Adsense

Jumaat, 7 Januari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hanya mahu fokus persembahan

Posted:

Hanya mahu fokus persembahan

Hanya mahu fokus persembahan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


STACY berharap peminat akan dapat menerima persembahannya untuk lagu Jahat pada malam esok.


MEMANG sudah menjadi rezeki gadis genit kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini apabila terus diberi peluang oleh pihak juri untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Mana tidaknya. AJL25 menyaksikan penyertaan Stacy buat tahun ketiga berturut-turut. Barangkali ia juga adalah rekod baru yang mungkin jarang sekali dicipta oleh penyanyi baru sepertinya.

Atau lebih tepat lagi, rekod bagi seorang juara Akademi Fantasia sepertinya untuk mara ke pentas penuh prestij seperti AJL.

Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca, kali pertama Stacy menyertai AJL adalah pada tahun 2009 menerusi lagu Aku Stacy.

Tahun lalu, dia bertanding sekali lagi atas tiket lagu Pakai Buang dan kali ini dia kembali meneruskan legasi lagu-lagu rancak yang menjadi makanan rujinya selama ini menerusi lagu Jahat.

Biarpun AJL merupakan pengiktirafan untuk komposer dan penulis lirik, habuan untuk penyanyi yang membuat persembahan tidak pernah dilupakan dengan wujudnya kategori Persembahan dan Vokal Terbaik.

Dua tahun berturut-turut, Stacy telah mempamerkan kecemerlangannya menerusi persembahan yang cukup memukau dan bertenaga.

Tidak menafikan, ketika penyertaan kali pertama di AJL, Stacy pernah mensasarkan untuk merangkul gelaran Persembahan Terbaik.

Mungkin rezeki tidak berpihak kepadanya. Stacy tewas di tangan Faizal Tahir yang telah memikat juri menerusi persembahannya untuk lagu Sampai Syurga.

Tidak pernah kenal erti putus asa, Stacy memperbaiki kelemahannya dan terus menampilkan persembahan yang energetik tahun lalu.

Sekali lagi, Stacy terpaksa berputih mata dan membenarkan kemenangan berpihak kepada Aizat yang memenangi Persembahan Terbaik bagi lagu Kau Aku.

Adakah tahun ini Stacy akan berdepan dengan nasib yang sama? Atau mungkin pemilik nama penuh Stracie Angie Anam ini sudah mengatur strategi luar biasa bagi memastikan kemenangan akan berpihak kepadanya malam esok (9 Januari)?

Bertemu dengan juara AF6 dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, Stacy tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan sehingga membuatkan dirinya tertekan.

Bukan merajuk atau kecewa, tetapi setelah menyertai AJL untuk tahun ketiga dia kini hanya fokus kepada memberikan persembahan terbaik.

Katanya, untuk dua tahun berturut-turut, audiens dan peminat sudah melihatnya beraksi penuh lincah.

Tetapi kali ini, semuanya akan berubah apabila Stacy memberitahu, dia tekad untuk mengurangkan aksinya di atas pentas.

"Bukan bermakna saya tidak menari langsung tetapi gerak dan aksi saya kali ini dikurangkan. Tidak seperti dua tahun sudah yang mana saya memang menyeluruh dalam persembahan saya.

"Sengaja saya buat demikian kerana mahu menampilkan perubahan. Mahu tahu juga reaksi peminat apabila saya mengurangkan gerak tari saya di atas pentas nanti.

"Saya fikir adalah lebih baik untuk saya berasa selesa di atas pentas dengan persembahan saya daripada tertekan kerana asyik memikirkan tentang soal menang," kata Stacy sambil ketawa kecil.

Pada malam esok, persembahan Stacy akan diiringi oleh 10 orang penari termasuk abangnya, Chaq.

Kali ini, Stacy memberitahu, dia tidak mempunyai waktu yang cukup untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi AJL.

Semuanya kerana jadual kerjanya yang padat sehinggakan dia sendiri tidak mempunyai rehat yang cukup.

"Kalau dulu hampir setiap hari saya akan berlatih, kali ini semuanya berbeza apabila dalam seminggu saya hanya dapat berlatih untuk tiga hari sahaja.

"Bagi memastikan vokal saya juga berada dalam keadaan baik, saya sudah pun menjalani latihan bersama Cikgu Syafi.

"Kalau dari segi mental, saya memang sudah bersedia. Apa yang saya harapkan agar fizikal saya pada malam esok akan berada dalam keadaan yang baik untuk menghiburkan audiens," katanya dalam nada yang cukup optimis.

Ditanya tentang ramalan AJL25, Stacy tanpa berselindung menamakan tiga lagu iaitu Selamat Malam oleh Faizal Tahir, Drama King (Meet Uncle Hussain dan Black) serta Cinta Sempurna (Yuna) yang akan bersaing hebat merebut gelaran juara.

Tentang perkembangan seni terbarunya, Stacy memberitahu dia sudah pun merakamkan sebuah lagu ciptaan Audi Mok berjudul Kapsul.

Kata Stacy, lagu itu akan memberikan satu perasaan berbeza kepada peminatnya kerana ia merupakan sebuah lagu balada.

"Memang ramai yang bertanya kepada saya adakah saya tidak berminat untuk merakamkan lagu-lagu balada pula. Sejak dalam AF6 lagi, sebenarnya jiwa saya lebih terarah kepada lagu-lagu seperti itu.

"Namun, apabila lagu rancak dilihat serasi dan sebati dengan jiwa saya sehingga berjaya mencipta identiti saya, tidak salah untuk saya berpatah balik kepada akar umbi dan merakamkan lagu balada pula.

"Saya harus akui memang sukar kerana ia memerlukan penghayatan yang mendalam jika hendak dibandingkan dengan lagu rancak. Saya harap lagu itu nanti akan diterima baik oleh peminat," ujar Stacy yang menjangkakan lagu Kapsul akan mula dimainkan di radio selepas AJL25 nanti.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pembaharuan dalam AQ5

Posted:

Pembaharuan dalam AQ5

Pembaharuan dalam AQ5

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar: AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


Jamil Khir (lima dari kiri) dan Johan Jaafar (enam dari kiri) bersama barisan pengacara TV9 yang mengendalikan program-program di bawah slot Raudhah.


PROGRAM realiti televisyen (TV) pertama TV9, Akademi Al-Quran kini memasuki musim kelima (AQ5) dan akan menemui para peminatnya mulai 9 malam ini di bawah slot Raudhah.

Tarikan hampir 1.5 juta penonton yang dicatatkan stesen TV itu secara puratanya bagi setiap musim merupakan antara faktor rancangan realiti islamik itu masih lagi kekal bertahan di stesen milik Media Prima Berhad itu.

Dengan empat orang juara kelahiran AQ iaitu Abdullah Fahmi Che Nor (AQ1), Anuar Hasin (AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (AQ3) dan Ahmad Tirmizi Ali (AQ4), TV9 baru-baru ini melancarkan musim baru rancangan itu di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Kini, di bawah penjenamaan semula slot baru itu yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, AQ5 tampil dengan 10 orang peserta berumur seawal 15 tahun hinggalah 25 tahun.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Menariknya, seorang peserta wanita bertuah berusia 22 tahun turut dipilih sebagai salah seorang peserta akhir untuk bersaing bersama sembilan peserta lelaki. Pastinya masing-masing mempunyai kelebihan untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, pakej umrah, trofi dan senaskhah al-Quran bertinta emas.

Bagaimanapun, menurut Penerbit AQ5, Shukri Ibrahim, senarai nama peserta belum boleh dimaklumkan sehinggalah episod kedua rancangan itu bersiaran pada 15 Januari ini.

Jelasnya, kesemua peserta kali ini hebat-hebat belaka sama seperti peserta musim yang lalu. Tapi, wajah mereka akan tampil secara eksklusif pada episod kedua rancangan itu.

"Ia adalah gimik untuk memberi kelainan pada edisi kali ini. Sesi perkenalan mereka akan diadakan secara langsung menerusi siaran kedua rancangan itu.

"Penonton pasti tertanya-tanya siapakah peserta AQ5 kali ini dan mereka pasti akan menonton rancangan ini ketika ia ke udara," katanya pada majlis pelancaran program itu.

Bersesuaian dengan matlamat melahirkan generasi al-Quran, AQ5 masih lagi menitikberatkan dengan pendedahan ilmu pembacaan al-Quran, menekankan elemen berlagu serta tarannum dan qiraat tertentu. Paling utama adalah menyemarakkan minat penonton terhadap ilmu al-Quran.

Tambah Shukri, realiti TV itu turut memperkenalkan pengacara baru iaitu Mohd. Zhafran Zainuldin yang juga merupakan adik kepada hos Mari Mengaji, Ustaz Mohd. Zamri Zainuldin.

Selain Mohd. Zhafran, AQ5 masih lagi mengekalkan pengacara wanitanya yang lalu iaitu Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3.

Di samping itu, AQ5 membawa sedikit pembaharuan apabila memperkenalkan segmen Di Sebalik AQ5 yang disiarkan pada setiap hari Jumaat dari jam 6.30 petang.

Menurut Shukri, segmen tersebut membolehkan penonton melihat gelagat peserta ketika menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat dan juga insiden yang berlaku di dalam kelas.

"Selain itu, Nota AQ5 juga diperkenalkan untuk memberi peluang kepada penonton mengenali 10 peserta AQ5.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.