Berita Harian: Hip |
Posted: 02 Jan 2011 05:41 PM PST Hip Eira Syazira PERCINTAAN Eira Syazira dengan aktor yang baru saja dipalit kontroversi, Azad Jasmin bukan lagi rahsia. Meskipun satu ketika dulu mereka pernah cuba melarikan diri dari media, tapi kini hampir ke mana saja Eira dan Azad, pasti dilihat berdua. Umpama merpati dua sejoli. Eira umpama tulang belakang dan nadi kekuatan kepada Azad apabila dia kelihatan sentiasa di sisi jejaka dari utara Semenanjung itu untuk memberi sokongan tatkala berdepan kontroversi dengan pelakon, Faezah Elai. Kemesraan ditonjolkan pasangan yang sudah hampir dua tahun berpacaran itu menyebabkan ramai menanti perkhabaran gembira pasangan ini. Namun kala ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Ustaz Amirul yang bakal mengisi slot Zehra di TV3, bermula 7 Januari ini, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu seakan kurang selesa apabila soalan berkisar peribadi diajukan kepadanya."Lama lagilah. Bila tiba waktunya nanti, saya akan bercerita," ringkas jawapan diberikan pelakon yang sudah tujuh tahun bergelumang dalam dunia lakonan ini.
Tambahan pula kerja lakonannya juga semakin berkembang daripada drama ke dunia filem apabila Eira menjadi antara pelakon filem Ngangkung digandingkan dengan Shaheizy Sam.
Ternyata Eira cukup berani apabila beralih angin dari lakonan kepada nyanyian. Biarpun menyedari persaingan sengit yang bakal dihadapi dari penyanyi sedia ada, tetapi dia yakin peluangnya untuk tampil sebagai penyanyi. Apa lagi, dia tidak mahu mensia-siakan harapan yang diberi oleh Adnan Abu Hassan, Adam Ahmad, Othman Muhamad dan syarikat rakaman FGM yang mempercayai kebolehannya. "Saya tidak merayu supaya diberi peluang menyanyi. Tetapi abang Adnan dan syarikat FGM yang berminat menawarkan peluang ini kepada saya. Mereka pernah mendengar suara saya dalam soundtrack drama Cinta Balqis, walhal ketika merakamkan lagu itu, suara saya menyanyi ala kadar saja kerana tak pernah pun mempunyai sebarang impian nak jadi penyanyi. "Saya tidak kisah apa pun yang orang ingin perkatakan. Kalau abang Adnan dan FGM yakin dengan kebolehan saya, kenapa perlu menolak. Oleh kerana tiada pengalaman menyanyi, saya harus mencari jalan sendiri untuk memperbaiki kelemahan diri, seperti belajar teknik menyanyi dengan betul oleh guru vokal, Siti Hajar Ismail. "Selama ini saya ingat menyanyi senang tetapi apabila sudah merasai sendiri barulah tahu betapa susahnya menyanyi. Walaupun menyanyi bukan keutamaan, tetapi saya tetap memandang serius bidang ini. Saya tidak boleh main-main sebaliknya bila sudah melangkah dalam bidang ini, saya perlu gunakan peluang itu dengan sebaiknya," katanya yang bertuah kerana dapat bertemu dengan penyanyi dan komposer yang sudah lama menghilang iaitu Adam Ahmad. Bimbang watak klise BERPELUANG menyanyikan lagu sentuhan seorang komposer hebat seperti Adam Ahmad diibaratkan Eira bagai mimpi. Dia amat terharu apabila komposer berkenaan memberi penghormatan kepadanya menyanyikan lagu ciptaannya. Bagaimanapun tidak mudah mendapatkan kepercayaan dari Adam apabila komposer itu terlebih dulu mahu bertemu dengan Eira dan mendengar vokalnya. Namun Eira ternyata berjaya melepasi cabaran itu apabila Adam memuji vokalnya serta langsung memberikan kepercayaan kepada Eira untuk menyanyikan lagu ciptaannya berjudul Di Hati Ini. Menyentuh soal lakonan pula, Eira yang memegang watak Rabiatul Adawiyah untuk drama Ustaz Amirul berkata, dia terpaksa meminta bantuan dari pengarah drama ini untuk memerhatikan lakonannya kerana bimbang wataknya dilihat klise. "Sudah kerap kali benar saya diberikan watak air mata, Jadi bagi memastikan watak sebagai Rabiatul Adawiyah tidak klise dengan watak yang pernah dibawakan sebelum ini, saya minta pertolongan pengarah supaya memantau gaya lakonan. "Saya tidak mahu cara saya menangis sama seperti yang penonton lihat dalam Cinta Balqis atau pun Syurgamu Ramadan," katanya. Profil NAMA: Syazira Shuhaimi
|
Posted: 02 Jan 2011 05:36 PM PST Hip Permintaan tinggi muat turun lagu legakan pemuzik dan penyanyiSUASANA industri muzik sepanjang tahun 2010, pada amnya tidak banyak berbeza dengan tahun lalu. Kumpulan atau artis solo yang bergerak aktif secara bebas atau indie terus mendapat perhatian daripada peminat muzik. Mereka ini dianggap lebih banyak berkarya dan terus aktif mewarnai landskap muzik kita, sekurang-kurangnya pada peringkat dalam negeri. Anak muda inilah yang sering menguasai pertandingan atau anugerah berprestij seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Shout!Berbekalkan bakat serta kebolehan mencipta dan menyanyikan lagu sendiri ditambah sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak membuatkan mereka terus bercambah dengan baik. Ini sedikit sebanyak memberi harapan yang berbunga kepada industri muzik bahawa muzik tempatan masih bernafas dan sekali gus menunjukkan penjajahan muzik dari luar agak berkurangan. Banyak kumpulan dalam genre itu jika hendak disenaraikan, tetapi cukuplah sekadar menyebut beberapa nama seperti Yuna, Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussain,Azlan & The Typewriter, Pop Shuvit, One Buck Short, Love Me Butch. Mereka ini bukan setakat mencipta lagu dan lirik sendiri, tetapi mereka turut merakamkannya menerusi demo tape, (EP), album ataupun album-album kompilasi yang diterbitkan sendiri oleh kalangan mereka, selain mengeluarkan mengeluarkan produk sendiri seperti kemeja-T, topi dan pelekat. Situasi itu diperkuatkan lagi dengan adanya sikap para peminat muzik generasi muda kini yang 100 peratus menyokong kemunculan serta perkembangan arus muzik alternatif yang jelas mencakupi ruang genre yang amat luas subjek, seni dan kreativitinya. Segala perkembangan itu tanpa disedari turut mendapat perhatian banyak stesen televisyen dan radio kita yang menyedari arus perubahan tersebut apabila mereka turut menjemput ramai kumpulan alternatif tempatan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Aliran muzik 2010 juga menunjukkan artis berkumpulan lebih mudah diterima berbanding solo. Kemenangan mereka dalam pelbagai pertandingan berprestij mengukuhkan lagi kedudukan mereka di persada seni muzik. Selera peminat memang sukar dijangka. Apapun, fenomena ini sekurang-kurangnya memberi harapan cerah bahawa peminat masih menggemari lagu anak tempatan jika kena dengan cara dan selera mereka. Apabila menyebut mengenai pasaran album secara fizikal, seperti tahun sebelumnya ia terus memperlihatkan suasana yang tidak menentu. Namun keadaan itu diselamatkan pasaran secara digital yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Kemunculan pelbagai teknologi dan gajet yang boleh membuat muat turun lagu seperti MP4, iPad, iPod selain komputer peribadi (PC) biasa memang banyak mempengaruhi permintaan karya muzik dengan ketara. Bukan sahaja peringkat antarabangsa, pasaran muzik juga juga turut menerima kesannya. Ia menjadi antara faktor kepada kemerosotan penjualan album fizikal. Namun, teknologi digital dalam muzik juga boleh dianggap sebagai pelampung kepada penyanyi dan pemuyzik untuk meneruskan kelangsungan mereka dalam industri hiburan ini. Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim berkata dengan catatan jualan karya muzik menerusi digital sepanjang tahun 2010 menghasilkan perolehan sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta, sekali gus mampu menyelamatkan industri muzik daripada terus nazak. "Walaupun ada yang mengatakan industri muzik kita merosot tapi bagi saya ia masih stabil. Dalam keadaan sekarang, kita harus akur dengan situasi bahawa jualan album secara fizikal tidak semeriah dulu. Untuk tahun ini saja, nilai pendapatan yang diperoleh daripada jualan album fizikal hanya sekitar RM60 juta. "Jadi, mahu atau tidak, kita harus menghadapi kenyataan bahawa jualan secara digital kini menjadi pilihan kepada yang sedia ada. Dengan nilai jualan antara RM30 juta hingga RM40 juta tahun ini, saya yakin angka ini akan meningkat dari setahun ke setahun. "Dan baru-baru ini, kami baru saja mengadakan perjanjian dengan Celcom untuk bekerjasama dalam soal jualan digital menerusi nada dering panggilan. Jika sebelum ini, syarikat rakaman mempunyai masalah dengan Celcom disebabkan isu sewa bulanan tapi kini isu itu sudah selesai. "Jadi selepas ini, syarikat rakaman mempunyai tiga telekomunikasi yang boleh berkolaborasi dengan mereka dari segi penjualan secara digital," kata Norman kepada Hip. Bagaimanapun kata Norman, kewujudan pasaran digital ini juga tidak akan memberi sebarang makna jika masalah muat turun haram dari laman web internet terus berleluasa. Katanya, jika tidak mendapat perhatian pihak berwajib, masalah cetak rompak versi baru pasti akan menyebabkan industri muzik terus kerugian. Justeru, untuk mengelakkan perkara ini daripada terus berleluasa, dia mencadangkan supaya hukuman berat dikenakan kepada mereka yang melakukan jenayah siber itu. Sehubungan itu, satu undang-undang baru yang dikenali sebagai Akta Liabiliti ISP (Pembekal Perkhidmatan Internet) akan dibentangkan di Parlimen sebagai usaha mengelakkan muat turun secara haram daripada terus berleluasa. "RIM mula melobi akta berkenaan kepada kerajaan sejak lima tahun lalu ekoran perbuatan muat turun secara dalam talian adalah tidak sah selain merosakkan penjualan muzik secara sah di seluruh dunia. "Akta itu akan membuatkan ISP lebih bertanggungjawab menangani isu cetak rompak dalam talian. ISP akan didenda jika tidak bertindak mengikut undang-undang ke atas pemuat turun terbabit. Mereka memiliki teknologi yang boleh mengesan pengguna," kata Norman. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |