Harian Metro: Rap |
Ada apa dengan Syamsul-Liyana? Posted: 31 Dec 2010 06:17 AM PST DALAM diam ada cinta? Begitulah gerak tubuh dua pelakon utama filem Khurafat, Syamsul Yusof atau Syamsul, 26, dan Liyana Jasmay, atau Liyana, 22, sewaktu hadir pada sesi fotografi khas bagi mempromosikan filem seram itu. Tidak mahu hubungan mereka dihidu media, kedua-dua pelakon muda ini cuba menyembunyikan perasaan cinta yang sedang berbunga di hati masing-masing. Apabila ditanya, masing-masing lebih selesa menyatakan mereka berkawan rapat dan terlalu awal untuk mengakui sedang hangat dilamun cinta. Begitupun cubaan mereka menyembunyikan hubungan cinta gagal apabila jelas kelihatan mesra sewaktu beraksi di hadapan lensa kamera.
"Saya tak pernah kenal Syamsul sebelum ini dan hanya memandang dari jauh apabila sesekali kami pergi menghadiri majlis anugerah. "Apabila ditawarkan membintangi Khurafat, saya terus terima kerana ingin menimba pengalaman dan bekerja bersama Syamsul. Lagipun ini adalah filem pertama saya bersama Skop Productions," katanya. Sepanjang sesi fotografi mereka langsung tidak kekok dan ada ketika kelihatan Syamsul menggenggam tangan erat tangan Liyana. Bercerita lanjut mengenai filem Khurafat, kata Liyana kerana tidak pernah mengenali Syamsul, dia meminta pemenang anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM-23) itu menghabiskan masa lebih banyak bersama bagi mencari keserasian. "Sewaktu menjayakan Khurafat, hubungan kami biasa saja. Bagaimanapun selepas Khurafat barulah kami lebih rapat. Nak kata cinta rasanya terlalu awal. Hanya baru-baru ini saja kami jadi rapat. Saya tak berani hendak mengatakan kami bercinta. Biarlah orang tahu kami sedang berkawan rapat," katanya. Menyentuh mengenai kerjaya seninya sepanjang 2010 yang baru berlalu, jelas Liyana, dia bersyukur kerana segala berjalan seperti dirancang. Paling menarik, impiannya untuk bergelar penyanyi dapat direalisasikan dengan munculnya album dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta. Dia juga gembira apabila cita-citanya hendak berlakon teater juga terlaksana dengan pembabitannya dalam Natrah 2 dan Siti Di Alam Fantasi sebagai menutup tirai 2010. "Saya bersyukur dengan apa yang saya peroleh sepanjang 2010. Alhamdulillah, apa yang dirancang nampaknya terlaksana dan untuk 2011 kerjaya saya dimulakan dengan filem Khurafat yang bakal ditayangkan pada 13 Januari 2011. Pada 2011, saya bercadang untuk tidak terlalu aktif dalam dunia lakonan dan mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya nyanyian pula. "Selain itu, saya akan kembali menyudahkan pengajian yang tertangguh selama setahun di Sunway College dalam bidang seni persembahan. Bermula Januari ini, saya akan memasuki semester akhir, jadi penting untuk saya memberikan tumpuan penuh. Di samping itu dapatlah saya mencari lagu yang bagus dan menghasilkan single terbaru terlebih dulu," katanya. Sementara itu, Syamsul apabila diminta menjelaskan mengenai gosip cintanya dengan Liyana turut menolak mereka sedang hangat berkasih, tetapi tidak menafikan senang berkawan dengan pelakon kelahiran Kuantan itu. "Saya suka Liyana kerana dia banyak mengambil berat mengenai saya. Contohnya pada hari ini, setiap pakaian saya untuk sesi fotografi, dia menjadi penasihatnya. Lagipun tidak dinafikan Liyana ada kelebihan itu dan tahu apa yang cantik untuk saya gayakan. Liyana memang suka fesyen," katanya. Waktu sama, Syamsul akui Liyana sangat menyenangkan dan mampu membuat dia ketawa, malah sepanjang penggambaran Liyana mampu menghilangkan tekanan yang dialami. "Bayangkan menduduki bangku pengarah dan pelakon dalam Khurafat bukan mudah. Saya sangat tertekan dari sudut emosi dan fizikal. Bagaimanapun apabila ada Liyana, tekanan hilang kerana dia suka mengusik dan membuatkan kami semua ketawa," katanya. Selain itu, jelas Syamsul, dia senang dengan Liyana kerana pengalaman dimiliki dan mereka sering bertukar-tukar pandangan dan idea mengenai filem ditonton atau yang mahu dihasilkan. Menyentuh mengenai pencapaiannya sepanjang 2010, Syamsul menyatakan dia bersyukur apabila banyak perkara baik berlaku dalam kerjayanya walaupun waktu sama turut terpalit dengan pelbagai kontroversi, antaranya kemenangannya di FFM-23 dipertikaikan beberapa penggiat termasuk kawan baiknya, Farid Kamil dan Ahmad Idham. Begitu juga dakwaan mengatakan Syamsul cemburu apabila Farid dan bekas kekasihnya Diana Danielle berpacaran. "Apa juga yang berlaku di sebalik kemenangan di FFM-23, saya tetap memandangnya dari sudut positif. Ia menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak filem yang bagus, sekali gus digemari penonton tempatan," katanya yang turut menang Lakonan Layar Terbaik bagi Evolusi KL Drift 2 pada Anugerah Skrin 2010 yang baru lalu. Bercerita mengenai impiannya pada 2011 ini, jelas Syamsul, pastinya dia mahu melihat percubaan mengemudi karya seram, Khurafat diterima baik. "Saya mahu menghasilkan filem pelbagai genre dan Khurafat adalah percubaan pertama. Pada 2011, saya ada beberapa perancangan lagi termasuklah menghasilkan sekuel Bohsia. Di samping itu saya merancang menghasilkan satu filem cinta menampilkan gandingan pelakon Malaysia-Indonesia. Setakat ini ada beberapa nama yang terlintas di fikiran saya. Ini perancangan besar saya pada tahun 2011 bagi membawa karya Skop Productions ke pasaran Indonesia," katanya. PROFIL NAMA PENUH: Mohd Syamsul Datuk Yusof Haslam PROFIL NAMA PENUH: Liyana Jasmay |
‘Tak perlu ubah nama’ Posted: 31 Dec 2010 06:05 AM PST BERCERITA mengenai Anugerah Oskar anjuran Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), karyawan seni tentu masih ingat bagaimana bekas presidennya, Syed Mohamed Hassan Benyahyah memperjuangkannya. Sepatutnya, acara tahunan ini dilangsungkan buat kali kesembilan di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor pada 23 Disember lalu.
Namun, di bawah kepemimpinan Khir Mohd Noor yang memberi pembaharuan kepada nama PPFM untuk dikenali sebagai Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Anugerah Oskar diubah menjadi majlis Anugerah Profima 2010 (MAP2010). Khabarnya, acara ini ditangguhkan ke pertengahan Januari ini. Apapun, Syed Mohamed yang ditemui di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak mahu memberi komen mengenai penangguhan acara itu.
"Mengapa sesuatu yang baik perlu diubah, sepatutnya kita kukuhkan jenama itu. Saya rasa tidak perlu beri komen mengenai kepemimpinan baru kerana saya percaya setiap presiden mempunyai pandangan sendiri," katanya. Dalam memperjuangkan nasib karyawan seni, Syed Mohamad sebenarnya masih aktif berpersatuan selepas melepaskan tanggungjawab presiden PPFM di mesyuarat agung tahunan (AGM) 11 April lalu. Meneruskan kesinambungan sebagai pemimpin, dia tampil memperkenalkan organisasi baru iaitu Persatuan Portal Kreatif Malaysia (Portal Kreatif) yang ditubuhkan pada 20 Julai lalu. Katanya, organisasi baru itu tidak hanya memberi fokus kepada bidang hiburan. Skopnya merangkumi pelbagai aktiviti seperti menembak, memburu, menternak, memanah, melukis, selam skuba dan kraftangan. "Matlamat Portal Kreatif mahu menjadi platform pemangkin kreativiti dan inovasi selain menjadi badan perunding, merancang dan melaksanakan aktiviti pelbagai cabang seni dan budaya. "Ini mempunyai kaitan menerusi aktiviti penyelidikan, pendidikan, latihan, konvensyen, seminar, bengkel dan pertandingan. Untuk bidang seni, ia membabitkan filem, TV, multimedia, fesyen dan kraftangan. "Pemilihan nama portal dipilih kerana ia komersial dan moden. Organisasi ini bukan bermatlamat bersaing dengan persatuan seni lain, tapi berkongsi kreativiti dan bekerjasama dalam menjana ekonomi negara. "Sebagai badan bukan kerajaan (NGO), kami sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta," katanya. Portal Kreatif dilancarkan secara rasmi oleh Presiden UNI Global Union Malaysia, Mohamed Shafie BP Mammal. Selepas pelancaran, mesyuarat agung pertama diadakan. Sebagai suatu tarikan, Syed Mohamed berkata Portal Kreatif akan menganjurkan majlis Anugerah Seni Kreatif Inovasi Malaysia (ASKIM) tidak lama lagi. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |