Adsense

Rabu, 25 Mei 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Bakti terakhir buat ibu

Posted:

Bakti terakhir buat ibu

Bakti terakhir buat ibu



MEMULAKAN karier sebagai seorang pelakon seawal usia 20 tahun menerusi filem Berlari Ke Langit, nama Siti Elizad atau Ejad mula menjadi sebutan ramai.

Meskipun filem sulungnya itu yang ditayangkan pada tahun 2004 dilihat kurang berjaya, namun ia tidak bermakna karier sebagai seorang pelakon terhenti setakat itu sahaja.

Namanya kemudian mula melonjak setelah dia sekali lagi mendapat kepercayaan Bada untuk membintangi filem Gangster yang telah mendapat sambutan hangat di samping pelakon Rosyam Nor.

Selepas itu, dia tidak menoleh ke belakang lagi dalam usaha untuk meletakkan namanya sebaris dengan pelakon-pelakon sedia ada serta mendapat kepercayaan pengarah sehingga telah berlakon enam buah filem setakat ini.

Pada masa yang sama, kariernya tidak terhad sekadar bergelar pelakon filem sahaja, malah lakonannya turut dapat disaksikan di kaca televisyen menerusi drama-drama lakonannya.

Bagaimanapun, pada saat namanya sedang dikenali ramai, tiba-tiba pelakon berkenaan terus menghilang daripada persada hiburan lantas menjadi tanda tanya ramai pihak terutamanya peminat.

Sehinggakan ada khabar angin yang mengatakan bahawa Ejad telah mendirikan rumah tangga secara senyap dan tidak diizinkan oleh suami untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan.

Berkesempatan menemuinya ketika majlis pelancaran drama bersiri Jamilah, I Love You! baru-baru ini, Ejad dengan tenang menjawab segala persoalan mengenai ketiadaannya dalam industri lakonan.


BERGANDING. Siti Elizad dan Nazim pertama kali dipertemukan dalam drama.


"Memang ramai tertanya-tanya tentang kehilangan saya selama ini. Sepanjang tidak berlakon selama dua tahun, saya sebenarnya menjaga arwah ibu yang menderita penyakit parkinson sehingga terpaksa berhenti berlakon seketika.

"Ketika awal-awal diserang penyakit tersebut, arwah ibu masih lagi boleh bergerak sendiri. Namun apabila penyakitnya semakin serius, dia tidak mampu lagi untuk bergerak biarpun ke tandas," jelas Ejad.

Menurut Ejad, biarpun pada mulanya agak sukar membuat keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan, namun akhirnya dia terpaksa akur demi menjaga ibu yang tidak mungkin menjadi galang ganti dengan segala hal termasuk kariernya.

Jelasnya, memandangkan dia satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga, dia rela berkorban semata-mata untuk menjaga ibunya dan turut dibantu oleh adik-beradik yang lain.

"Bukan tidak mahu mengambil orang gaji tetapi sejak arwah ibu menderita penyakit tersebut, dia seperti malu untuk berhadapan dengan orang lain.

"Tentang perbelanjaan harian pula, arwah ibu ada menyimpan sedikit wang yang disimpan sejak dia bekerja dahulu dan wang itulah yang digunakan untuk makan dan minum serta kos rawatan," ujarnya.

Tambahnya lagi, biarpun pada mulanya berasa agak tertekan untuk menjaga ibu yang sedang sakit, namun akhirnya dia menyedari bahawa saat itulah yang paling sesuai untuk mencurahkan segala kasih saya terhadap ibu tercinta.

"Sewaktu arwah ibu meninggal dunia, saya memang rasa terlalu sedih sangat sehingga saya rasa selama ini saya tidak dapat menjaganya dengan baik.

"Bagaimanapun, adik-beradik saya yang lain banyak memberi sokongan kepada saya dan salah seorang abang ada katakan kepada saya, sebelum arwah ibu meninggal dia gembira melihat keadaan saya," ujarnya.


BARISAN pelakon Jamilah, I Love You! teruja menanti tayangan drama tersebut kelak.


Ibunya iaitu Nazariah Mohd Saleh, 62, telah kembali ke rahmatullah pada 4 April lalu. Menurut Ejad, selain parkinson, ibunya turut menghidap komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

Ingin bangkit

Sepanjang dua tahun meninggalkan dunia lakonan kerana menjaga ibu yang sakit, Ejad tidak menafikan dalam tempoh tersebut dia pernah mendapat tawaran berlakon.

Namun begitu, tawaran yang diterima itu terpaksa ditolak kerana tidak yakin dapat membahagikan masa dan memberi sepenuh komitmen ketika menjalani penggambaran.

Kini setelah kehilangan ibu tercinta, Ejad telah bertekad untuk bangkit dan mahu kembali aktif semula dalam bidang yang pernah ditinggalkan sebelum ini.

Malah, dia sebenarnya telah muncul kembali ke dunia lakonan dengan membintangi drama Cinta Antara Kita untuk slot Akasia di TV3 yang telah disiarkan pada bulan Mac lalu.

"Mulanya saya memang menolak untuk berlakon drama tersebut, tetapi kemudiannya bersetuju apabila kak Ziela Jalil selaku penerbit telah berjumpa dengan saya sendiri dan memberitahu niatnya untuk menolong saya.

"Cuma apa yang lebih menyedihkan hati saya apabila arwah ibu hanya sempat melihat satu episod drama tersebut sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," ujarnya.

Menurut Ejad, biarpun sehingga kini masih lagi terasa dengan kehilangan ibunya itu, namun dia bersedia untuk menerima apa sahaja tawaran berlakon yang sesuai sama ada drama atau pun filem.

"Sekarang ini keadaan saya sudah pun kembali baik dan kini saya perlu meneruskan kehidupan seorang diri setelah ketiadaan arwah ibu.

"Malah, inilah peluang terbaik untuk saya meneruskan karier dalam bidang lakonan yang pernah ditinggalkan sebelum ini dan dan yang terbaru saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Jamilah, I Love You! untuk saluran Astro Ria," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tasha, Zizan masuk kubur

Posted:

Tasha, Zizan masuk kubur

Tasha, Zizan masuk kubur

Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR


BARISAN pelakon Panggilan Arwah. Dari kiri: Riezman, Zizan Nin, Tasha dan Mahmud Ali Basha.


SIAPA sahaja pasti akan insaf apabila terfikirkan soal kematian apatah lagi membayangkan alam kubur yang penuh dengan misteri serta sering dikategorikan sebagai tempat menakutkan.

Perasaan itu turut dialami oleh dua pelakon, Zizan Nin dan Tasha Shilla yang merasakan sendiri pengalaman masuk ke dalam 'rumah kedua' manusia itu ketika sesi penggambaran drama Panggilan Arwah.

Menjadikan tanah perkuburan sebenar sebagai lokasi penggambaran sudah cukup membuatkan Tasha kecut perut kerana tidak pernah melakonkan babak sedemikian.

"Tubuh badan saya dikafankan dan hidung saya disumbat dengan kapas seperti orang yang betul-betul telah mati.

"Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya saya ketika badan saya dibawa turun ke dalam kubur dan dibaringkan di liang lahad," jelas pelakon berusia 24 tahun itu.

Tasha yang pernah muncul dalam filem Ratu The Movie juga memberitahu penggambaran terpaksa dihentikan seketika kerana dia pengsan setelah beberapa minit dimasukkan ke dalam kubur.

Selain dimasukkan ke dalam kubur, tubuh badan Tasha kecuali kepala turut dikambus dengan tanah pada pukul 3 pagi bagi memenuhi keperluan satu babak sahaja.

Memegang watak Sabariah dalam drama terbitan Filmscape Sdn. Bhd. itu menuntut Tasha membawa watak berbeza daripada lakonannya sebelum ini.

"Selalu orang akan melihat saya memegang watak perempuan jahat tetapi kali ini saya mencabar diri saya untuk memegang watak sebagai hantu," ujar pelakon drama Sahara itu lagi.

Aktor Zizan Nin pula menyatakan pengalaman selama 10 hari penggambaran drama itu cukup menyeronokkan dan memberikan dirinya banyak pengajaran tentang kehidupan.

Sama seperti Tasha, Zizan juga perlu melakukan babak di dalam kubur namun tidak timbul perasaan takut dalam dirinya dan menganggap ia sebagai momen yang perlu diingati sebagai peringatan untuk diri sendiri.

"Berada dalam kubur seperti berada di dalam dunia berbeza dan membuatkan kita sedar betapa kerdilnya kita di muka bumi ini.

"Tetapi saya tidak perlu berasa takut kerana alam kubur akan dijalani semua orang termasuk saya," spontan sahaja nada pelakon yang telah bertapak selama lapan tahun dalam industri seni tanah air itu.

Dikambus hidup-hidup

Zizan turut memberitahu babak ketika dia dikambus tanah secara 'hidup-hidup' membuatkan tanah kubur tersebut masuk ke dalam mulutnya.

Drama arahan Faisal Ishak itu bakal menemui penonton Astro Citra di saluran 131 pada 29 Mei ini dan turut dibintangi Mahmud Ali Basha, Jazz Rashid, Kuza dan Riezman Khuzaimi.

Menceritakan kisah Amin (Zizan Nin), seorang graduan perubatan yang baru sahaja menamatkan pengajiannya pulang ke kampung halaman sementara menunggu tawaran berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan.

Ketika berada di kampung, Amin sering bermimpi tentang ibu saudaranya, Sabariah (Tasha Shilla) yang diseksa dalam kubur dan meminta pertolongan daripada Amin.

Bingung dengan makna di sebalik mimpi tersebut, Amin cuba mencari kisah silam emak saudaranya daripada ibunya, Maimun (Kuza) tetapi ditegah oleh ayahnya, Badrul (Mahmud Ali Basha).

Amin gagal membezakan mimpi dan realiti dan memaksa dia menyiasat misteri Sabariah seorang diri dan akhirnya ayahnya membongkar rahsia hubungan Sabariah dengannya.

Sabariah merupakan ibu kandung kepada Amin namun telah dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai kerana bimbang akan kata-kata orang kampung yang menuduh Sabariah melahirkan anak luar nikah kerana melakukan zina dengan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur.

Kebenaran yang terbongkar itu mendorong Amin mencari ayah kandungnya yang sebenar dan terjawablah teka-teki yang menghantui dirinya selama ini bahawa dia merupakan anak sah hasil perkahwinan ibunya dengan ayahnya, Ramlan (Riezman Khuzaimi) sebelum bercerai.

Namun Sabariah terus muncul dalam mimpi Amin meminta pertolongan agar membantunya untuk dilepaskan daripada azab kubur akibat dosa silam yang dilakukannya. Kesudahannya bakal terjawab dalam drama penuh pengajaran ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kuasa Bieber, pengaruh Beyonce

Posted:

Kuasa Bieber, pengaruh Beyonce

Kuasa Bieber, pengaruh Beyonce


JUSTIN BIEBER


JUSTIN BIEBER baru berusia 17 tahun. Dia juga bukan sesiapa sekitar lebih setahun lalu. Namun hari ini, Bieber adalah satu fenomena luar biasa yang telah tercetus dalam aliran muzik masa kini.

Popular kerana wajah 'comel'nya, itu bukan satu-satunya tiket yang dipegang Bieber. Di sebalik kurniaan fizikal tersebut, pelantun lagu Baby itu turut diiktiraf menerusi bakat yang ada pada dirinya.

Sebagai bukti dia bukan pendatang baru picisan, Bieber menerusi Billboard Music Awards yang berlangsung Isnin lalu telah menggondol tujuh anugerah termasuk Artis Digital Terbaik Sepanjang Tahun, Artis Baru Terbaik dan Album Pop Terbaik.

Ia adalah pencapaian yang begitu besar buat Bieber, sementelah dia juga berjaya mengenepikan pencabar terdekatnya, Bruno Mars untuk menang besar pada majlis tersebut.

"Saya baru berusia 17 tahun. Setiap hari saya merasakan saya telah melalui hari yang gila kerana telah bertemu banyak orang dan membuat orang tersenyum," katanya memberi respons terhadap kemenangan tersebut.

Di sebalik kemenangan tersebut, ada kejutan yang lebih besar diberi oleh Bieber kepada umum.

Adegan kekasih hatinya, Selena Gomez mencium Bieber secara terbuka di majlis tersebut menjadi satu 'percikan bunga api' terhadap penyanyi pujaan ramai itu. Ia umpama satu tanda aras atau amaran oleh Gomez secara tidak langsung kepada sesiapa yang mempunyai cita-cita untuk merapati penyanyi paling hangat itu buat masa ini.

Penyanyi yang berasal dari Kanada itu bagaimanapun tidak memberi sebarang respons saat ditanya tentang ciuman tersebut, namun mengakui Gomez adalah seorang wanita luar biasa.

Malah dalam ucapan kemenangannya, dia juga tidak menyebut nama Gomez, tetapi memilih berterima kasih buat ibunya.

Berkongsi kemenangan besar bersamanya adalah Eminem yang dipilih sebagai Artis Terbaik Sepanjang Tahun, mengambil alih kemenangan daripada bekas kekasih Rihanna, Chris Brown yang tidak hadir pada malam tersebut.

Rapper terkenal berusia 38 tahun yang tidak hadir ke majlis berprestij tersebut turut menggondol anugerah Artis Lelaki Terbaik Sepanjang Tahun, Album Rap Terbaik (Recovery) serta tiga anugerah lain.

Selain Eminem, penyanyi Taylor Swift turut menang besar dengan menggondol tiga anugerah tertinggi termasuk Album Country Terbaik, Speak Now.

Album Speak Now yang memasuki pasaran pada bulan November tahun lalu telah menjadi album paling laris dijual dalam masa lima tahun di Amerika Syarikat apabila ia terjual sebanyak lebih satu juta unit hanya dalam tempoh satu minggu!

Rihanna yang tampil membuat persembahan kontroversi bersama Britney Spears melalui adegan cium saat berkolaborasi untuk lagu S&M juga tidak pulang dengan tangan kosong.

Dia membawa pulang tiga anugerah termasuk Artis Wanita Terbaik Sepanjang Tahun.

Beyonce pula mencatat kemenangan peribadi selepas dipilih sebagai penerima anugerah khusus iaitu Anugerah Artis Millennium.

Dia yang pertama kali menyanyikan single terbaharunya, (Run The World) Girls, pada majlis tersebut dipilih berdasarkan transisi kerjayanya sejak pertama kali meninggalkan grup Destiny's Child pada tahun 2003 dengan jualan album mencecah 11 juta unit selain 25 juta single dalam tempoh kurang 10 tahun.

Malah dia juga telah menjadi 'pecahan' paling sukses apabila keluar daripada sebuah grup untuk menjadi penyanyi solo.

"Crazy in Love adalah sebuah lagu yang luar biasa. Apabila dia bergabung dengan Jay-Z, itu adalah satu magis dunia hiburan.

"Dia adalah penyanyi terbaik yang boleh mencapai semua notasi sama seperti dalam album sewaktu menyanyi di dalam album. Itu adalah hal yang menakjubkan," puji Ryan Tedder dari grup OneRepublic yang bersetuju dengan pemberian anugerah tersebut kepada Beyonce.

Turut berkongsi kemanisan anugerah tersebut adalah Katy Perry yang memenangi anugerah Lagu Digital Popular dan 100 Artis Popular. Begitu juga dengan Lady Gaga yang dipilih sebagai Artis Pop Popular.

Will. i. Am yang mewakili grup Black Eyed Peas sewaktu mengambil trofi kemenangan Duo/Grup Terbaik telah memberi satu kesimpulan yang begitu signifikan dengan anugerah yang menghargai karyawan Hollywood berdasarkan penjualan album secara digital, konsert jelajah, kedudukan dalam carta dan populariti sama ada di media cetak atau alam maya.

"Kita semua patut berterima kasih kepada teknologi kerana tanpa teknologi masa kini, kita tidak akan berada dalam industri ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.