereka sebagai Jambu.

Semuanya bermula apabila kedua-dua mereka disatukan untuk membentuk sebuah kumpulan bagi satu tugasan berkumpulan sewaktu di Raja Lawak.

Namun, jelas Taukeh, ketika itu mereka memilih nama Joper yakni gabungan Johor dan Perlis yang mewakili negeri kelahiran Taukeh serta Yus.

"Daripada situ, kami merasakan mempunyai satu ikatan yang kuat untuk meneruskan gabungan ini seandainya satu hari kelak ia memerlukan kami berbuat demikian.

"Ditambah pula dengan keserasian antara kami yang wujud sekian lama membuatkan kami yakin untuk meneruskan perjuangan sebagai pelawak berkumpulan.

"Akhirnya peluang itu datang untuk Maharaja Lawak ini dan kami sepakat menukarkan nama tersebut kepada Jambu.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana penerimaan peminat terhadap kami yang membuatkan kami sebenarnya terkejut dan tidak sangka sama sekali ia menjadi sebegini besar," luah Taukeh jujur sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.

Yus juga sedar kejayaan yang dikecapi oleh Jambu setakat ini barangkali tidak menjadi kenyataan seandainya dia bergerak secara solo.

Baginya, bukan mudah untuk menjadi pelawak solo kerana ia memerlukan semangat dan tahap keyakinan yang cukup tinggi.

"Kalau berkumpulan lebih mudah kerana kita dapat berkongsi idea dan mengkritik antara satu sama lain demi kebaikan bersama.

"Alhamdulillah, saya mendapat seorang teman yang begitu memahami diri saya dan begitu juga dengan saya sehingga ia memudahkan kerja kami setiap minggu dalam memberikan persembahan.

"Tekanan itu tetap ada tetapi jika kita yakin dengan kemampuan kita, ia akan hilang perlahan-lahan. Saya akui tekanan memang cukup hebat untuk Jambu sewaktu minggu pertama Maharaja Lawak bermula.

"Bersaing dengan nama-nama popular membuatkan kami tidak meletakkan sebarang harapan kerana sedar dengan kedudukan kami.

"Tetapi kini, kami mula nampak, pengundi sudah bijak menilai lalu mengundi berdasarkan persembahan dan bukannya populariti semata-mata," ujar Yus dalam loghat utara sambil memberitahu akan meneruskan perjuangan Jambu bersama Taukeh selagi ada permintaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sate bayaran persembahan Sharifah Aini

Posted:

Sate bayaran persembahan Sharifah Aini

Sate bayaran persembahan Sharifah Aini

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar RASHID MAHFOF

RM10 dan 10 cucuk sate merupakan antara bayaran yang pernah diterima oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini di awal kemunculannya di persada seni tanah air sekitar 42 tahun lalu.

Bagaimanapun, bayaran berkenaan tidak sekali-kali mematahkan semangat pelantun lagu Bunga Tanjung itu untuk terus mengabadikan diri sebagai anak seni.

Baginya, apa yang penting adalah semangat dan kerja keras perlu dilakukan agar nama yang baru berputik akan terus mekar berkembang.

"Kak Pah bermula dengan susah. Kak Pahmasih ingat lagi sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke ibu negara, di tangan Kak Pah hanya ada RM75 sahaja.

"Namun Kak Pah tanam dalam diri, Kak Pah harus berusaha demi membantu keluarga di kampung," jelas biduanita itu ketika berkongsi pengalamannya bersama penuntut Asia e Universiti (AeU) sempena hari terbuka universiti itu baru-baru ini.

Sharifah Aini yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Pah, diundang oleh universiti berkenaan untuk berkongsi pengalamannya sepanjang 42 tahun bergelar anak seni dan berkongsi rahsia kejayaannya untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air.

Bagaimana pun, jelas Sharifah Aini atau nama sebenarnya Sharifah Aini Syed Jaafar, mengharungi era susah itu adalah detik paling indah dalam hidupnya.

Baginya, segala kesusahan itulah yang membuatkan dirinya bertambah cekal dan bersemangat untuk terus mengejar impian.

"Kesusahan itulah yang menjadikan Kak Pah seperti hari ini. Bukan mudah untuk bertahan dalam tempoh yang lama dalam industri hiburan.

"Kak Pah rasa bertuah kerana kesusahan mengajar Kak Pah untuk terus berusaha selain mengingatkan Kak Pah agar tidak lupa diri," ujarnya.

Mengenang kembali zaman awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air, Kak Pah rancak bercerita tentang sejarah silam hidupnya.

Jelasnya, detik-detik awal pembabitannya sebagai anak seni tidak mungkin padam dan terhapus dari kotak memorinya.

"Masih lagi Kak Pah ingat bagaimana Kak Pah berhimpit-himpit dalam sebuah kereta dalam perjalanan ke Kelantan untuk membuat persembahan.

"Bayangkanlah betapa jauhnya perjalanan yang terpaska Kak Pah harungi untuk sampai ke sana dengan keadaan jalan raya yang tidak begitu elok.

"Namun semua itu mengajar Kak Pah erti kehidupan. Artis zaman sekarang tidak melalui semua itu," luah Sharifah Aini petang itu.

Tambah anak jati Kampung Majidee, Johor Bahru itu lagi, tekadnya untuk terus memahat nama dalam industri hiburan tanah air adalah demi membantu keluarga.

Dengan niat itulah, Sharifah Aini cekal dan bekerja keras bagi memastikan kakinya terus melangkah meniti pancaroba dunia seni.

"Alhamdulillah, bermula penghujung tahun 1970-an, Kak Pah mula mendapat bayaran sekitar RM250 sehingga RM350 untuk satu persembahan.

"Dari situ Kak Pah dapat belikan sebuah teksi baru untuk tok Kak Pah selain membawa keluarga berpindah ke rumah yang lebih selesa," ceritanya.

Kelas malam

Selain itu, kata pelakon filem Hapuslah Air Matamu itu lagi, dengan duit yang ada beliau ke kelas malam untuk membelajari bahasa Inggeris demi meningkatkan tahap dirinya dalam bidang seni.

"Bayangkanlah anak kampung macam Kak Pah ini, mana tahu sangat menggunakan bahasa Inggeris, lalu Kak Pah tekad mahu belajar bahasa itu.

"Dua tahun Kak Pah ikuti kelas bahasa Inggeris dan alhamdulillah, selepas itu Kak Pah sudah boleh berinteraksi dengan fasih.

"Malah selepas itu, Kak Pah dapat merakamkan lagu Inggeris di mana Kak Pah sendiri tidak pernah terfikir akan mempunyai album Inggeris," jelasnya yang mempunyai 11 album Inggeris.

Ditanya apakah rahsia beliau mampu mempertahankan nama di persada hiburan tanah air, sambil tersenyum, Sharifah Aini menjawab;

"Jadilah diri sendiri dan sentiasa merendah diri. Selain itu, jangan malu untuk terus menimba ilmu dan jangan sekali-kali berhenti berusaha."

Bersandarkan itulah, katanya, sepanjang lebih 40 tahun bergelar anak seni, beliau boleh menyesuaikan diri dengan artis baru dan lama biarpun jarak usia membezakan mereka.

Sementara itu, dalam kesempatan berbicara petang itu, Sharifah Aini sempat menyelitkan nasihat untuk bakat-bakat baru yang semakin membanjiri industri seni hari ini.

"Jangan sekali-kali berhenti belajar kerana ilmu adalah kuasa untuk mematangkan diri. Jangan kedekut untuk berkongsi ilmu yang ada.

"Selain itu, jangan takut pada kritikan, umpatan dan kata-kata kurang enak yang dilemparkan. Ambil semua itu sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya," ujar biduanita yang pernah menjadi juara qariah lima tahun berturut-turut semasa zaman persekolahannya.

Menyingkap kisah hidupnya hari ini, Sharifah Aini akui, kehidupannya kini lebih gembira dan diisi dengan kerja-kerja amal.

Jelasnya, telah hampir 15 tahun dia menjalankan kerja amal dengan menghulurkan bantuan kepada anak-anak sekolah tahfiz al-Quran di sekitar Lembah Klang.

"Ada lebih kurang 50 buah sekolah tahfiz yang sering Kak Pah kunjungi dan Kak Pah gembira dengan semua itu.

"Bagi Kak Pah, apa yang ada dalam hidup kita akan menjadi lebih bermakna kalau kita dapat kongsinya dengan masyarakat," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.