Adsense

Rabu, 25 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Papaku Rocker

Posted: 24 May 2011 03:06 PM PDT

Hip

Biar sesibuk mana, Amy tetap luang waktu bersama keluarga

DARI jauh sudah kedengaran gelak tawa lima beranak bercanda ria sambil bermandi-manda. Kolam renang Hotel Palm Garden, Putrajaya menjadi pilihan untuk bersantai melepas lelah. Sesekali kedengaran suara si bapa meminta anak kecilnya berhati-hati bermain di gigi air.

Walau sekadar merehatkan minda di pinggir ibu kota, percutian singkat sebegitu sudah menjadi rutin bagi keluarga rocker tersohor, Amy Search, yang sempat mencuri masa untuk bersama anak dan isteri di tengah kepadatan jadualnya. Bagi Pengetua Akademi Fantasia 9 (AF9) itu, bukan soal di mana destinasi atau berapa panjang tempoh diperlukan dalam memperuntukkan hari bersama insan tersayang, sebaliknya kualiti masa menjadi keutamaan supaya si anak tidak berasa diketepikan.

"Kalau sehari diberikan 25 jam sekali pun, jika tidak pandai membahagikan waktu pasti kita berasakan ada sesuatu yang tidak sempat dilakukan. Acara santai yang dilakukan tanpa dirancang selalunya lebih menjadi, sekali gus kejutan buat anak-anak.

"Jika tidak keluar ke mana-mana pun kami akan menghabiskan masa di rumah. Ada kalanya saya mengambil alih tugas isteri memasak dan sambil menjamu selera kami akan saling bertukar cerita dengan anak-anak," katanya sambil melirik si isteri, Norish, yang leka mengulit si bongsu, Qaqa At-Tameemi, genap dua tahun pada September ini.

Perkahwinan keempat vokalis tersohor dengan Norish atau nama sebenar Norhaniza Hassan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 7; Sania Samara, 6; dan Qaqa, malah menerusi perkahwinan terdahulu, Amy mempunyai dua anak, Nabila Huda, 26; serta Irisha Myra, 15 (di luar negara).
Katanya, sepatutnya anak sulungnya yang selesa disapa Abil bersama cucunya, Keisha Laila Zaidi, 1, turut menyertai acara santai itu namun disebabkan komitmen terhadap drama terbarunya, hasrat itu terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Namun sambung Amy yang tampak cukup berbangga menyandang gelaran datuk pada usia 53 tahun, mereka sekeluarga akan berkumpul lagi pada sebelah malamnya untuk meraikan kelahiran bayi kesayangan keluarga yang dilahirkan pada 11 Mei 2010.

"Diam tak diam cucu saya sudah genap setahun. Cepat benar masa berlalu macam baru semalam saya mengendong Nabila dan sekarang anak sulung saya sudah memberikan cucu. Syukur saya masih dikurniakan umur panjang untuk menikmati pengalaman ini.

"Apabila mempunyai anak kecil dan cucu yang hampir sebaya, saya berasa diberi kenikmatan yang tiada taranya. Berpeluang melihat anak serta cucu membesar di depan mata adalah anugerah tidak terhingga. Mungkin dulu saya terlampau sibuk bekerja, sekarang sesibuk mana pun saya berusaha mengisi masa dengan mereka," akuinya.

Seperti didedahkan isterinya, Amy meletakkan keluarga pada tangga pertama, malah seboleh-bolehnya mahu semua anak berkumpul sekali pun si sulung sudah punya keluarga sendiri. Selepas menunaikan umrah sekeluarga, mereka bercuti beramai-ramai pula ke Australia.

Bukan mahu menunjuk-nunjuk, kata Norish dengan merendah diri, sebaliknya rezeki yang diperoleh sememangnya untuk anak-anak, malah mereka menyimpan berdikit-dikit untuk memastikan perancangan percutian keluarga dapat direalisasikan.

"Kami pergi 10 orang termasuk dua bayi, Qaqa dan Keisha. Walau penat, ia pengalaman menyeronokkan. Saya nampak Amy begitu gembira dapat menunaikan permintaan anak-anak. Sebenarnya kami berdua tidak kisah bercuti di mana saja, tetapi Australia destinasi yang diidamkan anak-anak.

"Insya-Allah selepas ini Amy merancang membawa kami sekeluarga menunaikan haji. Semoga impiannya itu dipermudahkan Yang Maha Kuasa. Jika tiada aral melintang kami harap dapat kembali semula ke Tanah Haram tahun ini juga," katanya yang sudah tiga kali menunaikan ibadat Umrah.

Kerjasama dengan Ahmad Dhani

BERKONGSI soal kerjaya, pengetua AF9 yang turut menjayakan Konsert Legenda Double Trouble di Melaka pada 27 Mei bersama Search dan Wings itu juga bakal kembali sibuk dengan persediaan persembahan Hari Bapa di Hotel IOI Resort Putrajaya pada 17 Jun ini.

Bertemakan Mentari Moments With Amy Search, kemunculan penyanyi Fantasia Bulan Madu serta Isabella selama satu setengah jam itu bakal diiringi lima pemuzik diketuai Edrie Hashim selaku pengarah muzik, malah lebih bermakna Amy juga akan menyampaikan lagu barunya.

"Saya berbesar hati apabila diundang memeriahkan sambutan Hari Bapa di sini. Ia lebih dekat dengan khalayak khususnya meraikan mereka yang berada pada era kegemilangan Search dulu. Sudah pasti persembahan ini cukup peribadi buat saya kerana turut mengimbas nostalgia sendiri.

"Mengikut perancangan, majlis ini nanti lebih kepada acara makan malam. Golongan bapa yang dirai akan berjalan di permaidani merah sebelum disaji hidangan hebat sambil dihiburkan rangkaian lagu hits saya. Dewan pula dihias indah sesuai tema acara yang menampilkan merah sebagai rona utama," kongsinya lagi.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2011, Azhar Osman, bakal memanaskan dulu acara bersama dua lagu. Penganjur turut menyediakan ganjaran istimewa buat tetamu bertuah termasuk aksesori mutiara daripada Rafflesia yang mencecah RM10,000!

Ditanya perihal pembikinan album mini solo yang 'lari' daripada imej rock, kata penghibur yang sudah lebih tiga dekad bergelar penyanyi itu, rakaman masih berlangsung seperti dirancangkan memandangkan buah tangan terbarunya itu diharap dapat diedarkan menjelang Ramadan.

"Setakat ini lagu bersama Yasin Sulaiman dan Edrie Hashim sudah saya selesaikan. Hanya menanti empat lagu lagi iaitu kerjasama dengan komposer serta penyanyi Indonesia seperti Ahmad Dhani dan Opick yang sedang disempurnakan," katanya lagi.

INFO: Mentari Moments With Amy Search

  • Diadakan di Hotel Marriot IOI Putrajaya pada 17 Jun 2011.
  • Persembahan disertakan dengan jamuan makan malam.
  • Harga untuk sebuah meja bagi 10 orang antara RM1,500 hingga RM4,500 atau RM150 hingga RM450 seorang.
  • Untuk tempahan, hubungi 03-89432 233 atau 03-89498888.
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Semakin matang

    Posted: 24 May 2011 03:00 PM PDT

    Hip

    Banyak tampilkan pelakon lelaki, KL Gangster tetap meyakinkan

    KEMATANGAN Syamsul Yusof sebagai pengarah berkaliber kian terserlah melalui buah tangan terbarunya, KL Gangster, yang dipersembahkan kepada wakil media Isnin lalu.

    Kelegaan begitu jelas terpancar pada wajahnya apabila rata-rata mereka yang menonton memberikan komen positif. Ucapan tahniah bertali arus sebaik selesai sesi pratonton, cukup tidak dijangka anak muda ini kerana projek filem ini hampir terbatal berikutan beberapa masalah yang timbul. Filem yang menjalani penggambaran selama 38 hari dengan kos pembikinan sebanyak RM2.1 juta itu dibintangi Syamsul sendiri dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran Aaron Aziz, Ady Putra, Zizan Raja Lawak, Shoffi Jikan, Adam Corrie, Ku Faridah, Riduan Hashim dan Sheera Iskandar.

    Biarpun sarat dengan aksi pergaduhan, Syamsul bijak mengadun filem itu. Jalan ceritanya tersusun cantik tanpa membuatkan penonton keliru. Selain itu, Syamsul turut menyuntik elemen komedi dan kekeluargaan di dalam filem berkenaan, untuk menjadikannya lebih berwarna-warni.

    Anak muda berusia 27 tahun ini juga ternyata berani apabila memaparkan pelakon lelaki sebagai tunjang utama sementara pelakon wanita hanya ditampilkan memegang watak tambahan. Tanpa kehadiran pelakon wanita popular sekalipun, eksperimen Syamsul nyata berjaya.

    "Sebelum tayangan filem ini, saya tidak senang hati, bimbang penonton tidak boleh fokus dengan apa yang cuba saya sampaikan. Formula saya setiap kali menghasilkan filem perlu ada elemen emosi. Mungkin kelihatan agak tipikal apabila saya menyelitkan elemen kekeluargaan, tetapi saya cuba mempersembahkan dalam cara berbeza.
    "Ketika menghasilkan filem ini, saya luangkan masa menonton filem The Godfather dan Young & Dangerous untuk dijadikan inspirasi. Saya tidak meniru, sebaliknya saya cuba meneroka apa yang boleh saya lakukan untuk filem KL Gangster.

    "Saya juga bertemu dengan samseng untuk mengetahui bagaimana gaya hidup serta cara pertuturan mereka. Malah saya meniru gaya pertuturan kumpulan berkenaan untuk filem ini. Bagaimanapun skrip yang saya hasilkan bersama Rizal Ashref hanyalah draf. Selebihnya diolah oleh pelakon ketika di set.

    "Saya juga seronok dapat bekerjasama dengan pelakon yang membintangi filem ini kerana mereka profesional malah filem ini berjaya disiapkan dalam tempoh agak singkat," kata Syamsul.

    Tertekan harapan peminat

    MENGULAS mengenai projek filem terbabit yang hampir dibatalkan, Syamsul menjelaskan, perkara itu timbul kerana kesukaran untuk menyatukan kesemua artis.

    Kesukaran mendapatkan ke semua pelakon secara tidak langsung turut menjejaskan sesi latihan. Syamsul bagaimanapun bersyukur apabila setiap pelakon yang menjayakan filem berkenaan memberikan sepenuh komitmen.

    Sesi latihan untuk aksi berlawan dijalankan dalam masa sebulan. Walaupun sudah menjalani latihan, namun masih berlaku kemalangan kecil yang tidak dapat dielakkan.

    Buat kali pertamanya juga, idea membikin filem ini dihasilkan Syamsul tanpa campur tangan bapanya. Memang Datuk Yusof Haslam ada memberikan beberapa saranan, tetapi Syamsul enggan mengikut cadangan bapanya kerana lebih mengetahui keinginan penonton berjiwa muda.

    Pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 ini mengakui, trofi diraih sedikit sebanyak membuatkan dia tertekan kerana penonton pasti meletakkan harapan tinggi.

    "Saya mengaku memang ada rasa tertekan kerana memikirkan sambutan daripada penonton selepas menonton KL Gangster dan juga tekanan akibat anugerah yang pernah saya menang sebelum ini," ujarnya sambil memberitahu, elemen komedi dan samseng di dalam KL Gangster secara kebetulan mempunyai sedikit persamaan dengan Kongsi terbitan MIG Production, tetapi jalan ceritanya nyata berbeza.

    Pemuda itu juga mendedahkan, dia tidak kisah sekali pun penjualan tiket untuk filem terbarunya tidak seberapa. "Malah, saya tak berani nak mensasarkan berapa yang mampu dikutip oleh filem ini. Tetapi saya lebih memerlukan maklum balas baik daripada media dan penonton. Itu sebenarnya lebih bermakna kerana saya mahu perbaiki lagi mutu pengarahan," katanya yang banyak berkhayal ketika menghasilkan skrip filem ke-27 terbitan Skop Production itu.

    Ketika menghasilkan skrip, katanya, tiada pelakon yang dirasakan layak melainkan semua nama yang disebutkan tadi.

    Sementara itu menyentuh mengenai dirinya yang turut terbabit dalam filem itu, Syamsul yang akan menghasilkan prekuel filem itu sedikit masa lagi berkata, dia turut berlakon dalam sesebuah filem jika berasakan watak itu sesuai. Lagipun hanya dengan terus berlakon dia dapat memperbaiki lagi mutu lakonan.

    Dalam majlis yang sama, Syamsul turut menafikan dia menggunakan Zizan kerana populariti Artis Komedi Lelaki Popular itu untuk menarik penonton ke panggung. Sebaliknya dia meletakkan watak yang sempoi untuk menceriakan penonton, supaya tidak tertekan dengan aksi lawan.

    Sinopsis

    KL GANGSTER yang menemui penonton mulai 9 Jun ini mengisahkan dua beradik yang terjebak dalam dunia samseng iaitu Malek dan Jai. Si abang, Malek, merengkuk selama lima tahun dalam penjara kerana dikhianati kumpulannya sendiri.

    Setelah dibebaskan, Malek ingin mengubah persepsi masyarakat dan menjauhkan diri daripada kehidupan hitam sebagai anggota kongsi gelap. Menjalani rutin kehidupan biasa sambil menjaga ibunya yang sudah tua, tetapi sebagai bekas banduan, dia sering dipandang serong oleh masyarakat. Dalam masa sama, dia berdepan masalah moral adik perempuannya, Zati.


    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.