Adsense

Jumaat, 7 Januari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Siti tangguh buat album

Posted: 06 Jan 2011 06:15 AM PST

pix_topright

PERCUBAAN sulung dan pengalaman pertama - itulah yang boleh dikatakan mengenai Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang kini menceburi bidang pengacaraan pula.

Menerusi program bual bicaranya Siti... Hiburan dan Inspirasi, penyanyi Cindai ini cuba mencabar diri sendiri.


Mengakui personaliti ternama Hollywood, Oprah Winfrey sebagai sumber inspirasi, Siti tetap merendah diri dan berasa tidak layak untuk dibandingkan dengan kehebatan idolanya itu. Beliau berkata siapalah dirinya untuk dikaitkan sebagai 'Oprah Malaysia'.

"Bidang pengacaraan adalah fasa baru dalam karier Siti. Justeru, banyak yang harus Siti perbaiki dan buat masa ini masih bertatih-tatih. "Malah, tak dinafikan Siti memang gementar setiap kali mewawancara namun kena cuba mengawalnya.


"Alhamdulillah, selepas episod pertama dan kedua dirakam, Siti sudah mula tahu mengawal perasaan gementar itu dengan sebaik mungkin. Bahkan, Siti juga menonton program dihoskan orang lain untuk melihat cara dan gaya mereka ketika menemubual tetamu. "Tidak terkecuali, imej juga harus diambil kira. Apapun, bagi Siti keselesaan bergantung kepada diri kita sendiri dan asalkan bersedia. "Namun, Siti bersyukur mendapat pasukan produksi yang banyak membantu menyediakan pelbagai maklumat," katanya.


Menurut beliau, secara tidak langsung ia memudahkan kerjasama dan proses rakaman pun berjalan lancar di Studio Filem Negara Malaysia (FNM) sejak lima hari lalu. Siti juga berkata dalam sehari, dia perlu membuat rakaman tiga episod, sekali gus dan ia sangat memenatkan.

"Bagaimanapun, inilah pengorbanan baru yang harus Siti lakukan. Malah, Siti sangat seronok sepanjang menjadi pengacara kerana minda kita lebih terbuka. "Banyak pengalaman berharga dan baru Siti rasai ketika bertanyakan soalan.


"Bagi Siti, setiap soalan itu sangat ilmiah. Umpamanya, dalam sesi temuramah bersama tetamu undangan di kalangan individu sudah berjaya, Siti dapati mereka bermula dari bawah, pernah hidup susah dan gigih berusaha.

"Atas sikap rajin dan ingin maju dalam hidup, mereka akhirnya berjaya mengecap kehidupan mewah. Oleh itu, Siti mahu penonton yang menyaksikan program Siti... Hiburan dan Inspirasi mendapat satu motivasi.


"Siti tak mahu penonton sekadar mendapat hiburan semata-mata daripada program ini. Maka, ada enam segmen dimuatkan seperti Opening Gambit dan Muzikal yang memberi peluang kepada Siti dan jemputan untuk tonjol bakat seni lakonan," katanya.


Menerusi segmen Interaksi, Siti akan beramah mesra dengan penonton sama ada ketika menyanyi atau berbual sambil bertanya soalan. Bagi segmen Perspektif, Siti akan berkongsi pandangannya mengenai isu semasa yang berlaku. Bukan itu saja, bersandarkan sikap rakyat Malaysia yang prihatin, Siti juga turun padang di beberapa lokasi untuk meninjau serta menyelami perasaan golongan memerlukan bantuan menerusi segmen Sentuhan Kasih. Manakala, segmen akhir, Siti dan Bakat Istimewa Minggu Ini. Antara individu yang diundang ialah Ismail Gergaji, Parijan, Bahtiar Abdullah (kumpulan Pensol) dan Ujang (kumpulan Gereteh) yang mempunyai kemahiran dalam bidang muzik tertentu.


Ditanya apakah ada persamaan antara program bual bicaranya dan Anita yang dihoskan Anita Sarawak, Siti memaklumkan ia sama sekali berbeza. Kata Siti, antara dia dan Anita, mereka ada cara masing-masing.


"Saya melihat program Siti... Hiburan dan Inspirasi lebih menjurus kepada keseimbangan setiap isu untuk memberi motivasi kepada penonton. Justeru, masing-masing ada cara tersendiri dan bukannya hendak bersaing," katanya.


Dalam pada itu, Siti menyimpan impian hasrat untuk menjayakan sebuah konsert berskala besar pada 2011 ini. Siti turut memaklumkan pembikinan album solo terbarunya terpaksa ditangguh buat masa ini kerana dia mahu memberi tumpuan sebagai pengacara sekalipun 'material' lagu sudah ada. Apa yang nyata, Siti tidak nampak kekok di pentas pengacaraan. Rakaman episod pertama program Siti... Hiburan dan Inspirasi, kelmarin menonjolkan bakat Siti menemubual mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama setengah jam.


Umum tahu Dr Mahathir juga adalah idola terhebat Siti. Sekalipun gementar mewawancara Dr Mahathir, Siti akhirnya mendapat rentak untuk mengawal situasi. Dia nampak sungguh teruja melontarkan pelbagai soalan bercorak santai kepada Dr Mahathir.


Rancangan ini akan mula ke udara di Astro Ria (Saluran 104) mulai 12 Februari ini, jam 9 malam, selama sejam. Ia terbitkan Global Station Sdn Bhd yang sebelum ini lebih banyak menghasilkan telemovie dan drama rantaian. Tahun lalu, Siti pernah mencuba bakat sebagai menjadi hos program masakan terbitan syarikat yang sama.

Profil:
NAMA: Siti Nurhaliza Tarudin

PANGGILAN PENTAS: Siti

TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979

Usia: 32 tahun

ASAL: Kuala Lipis, Pahang

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa

KARIER: Penyanyi, penulis lirik, model iklan, usahawan, pengacara

PROGRAM TV: Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza, Siti... Hiburan dan Inspirasi

ANUGERAH/PENCAPAIAN:

Antaranya Juara Bintang Hiburan Minggu Ini (1995) Juara Lagu - Jerat Percintaan (1996), Artis Baru Wanita Terbaik AIM (1997), Penyanyi Wanita Popular ABPBH, Persembahan Terbaik Juara Lagu - Aku Cinta Padamu (1997), Juara Lagu - Cindai (1998), Persembahan Vokal Terbaik AIM (1999), Bintang Paling Popular ABPBH (2000), Penyanyi Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik Singapura (2001), Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik Singapura (2002), Pemenang Grand Prix Voice Of Asia di Kazakhstan (2002), Anugerah Planet Muzik Artis Wanita Terbaik (2003), Anugerah Industri Muzik Anugerah Kembara (2004), Persembahan Vokal Terbaik Wanita AIM (2006), Anugerah Planet Muzik Lagu Terbaik - Biarlah Rahsia (2007), Anugerah Malaysian Artiste Professional Award Recipient - Malaysian Professional Centre (2008), Anugerah Industri Muzik - Album Terbaik: Lentera Timur (2009), Bintang Paling Popular ABPBH (2009).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Banyak tak mesti ok!

Posted: 06 Jan 2011 05:43 AM PST

BILANGAN filem tempatan bertambah pada setiap tahun memberi persepsi industri perfileman tempatan semakin meriah. Namun, mungkin tidak ramai yang peka filem kita sebenarnya berdepan banyak masalah membabitkan aspek kualiti.

Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London yang menyatakan masalah yang berlaku berpunca pada sikap profesionalisme pengarah dalam memberikan hasil kerja terbaik.


Katanya, filem paling banyak mengundang masalah berbanding drama apabila pengarah tidak menitikberatkan standard yang sepatutnya ada pada filem dihasilkan.

"Masalah ini boleh merujuk seperti intonasi tidak kemas, orientasi lari dan 'frame' tidak betul yang dilihat membawa masalah serius. Aspek teknikal ini umpama masalah tatabahasa yang harus diperbetulkan.


"Jika drama, stesen TV boleh menegur, tetapi filem sebaliknya. Di FDAM, kami mempunyai etika kerja, tetapi pengarah harus berjumpa dengan kami jika mahu belajar.


"Buat masa ini, tiada pengarah datang berjumpa kami dan masalah ini terus berlaku sejak empat hingga lima bulan lalu hinggakan FDAM berasakan perlu memberi teguran.

"Bagi pengarah yang tidak aktif mengarah dalam tempoh tiga hingga empat tahun atau tidak berwibawa dalam menunjukkan kualiti sebagai pengarah, dia akan dipecat daripada menganggotai FDAM.


"Tindakan ini juga tertakluk pada 20 ahli yang tidak aktif termasuk ahli yang gagal membayar yuran tahunan selama tiga tahun berturut-turut akan digugurkan," katanya.

Mat London berkata, FDAM kali ini serius dalam mengemaskini senarai ahli mereka menerusi program Gerakan Pemutihan Keahlian yang menjadi agenda tahun ini. Bagi ahli yang berdepan masalah yuran, mereka masih boleh aktif semula dengan syarat menjelaskan yuran tertunggak termasuk bayaran denda.


"Saya cabar ahli yang bermasalah datang bertemu kami dan mengikuti kursus pengarahan anjuran FDAM tanpa saya menghebahkan nama mereka di media.


"Kami juga akan menganjurkan Kem FDAM untuk mewujudkan lebih ramai pelakon berkualiti. Dalam pada itu, FDAM sudah memberitahu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), hanya pengarah mempunyai 'surat kelayakan mengarah, boleh memohon geran atau pinjaman yang disediakan.


"Aktiviti lain dirancang tahun ini adalah menggerak Kelab FDAM ke seluruh negara, menganjurkan kejohanan golf terbuka dan majlis Anugerah FDAM buat julung kali," katanya.


Pada majlis Sidang Media Agenda FDAM 2011 yang diadakan di Finas, Hulu Klang Selangor, hadir sama Senator Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.


Jins berkata, pengarah digalak menambah ilmu dengan mengikuti kursus atau melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.


"Bagi pengarah kurang ilmu, mereka boleh mengikuti kursus seperti yang dianjurkan FDAM. Saya percaya pengalaman dan pengetahuan harus disatukan. "Ketika ini, saya berpandangan kualiti pengarah kita makin meningkat. Apa yang penting, penggiat seni harus memberi sokongan satu sama lain.


"Tidak semua pengarah bermula dari atas tetapi mereka juga perlu terus belajar. Untuk itu, saya turut mencadangkan Akademi Filem Malaysia yang pernah diperkenalkan sebelum ini ditukar nama kepada Institusi Pengajian P Ramlee dan diwujudkan kembali," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.