Harian Metro: Rap |
Posted: 24 May 2011 08:17 AM PDT PERNAH menghasilkan dua album dan menimba pengalaman menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), aura penyanyi Nas Adila Mohd Dan masih belum menyerlah. Mesra dipanggil Adila, penyanyi berusia 24 tahun ini sedar kedudukannya ketika ini dalam industri hiburan tempatan hampir sedekad bukan lagi zamannya. Kehadiran bakat baru seolah-olah membuatkan Adila tenggelam dan dilupakan. Namun, Adila menyatakan dia tidak putus asa, sebaliknya terus menyanyi atas dasar minat dan ia masih menjadi punca pendapatannya. Adila berkata, dia gembira kerana peminat masih menyokong karier seninya.
"Menariknya, salah satu persembahan saya nanti akan diiring pemuzik cak lempong. Boleh dikatakan setiap bulan saya masih mendapat pelbagai jemputan persembahan pentas. "Ada juga penganjur yang mengajak saya jadi juri pertandingan dan ketika ini ia seperti musim apabila mendapat banyak jemputan. "Saya bersyukur dan beruntung kerana peminat dan penganjur masih tidak lupakan saya. Malah, saya gembira apabila setiap hujung minggu ada persembahan. "Begitu juga, sambil menyanyi saya masih mempromosi single baru saya, I Love You. Sebenarnya, respons peminat terhadap lagu ini cukup positif, tetapi saya terkilan apabila segelintir stesen radio enggan putarkan kerana masalah lirik bercampur bahasa Inggeris," katanya. Dalam kesibukan memenuhi undangan diterima, Adila tidak melepaskan peluang memberi sokongan kepada akhbar harian nombor satu, Harian Metro ketika menjayakan acara Mini Konsert sempena Candat Sotong di Pulau Warisan Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu. Adila yang tampil membuka persembahan menyampaikan dua singlenya, Bidadari Syurga dan I Love You termasuk Pesta Muda Mudi dan Matahariku. Katanya, dia masih memberi fokus utama pada bidang nyanyian walaupun sudah berjinak-jinak dengan lakonan sejak dua tahun lalu. "Sejak dulu, saya lebih minat menyanyi. Namun, saya sentiasa ingat pesan artis lama, kita harus bersedia bila zaman berubah. "Untuk itu, saya mula menjalankan perniagaan cuci kereta, Green Cleen Car Wash yang beroperasi di Kompleks Automobil, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. "Sejak dua bulan beroperasi, sambutan yang diterima daripada pelanggan cukup menggalakkan. Mulanya sebelum buka tempat ini, saya terfikir apa perniagaan yang sesuai kerana saya mahu pendapatan harian. "Saya fikir jika hendak buka restoran, ia susah kerana perlu fikir bermacam-macam aspek seperti tukang masak. Lalu, saya terfikir perniagaan cuci kereta lebih mudah kerana ramai pakai kereta, tetapi tidak mempunyai masa mencucinya. "Ada ketika apabila pelanggan ramai, saya juga turun padang bantu mencuci dan melakukan kerja menggilap kereta. Sejak kebelakangan ini, saya lihat ramai pelanggan yang datang berulang kali ke sini. "Saya sendiri pentingkan kualiti dan mungkin atas faktor itu, pelanggan saya selesa datang semula ke sini. Jika ada rezeki, saya berhasrat membuka cawangan lain selepas ini," katanya. Mengenai lakonan, Adila terbabit membintangi drama baru, Yoyong arahan Mior Hashim Manap dan skrip asal, Idrees Abdul Wahab. Drama sebanyak 13 episod untuk siaran RTM ini menyaksikan Adila membawa watak utama sebagai ibu yang mempunyai anak iaitu Yoyong. "Ini pertama kali saya bawa watak ibu. Bagi saya, ia tidak sukar, tetapi saya banyak belajar dengan abang Mior bagaimana menghayati watak dengan berkesan. "Pengalaman menjalani penggambaran selama 12 hari di sekitar Ulu Yam, Hulu Langat dan Lembah Klang termasuk bergandingan bersama Raja Azri yang menjadi 'suami' saya, suatu yang menarik. "Begitu juga, saya berhasrat untuk kembali berlakon teater dan filem jika ada peluang," katanya yang tidak sabar menantikan filem baru lakonannya bersama Fizo Omar, Hello ditayangkan. Menyentuh soal peribadi, Adila tidak berselindung dia sudah menjalinkan hubungan cinta dengan pengurusnya sendiri, Ridzuan (Redz). Katanya, dia selesa bersama Redz sejak menguruskan aktiviti seninya dua tahun lalu. "Ramai peminat saya yang tahu saya dengan Redz, pasangan kekasih. Perasaan cinta antara kami berlaku secara tidak sengaja apabila kami sama-sama terbabit dalam bidang ini. "Saya juga rasa selamat apabila Redz menemani saya ketika mengadakan persembahan. Kami sebenarnya belum membuat perancangan berkahwin tetapi jika boleh, kami mahu ia dilangsungkan pada tahun ini. "Hubungan kami diketahui keluarga kedua-dua pihak dan saya fikir kahwin cepat lebih baik untuk elak pandangan negatif masyarakat jika kami selalu bersama. "Jika sudah berkahwin dan mempunyai anak suatu hari nanti, saya fikir apa yang penting adalah menjaga bentuk badan agar terus kelihatan cantik. Jika boleh saya mahu terus kahwin kerana saya fobia bertunang lagi," katanya yang pernah putus tunang dua tahun lalu. PROFIL NAMA: Nas Adila Mohd Dan |
Posted: 24 May 2011 08:06 AM PDT KETIKA semua pelakon, kru serta produser filem Kongsi bergembira dengan kejayaannya mencatat kutipan paling tinggi pada hari pertama tayangannya 12 Mei lalu, salah seorang pelakon filem itu, Azad Jazmin terkilan kerana mendakwa dipinggirkan daripada menyertai promosi filem itu. Azad yang memegang watak Mikail dalam filem terbitan Metrowealth (MIG) Pictures arahan Farid Kamil mengakui hanya mampu gembira dari jauh atas kejayaan Kongsi mencatat kutipan lebih RM7 juta.
Katanya, apa yang membuat dirinya terkilan adalah tidak dipanggil serta diberitahu mengenai perjalanan promosi filem 'box-office' itu. Malah, katanya, nama serta gambarnya tiada langsung dalam poster filem yang turut dibintangi Shaheizy Sam, Fizo Omar dan Yana itu.
"Malah, saya tidak dimaklumkan mengenai promosi filem ini dan tidak diundang ketika majlis previu, baru-baru ini. Bagi saya ini cara kerja ini tidak profesional," katanya ketika ditemui di majlis sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Pulau Pinang di Sungai Acheh, Nibong Tebal, baru-baru ini. Azad yang memulakan kerjaya lakonan melalui filem Nana Tanjong 2 dan sitkom Anak Mami pernah diberi kepercayaan memegang watak utama dalam Ngangkung juga terbitan MIG yang mencatat kutipan lebih RM8 juta. Katanya, dia bagaimanapun enggan melatah dengan apa yang berlaku cuma tertanya-tanya tindakan MIG berbuat demikian yang dianggap tidak profesional. "Gara-gara tidak lagi bersama MIG, sampaikan nama dan juga gambar saya langsung tidak ada dalam poster filem itu. Namun saya tahu penonton akan tetap nampak komitmen serta lakonan saya dalam filem itu. "Saya sudah buat yang terbaik dan saya harap ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton," katanya. Menurutnya, dia kini bergerak sendiri dan mendapat sokongan produser dan pengarah lain seperti Afdlin Shauki, Datuk Yusoff Haslam dan Mamat Khalid,
"Begitupun ingin saya tegaskan di sini, walaupun peluang berlakon datang dari MIG, tetapi bukan produser David Teo yang beri rezeki itu. Allah s.w.t yang memberi saya rezeki itu dengan bakat yang saya pertaruhkan," katanya. Azad mendakwa ketika awal proses membintangi filem Kongsi, dia mendapat tahu bahawa nama serta gambarnya diletakkan dalam lakaran poster awal bersama pelakon lain iaitu Shaheizy dan Fizo. "Syra sedar kalau kita kerja dan berlakon dengan ikhlas, orang akan tetap nampak. Tidak perlu nak letak gambar dan nama dalam poster pun, orang akan tahu kehadiran saya dalam filem itu. Tapi bertindaklah secara profesional. "Selepas ini saya akan ceritakan apa yang berlaku sebenarnya antara saya dengan MIG sehingga saya mengambil keputusan keluar dari syarikat itu. Ingin saya jelaskan dan perbetulkan di sini, saya tidak pernah dibuang MIG sebaliknya saya sendiri yang memohon untuk keluar," katanya. Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, selain Kongsi, Azad juga bakal muncul dalam filem Kurapat bergandingan dengan pelawak popular Jozan.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |