macam macam hiburan terkini |
- Eira mengaku hubungan dengan Azad semakin intim
- Wardina Perjelas Tuduhan Sokong Perhimpunan Bersih
- Lisdawati Diminta Tarik Semula Saman Terhadap Nadia Mustafar
- Dapat RM150,000 Nabil Mahu Jual Kasut
- Kamal Adli Berat Hati Berlakon 'Gerimis Mengundang'
- Lisa Surihani & Shaheizy Sam Antara Artis Diangkat Sebagai Rakan DiGi
Eira mengaku hubungan dengan Azad semakin intim Posted: 28 Jun 2011 01:38 AM PDT SELEPAS mengenali hati budi masing-masing selama tiga tahun, pasangan yang semakin intim bercinta Eira Shazira dan Azad Jazmin tidak menolak dakwaan mereka kini sedang menantikan hari bahagia. Gara-gara dilanda pelbagai gosip yang bukan-bukan sepanjang perhubungan mereka, secara tidak langsung menjadikan diri mereka semakin matang melalui perjalanan hidup. Keserasian mereka semakin menyerlah apatah lagi kedua-dua pelakon yang pernah bergandingan bersama sebagai suami isteri dalam filem Ngangkung itu akan mengumumkan cerita gembira kepada semua peminat apabila tiba masanya nanti. Meluangkan masa untuk ditemu bual bersama Hip Jumaat lalu di Taman Tasik Titiwangsa, jelas memperlihatkan keintiman mereka. Sesekali terdengar panggilan 'Yang' bererti sayang yang diucapkan Eira kepada jejaka berkulit hitam manis itu. Sebaik ingin menyelak helaian demi helaian memori indah mengenai perhubungan mereka, Eira pada mulanya tidak begitu selesa apabila diajukan mengenai perkara itu, bukan malu, namun kebetulan juga Azad ketika itu berada di hadapannya. Namun selepas diminta Azad untuk meninggalkannya, barulah Eira mula mengatur bicara mengenai perhubungan mereka. Menurut Eira, semuanya bermula daripada kegilaannya menonton filem hindustan dan menggemari aktor kacak Abhishek Bachchan. "Saya adalah peminat Abhishek Bachchan dan mula-mula mengenalinya saya agak tertarik dengan air mukanya yang seperti Abhishek Bachcan," katanya yang juga tertarik dengan lelaki yang tinggi dan berkulit gelap seakan hero bintang Bollywood itu. Kata Eira lagi, perhubungan mereka yang dianggap kawan rapat di awal perkenalan akhirnya berjaya menambat hati kecilnya untuk mengenali dengan lebih rapat bekas peserta realiti Audition terbitan ntv7 sekitar 2006. "Hubungan kami bermula dengan kawan, sepanjang tiga tahun saya senang dengan dia kerana dia banyak berfikiran positif daripada negatif terutama sokongannya terhadap kerjaya saya. "Saya nampak dia sudah lalui pelbagai dugaan dalam hidupnya, misi kini adalah menumpukan kepada kerjayanya dan masa depannya dengan serius," katanya yang menyenangi karakter komedi Azad yang sering membuatkan dirinya dihargai. Eira mengakui, sebagai sifat semula jadi yang dimiliki semua golongan Hawa, cemburu itu tetap ada di sebalik hati kecilnya. "Orang kata cemburu itu tetap ada, tetapi terkawal, kebetulan kami menceburi bidang yang sama, berfikiran positif dan kepercayaan perlu ada dan untungnya kami kerana sejak dulu kami sering berkomunikasi dan berbincang dalam apa saja hal. Apabila ditanya mengenai perhubungan mereka yang mengharapkan berakhir ke jenjang pelamin, Eira hanya mendiamkan diri untuk beberapa saat sebelum meneruskan kata yang dianggap klise sebagai ketentuan takdir. "Perkara itu saya tidak dapat untuk menentukan di mana berakhirnya perhubungan ini. Walaupun jawapan saya nampak klise, kami berusaha untuk menjaga hubungan ini sebaik mungkin," katanya. Begitu juga dengan Azad yang mengakui, walaupun kebenarannya mereka sedang bercinta, namun fokus utama mereka adalah untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka sebelum memikirkan lebih jauh. "Hubungan saya dengan Eira ini adalah hubungan bekerja, dari mata orang, memang nampak kami ini bercinta, kami bernaung di bawah satu bumbung bersama, kerap berlakon bersama, menjalani rakaman lagu bersama maknanya kami memang banyak masa bersama. "Keserasian yang dapat saya rasakan sejak hari pertama lagi mengenalinya, cuma nampak lebih ketara selepas setahun. Insya-Allah sekiranya kami dijodohkan akan bersama saya tidak menolak. "Memang ada kami berbincang untuk masa depan, namun buat masa sekarang ini kami terikat dengan syarikat dan mereka menasihati kami seelok-eloknya jangan kahwin lagi sebab mereka sudah melabur dan kami tidak mahu mementingkan diri sendiri," kata Azad. Nabil kawan dalam lakonan EIRA menolak dakwaan sedang menantikan jejaka yang lebih baik untuk melamarnya sekiranya didatangi dalam masa terdekat nanti. Pun begitu, dalam perhubungan mereka yang semakin intim, sekali lagi gosip dilemparkan kepada Eira yang kononnya Eira kini juga sedang intim dengan penyandang tempat ketiga program Maharaja Lawak, Nabil Ahamd. "Saya tidak tahu dari mana datangnya cerita itu, mungkin kami sama-sama bujang. Saya faham, Nabil pun selalu digosip dengan pelbagai isu. Terus terang kami memang rapat disebabkan terbabit sama dalam penggambaran drama You Saka Pergi Jauh-Jauh. "Memang saya terkejut apabila ada orang nampak saya sedang berpegang tangan ketika sedang menuju ke gerai makan, itu semuanya tidak benar belaka, jika di dalam penggambaran drama itu adalah kami berpegang tangan, tetapi di luar tidak akan saya berbuat macam itu. Lagi pun saya tahu yang Nabil pun sudah ada yang punya. "Saya kenal keperibadian Nabil yang memang cepat ramah dengan sesiapa saja, namun jika benarlah kami bercinta takkan Azad bersama saya sekarang ini," katanya yang tetap menafikan gosip yang keluar di dalam Bintang Popular, Berita Minggu, Ahad lalu. Muncul dengan album sulung PASANGAN bercinta ini juga sedang berdebar menantikan saat indah apabila album sulong mereka bakal diterbitkan dalam masa terdekat ini. Mereka berdua yang kini bernaung di bawah FG Music (FGM) akan mengembangkan satu lagi sayap seni dalam bidang nyanyian. Eira akan muncul dengan albumnya berjudul Di Hati Ini, manakala dua single Azad Suara Rindu dan Meniti Waktu juga akan diperdengarkan tidak lama lagi. Menurut Eira, pembikinan albumnya itu mengambil masa setahun, malah melakukan persiapan rapi dengan mengikuti pelbagai kelas seperti nyanyian, vokal dan tarian. "Saya sebenarnya kini sedang berdebar-debar, saya juga belum tahu bagaimana untuk membahagikan masa selepas ini, apa yang pasti ia akan dilalui juga. "Untuk jadi penyanyi, mental kita harus kuat kerana kita akan berada di atas pentas berseorangan, berbeza dengan lakonan. Saya tidak berani untuk bercerita panjang sebab saya terlalu baru," katanya yang mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Siti Hajar dan kelas menari bersama Shazlan. Bagi Azad pula, dua singlenya yang dihasilkan penyanyi yang popular menerusi lagu Kau Pergi Jua, Adam Ahmad berjudul Suara Rindu kini sedang hits di dalam Youtube. Malah lagu itu juga menjadi lagu tema untuk drama bersiri Cinta Balkis terbitan TV3. "Alhamdulillah, ramai yang memberikan maklum balas yang positif lagu itu, lagu itu akan melalui proses 'mastering' dan dijangkakan akan keluar selepas raya tahun ini. Begitu juga dengan lagu Meniti Waktu ciptaan Adnan Abu Hassan akan keluar selepas raya tahun ini. "Kami juga merancang untuk melahirkan album duet atas permintaan peminat di laman sosial. Begitu juga dengan perancangan FG Music ingin melihat kami bergabung. "Selepas pelancaran album Eira, kami memang rancang untuk menerbitkan single duet bersama dulu dan Insya-Allah albumnya akan disusuli selepas itu," kata Azad. INFO NAMA SEBENAR: Syazira Shuhaimi TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984 TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik KARIER: Pelakon dan penyanyi TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja FILEM: Bisikan Remaja, Ngangkung, Aku Bukan Tomboy DRAMA: Puluhan antaranya Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Ku Milikmu, Embun Mutiara & Cinta Balqis. NAMA: Azad Jazmin TARIKH LAHIR: 11 Februari 1976 TEMPAT LAHIR: Seremban, Negeri Sembilan ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik TELEMOVIE: Dendam Adam DRAMA: Cinta Balqis, Tanya Sama Hati, Anak Mami Mek Ani, Adnan Sempit The Series, Chef Jo. FILEM: Nana Tanjung 2, Sifu dan Tongga, Ngangkung, Kongsi |
Wardina Perjelas Tuduhan Sokong Perhimpunan Bersih Posted: 28 Jun 2011 01:33 AM PDT PETALING JAYA: Pengacara Wardina Safiyyah,32, amat kecewa apabila dikaitkan terlibat dengan pertubuhan politik termasuklah menyokong perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Wardina berkata, imejnya tercemar apabila terdapat blog-blog tertentu yang mendakwa dia menyokong gerakan berkenaan sehingga menjejaskan reputasinya apabila banyak pihak yang mempersoalkan perbuatannya itu. "Saya amat kecewa. Saya tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan haram. Ini semua salah faham pihak-pihak tertentu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa. Sehubungan itu jelas Wardina dia akan mengadakan sidang media tergempar, Rabu (esok) di Kelab Darul Ehsan, Ampang dekat sini pukul 9 pagi bagi menjelaskan pendiriannya berhubung tuduhan itu. "Esok saya akan terangkan kepada pihak media mengenai dakwaan yang diperkatakan kepada saya," ujarnya. Jelas Wardina, selama ini dia banyak keluar masuk institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada para pelajar agar menjadi individu yang berguna sebaliknya tindakannya itu cuba dimanipulasikan. "Apabila orang memberi reaksi yang buruk kepada saya, saya perlu menjelaskannya. Kerana perkara ini benar-benar mencemarkan nama baik saya," katanya. |
Lisdawati Diminta Tarik Semula Saman Terhadap Nadia Mustafar Posted: 28 Jun 2011 01:32 AM PDT Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Sazali membuat keputusan itu pada Isnin, selepas mendapati tuntutan yang difailkan oleh Lisdawati melebihi bidang kuasa mahkamah tersebut. Keputusan itu dibuat pada prosiding pengurusan kes, di mana Lisdawati diwakili oleh peguam daripada firma guaman, Tetuan Karpal singh & Co manakala Nadia diwakili oleh peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar. Lisdawati memfailkan saman terhadap Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, pada 21 April tahun lalu kerana mendakwa telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah dirinya. Berdasarkan penyataan tuntutannya, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani. Wawancara tersebut didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Nisdawati mendakwa, majalah berkenaan telah menyiarkan wawancara itu dalam keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005. Nadia. Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud bahawa dia telah meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan. Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai unsur ftnah, sebaliknya meminta agar orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya. Nadia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali-kali menyebut nama Lisdawati dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan menyalahgunakan kuasa mahkamah. Sehubungan itu, Nadia memohon agar mahkamah menolak saman tersebut dengan kos. |
Dapat RM150,000 Nabil Mahu Jual Kasut Posted: 28 Jun 2011 01:31 AM PDT SHAH ALAM: Pelawak Nabil Ahmad, 28, merancang untuk membuka perniagaan menjual kasut wanita tidak lama lagi menggunakan sebahagian wang kemenangannya pada program Maharaja Lawak, Jumaat lalu. Menurut Nabil yang mendapat tempat ketiga pada pertandingan tersebut, wang sebanyak RM150,000 yang diperoleh tidak akan disia-siakan begitu sahaja dan ia akan menjadi sebagai modal permulaan perniagaan tersebut. "Saya dah lama ingin berniaga kasut wanita kerana kasut merupakan barangan wanita yang paling banyak dibeli dan mereka sentiasa mengikut trend masa kini. "Kebetulan pula, saya dapat tempat ketiga dalam Maharaja lawak, wang tersebut saya gunakan sebagai modal," katanya. Tambah Nabil, dia akan membeli barangan kasut sarung itu di kedai borong di Bangkok, Thailand. Selain itu, pelakon ini juga sedang merancang untuk menunaikan umrah bersama ibunya dalam masa terdekat ini menggunakan wang kemenangan tersebut. Dalam pada itu, bekas teman lelaki pelakon Irma Hasmie ini juga bersyukur kerana sejak menyertai Mahajara Lawak, dia menerima banyak tawaran lakonan. "Sejak dilanda pelbagai kontroversi, saya akui, tawaran kerja saya semakin kurang. "Bagaimanapun, menyertai Maharaja Lawak telah menaikkan nama saya semula sekali gus pelbagai jenis tawaran lakonan mula mendatang. "Kerana pertandingan ini juga saya bersyukur dengan apa yang diterima dan akan ke umrah bersama ibu tidak lama lagi," ujarnya. |
Kamal Adli Berat Hati Berlakon 'Gerimis Mengundang' Posted: 28 Jun 2011 01:30 AM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Kamal Adli mengakui rasa berat hati nuntuk berlakon filem arahan Ahmad Idham Nadzri berjudul Gerimis Mengudang. Kata Kamal, perasaan tersebut timbul kerana merasakan dia bakal memikul tanggungjawab untuk membawa filem tersebut ke negara jiran Indonesia. "Entah kenapa hati saya sangat berat untuk berlakon filem itu. Mungkin perasaan terlalu takut kerana ini merupakan filem pertama saya yang akan ditayangkan di Indonesia. "Saya dapat rasakan tekanan untuk buat yang terbaik dan juga bergandingan dengan pelakon popular Indonesia Olivia Jensen Lubis," katanya ketika ditemui pada sidang media Gerimis Mengundang. Filem tersebut merupakan gabungan dua syarikat produksi tempatan, Excellent Pictures dan Erama.tv dengan kerjasama syarikat produksi prolifik dari Indonesia, Wana B Pictures. Tambah Kamal, antara cabaran utama adalah dari segi bahasa pertuturan Olivia yang agak sukar untuk difahami. "Saya sukar untuk memahami bahasa Indonesia yang dituturkan oleh Olivia kerana terlalu pekat, saya perlu dengar betul-betul untuk memahaminya. "Namun dia seorang yang sangat mesra, kali pertama berjumpa dia seperti sudah lama kenal. Jadi mungkin tiada masalah untuk mencari keserasian," katanya. Sementara itu, ketika ditanya tentang watak yang bakal dilakonkan, Kamal berkata dia memang watak Zamani yang merupakan seorang juruterbang helikopter. Zamani akan bertemu Mikha lakonan Olivia gadis dari Jakarta. Dari seorang pemuda yang mempunyai ego yang tinggi, dia akhirnya jatuh cinta dengan Mikha. Sementara itu, penerbit merangkap pengarah, Ahmad Idham berkata, filem ini merupakan percubaan untuk memasuki pasaran negara Indonesia. "Ini adalah permulaan dan percubaan kami melakukan kolaborasi dengan syarikat dari negara Indonesia di mana kami mendapat khidmat mereka untuk menyediakan pelakon dan pemasaran. "Oleh itu, dari segi pemilihan tajuk juga kita memilih tajuk lagu yang sememangnya popular di sana iaitu Gerimis Mengundang yang pernah menjadi fenomena di sana. "Kita juga akan menggunakan khidmat komposer Yovies & Nuno untuk mengubah kembali lagu tersebut dan mengubah lagu tema untuk filem ini," katanya. Filem tersebut menjalani penggambaran di Sabah, Kuala Lumpur dan Jakarta bermula 28 Jun ini dan telah mendapat kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah. Filem yang memaparkan naluri cinta insan ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia pada 2012 |
Lisa Surihani & Shaheizy Sam Antara Artis Diangkat Sebagai Rakan DiGi Posted: 28 Jun 2011 01:30 AM PDT PETALING JAYA: Empat artis popular diangkat sebagai rakan DiGi Telecommunications Sdn Bhd (Friends of DiGi) dalam satu pengumuman pelantikan tersebut di TGV, Sunway Pyramid, di sini, Isnin. Pelakon Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Mia Sara Nasuha dan penyanyi Aizat Amdan dilantik untuk mengetengahkan produk-produk DiGi di bawah kempen 'Internet for all' menerusi pelbagai saluran komunikasi. Mereka juga akan membuat penampilan pada program-program penghargaan pelanggan DiGi sebagai sebahagian daripada ganjaran DiGi untuk pelanggan setianya. "Kami sangat teruja menjadi sebahagian daripada ahli keluarga DiGi dan diberi peluang untuk berkongsi apa sahaja dengan peminat. Paling seronok apabila DiGi akan bekerjasama untuk mempromosikan konsert saya di Kuching, Sarawak pada 16 Julai ini dan Penampang, Sabah pada 22 Julai," kata Aizat mewakili kawan-kawannya yang lain. Sementara itu, Lisa yang begitu aktif menggunakan Internet untuk berkomunikasi dengan peminatnya turut menggunakan peluang itu untuk lebih aktif mengemas kini maklumat terkini dalam talian. "Saya tertarik dengan tawaran ini kerana mereka memberi peluang kepada saya dan kawan-kawan lain untuk mengikut visi dan idea masing-masing untuk menjadikan kami lebih rapat dengan para pelayar Internet. "Saya akan terus mengemas kini setiap aktiviti di laman sesawang Twitter dan Facebook untuk maklumat terkini masa akan datang," ujar Lisa. Bagi Shaheizy atau lebih dikenali sebagai Sam, tawaran tersebut memberikan ruang kepadanya untuk tidak bersendiri lagi dan dapat menambah ramai kawan menerusi kempen yang dianjurkan oleh DiGi. Dalam pada itu, berkongsi sebab empat artis itu dipilih, Ketua Bahagian Program dan Penajaan DiGi, Pearly Lim berkata: "Kami memilih mereka kerana mereka sudah pun membina jaringan peminat yang kukuh di media sosial yang kena dengan profil pelanggan sasaran kami. "Kami berhasrat untuk menunjukkan bagaimana mereka menggunakan Internet mudah-alih untuk berkomunikasi dengan peminat dalam kehidupan seharian mereka." Salah satu aktiviti yang menjalinkan artis-artis itu dengan peminat adalah memilih 70 pelanggan DiGi yang telah memenangi peluang untuk beramah mesra dengan para pelakon filem Sekali Lagi iaitu Lisa, Sam dan Mia di tayangan perdana filem tersebut. Filem Sekali Lagi akan ditayangkan di pawagam pada Khamis ini. Peminat Aizat pula akan berpeluang memenangi pas untuk bertemu dengan penyanyi itu di belakang pentas di konsertnya di Kuching (16 Julai) dan Penampang (22 Julai). Kerjasama dengan keempat-empat artis itu sebagai rakan DiGi berlangsung dalam tempoh setahun bermula bulan ini. Mereka turut diberikan telefon bimbit untuk memudahkan mereka mengemas kini maklumat terkini menerusi kempen Internet for All. |
You are subscribed to email updates from macam macam hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |