Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dakwah melalui pengacaraanOleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN IRONINYA, dua hos yang digandingkan dalam sebuah program baru terbitan Astro Oasis, Musafir yang merupakan dua bekas peserta program realiti berbentuk Islamik, Imam Muda, Mohd. Taufek Mohd. Noh dan Hizbur Rahman, tidak mempunyai minat yang sama. Mohd Taufek yang juga telah menggendalikan sebuah program keagamaan berbentuk kuiz, Famili Sarjana, misalnya memang menggemari dunia pengacaraan. "Saya suka bidang ini dan sedang merancang untuk pergi lebih jauh lagi jika diberi peluang. Dalam masa terdekat ini juga saya akan memasuki kelas pengacaraan. "Pada saya berdakwah bukan sahaja melalui ceramah-ceramah bebas tetapi boleh juga melalui medium ini. Malah ia lebih meluas kepada semua golongan," ujarnya ketika ditemui semasa penggambaran program Musafir di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Berbeza buat Hizbur yang pertama kali menjadi hos, secara jujur, dia lebih senang untuk menyampaikan dakwah dengan memberi ceramah dan forum secara terus kerana berpendapat ia lebih rapat dengan masyarakat. Tetapi dia tetap berani menyahut cabaran menjadi hos. SALAH sebuah perkampungan Islam di Bangkok, Thailand yang sempat dilawati krew Musafir. "Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan rancangan ini, saya tidak menolak kerana bagi saya ini merupakan satu peluang untuk saya mencuba dunia pengacaraan. "Sebelum ini saya hanya melihat gaya serta penyampaian pengacara televisyen, nampak seperti mudah tapi selepas saya merasainya sendiri, ia ternyata susah," ujar naib juara Imam Muda ini yang mendapat sambutan hangat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk penggambaran di sana. Bagaimanapun mereka sepakat dalam Musafir dengan satu misi, menyebarkan syiar Islam. Bersama menyelusuri dan mendekati budaya serta cara agama Islam dipraktikkan di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei, Taufek dan Hizbur sependapat menyatakan latar budaya serta agama yang berbeza tidak menjadi jurang buat pengamal agama berlainan itu bertoleransi dalam isu agama. Hizbur, 28, menjelaskan 'keintiman' masyarakat majmuk yang dilihat di Singapura telah membuka minda tentang keterbukaan amalan agama yang berbeza di sana. "Sewaktu membuat rakaman di Singapura, saya kagum apabila melihat masyarakat bukan Islam juga dibenarkan memasuki masjid. Barulah saya tahu, rupa-rupanya di luar sana ada pelbagai budaya dan pendekatan untuk berdakwah menyebarkan syiar Islam," kata Hizbur sambil menyifatkan rakaman program Musafir di Brunei merupakan kenangan terbaik kerana negara tersebut banyak menekankan aspek-aspek keIslaman. HIZBUR tidak melepaskan peluang melaungkan azan di sebuah masjid yang dikunjungi di Bangkok, Thailand. Sementara bagi Taufek pula, penggambaran di negara-negara yang dihuni minoriti penduduk Islam seperti di Kemboja, telah membuka mindanya mengenai kedaifan masyarakat Islam di luar sana. Sepanjang rakaman program 13 episod itu, Taufek senantiasa mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dirinya dilahirkan di Malaysia sebuah negara yang bebas mengamalkan cara hidup dan budaya Islam. "Saya tidak henti memanjat kesyukuran kepada Allah SWT, kerana masyarakat Islam khususnya di Indonesia, Thailand dan Kemboja terlalu dahagakan ajaran Islam, walaupun Islam dikatakan mula tersebar di sesetengah daerah negara-negara tersebut. Berbeza di Malaysia, agama Islam dipraktik dan diamalkan dengan sebaik-baiknya," katanya yang sedih apabila melihat anjing yang bebas berkeliaran di perkarangan masjid di Kemboja. Teruja di Bangkok Berpeluang mengikuti penggambaran bersama krew produksi ke Bangkok, Thailand yang dirakamkan di sebuah masjid tertua iaitu Masjid Kudi Cho Fa, terletak di Attuyatha dan Masjid Banglung, Bangkok, nyata memberi pengalaman berharga. KENANGAN. Hizbur (empat dari kiri), Taufek (enam dari kiri) dan Pengurus Saluran Astro Oasis,Izelan Basar (kanan sekali) bergambar dengan individu yang banyak membantu mereka di Bangkok, Thailand. Kami dibawa melawat sekitar masjid yang ditadbir serta dibiayai sendiri oleh masyarakat Islam setempat melalui kutipan derma dan sewaan tanah sekitar masjid tersebut. "Pertama kali memasuki masjid ini, saya terkejut melihat rekaan mimbar di kedua-dua masjid tersebut yang seperti rekaan tokong Buddha tetapi setelah dilihat dengan lebih dekat ia hanyalah ukiran biasa dan difahamkan ia direka bentuk seperti itu ratusan tahun dulu untuk berdakwah secara 'halus' bagi menarik perhatian bukan Islam," jelas Taufek yang turut dipersetujui Hizbur. Sementara itu, Penolong Penerbit dan penulis skrip syarikat produksi Firdaus Maju Sdn. Bhd., Norhaidatul Azian Tajul Ariffin, berkata, program Musafir bukan sahaja memaparkan perkembangan Islam tetapi juga kekuatan umat Islam yang bersatu biarpun dalam kedaifan. "Ia dibuktikan melalui program ini yang menjejaki sejarah perkembangan Islam di Malaysia seperti Kedah, Kelantan serta Melaka dan terus mendalami sejarah perjuangan Islam yang bertapak di negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Thailand," katanya. |
Posted: Raudhah taruhan terbaru TV9Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (belakang lima dari kiri) ditemani Johan (belakang tujuh dari kanan) bergambar bersama pengacara yang terlibat pada majlis pelancaran Program Raudhah dan Akademi Al-Quran 5 TV9 bertempat di Sri Pentas baru-baru ini. STESEN televisyen TV9 nampaknya semakin sinonim dengan pelbagai program berunsur keagamaan. Menyedari kekuatan mereka terletak kepada program-program berunsur demikian, TV9 membuka tirai 2011 dengan memperkenalkan Raudhah iaitu penjenamaan baru yang merangkumi kesemua program-program keagamaan di saluran tersebut. Raudhah, merangkumi lapan program ilmiah yang terdiri daripada Akademi Al-Quran 5 (AQ5) yang juga merupakan program utama dalam penjenamaan Raudhah. Ia diikuti dengan Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik dan Al-Quran. Menurut Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, penjenamaan semula Raudhah diperkenalkan sebagai satu destinasi untuk kesemua penonton Muslim moden mencari isi kandungan rohaniah mereka sekali gus mempelbagaikan ilmu pengetahuan. "Kami percaya ramai di luar sana yang mengharapkan program-program sebegini wujud dan kami berjanji akan memberi kualiti yang terbaik untuk penonton," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Raudhah di Sri Pentas baru-baru ini. Sementara itu, program baru, Safiyya pula, ia memartabatkan wanita zaman moden yang menitikberatkan imej muslimah serta nilai-nilai keIslaman. Kekuatan Akademi Al-Quran AQ5 yang merupakan signature program bagi TV9 yang mendapat sambutan mengalakkan sehingga mencecah 1.5 juta penonton pada musim lalu telah membuatkan program ini muncul lagi dengan beberapa perubahan untuk musim kelima. Pada musim terbaru ini, AQ5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzman yang merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan natarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang merupakan adik kepada Ustaz Zamri Zainuldin. AQ5 akan menemui penonton pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam bermula esok. AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut bakal menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini sejak musim pertama. Sementara, Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasihah para peserta yang bakal membawa pulang habuan RM30,000, al-Quran yang bertatahkan emas bernilai RM35,000 sumbangan Yayasan Restu, pakej mengerjakan Umrah dan banyak lagi. "Menariknya, musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit setiap Isnin hingga Jumaat di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tetang perkara seharian yang dilakukan para peserta secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan kita. "Sementara di sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini yang akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat bermula pukul 6.30 petang, penonton juga dapat lihat gelagat serta aktiviti para peserta di dalam kelas-kelas agama,"jelas penerbitnya, Shukri Ibrahim. Selain AQ5, TV9 akan meneruskan beberapa lagi program lama yang mendapat sambutan penonton, antaranya Halaqah yang akan disiarkan secara langsung pada setiap Selasa. Halaqah akan tampil lebih segar dan berdaya saing dengan perbincangan-perbincangan ilmiah serta hukum-hakam agama berdasarkan konsep persembahan melihat, mendengar dan merasa. Kepada mereka yang mempunyai kemusykilan dalam pengisian Islam bolehlah kemukakan permasalahan mereka menerusi program Tanyalah Ustaz pada 7 pagi dan Tanyalah Ustazah yang mula disiarkan bermula hari ini pada pukul 11.30pagi. Selain itu, turut dimuatkan ialah program Usrah yang diberi nafas baru. Tidak dilupakan golongan kanak-kanak juga akan disajikan dengan sebuah program menarik iaitu Adik dan Al-Quran. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |