Kosmo Online - Hiburan |
Penantian tujuh tahun berakhir Posted: Penantian tujuh tahun berakhirNING BAIZURA juga tidak sabar menanti bulan Disember untuk mengadakan konsert penuh daripadanya. PARA peminat Ning Baizura pasti akan tertanya-tanya tentang pemilihan nama Dewa sebagai judul untuk album terkininya itu yang sudah mula berada di pasaran sejak bulan lalu. Menurut penyanyi yang sudah 18 tahun berkecimpung dalam dunia seni itu, dia tidaklah mahu terlalu mengagung-agungkan perkataan tersebut, sebaliknya ia mempunyai maksud yang tersendiri. "Perkataan dewa dalam bahasa Sanskrit bermaksud cahaya. Jadi apa yang ingin ditampilkan menerusi album ini adalah ia menceritakan cahaya kepada kerjaya dan kehidupan saya selamai bergelar anak seni. "Menariknya tentang album ini juga, setiap lagu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai kisah perjalanan hidup saya dan ia hanya akan dilancarkan pada bulan Julai walaupun sudah berada di pasaran," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Jelas Ning, untuk album baharunya itu terdapat lapan buah lagu yang kesemuanya adalah lagu-lagu baharu iaitu Raksasa, Sampai, Mama Papa, Bila, Pencarian, Propaganda, Alhamdulillah dan Aku Bukan Dewa. Ujarnya, dia juga sangat gembira kerana mendapat peluang sepenuhnya untuk menentukan konsep album, pemilihan lagu dan susunan muzik di samping Audi Mok yang bertindak sebagai penerbit album secara keseluruhannya. Tambahnya, beberapa orang komposer dan penulis lirik tempatan turut terbabit menyumbangkan lagu-lagu untuk album berkenaan seperti Ad Samad, Nurfatimah dan Pam Yuen dan Audi Mok. Namun begitu, biarpun puas dengan sambutan baik yang diterima oleh peminat, Ning memberitahu bahawa dia mengambil masa sehingga dua tahun bagi menghasilkan album baharunya itu. "Memang tempoh tersebut dilihat cukup lama untuk menghasilkan sebuah album. "Namun saya berhadapan dengan masalah kewangan sehingga terpaksa mengumpul modal sedikit demi sedikit untuk kos menerbitkannya. "Lagipun kos untuk menerbitkan sesebuah album itu bukannya murah, apatah lagi saya menggunakan khidmat Audi Mok sebagai penerbit yang tentunya bukan murah. Namun saya tetap berpuas hati dengan album terbaharu saya ini," ujarnya. Menurut Ning, biarpun album Dewa mengandungi pelbagai konsep seperti balada, pop, elektro dan dance, namun vokal soprano yang menjadi kelebihannya itu masih lagi diberi penekanan. Sementara itu, Ning menjelaskan kini dia sudah pun menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Universal Music selepas mengikat kontrak dengan syarikat tersebut pada bulan April yang lalu. Ujarnya, untuk album tersebut dia telah bersetuju agar pihak Universal Music bertindak sebagai pengedar dan pada masa yang sama akan menguruskan segala bentuk promosi.
"Pada awal persetujuan dicapai, mereka bertindak sebagai pengedar sahaja kerana album ini adalah hak milik syarikat saya sendiri iaitu HappeNing (M) Sdn. Bhd. Namun kemudian mereka berminat untuk menjalankan kerja-kerja promosi untuk album ini. "Sudah tentu saya sangat bersyukur dan ia suatu perkara yang cukup menggembirakan buat diri saya kerana untuk menjalankan kerja-kerja promosi sudah tentunya akan membabitkan kos yang banyak," ujarnya. Jelasnya lagi, biarpun sudah 18 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian dan berhadapan cabaran dengan kelahiran artis-artis baharu ketika ini, dia rasa terharu kerana masih ada lagi pihak yang percaya dengan kemampuannya. Blogger Tidak dinafikan pada era teknologi hari ini, Internet merupakan salah satu medium yang paling penting dan berkesan untuk berkomunikasi dan mendapat sumber maklumat yang pantas. Menyedari hakikat tersebut, Ning berkata dia kini akan menggunakan peluang yang ada iaitu dengan mewujudkan satu blog istimewa yang boleh dilayari menerusi laman web www.ning-baizura.com. "Boleh dikatakan saya adalah antara blogger baharu buat masa ini dan blog tersebut juga baru sahaja dihasilkan beberapa bulan yang lalu. Menerusinya, saya akan sentiasa mengemaskini setiap aktiviti mengenai kerjaya saya. "Lagipun saya merasakan ini adalah salah satu langkah yang cukup berkesan untuk berkongsi sebarang maklumat bersama-sama peminat dan saya sendiri akan memperuntukkan sedikit masa agar dapat mengemaskinikannya," ujarnya. Menurutnya lagi, kemudahan yang ada ini seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh artis-artis tempatan yang lain memandangkan penggunaan internet ketika ini yang semakin bertambah saban hari. Ujarnya, ia juga dilihat sebagai satu cara untuk mendekatkan diri dengan peminat yang banyak memberikan sokongan dan mampu untuk mengeratkan lagi hubungan antara artis dan peminat. Suami berhenti kerja DARI kiri: Suami Ning, Omar Sharif, Shuib, DJ Lin, Siti Sarah dan Ning bergambar bersama pada majlis meraikan media oleh pihak Universal Music dan Radio Suria FM, minggu lalu. Semenjak mendirikan rumah tangga dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton pada tahun 2008, ternyata kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri nampak begitu bahagia. Tidak seperti kebanyakan artis lain yang sering berhadapan dengan masalah rumah tangga, sememangnya agak jarang kedengaran mengenai kisah-kisah kontroversi yang membabitkan hubungan mereka. Malah, ke mana sahaja penyanyi itu pergi sama ada membuat persembahan atau menghadiri sebarang acara, ternyata dia sering ditemani oleh suami tercinta yang sentiasa berada di sisi. "Kini apa yang membuatkan saya lebih terharu apabila suami sanggup berhenti kerja dan mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan menguruskan kerjaya saya secara sepenuh masa. "Sebelum ini suami saya bekerja sebagai seorang konsultan pemasaran di syarikat minyak dan gas. Jadi, apa yang dilakukan ini sememangnya masih lagi agak baharu buat dirinya," jelasnya yang turut ditemani suami ketika hadir pada majlis malam media anjuran Universal Music. Ujarnya lagi, biarpun ia merupakan bidang yang sangat baharu buat Omar, namun suaminya itu masih lagi cuba untuk membiasakan diri dan yakin dia akan dapat menguruskan kerjayanya dengan sebaik mungkin. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pencarian bakat K-Pop Malaysia Posted: Pencarian bakat K-Pop MalaysiaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN JEHAN MISKIN bertanggungjawab mencari bakat dalam bidang tarian dan nyanyian berkonsepkan K-Pop. SELEPAS ledakan drama dan filem Korea mencipta fenomena sendiri dalam masyarakat tempatan kini muncul pula genre baharu muzik pop Korea atau lebih dikenali dengan jenama K-Pop. Selaras dengan penangan hebat ini, Astro Hitz (saluran 705) melalui kerjasama Organisasi Pelancongan Korea menerbitkan sebuah rancangan baharu pencarian bakat K-Pop Hitz Talent Show. Menerusi rancangan berdurasi sejam ini, peminat setia K-Pop bukan sahaja boleh menonton, malah mencuba nasib serta mengasah bakat mereka dalam dunia K-Pop melalui uji bakat yang telah bermula 18 Jun lalu sehingga 9 Julai nanti. Sebanyak empat sesi uji bakat akan dijalankan setiap hari Sabtu bermula 18 Jun lalu di Wangsa Walk, Berjaya Times Square (25 Jun), The Curve (2 Julai) dan SACC Mall, Shah Alam (9 Julai). Manakala, setiap peserta sama ada secara solo mahupun berkumpulan tidak melebihi lima orang boleh memilih untuk mencuba peluang menari atau menyanyi lagu-lagu bintang terkenal Korea dalam setiap sesi uji bakat yang dijalankan bermula 9 pagi itu. Pada sesi uji bakat, pengacara Jehan Miskin akan mencari aksi tarian atau nyanyian K-Pop terbaik sekitar Lembah Klang dengan menaiki van khas yang dihiasi logo K-Pop. Kata Jehan: "Rancangan ini dibuat dalam tempoh yang singkat dan kelainannya terdapat pada van pelbagai fungsi yang turut menjadi pentas setiap kali sesi uji bakat berlangsung." Setiap peserta akan diberikan tempoh masa lima minit untuk menunjukkan gaya K-Pop masing-masing dan dua peserta terbaik setiap lokasi akan dipilih oleh juri hiburan profesional. Menurut Pengurus Saluran Astro Hitz, Cheong Cheng-Vei, markah akan dikira berdasarkan kreativiti, gaya persembahan, kemahiran dan vokal (nyanyian). "Had umur setiap peserta pula mestilah 18 tahun ke atas dan setiap peserta solo mahupun berkumpulan perlu menunjukkan hanya satu bakat sama ada nyanyian atau tarian," katanya ketika majlis pelancaran K-Pop Hitz Talent Show di Menara Hap Seng baru-baru ini. Empat minggu, empat lokasi, namun hanya lapan peserta terbaik akan terpilih untuk mara ke pusingan akhir yang berlangsung di Dragonfly, Kuala Lumpur pada 15 Julai nanti. Juara akan membawa pulang hadiah percutian ke Korea selama 4 hari 3 malam selain berpeluang membuat persembahan secara langsung di Lotte World Theme Park, Korea. Saksikan K-Pop Hitz Talent Show pada setiap hari Khamis pukul 3.30 petang bermula 23 Jun hingga 4 Ogos di Astro Hitz (saluran 705) dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.astro.com.my atau www.facebook.com/astrohitz. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Kangana pilih komedi
PERTAMA kali menceburi industri perfileman, Kangana Ranaut dilihat terlalu serius dalam lakonannya, namun aktres itu kini mula menjinak-jinakkan diri dalam genre komedi pula. "Saya lebih suka komedi berbanding watak serius. Genre ini amat digemari penonton di India," katanya. "Saya juga suka ketawa walaupun saya mengalami hari-hari yang menyedihkan. Saya akan keluar bersama teman-teman yang boleh buat saya tertawa," tambahnya lagi yang amat menggemari filem Jane Bhi Do Yaaron . Menurut Kangana, melalui komedi, pelakon dapat mengenali potensi diri sebenar selain dapat melakonkan pelbagai watak dan seterusnya dapat memberi kelainan dan imej versatil dalam bidang lakonan. "Saya tidak pasti betapa kelakarnya saya. Kawan-kawan saya lebih bijak menilai. Tetapi yang pasti saya boleh ketawa walaupun hanya pada perkara-perkara kecil. Saya juga berharap saya dapat mencungkil potensi sebenar diri saya dalam genre ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |