Adsense

Selasa, 11 Januari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Kemenangan yang tidak ‘dirahmati’

Posted:

Kemenangan yang tidak 'dirahmati'

Kemenangan yang tidak 'dirahmati'

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR


ANA Raffali turut berkongsi kemenangan dengan mentornya, Aidit Alfian.


MEMANG mengejutkan apabila karya sepenuhnya ciptaan Ana Raffali diumumkan sebagai Juara Lagu edisi ke-25 pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) yang berlangsung malam Ahad lalu.

Mana tidaknya. Ramalan ramai pihak nampaknya sudah tersasar jauh daripada apa yang mereka sangkakan.

Sebetulnya, lagu Tolong Ingatkan Aku bukanlah lagu kegemaran ramai pihak untuk dijulang sebagai juara dalam pertandingan lagu yang cukup berprestij itu.

Tanyalah kepada sebahagian besar peminat dan pencinta muzik tempatan yang rata-rata meramalkan lagu ciptaan Audi Mok dan Faizal Tahir, Hanyut mahupun Cinta Sempurna hasil ciptaan Yuna lebih layak diangkat sebagai juara.

Semuanya adalah kerana komposisi kedua-dua lagu yang dilihat memiliki pakej lengkap untuk dinobatkan sebagai yang terbaik.

Namun, sudah menjadi adat AJL sejak dari awal penganjuran pada tahun 1986 , pasti akan timbul pertikaian dan ketidakpuasan dengan keputusan yang telah dipilih sebulat suara oleh juri yang bertauliah.

Masih ingat bagaimana lagu Keliru telah mengelirukan ramai pihak sehingga mampu dijulang sebagai Juara Lagu pada tahun 2002?

Nampaknya kekeliruan itu berlaku sekali lagi tahun ini dengan kemenangan Tolong Ingatkan Aku yang bagaikan tidak direstui dan dirahmati oleh mereka yang hadir pada malam AJL25.

Buktinya? Sebaik sahaja lagu itu diumumkan sebagai juara oleh tiga pengacara AJL25 iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar, penonton di stadium tidak menunggu lama untuk bersorak 'boo' kepada keputusan tersebut.

Malah, belum pun sempat Ana menyampaikan semula lagu kemenangannya di akhir acara, ramai juga yang sudah mengangkat kaki seolah-olah menunjukkan tanda protes dan tidak puas hati.

Namun, siapalah kita untuk mempertikaikan keputusan juri yang ternyata lebih bijak menilai dalam memilih karya terbaik untuk digelar sebagai Juara Lagu Ke-25.

Barisan juri yang dipilih TV3 untuk tahun ini bukannya calang-calang kerana semuanya hebat dalam lapangan masing-masing.

Mereka yang dimaksudkan ialah Habsah Hassan, Acis, Azmeer, Amy Search, Pacai, Andy Flop Poppy dan M. Nasir selaku ketua juri.

Jadi, daripada senarai juri itu sudah cukup membuktikan mereka memang tidak silap dalam membuat keputusan malam Ahad lalu walaupun dipertikaikan ramai pihak.

Bertemu dengan M. Nasir pada sidang akhbar sejurus acara berakhir, seniman tersohor itu memberitahu Tolong Ingatkan Aku memang layak untuk bergelar juara kerana keunikannya.

Malah, kata M. Nasir, barisan juri berdepan dengan cabaran dalam memilih karya yang benar-benar layak kerana 14 buah lagu yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka.

"Kalau didengar secara kasar, lagu Tolong Ingatkan Aku memang cukup sedap didengar kerana melodi dan liriknya yang ringkas.

"Dalam erti kata lain, ia adalah bersifat personal apabila karya itu dihasilkan dan lahir dari hati sehingga dapat meninggalkan kesan mendalam.

"Bukan lagu lain tidak bagus, tetapi karya Ana Raffali ini mempunyai rasanya yang tersendiri. Dalam erti kata lain, lagu ini bersifat jujur dan kerana itu ceritanya sampai kepada saya dan juri yang lain.

"Memang juri telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih Tolong Ingatkan Aku sebagai juara kerana ketulenan dan kejujuran karya itu sendiri. Itulah juara yang kami cari tahun ini," katanya memberikan hujah dalam sidang media yang berlangsung dalam atmosfera yang sedikit 'panas' itu.'

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Sambungnya lagi, untuk mencari Juara Lagu tahun ini, pembaharuan amat dititik beratkan dan Tolong Ingatkan Aku memang layak untuk menduduki tangga teratas.

Pembaharuan yang dimaksudkan M. Nasir apabila komposisi lagu tersebut melangkaui ciptaan lagu-lagu lain menerusi gabungan melodi dan liriknya yang dilihat terjalin dengan baik.

Kata M. Nasir, semuanya itu dapat didengar menerusi cakera padat pada sesi pra penjurian sehari sebelum acara berlangsung.

"AJL bukan soal populariti tetapi adalah untuk mencari karya yang terbaik serta memiliki nilai autentik untuk melayakkan lagu itu bergelar juara," kata M.Nasir.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Masam manis AJL25

Posted:

Masam manis AJL25

Masam manis AJL25

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN dan NOORADZRENE MOHD. NOOR


PERSEMBAHAN Sharifah Aini, Ziana Zain dan Siti Nurhaliza boleh dianggap kemuncak persembahan AJL25.


SELEPAS Anugerah Juara Lagu Ke-24 mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan buat TV3, pasti edisi ke-25 tahun ini amat dinanti-nantikan.

Ramai yang mahu melihat adakah Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) dapat mengulangi kejayaan tahun lalu.

Hampir tiga jam duduk di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad lalu, secara keseluruhannya, prestasi AJL25 masih lagi berlegar dalam lingkungan yang sama seperti tahun lalu.

Barangkali yang kelihatan gah kali ini adalah keluasan pentasnya yang bermandikan cahaya menerusi LED dan teknik pencahayaan.

Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam dilihat lebih selesa untuk mengambil jalan selamat agar AJL25 tidak tersasar jauh daripada landasannya.

Topik yang paling menarik untuk dibincangkan kali ini sudah semestinya konsep persembahan yang ditampilkan oleh kesemua peserta pada malam itu.

Elemen drama, tarian dan magis nampaknya masih lagi menjadi pilihan sebahagian besar peserta AJL25 sehinggakan ia menjadi klise dan tidak keterlaluan dikatakan sedikit membosankan.

Bukan itu sahaja, nampaknya aksi tembak dan permainan api juga menjadi tema utama dalam persembahan AJL25.

Sesuai dengan kemenangannya untuk Persembahan Terbaik, Faizal Tahir memang layak untuk merangkul kejuaraan itu berdasarkan persembahannya menerusi lagu Hanyut.

Rasanya belum pernah ada artis tempatan yang begitu berani mengambil risiko membahayakan nyawa sendiri untuk tampil dengan persembahan seperti itu.

Muncul bersama sangkar dan tangki air yang dipaparkan menerusi skrin, Faizal tampil dengan gimik ahli silap mata meloloskan diri dalam air.

Begitu juga dengan persembahannya untuk lagu Selamat Malam yang cukup ringkas namun menterjemahkan cerita di sebalik lagu itu menerusi drama yang ditampilkan.

Menggunakan artis-artis terkenal negara seperti Datuk Aziz Sattar bersama isterinya, Datin Hashimah Delan, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan anaknya, Sharifah Aryana melengkapkan lagi persembahan Selamat Malam.

Selain Faizal, komposer dan penyanyi wanita terkenal, Yuna juga meninggalkan kesan yang mendalam menerusi persembahannya untuk lagu Cinta Sempurna.

Gubahan muzik Cinta Sempurna begitu dramatik dengan gabungan muzik moden dan orkestra menjadikan Yuna cukup cemerlang.

Kekuatan vokalnya benar-benar menusuk kalbu dan membuatkan penonton larut dalam emosi Yuna.

Kumpulan A.P.I. juga tidak kurang hebatnya apabila memberikan terjemahan sendiri menerusi lagu Pelita yang telah diberikan tepukan gemuruh dan sorakan oleh audiens.

Hafiz yang beraksi cemerlang menerusi lagu Noktah Cinta memang diakui telah memberikan persembahan yang cukup mantap.

Namun, maaf Hafiz. Anda sendiri telah membunuh momentum penonton dengan drama yang dilihat tidak perlu ada sebenarnya.

Walaupun mahu menonjolkan seni teater menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, hakikatnya adalah lebih manis jika Ana Raffali hanya bermain gitar dan menyanyi.

Bukan apa. Apabila elemen lakonan diselitkan ia dilihat banyak menganggu persembahan Ana. Dia sepatutnya lebih menumpukan kepada aspek nyanyian yang pasti akan meninggalkan kesan di hati penonton.

Untuk artis lain, bukan anda tidak bagus tetapi tiada yang baru dalam persembahan.

Adira misalnya, yang tampil dengan props seperti buaian dan penari latar untuk lagu Ku Ada Kamu sebenarnya sudah ketinggalan zaman.

Seharusnya apabila berjaya mara ke peringkat akhir AJL, peluang itu sepatutnya digunakan sebaik-baiknya oleh semua artis untuk memberikan persembahan terbaik.

Beralih kepada persembahan pembukaan pula, tiga juara AJL terdahulu dengan sejarah tersendiri membuktikan mereka adalah penyanyi senior yang tiada tandingan dan wajar menjadi contoh kepada artis baru.

Francissca Peter tetap hebat dan mantap saat menyanyikan lagu keramatnya, Sekadar Di Pinggiran dengan susunan muzik baru diiringi orkestra oleh Datuk Ramli M.S.

Begitu juga dengan Nash yang membuktikan kehebatannya sebagai salah seorang vokalis lelaki terbaik negara ketika melagukan Pada Syurga Di Wajahmu.

M. Nasir? Apa lagi yang mahu dipertikaikan kebolehannya yang tampil bersahaja di atas pentas menerusi medley lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Ghazal Untuk Rabiah.

Kemuncak AJL25 tanpa ragu boleh dikreditkan kepada tiga penyanyi wanita unggul negara iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza.

Sharifah Aini membawa penonton ke zaman kegemilangannya sebagai penyanyi pujaan ramai menerusi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Oh Di Mana.

Persembahannya itu membuktikan sememangnya dia adalah Biduanita Negara yang tiada tandingan dan tidak mungkin ada gantinya.

Kemunculan Ziana pula memang cukup dinantikan dan seluruh stadium memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia menyampaikan lagu Anggapanmu.

Tidak melupakan lagu Madah Berhelah yang memperkenalkan namanya di persada seni tanah air, Ziana mengimbas memori silam penonton yang teringatkan persembahannya untuk lagu itu pada AJL 1992.

Sebaik sahaja kelibat Siti Nurhaliza muncul di atas pentas, keadaan di dalam stadium bagaikan gegak gempita dengan tepukan dan sorakan audiens.

Membawakan lagu-lagu berentak etnik dan irama Malaysia yang pernah menjulang namanya di pentas AJL, ia sekali gus membuktikan Siti masih unggul sebagai penyanyi nombor satu negara.

Meskipun tidak sihat, itu bukan satu halangan buat Siti untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu-lagu Balqis, Nirmala dan Cindai.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.