Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Ana mohon diberi peluangSEBELUM berlangsung majlis Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL 25), pastinya ramai yang tidak menyangka bahawa lagu Tolong Ingatkan Aku mampu mengetepikan cabaran 13 buah lagu lain yang bertanding. Tidak dinafikan, lagu nyanyian Ana Raffali itu sebenarnya langsung tidak memasuki senarai lagu yang boleh memberikan saingan hebat untuk AJL 25 kerana ramai pihak yang lebih bertumpu kepada pertembungan sengit yang membabitkan penyanyi seperti Yuna, Faizal Tahir dan Black. Apa yang turut menjadi tumpuan apabila Ana berjaya menyingkirkan penyanyi yang menjadi pilihan ramai untuk bergelar juara iaitu Faizal Tahir yang sekadar meraih anugerah kategori persembahan terbaik menerusi lagu Hanyut. Bagaimanapun, keputusan telah dibuat oleh barisan juri yang dilantik dengan memilih lagu nyanyian dan ciptaan Ana Raffali, meskipun ia mencetuskan sedikit kontroversi hingga menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak. Bercerita mengenai kejayaan yang dikecapinya itu, Ana sendiri mengakui sangat terkejut sebaik sahaja namanya telah diumumkan sebagai pemenang pada malam itu. Menurutnya, tidak terdetik di hatinya langsung untuk bergelar juara memandangkan kesemua lagu yang bertanding pada AJL 25 sangat hebat dan memiliki kekuatan masing-masing. "Ini adalah satu kejayaan terindah yang pernah saya kecapi sebagai seorang penyanyi. Dapat menyertai AJL 25 adalah satu penghormatan terbesar, apatah lagi menjadi juara dalam pertandingan yang cukup berprestij ini. "Saya sendiri masih tidak percaya dengan kejayaan ini. Namun, saya sangat bersyukur dan sudah tentu dengan kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya bergiat lebih aktif dalam penciptaan lagu," ujarnya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi. Ketika diminta mengulas mengenai kemenangan lagunya yang dipertikai dan menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak, Ana berkata dia tidak kecewa dengan keadaan tersebut. Ujarnya, setiap orang ada hak masing-masing dan kemenangan yang diraih itu adalah keputusan yang dibuat oleh para juri. "Saya sedar bahawa lagu saya ini tidak popular serta jarang diputarkan di radio dan bukan merupakan calon pilihan mereka. Namun, saya bersyukur kerana para juri telah memilih lagu saya ini. "Lagipun saya masih baru dalam industri muzik tanah air dan ini merupakan penampilan pertama dalam anugerah juara lagu. Apa yang saya mahu lakukan adalah cuba untuk memikat hati para pendengar agar dapat menerima lagu-lagu saya selepas ini," ujarnya. Menurut Ana, dia juga berharap agar para pendengar di luar sana dapat memberi peluang kepadanya kerana dia juga mempunyai impian untuk mengangkat martabat muzik tempatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Menyentuh mengenai lagu Tolong Ingatkan Aku yang diciptanya itu, Ana menjelaskan ia adalah sebuah lagu yang berkaitan sesuatu yang begitu dekat dengan dirinya dan peringatan supaya menghargai yang disayangi terutamanya keluarga dan rakan-rakan. "Lagu ini juga turut mengingatkan saya kepada kakak saya yang telah meninggal dunia. Mungkin secara kebetulan, tarikh dia meninggal dunia adalah pada 9 Januari 2003 dan hari ini genap lapan tahun dia meninggalkan kami sekeluarga," ujarnya. Luahan hati Muncul sebagai pemenang tempat ke-2, lagu berjudul Drama King nyanyian Black dan Meet Uncle Hussain menepati ramalan untuk merangkul salah satu kedudukan terbaik meskipun gagal untuk bergelar juara. Pencipta lagu tersebut, Nik Mustaza Nik Mustapha atau Taja yang juga ketua kumpulan Meet Uncle Hussain menjelaskan, kejayaan lagu tersebut menjadi satu titik