Utusan Online - Hiburan |
Posted: Tidak mahu jadi pengkhianatOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
MEMANG sudah lama penulis tidak bertemu dengan pelakon dan pengarah yang seorang ini. Kalau tidak silap perkiraan, kali terakhir ketika majlis prebiu filem I'm Not Single sekitar Julai 2008. Lalu, apabila dapat bertemu semula dengan Pierre Andre pada majlis pelancaran drama Tiramisu di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kesempatan itu diambil untuk duduk bersembang dengannya. Daripada pengamatan penulis, Pierre hari ini sudah jauh beza ketika kali terakhir bertemu dengannya. Bicaranya semakin matang dan tenang sesuai dengan usianya yang sudah mencecah 25 tahun itu. Banyak perkara yang dibualkan dan sebagai pembuka bicara, penulis bertanyakan tentang kisah di sebalik kontroversi yang melanda dirinya sepanjang dua tahun lalu. Seboleh-bolehnya Pierre enggan lagi menyingkap kisah silam itu tetapi kata anak sulung seniwati Khatijah Tan ini, apa yang berlaku disifatkannya sebagai satu proses kematangan untuk dirinya. Tidak malu untuk mengaku, Pierre menjelaskan apa yang berlaku ketika itu ada kaitannya dengan darah panas anak muda sepertinya yang kuat memberontak. Sehinggakan dia sendiri pernah menghentak meja dengan kuat ketika mengadakan perbincangan dengan David Teo ketika kontroversi tentang dirinya hangat diperkatakan. "Apa sahaja yang telah berlaku sebenarnya membuatkan saya sedar dan banyak berfikir tentang masa depan saya. "Memang ketika itu, usia saya pun masih muda dan ada kalanya tidak boleh berfikir secara matang. Semuanya mengikut kata hati sahaja. "Tetapi kini, saya sudah jauh berubah dan sepanjang dua tahun ini, saya menyifatkan diri saya seorang yang semakin matang dalam menilai serta membuat sebarang keputusan. "Saya semakin mendekati Allah SWT dan kerana itu, saya memang dapat merasakan kehidupan saya kini semakin tenang ," ujar Pierre tanpa selindung. | ||
Posted: Cabaran baru Bernard, LinaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEBAIK sahaja melangkah kaki dalam dunia pengarahan filem, nama pengarah yang seorang ini dengan pantas meraih perhatian yang cukup meluas. Mula tampil dengan filem arahan pertamanya, Gol & Gincu, Bernard Chauly tidak perlu menunggu lama untuk namanya meniti di bibir peminat filem tempatan. Tidak keterlaluan dikatakan, Bernard antara pengarah muda yang sentiasa tampil dengan idea serta konsep yang segar dan baru dalam setiap karya yang dihasilkannya. Walaupun pada hakikatnya Bernard sebenarnya sudah lama bergelumang dalam bidang seni menerusi drama dan cukup dikenali sebagai pengarah rancangan berinformasi, 3R, baginya setiap karya yang dihasilkan mempunyai cabarannya tersendiri dan sebagai seorang pengarah, dia mahu memastikan karya-karya itu dapat memberikan impak yang luar biasa. Menerusi karya terbarunya, Gadis Semasa Sunsilk, Bernard mengakui ia merupakan antara cabaran terhebat baginya sebagai seorang pengarah. Manakan tidak, program itu merupakan seumpamanya di negara ini apabila ia menampilkan drama realiti yang belum pernah diterokai dalam mana-mana penerbitan tempatan. Jika sebelum ini, masyarakat sudah terlalu biasa disogokkan dengan pelbagai program realiti berbentuk hiburan, Gadis Semasa Sunsilk menjanjikan satu kelainan yang pastinya mampu menarik perhatian ramai. Namun, kali ini, senario itu berubah apabila Gadis Semasa Sunsilk yang diterbitkan sebanyak 13 episod itu akan membawa penonton menyelusuri kehidupan sebenar seorang gadis yang bakatnya dikesan menerusi YouTube. "Di sinilah terletaknya cabaran saya sebagai seorang pengarah kerana para pelakon di dalam siri ini adalah orang biasa yang membawakan watak diri mereka sendiri. "Tetapi, dengan adanya bengkel lakonan selama tiga minggu, mereka dapat menyesuaikan diri dengan konsep drama ini walaupun pada awalnya, mereka kelihatan sungguh kekok kerana tidak biasa untuk beraksi di hadapan kamera. "Namun saya teruja terlibat dalam projek ini kerana ia membawa satu perubahan baru dalam bidang penyiaran di negara ini khususnya dalam konteks program realiti. Inilah kali pertama apabila drama dan realiti digabungkan menjadi satu," jelas Bernard penuh bersungguh tentang Gadis Semasa Sunsilk yang diterbitkan oleh Red Communications itu lagi. Pengarah filem Pisau Cukur itu ditemui pada sidang akhbar Gadis Semasa Sunsilk yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir ialah Penerbit Eksekutif Gadis Semasa Sunsilk, Lina Tan; Pengurus Pemasaran Rambut, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Ashlee Ng dan Pengurus Jenama, Kumpulan Perniagaan Penjagaan Rumah dan Diri Unilever, Emily Chong. Hadir sama ialah tiga personaliti popular sebagai pakar dalam bidang seni dan kecantikan iaitu Ajai selaku pakar vokal, Wardina Safiyyah (personaliti) dan Bambang Sutrisno Soteto (dandanan). Tambah Bernard lagi, sebelum ini dia pernah mengarahkan filem, drama dan program berbentuk majalah tetapi Gadis Semasa Sunsilk merupakan program realiti pertama arahannya. "Saya juga tidak mahu gadis terbabit berlakon sehingga dia tidak menjadi dirinya sendiri walaupun kami mempunyai skrip sebagai panduan. "Kami mahu penonton sendiri berasa teruja dengan program ini dan selama tiga bulan, mereka akan dapat melihat sendiri perjalanan kehidupa gadis yang cukup berbakat ini," ujarnya yang juga pernah mengarahkan filem Goodbye Boys pada tahun 2007 ini lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |