Utusan Online - Hiburan |
Posted: Jamal ditaja RM setengah jutaOleh SYED MUSSADDAD MAHDI
SELAMA lebih tiga dekad menabur keringat menghiburkan orang, siapa sangka Jamal Abdillah masih mampu bertahan hingga hari ini. Cukup panjang perjalanan karier penyanyi ini, tapi dia membuktikan masih unggul dalam kelasnya yang tersendiri. Kalau disorot kembali suka duka anak kelahiran Perak ini, tidak semuanya indah. Pelbagai ranjau dan onak duri yang telah ditempuhinya menjadikan dia semakin kuat melawan gelora. Katalah apa sahaja pada dirinya, Jamal tetap Jamal. Suaranya yang cukup digilai ramai itu sentiasa memukau biarpun seringkali mendengar lagu-lagu hits dendangannya. Tapi kini nama Jamal terpahat dalam ingatan. Dia antara penyanyi yang menjadi pilihan peminat selain berpeluang untuk kembali beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 7 Januari ini. Konsert J2011 Lagenda itu merupakan penghargaan Jamal buat peminat setianya tak pernah jemu menyokong kerjaya seninya sejak memenangi Bintang RTM pada tahun 1979 lagi. Paling mengujakan sudah pasti melihatkan senarai penaja yang bersedia di belakang figura ini bila-bila masa sahaja. Kali ini Jamal bertuah apabila label pakaian jenama Mr. Brown sudi menaja pakaian sepanjang konsert solonya nanti. Bukan calang-calang artis yang bertuah seperti Jamal yang dapat memakai sut mewah berharga ribuan ringgit. Malah, menerusi kerjasama kali pertama ini juga memberikan impak apabila pemilik rangkaian jenama Mr. Brown sudi menaja pakaian berharga lebih RM500,000 sepanjang tahun 2011 ini. Ini bermakna Jamal akan memakai persalinan rekaan Amanda Brown yang juga merupakan pemilik label yang cukup popular di Denmark ini. Berpeluang bertemu pujaan Malaysia Khamis lalu, Jamal ternyata teruja dengan tajaan tersebut. Ujarnya tidak ada apa yang mampu membuatkan dia gembira apabila ada pihak yang masih sudi bersamanya hingga hari ini. "Sudah pasti saya cukup bertuah dan bersyukur atas tajaan yang diberikan oleh Amanda kepada saya. Ini merupakan kerjasama pertama kami yang nampaknya memberikan impak kepada saya. "Bila dia kata dia sudi untuk menaja pakaian saya sepanjang tahun, itu menambahkan lagi rasa gembira. Saya pasti ramai yang tahu pakaian keluaran Mr. Brown ini cukup eksklusif dan bergaya," katanya ketika ditemui di Butik Mr. Brown di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Amanda selaku pemilik jenama Mr. Brown turut melahirkan rasa gembira apabila impiannya untuk menabur bakti kepada penyanyi kesayangannya sejak kecil lagi menjadi kenyataan. "Inilah impian saya nak melihat penyanyi seperti Jamal Abdillah kelihatan elegan dan berkarisma sepanjang dia membuat konsert. "Kerjasama ini bukan setakat untuk konsert kali ini, tetapi juga pihak kami dah bersetuju untuk menaja sut mewah setiap kali Jamal membuat persembahan sepanjang tahun ini. "Ini mungkin sebagai tanda terima kasih kami kepada Jamal yang tak pernah jemu-jemu menjadi penghibur berjuta rakyat Malaysia sejak dahulu lagi," kata Amanda lagi. Jelas Jamal, pelbagai persediaan telah diatur bersama dengan barisan pemuzik yang akan mengiringi persembahan empat malam itu. "Memang saya berdebar memandangkan saya akan menjadi pembuka tirai IB tahun in. Macam-macam persediaan yang telah saya lakukan termasuklah menambahkan lagi kecergasan untuk beraksi. "Banyak kelainan yang akan saya tampilkan kali ini. Ia memang sedikit berbeza berbanding dengan konsert yang lalu memandangkan pilihan lagu-lagu yang lebih cermat untuk peminat semua. "Antara pembaharuan yang saya akan lakukan termasuklah menyanyikan semula lagu-lagu lama yang jarang ke udara. Saya juga akan menyanyikan lagu-lagu penyanyi legenda yang cukup popular satu ketika dahulu. "Kali ini saya menjemput Datuk Dr. Ahmad Nawab untuk bersama-sama saya dalam konsert istimewa ini. Ada lagu baru yang diciptakan olehnya berjudul Suraya. Lagu itu memang dicipta khas untuk konsert kali ini dah akan diperdengarkan kepada peminat pada malam tersebut," jelas Jamal satu persatu. Biarpun sudah cukup masak dengan industri hiburan tempatan, ada kala hatinya cukup terusik dengan cakap-cakap orang yang mempertikaikan kemunculan semula dirinya ke pentas bertaraf dunia itu. Jelas Jamal semua itu bukan satu masalah dah tidak timbul soal berat sebelah dalam kemunculan semulanya itu. "Melalui syarikat saya, kami menghantar proposal kepada pihak Istana Budaya untuk kembali beraksi. Saya mahu masuk, saya kena usaha. Ini bukan soal berat sebelah seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak. "Saya tak kecewa dengan cakap orang. Tapi kalau boleh biarlah mereka tahu apa yang berlaku," ungkap Jamal lagi. Konsert J2011 Lagenda akan berlangsung mulai 7 hingga 10 Januari ini. Tiket-tiket berharga RM85, RM105, RM135, RM255 dan RM305boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.biz. | ||
Posted: Khurafat cara SyamsulOleh ARIF NIZAM ABDULLAH
PENONTON filem seram tempatan hari ini semakin ke depan apabila sering terdedah dengan banyak filem-filem genre seram dari luar. Secara tidak langsung, mereka akan mula bijak membandingkan filem tempatan yang menampilkan elemen filem seram luar yang pernah mereka tonton sebelum ini. Ini kerana sebuah filem seram acap kali bersandarkan kepada penciptaan visual dan kesan bunyi yang mampu mengesankan penonton untuk menimbulkan kesan seram. Justeru, apabila Syamsul Yusof pertama kali mengarah filem seram, cabaran besar menanti Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) itu untuk menghasilkan filem seram yang ada kelainan. Filem arahan terbarunya berjudul Khurafat - Perjanjian Syaitan masih lagi tidak dapat lari dibangunkan dengan unsur-unsur aksi mencemaskan, seram dan penuh suspens. Khurafat boleh dianggap percubaan berani Syamsul menerusi filem genre seram pertamanya dan merupakan karya seni yang boleh dibanggakan dari segi kualiti produk dan imej. Kesan visual yang dihasilkan cukup berkesan selain filem itu dikuatkan dengan kesan bunyi yang baik untuk membentuk mood keseluruhan filem. Filem keempat Syamsul itu mengisahkan mengisahkan perjanjian terlarang, iaitu persekongkolan antara manusia dan syaitan yang akhirnya membawa kepada bahana besar. Khurafat bermula dengan kisah Johan lakonan Syamsul sendiri yang bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital kerajaan. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, Aisyah yang pada awalnya hidup aman dan bahagia. Namun tanpa disangka ujian datang melanda mereka di pertengahan jalan cerita apabila pasangan itu sering menerima gangguan misteri yang berterusan. Namun kematian bekas teman wanita Johan, Anna yang cintanya ditolak berkali-kali berjaya membongkar misteri yang berlaku di dalam Khurafat. Khurafat dimulakan dengan adegan-adegan awal yang menarik, plotnya terkawal dan bergerak secara suspen. Namun momentum Khurafat mula timbul apabila memasuki pertengahan jalan cerita dengan kemunculan misteri seorang perempuan tua yang tidak Johan kenali namun sering menyapa dan cuba mendekati Johan sewaktu di tempat kerja. Kematian Anna dengan cara membunuh diri dan babak van jenazah jatuh ke dalam gaung serta usaha Johan menyelamatkan di dalam hutan pada waktu malam pula membawa kepada penamat Khurafat yang tidak disangka. Adegan penamatnya yang membawa pada kematian dramatik jelas membuatkan adegan itu cukup penting sebagai kesimpulan pada keseluruhan filem ini. Penonton akhirnya mendapat jawapan kenapa Johan mengiringi seorang jenazah bersama orang kampung ke tanah perkuburan sambil menitiskan air mata pada permulaan filem itu. Siapakah jenazah yang diiringi itu dan apakah ia cuba memberikan isyarat tertentu antara hubungan dengan Johan? Semuanya bakal terjawab apabila Khurafat akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula Khamis ini. Khurafat yang menelan kos termasuk promosi berjumlah RM1.7 juta itu turut dibintangi Liyana Jasmay yang melakonkan watak Aishah, Sabrina Ali (Anna), Fauziah Nawi (ibu Johan), Mariani (nenek) dan Latif Borgiba (bomoh). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |