Adsense

Sabtu, 11 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Berdebar membilang minit

Posted: 10 Jun 2011 08:01 AM PDT

TIADA perkataan yang mampu diterjemah, sebaliknya hanya ucapan syukur sebaik saja peluang diperoleh dua anak muda ini untuk mempertaruhkan nasib.

Baik Hazama Ahmad Azmi mahupun Nurshafinaz Jebat, peluang ke pentas final program realiti Akademi Fantasia 9 (AF9) malam esok bak mimpi jadi nyata.

Terdahulu, peluang masuk ke AF9 melalui format AFMASUK buat mereka disambut bagai bulan jatuh ke riba.

Mendekati mereka berdua petang Rabu lalu di rumah kaca AF9 di pusat beli-belah AEON Setiawangsa, Kuala Lumpur, tergambar bahawa masing-masing begitu berdebar membilang minit ke gelanggang akhir.


Hazama yang terlebih dulu mencuba pada AF4 namun terpaksa keluar pada peringkat konsert 'prelude' menyifatkan kepercayaan kedua yang diberi Astro adalah satu peluang untuk membuktikan bakat sebenar.


"Bayangkan, perjalanan saya sudah jauh berbanding semua peserta AF9 lain. Sejak lima tahun lalu saya sudah berada di sini memperkenalkan bakat namun ia belum cukup kuat untuk diterima masuk. Lantas saya terus mengintai peluang lain untuk mencipta nama dalam lapangan nyanyian yang begitu saya cintai. Alhamdulillah program seperti Gempak Astro dan Gempak Desa membuka laluan untuk mencari rezeki.

"Kemudian tiada siapa sangka saya dilamar kumpulan Meet Uncle Hussain untuk bersama mereka menjadi vokalis sementara. Meskipun tidak menjanjikan apa-apa, setidak-tidaknya kehadiran saya menerusi lagu Drama King dan Pokok memperkenalkan bakat saya kepada pendengar. Saya bersyukur kerana masih ramai yang perasan dengan kehadiran saya.

"Justeru panggilan daripada produksi untuk saya mencuba di AF9 menerusi format AFMASUK yang ingin diserapkan pada minggu kedua adalah mustahil untuk saya ketepikan. Sudah terlalu lama saya menunggu dan ini adalah peluang terbaik. Alhamdulillah saya diterima masuk bersama Fina yang juga pernah menghadiri uji bakat tapi ketika itu dia terlalu muda.

"Minggu keempat kami berdua tampil menunjukkan bakat yang ada dan itulah detik pertama yang saya rasakan seolah-olah mimpi kerana punya ruang membuktikan kemampuan diri yang sebenar," katanya.

Bagai satu percaturan yang sama seperti siri AF yang terdahulu, sesiapa yang berpeluang diserap masuk ke pentas keramat itu melalui format AFMASUK pasti ada potensi besar. Lihat saja Linda Nanuwil pada musim kedua dan Lotter pada musim keempat, masing-masing selesa menggenggam trofi naib juara meskipun kelibat mereka hari ini entah hilang ke mana.

Melontar situasi yang sama kepada Hazama dan Fina, masing-masing enggan meletak harapan yang terlalu tinggi. Walaupun hampir setiap minggu kedua-duanya bersandar pada kritikan positif dan menjadi pilihan utama pengkritik namun bercerita soal nasib menjelang konsert akhir, masing-masing lebih selesa mengunci bibir kerana bimbang sasaran tersasar.

Fina lain ceritanya. Selain berpeluang diserap masuk, gadis berusia 18 tahun kelahiran Melaka ini diberi pula kelebihan 'imuniti' yang membuka laluan buatnya meluncur ke pentas akhir tanpa melalui konsert minggu kesembilan.

Menerima undian tertinggi daripada pengundi yang mempengaruhi 50 peratus pemarkahan, gadis manis ini turut mendapat mata tertinggi daripada barisan tenaga pengajar dan pengetuanya sendiri, Amy Search.

"Imuniti yang saya terima memang cukup memberikan kepuasan dan rasa bangga kerana segala kemampuan dan usaha bersungguh-sungguh saya diperhatikan pihak fakulti dan pengundi. Namun peluang itu ada baik dan buruknya kerana walaupun mendapat laluan ekspres ke gelanggang akhir, saya rasa rugi kerana tidak berpeluang membuat persembahan pada minggu kesembilan.

"Malah saya juga dikecualikan untuk beraksi dalam lagu bonus ketika itu," katanya yang sebenarnya mengagumi Hazama.

Tambah Fina lagi mengenai harapannya malam esok, usah melihat terlalu jauh atau meletak harapan tinggi ke atasnya kerana segala-galanya masih belum pasti. AF sebuah program yang penuh kejutan.

"Ikhlas saya katakan, setiap minggu berada di AF tidak pernah sekali pun saya terlepas daripada perasaan bimbang dan gusar. Jika bercerita soal kemenangan malam esok, tipu kalau saya katakan tidak teringin menjadi juara kerana hakikatnya, itulah impian saya.

"Apa yang penting buat saya, persembahan saya malam esok mestilah yang terbaik," katanya tersenyum.

Buat kali terakhirnya, Hazama akan muncul menyampaikan lagu khas untuknya, Cinta Teragung Kuncidemak selain sebuah lagi lagu nyanyian asal Tomok berjudul Pukau. Manakala Fina bakal menghiburkan penonton dengan lagu asal dendangan Jaclyn Victor, Satu Harapan serta sebuah lagi lagu baru buatnya sentuhan Edrie
Hashim sepenuhnya, Menangis Lagi.

Dua lagi pesaing mereka malam esok, Mohamad Azri Abdullah (Azri) dan Lenaber Haidir (Lena) akan turut menggegarkan Dataran Putrajaya menerusi lagu baru mereka.

Azri akan menyampaikan lagu nyanyian Slank, Ku Tak Bisa serta sebuah lagu ciptaan Omar K berjudul Niskala Cinta. Manakala Lena bakal tampil dengan lagu Sisa Kisah Kita sebagai lagu barunya dan sebuah lagi lagu Dunia, dendangan asal Bunkface.

Menariknya, keempat-empat bintang akhir AF ini akan bergabung bagi menyampaikan lagu bonus nyanyian Katy Perry berjudul Fireworks dan sebuah lagi lagu dendangan pengetua mereka sendiri, Amy yang enggan dikongsikan lagi judulnya.

Selain empat peserta akhir ini, pentas AF malam esok akan turut diserikan dengan kehadiran semula juara-juara musim lalu seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal Ramly, Mila, Stacy, Hafiz dan Shahir dengan menyanyikan lagu-lagu terbaik yang pernah mereka sampaikan ketika di AF dulu.

Konsert akhir AF9 akan menggegarkan Dataran Putrajaya di Presint 3 dengan rekaan pentas 360 darjah. Nantikan jam 9 malam di Saluran 104, Astro Ria.

PROFIL

Nama penuh: Hazama Ahmad Azmi
Tarikh lahir: 28 November 1984
Usia: 27 tahun
Tempat lahir: Perak
Keluarga: Anak ketiga daripada empat beradik
Pendidikan: SPM
Muzik kegemaran: Rock balada
Idola: Amy Search

PROFIL

Nama penuh: Nurshafinaz Jebat
Tarikh lahir: 5 Mac 1993
Usia: 18 tahun
Tempat lahir: Melaka
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Pendidikan: SPM
Muzik kegemaran: R&B dan balada
Idola: Jaclyn Victor

Foto: Nur Adibah Ahmad Izam
Solekan: Irwandy (017-674 7461)
Dandanan Rambut: Eyoi Team Make-Up Artistik (017-629 2539)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Arja pengganti Rosnan

Posted: 10 Jun 2011 07:47 AM PDT

PENGIKTIRAFAN persembahan makyung sebagai warisan seni dunia diberikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik Dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2005 seharusnya menjadi kebanggaan pada pejuang seni dan masyarakat di negara ini.

Menerusi pengiktirafan itu, masyarakat antarabangsa kenal sejarah makyung dan ia juga mempromosi negara ini secara tidak langsung. Mungkin generasi baru tidak kenal bagaimana persembahan makyung di pentas jika usaha meneruskan legasi ini tidak diberi tumpuan.

Melihat kepentingan makyung pada pencapaian seni negara, Istana Budaya tampil mempersembahkan Makyung Dewa Indera Indera Dewa yang akan menemui penonton bermula 17 hingga 25 Jun ini.

Sebanyak empat persembahan akan diadakan iaitu Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Jun manakala 24 hingga 25 Jun pula mengambil lokasi di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan.


Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata, persembahan kali kedua ini diadakan selepas kejayaan musim pertama pada 2005 meraih sambutan menggalakkan dengan tiket habis dijual sebelum tarikh persembahan.


"Memang suasana ketika itu penuh dengan ramai penonton. Bagi Istana Budaya, penganjuran persembahan ini juga sebagai tanggungjawab sosial kami terhadap perjuangan makyung.

"Apa yang saya lihat, tiada syarikat korporat yang mahu mengadakan persembahan ini berbanding fokus mereka terarah pada teater yang lebih komersial.

"Jika pada 2005, persembahan ini menampilkan seratus peratus pelakon Istana Budaya sendiri tetapi kali ini kami tampilkan pelbagai pelakon berbeza termasuk pelakon utama, Rosnan Rahman dan bintang filem ... Dalam Botol, Arja Lee," katanya pada sidang media acara itu di Istana Budaya baru-baru ini.

Bagi Rosnan cukup sinonim gelaran Raja Makyung, menyatakan dia bersetuju memilih Arja sebagai teraju persembahan ini untuk memberi peluang pada pelakon baru itu menggilap bakat di pentas teater.

"Ini satu peluang baik untuknya ketika dia turut menjalani latihan praktikal di Istana Budaya. Saya percaya Arja boleh belajar seni makyung dan berdialek Kelantan serta tidak mustahil menjadi pengganti saya suatu hari nanti.

"Saya nampak kesungguhan dia untuk belajar. Begitu juga, soal konsep persembahan tidak banyak beza cuma durasi dipendekkan dari tiga jam kepada sejam 45 minit," katanya yang akan memulakan tugas baru sebagai Penolong Pengarah Kanan di JKKN bermula 1 Julai nanti.

Arja pula, tidak menyangka mendapat peluang terbabit dalam persembahan ini. Malah, dia berpendapat teater ini memberi cabaran dan peluang besar padanya untuk menimba pengalaman baru.

"Sebelum ini, saya aktif sebagai penari, kemudian kembang bakat dalam bidang lakonan di layar perak dan seterusnya ke pentas teater. Memang berdialek Kelantan sukar hingga saya juga terlupa dialog.

"Namun, saya ambil pengalaman ini sebagai cabaran. Saya pernah melakonkan watak 'stand in' Hang Tuah dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical suatu ketika dulu dan terbabit dalam teater Mahsuri.

"Mungkin ini adalah rezeki yang saya tidak nampak. Saya percaya lakonan menerusi filem ... Dalam Botol ada kesilapan tetapi selagi orang percaya pada bakat saya, saya mahu lakukan yang terbaik," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.