Utusan Online - Hiburan |
Memang kami cerewet - Meet Uncle Hussain Posted: Memang kami cerewet - Meet Uncle HussainOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KEMUNCULAN mereka dalam arus muzik perdana sekitar dua tahun lalu benar-benar memberikan impak yang luar biasa. Ketika mereka muncul, bukan semua mengenali Meet Uncle Hussain (MUH) yang ketika itu membawakan muzik yang segar dan boleh dikatakan luar biasa. Kehebatan MUH memang mencuri tumpuan ramai bukan kerana pada muzik yang dibawakan mereka sahaja tetapi fokusnya juga terletak kepada keunikan sang vokalisnya ketika itu, Lan. Muncul dengan lagu-lagu popular seperti Lagu Untukmu, La La La Kerjalah, Pari-Pari Di Bawah Angin dan Halusinasi, MUH tidak perlu menunggu lama untuk terus membuktikan kemampuan mereka sebagai sebuah kumpulan muzik yang memiliki mutu serta kualiti muzik yang tinggi. Kemuncak populariti MUH boleh dikatakan ketika mereka menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) pada awal tahun 2009 apabila Lagu Untukmu menjadi pilihan juri untuk merangkul gelaran tertinggi dalam anugerah berprestij itu. Rentetan daripada kejayaan AJL23, MUH seterusnya menggondol beberapa anugerah lain seperti Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-16 dan juga Artis Duo/Berkumpulan Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun yang sama. Namun, selepas itu, suhu populariti kumpulan ini dilihat semakin menurun lebih-lebih lagi apabila satu demi satu kontroversi mula menghimpit MUH terutama ketika Lan mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan bergerak secara solo. Badi anugerah Kata orang, apabila seseorang artis sudah memenangi anugerah dan berada di puncak populariti, ia dengan mudah untuk membawa mereka ke bawah. Ramai yang melihat MUH sudah tergolong dalam kelompok itu dan apakah benar dengan anugerah yang dimenangi mereka dikatakan telah membawa badi untuk kumpulan ini? Dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan Melayu di ibu negara, baru-baru ini, ketua kumpulan MUH, Nik Mustaza Nik Mustapha atau lebih dikenali sebagai Taja tidak memandang serius perkara itu. Katanya, semuanya adalah tentang masa dan strategi yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan populariti seseorang artis itu termasuk MUH. "Saya harus akui untuk sepanjang tempoh setahun ini memang kami tiada produk baru untuk diketengahkan sebelum lagu Drama King muncul. Saya juga mengakui yang kami cukup cerewet dalam sebarang penghasilan lagu kerana kami mahukan yang berkualiti. "Mungkin kerana itu peminat dan masyarakat fikir kami sudah tidak aktif lagi tetapi sebenarnya kami sibuk menulis lagu untuk dimuatkan dalam album istimewa yang akan dilancarkan tidak lama lagi. "Kami bersyukur kerana kehadiran lagu Drama King telah membuatkan ramai peminat yang kembali sedar bahawa kami sebenarnya masih lagi aktif dalam bidang muzik "Lebih istimewa buat kami apabila lagu tersebut diterima dengan baik oleh peminat. Ia sekali gus membuktikan bahawa karya MUH masih lagi diminati dan diterima dengan positif oleh peminat dan pencinta muzik amnya," ujar Taja mewakili teman-temannya yang lain. Impak Selain Taja, MUH masih lagi dianggotai oleh Mohd. Fathi (Gfat), Hafiz Ismail (Pitt) dan anggota baru, Azhar Abdul Razal (Babab). Lagu Drama King yang dihasilkan oleh Taja selaku komposer manakala liriknya pula oleh Tun Teja merupakan sebuah projek istimewa yang menyaksikan kolaborasi MUH dengan juara Mentor ketiga, Hanifah Md. Hanafiah atau Black. Populariti yang dikecapi menerusi lagu Drama King juga membawa tuah buat MUH dan Black apabila ia merupakan salah satu daripada 14 buah lagu yang bakal bersaing hebat dalam Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) pada 9 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ketika ini, ramai yang sudah membuat ramalan dan menjangkakan lagu Drama King merupakan antara pilihan utama untuk dinobatkan dengan gelaran tertinggi itu bagi musim ini. Malah, salah seorang finalis AJL25 iaitu Faizal Tahir juga dengan penuh yakin mengatakan gelaran juara tahun ini akan menjadi milik Drama King kerana keunikan melodi dan susunan muziknya itu. Adakah Stadium Putra akan menjadi saksi untuk kali kedua seandainya lagu Drama King menjulang kemenangan pada malam itu nanti? Bagi Taja, dia dan kumpulannya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi bagi merangkul sebarang trofi kerana merasakan persaingan kali ini adalah yang paling sengit. Ujarnya lagi, agak sukar untuk meramalkan kriteria yang dicari oleh panel juri tahun ini dalam menentukan pemenangnya. "Setiap tahun pemilihan itu adalah berbeza dan kita sendiri tidak tahu dari sudut manakah setiap lagu itu dinilai oleh pihak juri. Atas faktor itu, peluang untuk menang itu memang terbuka kepada semua lagu yang bertanding. "Jika juri mahu mencari sebuah lagu yang mempunyai sentuhan baru dan segar, Insya-Allah, Drama King memang ada peluang untuk menang," kata Taja sambil ketawa kecil. Pandangan Dalam konteks ini, antara lagu-lagu yang diramal Taja mampu untuk memikat juri adalah seperti Pelita (A.P.I.), Jahat (Stacy), Mencari Konklusi (Hujan), Berlari (Tomok) serta Selamat Malam dan Hanyut (Faizal Tahir). Sempat juga Taja memberikan buah fikirannya terhadap AJL yang dilihat semakin suram apabila ketiadaan lagu-lagu etnik. Baginya, kemeriahan pentas AJL memang akan cukup dirasai dengan lagu-lagu sebegitu kerana persembahan oleh artis yang terlibat dilihat menambahkan kemeriahan temasya muzik tahunan itu. Mengenai keunikan lagu Drama King pula, Taja akui ia antara lagu yang paling sukar untuk dicipta memandangkan ia mempunyai empat susunan muzik dalam nada yang berbeza. "Jika hendak dibandingkan dengan Lagu Untukmu, ia lebih sehala tetapi tidak untuk Drama King. Susunan muziknya memang begitu sukar untuk saya hasilkan. Semoga skor muzik yang telah saya tulis untuk AJL25 akan memberi magis pada malam Ahad ini," katanya penuh mengharap. Selain muziknya, Taja memuji gaya nyanyian Black yang menambahkan lagi kekuatan dan keindahan lagu tersebut. Cerewet Walaupun ada yang mengatakan Drama King merupakan strategi MUH untuk memancing peminat selepas ketiadaan Lan, namun, ia bukan satu masalah besar kerana Black berjaya melunaskan tanggungjawabnya dengan cemerlang sekali. "Black memang seorang yang berbakat besar dan suaranya yang cukup jelas serta lantang itu menjadikan lagu ini cukup istimewa," kata Taja yang memberitahu persembahan MUH pada malam itu nanti akan mengenengahkan konsep pantomim. Dalam perkembangan lain, Taja memberitahu, album pertama MUH kini dalam proses akhir. Bagi Taja, album ini cukup istimewa kerana ia merupakan projek khas yang merupakan kolaborasi MUH dengan beberapa orang penyanyi tempatan. Hanya memuatkan lima buah lagu, tiga lagu yang akan dimuatkan ialah Drama King dan Pokok yang dinyanyikan oleh bekas peserta Konsert Prelude Akademi Fantasia 4, Hazama dan Mula yang dinyanyikan Lan. "Kami memang mencari pengganti Lan danpernah mengadakan uji bakat tetapi semuanya hendak meniru Lan. Mereka tidak semestinya mempunyai nada vokal yang tinggi. Cukuplah jika dia mempunyai tarikan tersendiri yang dapat menarik perhatian ramai untuk menonton persembahan kami. "Insya Allah, kami akan menjelajah ke kawasan luar bandar juga kerana kami percaya di sana masih ada bakat yang masih belum diterokai dan dieksploitasi sepenuhnya," kata Taja mewakili MUH yang sebelum ini pernah melahirkan album mini, 7 Tahun 3 Bulan 90 Hari. | ||
Ingin jadikan Alif Ba Ta sepopular ABC Posted: Ingin jadikan Alif Ba Ta sepopular ABC
PENGASAS kumpulan Alif Ilham, Rohaizar Ramle atau Ija Medicin, percaya kegemilangan barisan pertama kumpulan itu yang dilakar 10 tahun dahulu diharap dapat diteruskan oleh anggota-anggota barunya. Berdasarkan pembabitan Ija sejak penerbitan album pertama kumpulan itu, katanya, album ketiga kini mempertaruhkan konsep yang lebih meluas penerimaannya ke seluruh dunia terutamanya negara-negara Islam. "Bergenrekan Arab Dance dan World Music, saya yakin, ia mampu diterima oleh peminat muzik seluruh dunia. "Sebab itulah, album kumpulan ini diterbitkan dalam bentuk digital dan bukannya berbentuk fizikal seperti kebanyakan album lain. "Kemudahan Internet dapat diakses oleh seluruh dunia. Jadi, ia sesuatu yang praktikal untuk dilakukan," katanya yang merupakan bapa kepada Adam Hakeem, salah seorang anggota kumpulan Alif Ilham. Ija yang juga merupakan pengasas kumpulan itu turut menjelaskan, dia ingin suatu hari nanti, lagu Alif Ba Ta yang terdapat dalam album tersebut setaraf dengan populariti lagu ABC yang diguna pakai dalam bidang pendidikan. "Dengan lagu tema 1 Allah is 1 Islam, saya menyimpan cita-cita tinggi untuk album kali ini agar ia diterima pakai seluruh dunia. "Ia adalah kaedah terbaik mempelajari asas membaca al-Quran di samping berhibur dengan muzik yang diselitkan. "Kelainan kali ini ialah versi muqaddam dan Iqra' digabungkan agar kaedah lama dan baru boleh memberi pilihan kepada pendengar," ujarnya yang berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif album tersebut, Datuk Abu Hasan Kamal. Demi impian mengejar taraf antarabangsa, Ija yang bertanggungjawab membawa kumpulan itu ke peringkat global sanggup bersengkang mata dan menggandakan usahanya. Sepuluh buah lagu berbahasa Melayu yang terdapat dalam album digital itu turut direkodkan dalam dua bahasa antarabangsa yang lain iaitu Arab dan Inggeris. "Umum tahu, kedua-dua bahasa itu merupakan antara bahasa yang paling ramai digunakan di dunia. "Jadi, untuk menembusi pasaran luar negara, kita harus realistik. Proses pengalihan bahasa bukanlah perkara yang mudah dilakukan. "Kami menggunakan khidmat seorang ustazah lulusan universiti dari Mesir untuk memeriksa tajwid bacaan Iqra' selain membantu menterjemahkannya ke bahasa Arab," jelasnya. Sesuai dengan iltizam Alif Ilham yang ingin terbang jauh, imej pakaian anggota kumpulan itu juga diatur rapi bagi tujuan meneroka dunia. Untuk itu, baju tradisi bagi tujuh buah negara yang mempunyai ramai penduduk Islam dijadikan identiti bagi setiap anggota Alif Ilham ketika mengadakan persembahan mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |