Adsense

Selasa, 11 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kenapa Ana Raffali?

Posted: 10 Jan 2011 02:56 PM PST

Hip

Kemenangan Tolong Ingatkan Aku seolah-olah sudah menjadi isu besar kepada AJL25

BELUM pernah berlaku dalam sejarah penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) apabila penonton mula angkat kaki untuk pulang sebaik sahaja nama pemenangnya diumumkan oleh pengacara.

AJL adalah anugerah mencari lagu terbaik daripada yang baik. Lagu terbaik sudah tentu dihasilkan daripada pengkaryanya. Mungkin selama ini lagu terbaik turut disandarkan dengan populariti lagu serta penyanyinya juga menjadikan kemenangan lagu ciptaan dan nyanyian Ana Raffali menimbulkan tanda tanya. Buat kali pertama juga terjadi apabila suasana penuh debaran itu 'diboo' penonton sebagai kurang puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh juri yang sebulat suara memilih lagu hasil ciptaan dan nyanyian Ana Raffali berjudul Tolong Ingatkan Aku sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-25.

Itu belum masuk reaksi yang dilontarkan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter. Walaupun ada yang bersetuju dengan kemenangan gadis manis yang sering berbaju kurung itu, namun ramai juga yang tidak boleh menerima keputusan itu sehingga sanggup membuka sebuah halaman yang meminta kemenangan Ana itu ditarik balik.

Begitulah hebatnya AJL25 yang meraikan sambutan Jubli Peraknya tahun ini dengan penuh kontroversi apabila keputusan pemenangnya menjadi pertikaian. Walaupun perasaan tidak puas hati terhadap keputusan juri pernah berlaku sebelum ini namun ia tidaklah sehebat ini.

Sebaik saja keputusan diumumkan, ramai yang terpinga-pinga seolah-olah tidak percaya dengan keputusan yang diumumkan. Boleh dikatakan satu kejutan besar kerana lagu Tolong Ingatkan Aku itu bukanlah termasuk di dalam senarai ramalan antara lagu yang boleh dinobatkan sebagai juara.
Ramai yang kecewa dengan keputusan itu termasuk seorang individu yang boleh dikatakan amat berpengaruh dalam industri hiburan. Nampak sangat kemenangan itu tidak direstui ramai.

Apa keistimewaan lagu itu sehingga ia berjaya menidakkan keupayaan lagu lain untuk diangkat sebagai juara.

Ketua Juri AJL25, M Nasir ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas acara itu berakhir, lagu Tolong Ingatkan Aku berjaya mengungguli pertandingan itu kerana lagu itu bersifat personal, ringkas dan ada rasa yang ingin disampaikan komposer yang juga si penyanyi lagu itu sampai kepada mereka.

"Lagu ini berjaya memikat hati juri kerana ia mempunyai elemen pembaharuan," kata Nasir mempertahankan pendirian juri.

Selain Nasir, juri yang terbabit adalah Amy Search, Habsah Hassan, Andy Flop Poppy, Pacai dan Acis.

Tegasnya lagi, adalah perkara biasa jika keputusan juri dipertikaikan kerana bukan mudah untuk memuaskan hati khalayak.

Andai pembaharuan yang dicari, apakah bentuk pembaharuan yang ditemui dalam lagu itu? Apabila ditanyakan soalan itu kepada Nasir, jawapan yang diterima adalah lagu itu mempunyai lirik yang penuh makna dan dihasilkan dengan penuh kejujuran.

"Kami juga menilai lagu ini menerusi cakera padat dan seperti yang saya katakan tadi, kami dapat rasakan apa yang ingin disampaikan si pencipta. Rasa itu yang penting. Lirik dan melodinya amat ringkas, namun penuh kejujuran berbanding dari yang lain," katanya.

Satu penjelasan yang amat subjektif.

Apabila memperkatakan mengenai lagu yang diangkat menjadi juara, populariti adalah salah satu daripada elemen yang harus ada. Namun, lagu Tolong Ingatkan Aku dilihat kurang popular berbanding lagu lain yang kerap diputarkan di corong radio.

Dan perkara ini diakui sendiri oleh juri.

"Mungkin lagu ini tidak popular tetapi ia ada kekuatan yang melayakkannya untuk menang," tegas Nasir sekali gus menolak elemen yang sinonim dengan lagu yang diangkat menjadi juara.

Tak kisah kemenangan dipertikai

PEMILIK nama penuh Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini hanya tersenyum sepanjang sidang media ini berlangsung.

Walaupun kemenangannya itu dipersoalkan, namun bagi Ana, dia sudah bersedia untuk menghadapi segala-galanya.

"Saya hanya mampu berharap untuk menang dan tak sangka ia menjadi kenyataan.
"Saya tidak kecewa apabila kemenangan lagu ini dipersoalkan. Saya sudah ikut landasan yang betul apabila menghasilkan sebuah lagu yang menepati cita rasa juri.

"Saya bersyukur kerana lagu saya dinilai barisan juri yang bukan calang-calang dan apabila Ketua Juri sendiri mempertahankan hak saya sebagai penulis, itu sudah cukup membuatkan saya gembira," kata Ana yang menujukan kemenangannya itu kepada arwah kakaknya.

Ditanya apakah yang dia mahu lakukan terhadap wang kemenangannya sebanyak RM35,000 itu, Ana berkata dia mahu mengadakan majlis kesyukuran khusus untuk mereka yang banyak membantu menaikkan namanya sepanjang dia berada di dalam industri itu.

Berada di kedudukan naib juara adalah lagu Drama King hasil ciptaan Taja dan Tun Teja dan disampaikan dengan penuh bertenaga oleh Black & meet Uncle Hussain.Manakala tempat ketiga pula disandang oleh lagu ciptaan Ajai/Shah Qalam berjudul Noktah Cinta.

Jika tahun lalu anugerah persembahan terbaik adalah milik Aizat, kali ini, kategori itu berpindah ke tangan Faizal Tahir yang mempamerkan persembahan hebat gabungan visual dan realiti menerusi lagu Hanyut.

Turut menyerlah malam itu adalah bekas bintang realiti musim ke-7, Hafiz apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik sekali gus mengenepikan saingan terdekatnya iaitu pemenang tahun lalu, Black.

Tolong Ingatkan Aku

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa ditebus hari

Chorus
Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa
Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda
Kecewa menyelubungi jiwa
Aku lupa

Ulang Chorus

Tolong ingatkan aku kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Tolong ingatkan aku
Kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pembuka, penutup lebih meriah

Posted: 10 Jan 2011 02:49 PM PST

Hip

pix_gal0
Persembahan 'orang lama' dalam AJL25 masih menyengat

LUPAKAN seketika persoalan dan tanda tanya kemenangan Ana Rafali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku dalam Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) kerana ada lain atur cara yang lebih menghiburkan iaitu ketika persembahan pembukaan dan penutup anugerah itu.

Kemunculan penyanyi malar segar bermula dengan Francissca Peter, Nash dan M Nasir, kemudian ditutup pula dengan kehadiran Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain sebelum diakhiri oleh Datuk Siti Nurhaliza sudah cukup membuktikan suasana dalam Stadium Putra Bukit Jalil, menjadi hingar bingar. Sesuai dengan sambutan jubli perak AJL25 tahun ini, persembahan pembukaan bermula kemas dengan mengimbas kembali Juara Lagu pertama pada 1986, Francessca menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran ciptaan Manan Ngah dengan seni katanya ditulis oleh Habsah Hassan. Ternyata biarpun sudah 25 tahun berlalu, Francessca masih mengekalkan keaslian vokalnya seperti dulu.

Diteruskan dengan persembahan Juara Lagu 1992, Nash menerusi vokal lantang dan seraknya ala-rock menyanyikan lagu Pada Syurga Di Wajahmu ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik daripada S Amin Shahab yang turut mendapat sorakan peminat yang juga seakan merindui vokal lemak merdu Nash. Pada sesuatu peringkat, Nash masih mampu melontarkan vokal tingginya tanpa gangguan.

M. Nasir juga bijak mencuri perhatian penonton apabila mengambil peluang menyanyi lagu yang memenangi Juara Lagu Lagu 1994, Tanya Sama Itu Hud Hud di tengah-tengah penonton.

Sekali lagi M.Nasir mewakili lagunya yang menjuarai Juara Lagu 1997 menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah, lagu yang sepatutnya dinyanyikan bersama Jamal Abdillah itu turut memberikan impak biarpun dia berseorangan.
Persembahan penutup pula memang terus ditunggu oleh penonton, lebih-lebih selepas mengetahui segmen ini menampilkan tiga penyanyi wanita hebat iaitu Sharifah Aini, Ziana dan Siti Nurhaliza.

Aksi Sharifah Aini yang muncul dengan pakaian serba merah tetap mendapat sorakan meriah ketika menyanyikan lagu Kau Tinggi Di Awan baru dan lagu berentak disko, Oh! Di Mana.

Kemeriahan suasana dalam stadium juga diteruskan dengan kemunculan Ziana yang menyampaikan lagu Anggapanmu dan Madah Berhelah.

Namun kemuncak persembahan pada penutup AJL25 sudah tentu menyaksikan kemunculan Siti Nurhaliza yang membawakan lagu Balqis, Nirmala dan Cindai.
Menariknya persembahan Siti Nurhaliza yang nampak comel di atas pentas ialah kelincahannya mengikut gerakan penari yang mengiringinya.

Persembahan keseluruhan oleh semua 14 penyanyi solo atau berkumpulan sepanjang AJL25 ini, kebanyakannya tidak menghampakan. Semuanya berlumba-lumba sesama sendiri bagi mencari kelainan pada persembahan.

Namun beberapa konsep yang dilihat seakan sama bagi persembahan mereka yang begitu ketara. Seperti persembahan Faizal Tahir menerusi lagu Selamat Malam mengambil jalan singkat mengundang pelakon ke atas pentas terdiri daripada Datuk Aziz Sattar bersama isterinya selain Fatimah Abu Bakar, Sharifah Ariyanna, dan Norkhairiah.

Konsep yang sama bagi persembahan Anna Raffali mengundang pelakon, Zahiril Adzim dan persembahan Shahir menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan dengan mengundang Nasha Aziz yang juga menghilangkan fokus Shahir malah Shahir seperti tidak menyangka apabila ditampar oleh Nasha Aziz.

Konsep silap mata juga dilihat mempunyai persamaan bagi persembahan Faizal Tahir menerusi lagu Hanyut. Faizal mengambil elemen itu dengan menjatuhkan dirinya di dalam akuarium dan keluar dalam keadaan basah.

Anna Raffali juga tidak ketinggalan memasuki sangkar yang diselubungi dengan kain hitam dan tampil kembali dengan pakaian yang berbeza.

Menerusi lagu Noktah Cinta, Hafiz pula seakan menghilangkan diri dari atas pentas dan muncul kembali pada sesi pentas dengan pakaian yang berbeza.

Dapat dilihat kebanyakan penyanyi menyelitkan babak drama dalam persembahan mereka. Biarpun memberi alasan mahu memberikan persembahan terbaik namun apabila terlalu ramai yang menyelitkan elemen itu, ia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan lagi.

Dek terlalu ramai yang cuba berdrama di atas pentas juga, akhirnya persembahan itu kelihatan serabut, syok sendiri dan kelam kabut sehingga tidak difahami oleh penonton.

Sebagai contoh, apa sebenarnya yang mahu ditonjolkan Anna Raffali ketika menyampaikan lagu Tolong Ingatkan Aku. Rasanya ramai yang tidak faham konsep persembahan penyanyi itu.

Tidak salah untuk menyuntik elemen kreatif tapi biarlah ia selari dengan konsep lagu dan tidak mengganggu nyanyian gara-gara terlalu menumpukan perhatian terhadap persembahan yang tidak memberi sebarang impak itu.

Malahan lebih penting lagi, persembahan itu tidak menyebabkan penonton hilang fokus kerana apa yang hendak disampaikan ialah lagu atau karya yang hendak disampaikan kepada penonton dan pendengar.

Cuba penuhi kehendak finalis

IRONINYA sesuatu acara berprestij memerlukan masa paling kurang dua jam bagi memberikan impak pada keseluruhan acara termasuklah yang menonton di rumah mahupun yang menonton secara langsung.

Tahun ini AJL seakan menyeksa penonton yang terpaksa menunggu sehingga jam 12 tengah malam bagi mendengar keputusan dan sedikit kehampaan apabila keputusan yang diumumkan tidak seperti yang diramalkan ramai peminat.

Sebaik saja keputusan diumumkan pada jam yang hampir menunjukkan 12 tengah malam, Stadium Putra Bukit Jalil terus lenyap daripada penonton.

Ternyata mereka hanya mahu menantikan keputusan sama ada mampu memuaskan hati mereka pada persembahan keseluruhan atau tidak.

Penerbitnya Gbam mengakui, AJL25 memberi cabaran besar buatnya bagi memberi kelainan pada sambutan jubli perak tahun ini.

"AJL25 paling memberi cabaran buat saya terutama di dalam memuaskan hati finalis. Setiap finalis memerlukan apa yang diinginkan bagi memberikan kelainan pada persembahan mereka dan impak kepada penonton.

"Biarpun kita memperuntukkan 16 kamera di dalam stadium, namun penggunaannya hanya atas permintaan dan pada bahagian tertentu saja seperti gimik dan sebagainya. Apapun saya bersyukur kerana kesemuanya berjalan dengan lancar dan tidak menolak sedikit kesilapan teknikal adalah lumrah dan sukar untuk dielakkan," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.