permulaan untuk dia menghasilkan lebih banyak lagu lagi selepas ini. "Memang ada yang kata Drama King merupakan sebuah lagu berbentuk sindiran. Namun, lagu yang saya hasilkan adalah luahan daripada apa yang terbuku di hati dan saya luahkan melalui lagu ini. ANA berkongsi kegembiraan meraih kemenangan besar pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 bersama Aidit Alfian yang diundang sebagai pemain gitar mengiringi persembahannya di pentas. "Lagipun saya sendiri tidak meletakkan sebarang sasaran kerana apa yang saya mahukan pendengar rasa terhibur apabila mendengar lagu ini. Saya juga gembira kerana Black memberi kerjasama yang erat sehingga dapat menyampaikan lagu ini dengan baik," ujarnya. Menurut Taja, dengan kejayaan tersebut juga, dia tidak menolak kemungkinan untuk terus menjalinkan kolaborasi dengan Black selepas ini. Namun, setakat ini mereka masih lagi berada di tahap perbincangan untuk projek yang akan datang. Ujarnya lagi, buat masa ini juga Meet Uncle Hussain belum bersedia untuk mencari penyanyi tetap dan lebih selesa menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi seperti Black dan Hazama. Sementara bagi Black pula, meskipun lagu nyanyiannya itu berjaya mendapat tempat kedua, namun dia sedikit kecewa apabila tidak dapat mempertahankan anugerah kategori vokal terbaik yang dimenanginya tahun lalu. Ujarnya, dia menyedari bahawa terdapat beberapa kesilapan yang telah dilakukan sewaktu menyampaikan lagu Drama King dan Sofea Jane sehingga terlepas gelaran tersebut. "Bagi saya siapa yang membuat kesilapan pasti akan kecundang dan ternyata rezeki tidak memihak kepada saya. Biarpun gelaran berkenaan memihak kepada Hafiz, tetapi saya berpuas hati dengan persembahan saya malam ini," ujarnya. Kecederaan di leher Pastinya ramai yang sudah mengetahui bahawa beberapa hari sebelum berlangsungnya AJL 25, pelantun lagu Noktah Cinta iaitu juara Akademi Fantasi musim ketujuh (AF7), Hafiz telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Selain keretanya yang remuk, dia juga turut mengalami kecederaan di leher. Bagaimanapun, satu pujian harus diberikan kepada penyanyi tersebut kerana masih lagi mampu untuk membuat persembahan terbaik pada malam kemuncak. Usahanya juga tidak sia-sia apabila mendapat tempat ketiga serta merangkul anugerah vokal terbaik. "Saya tidak mahu kemalangan yang terjadi itu menjadi punca saya tidak dapat membuat persembahan yang baik. Apa yang saya fikirkan semasa berada di pentas adalah terus fokus kepada persembahan tanpa memikirkan sebarang kesakitan yang dialami. "Akhirnya, apa yang saya usahakan dalam tempoh tiga minggu ini telah membuahkan hasil. Biarpun hanya berjaya meraih tempat ketiga, tetapi itu sudah menjadi kepuasan kerana berada di pentas AJL juga adalah kebanggaan buat diri saya," ujarnya. Menurut Hafiz, selain mengakui agak terkejut dengan kejayaan tersebut, apa yang paling tidak disangka sama sekali adalah kejayaan meraih anugerah bagi kategori vokal terbaik. Tambahnya, dia sedar bahawa sememangnya dia bukanlah calon pilihan untuk kategori tersebut. Namun, rezeki ternyata berpihak kepadanya apabila berjaya mengetepikan calon pilihan sebelum ini iaitu Black. Sementara itu, ketika ditanya mengenai kekuatan lagu Noktah Cinta yang dicipta oleh Ajai dan Shah Qalam itu, Hafiz menjelaskan lagu berkenaan mempunyai kekuatan dari segi melodi dan liriknya. "Lagu ini telah dicipta oleh komposer yang sememangnya dikenali ramai dan berpengalaman luas. Maka sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikannya dengan baik agar dapat menarik minat juri untuk memilih lagu ini," ujarnya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM22,000. Elemen drama KEMENANGAN Ana Raffali yang berjaya mengetepikan barisan lagu nama-nama popular penggiat muzik yang bertanding pada AJL kali ini menimbulkan perdebatan hangat di kalangan peminat muzik tanah air. Sudah berusia 25 tahun, AJL yang dianjurkan oleh TV3 masih lagi diminati ramai dan kekal sebagai sebuah acara yang mengangkat martabat industri nyanyian di negara ini. Saban tahun, semakin banyak pembaharuan yang cuba dilakukan biarpun adakalanya pernah menimbulkan sedikit kontroversi dan salah faham seperti yang dialami pada tahun lalu. Penerbit AJL 25, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam berkata, sepanjang terbabit dalam penganjuran anugerah juara lagu, dia menyifatkan bahawa AJL 25 adalah paling mencabar sekali untuk dianjurkan. "Untuk anugerah juara lagu kali ini, ia membabitkan banyak penggunaan teknologi yang terkini. Malah, kami juga ada menggunakan teknologi yang baru pertama kali digunakan di Malaysia. "Selain itu, kami juga hanya sempat melakukan dua kali raptai sebelum acara sebenar berlangsung. Apa pun kami telah lakukan yang terbaik dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kru yang telah bekerja keras," ujarnya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai terlalu banyak elemen drama yang ditampilkan sehingga menimbulkan kritikan, Gbam menjelaskan bahawa pihaknya sekadar memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh peserta. Ujarnya, keputusan mengenai bentuk persembahan yang ingin dilakukan pada acara tersebut adalah bergantung kepada peserta itu sendiri dan tidak menyangka elemen drama semakin menjadi pilihan penyanyi yang bertanding pada kali ini. Selain ketiga-tiga lagu berkenaan, antara lagu yang layak ke final AJL 25 adalah Cinta Sempurna (Yuna), Berlari (Tomok/Shazee Ishak), Pelita (A.P.I/Loque), Kebahagian Dalam Perpisahan (Shahir/Edry Abdul Halim), Selamat Malam (Faizal Tahir/Audi Mok) dan Ku Ada Kamu (Adira/Edry Abdul Halim). Turut menjejak kaki ke AJL 25 adalah lagu Extravaganza (Bunkface/Sam Bunkface), Sofea Jane (Black/Sham Kamikaze/Iswandy/Farril), Hanyut (Faizal Tahir/Audi Mok), Jahat (Stacy/Edry Abdul Halim) dan Mencari Konklusi (Hujan/Noh Hujan). Sementara barisan para juri pula adalah terdiri daripada Habsah Hassan, Hasridz Murshim Hashim @ Acis, Azmeer, Amy Search, Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas @ Pacai, Andy Flop Poppy dan M. Nasir selaku ketua juri. | ||
Posted: Imbasan nostalgia AJLOleh HARYATI KARIM KEMUNCULAN Sharifah Aini dengan penampilan terbarunya ini berjaya melepaskan kerinduan di kalangan peminat setianya. DI SEBALIK kontroversi kemenangan lagu Ana Raffali, pada majlis Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL 25) yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, pujian bagaimanapun harus diberikan kepada persembahan semua finalis serta penyanyi undangan yang menjayakannya kali ini. Persembahan pembukaan AJL 25 yang menyorot kembali kenangan dengan meletakkan barisan penyanyi yang pernah menjadi juara dalam pertandingan ini memang satu persembahan yang tidak boleh dilupakan. Penyanyi Francisca Peter memukau penonton dengan vokal hebatnya sehingga meremang bulu roma menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran yang menjadi juara pada AJL pertama pada tahun 1986. Sifu M. Nasir yang juga bertindak sebagai ketua juri turut tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan lagu juara pada tahun 1994 iaitu Tanya Itu Hud Hud dan juara 1997, lagu duetnya bersama Jamal Abdillah, iaitu Ghazal Untuk Rabiah. Sebelum M. Nasir, penyanyi Nash terlebih dahulu membuat persembahan dengan lagu juara 1992 berjudul pada Syurga Di Wajahmu.
Selepas persembahan 14 buah lagu daripada finalis, segmen interlud yang menampilkan tiga biduanita muzik Malaysia, Datuk Sharifah Aini yang mendendangkan lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Oh Dimana bagi genre pop dan Ziana Zain dengan lagu berhantunya iaitu Anggapanmu dan Madah Berhelah bagi genre balada. Persembahan Datuk Siti Nurhaliza dengan lagu Balqis, Nirmala dan Cindai bagi genre irama Malaysia membuat semua mata tertumpu kepadanya. Bukan sahaja persembahan cukup menarik dengan gerak tarian tetapi lagu-lagu dendangannya membuat penonton teringat kembali persembahan hebatnya ketika bertanding di dalam AJL. Tiga pengacara majlis tersebut, Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar dipertanggungjawabkan menjadi nadi penggerak AJL 25 dilihat menjalankan tugas dengan sempurna. Selepas berakhirnya AJL 25, boleh dikatakan kru produksi kali ini menjalankan tugas dengan baik apabila tiada kejadian terputus siaran seperti tahun lalu dan gangguan audio yang ketara berlaku. | ||
Posted: Showdown 2011 tampil kelainanOleh SAHLIZAH MOHAMED SHOWDOWN 2011 kini sedang menjelajah Malaysia mencari bakat-bakat baru untuk menyertai musim kedua mereka. HANGATNYA musim pertama program realiti tarian jalanan, Showdown 2010 telah membuat 8TV kembali dengan musim kedua program tersebut. Ia sekali gus sebagai usaha mengubah persepsi masyarakat mengenai tarian tersebut kerana ia mampu berdiri setaraf dengan tarian-tarian lain. Namun untuk tampil berbeza daripada musim lalu, Showdown 2011 dirancang akan memuatkan elemen lebih dramatik serta aksi yang menarik untuk tontonan peminat. Para peserta tidak hanya terhad mempamer kebolehan sebagai penari hip-hop, malah krew yang terlibat bakal menunjukkan kreativiti masing-masing dengan menggabungkan tarian-tarian lain dalam setiap persembahan mereka. Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, perkembangan pesat tarian hip-hop dan tarian jalanan telah melahirkan ramai remaja yang berbakat. "Ini telah dibuktikan dengan sambutan luar biasa Showdown 2010 dan untuk itu, kami membawakan anda musim kedua yang pasti lebih menarik dan menghiburkan," katanya semasa sidang media program tersebut, baru-baru ini. Tambahnya, Showdown 2011 merupakan saluran yang terbaik untuk para remaja mengasah bakat tarian mereka dan pertandingan itu bukan sekadar untuk mencari krew terbaik, tetapi mencari kelainan yang boleh memberi impak untuk mengubah persepsi tarian tersebut di negara ini. Justeru, bagi mereka yang berminat, Showdown 2011 yang terbuka kepada semua peringkat umur telah mula menjalankan sesi uji bakat sejak 8 Januari di Kuching, Sarawak sebelum menjelajah ke Kota Kinabalu, Sabah pada 15 Januari dan pertempuran hebat krew-krew di Semenanjung bakal disaksikan sepanjang uji bakat berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Januari depan. Sepanjang sesi uji bakat, setiap kumpulan yang dianggotai oleh lima hingga tujuh penari perlu mempersembahkan tarian mereka mengikut rentak dan gaya tersendiri bagi menarik perhatian juri. Kumpulan yang berjaya melepasi sesi tersebut akan diminta untuk bertanding pada keesokan harinya dalam sesi Battle yang menyaksikan mereka bakal beradu kehebatan tarian antara satu sama lain untuk mara ke peringkat seterusnya. Hafiz Hatim masih diberi kepercayaan buat kali kedua untuk mengacarakan program tersebut selain ia turut mengekalkan dua juri tetap mereka iaitu penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow dan penari berpengalaman, Maple Loo. Showdown 2011 akan mula menemui penonton bermula 6 April 2011 pada setiap hari Rabu pukul 9.30 malam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |