Adsense

Sabtu, 15 Januari 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Monopoli Beast

Posted:

Monopoli Beast

Monopoli Beast



BUAT julung-julung kalinya tiga penyanyi dari Korea yang bernaung di bawah syarikat rakaman Play Cube Inc. iaitu Beast, 4Minute dan G.Na berdiri di atas satu pentas untuk menghiburkan peminat di Malaysia dalam sebuah konsert Digi Live K-pop 2010.

Apa yang pasti, lebih 3,000 peminat yang memenuhi perut Stadium Negara Kuala Lumpur pada Khamis lalu, datang hanya untuk menyaksikan persembahan daripada kumpulan Beast.

Beast yang ditubuhkan pada Oktober 2009 itu terdiri daripada enam anak muda, yang diketuai oleh Yoon DuJun, Jang HyunSeung, Yong JunHyung, Yang YoSeop, Lee KiKwang dan Sohn DongWoon.

Mereka masih tergolong sebagai kumpulan baru, namun kejayaan yang diraih mereka mengatasi kumpulan pop Korea baru yang lain.

Pernah mengadakan konsert mini di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu, ketika itu keghairahan peminat terhadap mereka tidak seperti hari ini.

Selepas muncul dengan empat album mini Beast Is The B2ST (Oktober 2009), Shock Of The New Era (Mac 2010), Mastermind (Oktober 2010 dan Lights Go On Again (Disember 2010) populariti mereka semakin memuncak daripada tahun lalu.

Buktinya mereka baru sahaja selesai mengadakan konsert sulung mereka, Welcome To Beast Airline di Seoul, Korea dan berjaya menarik sehingga 8,000 orang penonton pada 12 Disember tahun lalu.


BEAST berikrar menjadikan Malaysia sebagai destinasi wajib dalam kalendar konsert mereka pada masa akan datang.


Menunaikan janji mereka kepada peminat di Malaysia, Beast hadir buat kali kedua dalam konsert Digi Live K-pop 2011 tanpa kehadiran seorang anggotanya, Lee KiKwang.

Menurut pihak penganjur, Lee KiKwang mempunyai perkara yang harus diselesaikan di Korea dan tidak dapat bersama anggota Beast yang lain untuk persembahan kali kedua mereka di Malaysia itu.

Terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat mereka di Malaysia, anggota Beast yang ditemui pada majlis sidang media memberitahu mereka akan sentiasa menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi wajib dalam kalendar konsert mereka.

"Kami mahu membuat peminat kagum dan menjadikan persembahan kali kedua ini lebih baik daripada tahun lalu. Tahun lalu lokasi konsert kami agak kecil, jadi tidak ramai peminat yang dapat hadir.

"Jadi, kali ini lokasinya lebih besar, harap ini bukan kali terakhir kami datang ke Malaysia kerana kami sukakan suasananya dan Menara Berkembar Petronas yang sungguh cantik," ujar YoSeop.

Walaupun masih baru, ujar DuJun, itu bukannya halangan buat mereka mempunyai impian menjadi salah sebuah kumpulan paling dikenali di Korea.


DONGWOON (kanan) dan DuJun bijak menarik perhatian pengunjung konsert.


"Saya akan secara senyap-senyap melakukan yang terbaik untuk menjadikan kumpulan kami dikenali sebagai kumpulan yang mewakili Korea. Mungkin impian itu akan mengambil masa untuk dicapai tetapi saya akan letakkan segala usaha untuk memastikan impian itu terlaksana.

"Selain menyanyi, saya juga akan bekerja keras dalam bidang lakonan supaya harapan peminat terhadap saya tidak akan pudar," ujar DuJun yang juga bertindak sebagai rapper dalam kumpulan Beast.

Dalam konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu Beast menyanyikan enam buah lagu dalam masa 35 minit. Barisan lagunya, Special, Soom, Shock, Oasis, Beautiful dan You membuatkan peminat tidak dapat mengawal diri dek persembahan penuh bertenaga daripada Beast.

Peminat yang rata-ratanya gadis belasan tahun berketurunan Cina dan Melayu biarpun berkemungkinan tidak fasih berbahasa Korea, turut menyanyi bersama malah, mereka turut membawa sepanduk untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Beast.

Februari ini Beast dijangka mengadakan konsert kedua mereka selama dua hari pada 18 dan 19 Februari di Stadium Gimnastik, Taman Olimpik di Seoul, Korea selepas permintaan yang tinggi daripada peminat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sherina suka lulur badan

Posted:

Sherina suka lulur badan

Sherina suka lulur badan


SHERINA MUNAF


PERAWATAN kecantikan secara tradisional kini boleh dikatakan kurang mendapat tumpuan apatah lagi dengan kemunculan teknologi canggih yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Selari perkembangan zaman moden, orang ramai boleh membuat rawatan di mana-mana sahaja, tanpa mengira waktu.

Namun, bagi penyanyi dan pencipta lagu, Sherina Munaf, dia lebih gemar melakukan perawatan kecantikan menerusi teknik tradisional. Tabiat itu mula disemai sejak berada di bangku sekolah. Malah, Sherina berkongsi hobi tersebut bersama ahli keluarganya yang lebih menyukai rawatan diri menggunakan teknik lama.

"Saya rajin melulur badan sewaktu berada di sekolah menengah. Kebetulan, keluarga saya melanggan tukang lulur sendiri datang ke rumah. Jika tidak ada sebarang aktiviti persekolahan, saya pasti buat perawatan diri setiap minggu. Ia menjadi waktu paling membahagiakan buat saya sebab dapat memanjakan diri.

"Cuma, selepas bergelar artis dan dihambat kesibukan kerja, saya jarang melakukan perawatan tradisional. Kalau ada sekalipun, saya dan teman lain sekadar melakukan rawatan kecantikan diamal oleh nenek moyang kami sebelum ini. Lagipun, ia bukan selalu kerana dengan penambahan usia, kami ada komitmen sendiri.

"Apa yang pasti, saya kurang berminat melakukan perawatan menggunakan mesin canggih kerana lebih mempercayai kaedah lama. Kalau boleh, setiap waktu saya ingin melakukan lulur di spa tradisional. Tetapi, malangnya, hanya waktu yang membatasi saya untuk memanjakan diri," jelas Sherina sedikit kesal.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Jamal tetap hebat

Posted:

Jamal tetap hebat

Jamal tetap hebat

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


KEUNGGULAN Jamal Abdillah sebagai seorang penghibur di pentas masih kekal terserlah.


KONSERT J2011- Lagenda, raja pop Malaysia Jamal Abdillah yang menutup tirainya pada 10 Januari selepas empat hari dipentaskan di Istana Budaya boleh disifatkan sebagai konsert yang berjaya.

Kejayaan yang dimaksudkan adalah daripada segi kutipan tiket, difahamkan sehari sebelum konsert itu berlangsung 80 peratus tiket yang berharga bermula RM85 hingga RM305 telah berjaya dijual, itu membuktikan nama Jamal Abdillah masih boleh dijual dan masih mempunyai daya penarik.

Boleh dikatakan konsert J2011- Lagenda memang dibikin khas buat peminat setia Jamal Abdillah kerana hampir kebanyakan lagu yang didendangkannya merupakan lagu yang agak asing di telinga pendengar biasa.

Malah, ada antara lagunya tidak pernah dinyanyikan langsung di pentas persembahan dan keunikan itulah yang membuatkan peminatnya memenuhi Istana Budaya walaupun kurangnya lagu popular didendangkan dalam konsert itu.

Kata Jamal, dia sengaja mengambil risiko memilih lagu-lagu yang kurang popular untuk dinyanyikan dalam konsert kali ini kerana, jika tidak konsertnya ini kelihatan sama sahaja seperti konsertnya yang lain.

"Sebenarnya saya terpaksa memilih lagu-lagu yang tidak pernah dinyanyikan pada konsert sebelum ini untuk konsert J2011- Lagenda.

"Saya takut orang bosan saya asyik menyanyikan lagu yang sama. Jadi untuk konsert ini, membawa lagu yang jarang dinyanyikan adalah kelainan yang cuba saya tonjolkan. Inilah masalah yang sering dihadapi oleh seorang penghibur, susah untuk penuhi selera semua membuatkan saya rasa serba salah," ujarnya.

Tambahnya, dia sedar setiap kali konsert, peminat pasti mahukannya menyanyikan beberapa lagu wajibnya seperti Kekasih Awal Dan Akhir dan Azura tetapi, dia harus memikirkan peminat setianya yang hadir ke setiap konsert.

Beritahu Jamal lagi: "Kalau orang biasa yang suka dengar lagu saya mungkin akan kecewa bila mereka tidak mendengar lagu-lagu yang mereka ingin dengar kerana itu sahaja lagu yang suka dan tahu.


EMOSI dan tenaga yang cukup efektif disirnakan daripada alunan vokal merdu Jamal berjaya memukau penonton.


"Tetapi berbeza dengan peminat setia yang datang ke setiap konsert saya, kalau saya bawakan lagu yang sama adalah tidak adil untuk mereka kerana mereka mengharapkan kelainan.

Menyanyi 23 buah lagu pada setiap malam di konsert J2011- Lagenda, balas Jamal, sepanjang 20 tahun bergelar penyanyi, sebenarnya terlalu banyak lagu yang ingin didendangkan di pentas persembahan tetapi tidak pernah berkesempatan.

"Sebenarnya banyak lagi lagu dalam album saya sedap-sedap dan saya sendiri suka tetapi ramai orang tidak tahu selain peminat yang beli album kerana lagu itu tidak dijadikan single atau diputarkan di radio.

"Jadi, inilah masanya untuk saya perkenalkan lagu-lagu itu pada peminat. Memang saya rasa puas kerana dapat memilih sendiri lagu-lagu yang saya suka untuk konsert kali ini," ucapnya.

Konsert yang diterbitkan sendiri oleh syarikat Jamal iaitu Bintang Channel Sdn. Bhd. diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Eddie Marzuki.

Antara lagunya yang didendangkan ialah Di Mana Bayanganmu, Nadi Cinta, Sepi Seorang Perindu, Cinta Yang Terbiar, Kelukaanku Keranamu, Sikapmu Meragukan, Antara Yakin Dengan Curiga, Penyiksaanku, Kalipso Tropikana, Takdir Penentu Segala dan Cinta Selayang Pandang.

Turut didendangkan ialah Gadis Melayu, Tangisan Di Waktu Malam, Lagu Rindu, DiRundung Derita, Rayuan Maut, Perasaan, Secupak Dua Cupak serta sebuah lagu baru, Sueraya.

Tidak ketinggalan, komposer yang banyak membantu menaikkan nama Jamal dalam dunia seni suara, komposer Datuk Ahmad Nawab turut membuat penampilan khas apabila mengiringi Jamal dengan tiupan saksofon menerusi lagu Jeritan Batinku, Namamu Di Bibirku, Seniman Menangis dan Rinduku Rindumu.

Selain itu, turut diselitkan nostalgia lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan penyanyi kegemaran Jamal seperti Tan Sri P. Ramlee, M. Bakri, S. Affendi, Ismail Harun, Eddy Silitongga dan Datuk Ahmad Jais.

Selepas konsert J2011- Lagenda, Jamal akan muncul dengan sebuah album kompilasi termasuk dua buah lagu baru dan kemungkinan besar Jamal akan mengadakan sebuah konsert di Singapura pada Mac depan.

"Masih dalam peringkat perbincangan, kalau semuanya berjalan lancar saya akan mengadakan konsert solo di Stadium Tertutup Singapura, Mac depan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.