Utusan Online - Hiburan |
Sepah tidak menyesal berhenti kerja Posted: Sepah tidak menyesal berhenti kerjaOleh ABD. AZIZ ITAR
KUMPULAN Sepah menyertai pertandingan Raja Lawak musim ke-3 (RL3) dua tahun lalu kerana menyahut cabaran kawan-kawan yang mahu melihat bakat mereka sebagai pelawak. Bukan sahaja tidak berniat menjadi pelawak sepenuh masa, malah kumpulan trio ini juga asalnya berhasrat kembali kepada kerjaya masing-masing selepas berakhirnya RL3. Bagaimanapun, juara RL3 ini akhirnya tidak mampu menolak rezeki yang datang mencurah-curah dalam bidang lakonan selepas menjuarai pertandingan tersebut. Menurut salah seorang anggota Sepah, Jep, dia dan dua lagi anggota kumpulannya tidak menyangka akan menceburi bidang lakonan dan melupakan terus kerjaya lama mereka. "Sebelum ini, saya dan Shuib misalnya, bekerja sebagai ramp agent atau pengawal bahagian lalu lintas di Lapangan Terbang Senai di Johor. Pendapatannnya agak bagus juga. "Sementara Mamat pula kerja sendiri dan kadang-kadang tidak bekerja. Tetapi selepas menang RL3 ada kawan-kawan cabar kami supaya cuba kerjaya sebagai pelakon. "Kami memang pernah ada niat mahu 'berpatah balik' kepada kerja-kerja lama, tetapi selepas hampir dua tahun menjadi pelakon kami dapati pendapatan bidang ini lebih bagus," katanya. Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin menyingkap pengalamannya sebagai pelakon sejak dua tahun lalu semasa ditemui selepas acara Bujang Sepah, Amazing Race di Sepang, Selangor baru-baru ini. Pelakon dan pelawak berusia 25 tahun ini menjawab dakwaan kononnya populariti Sepah semakin pudar selepas menjuarai rancangan terbitan Astro Prima itu. Jelas Jep, dia mengakui nama Sepah tidak segah juara Raja Lawak yang lain terutamanya Nabil yang terus mekar dalam bidang seni dengan mendapat publisiti meluas daripada media massa. "Saya akui hakikat itu kerana banyak sebab termasuklah masalah disiplin kami. Saya pula ketika baru menang RL3 kurang sihat. "Apatah lagi, kami bergerak sendiri tanpa ada pengurus yang memberi garis panduan dalam bidang seni. Sekarang ini kami sudah mampu bergerak sendiri kerana ada pengalaman. "Malah, tawaran berlakon dalam drama dan telemovie juga semakin banyak kebelakangan ini. Ia termasuk mengendalikan rancangan Bujang Sepah Lalalitamplom di Astro Prima," ujarnya. Bujang Sepah Lalilatamplom musim kedua sebanyak 26 episod akan disiarkan setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Prima (saluran 105, Astro) mulai 3 Januari depan. Drama bersiri arahan Mohd Danial Hasbullah yang menampilkan Sepah itu turut dilakonkan oleh Hamid Gurkha, Sheila Mambo, Imuda, Ely Sarimah dan Daim Handsome. Selain menerima tawaran berlakon, Sepah juga tidak menang tangan menerima pelbagai undangan termasuklah merakamkan album single sulung mereka berjudul Mak Dah Kata. Album single itu akan diterbitkan oleh E-rama Records . "Ini suatu permulaan kami sebagai penyanyi. Selepas ini kami akan bertambah sibuk kerana sekarang kami bukan setakat berlakon tetapi juga menyanyi," jelasnya. Namun, Sepah yang lebih mengutamakan bidang lakonan pada masa ini mengakui mereka pernah dikritik kerana menggunakan bahasa kasar ketika berlawak. Bukan itu sahaja, malah mereka juga dikatakan menampilkan lawak bodoh yang membosankan. Bagi Sepah, walau apapun yang dilabelkan ia tidak mematahkan semangat mereka. Sebaliknya tiga anak muda kelahiran Johor ini mengakui ia adalah gaya berlawak mereka dan tidak berniat untuk menyakiti sesiapa juga. "Bukannya mudah mahu buat orang ketawa. Kalau hendak buat orang sakit hati mudah sahaja. Kami rasa lawak kami jujur dan ia datang daripada hati kami. Itu adalah gaya bahasa kami. "Kami tidak berniat mahu menyakiti sesiapa. Kalau orang boleh ketawa dengan gaya lawak kami walaupun bunyinya agak kasar, maka kami rasa sampailah lawak kami itu," katanya. Selain Jep, Sepah yang turut dianggotai oleh Mohd Noor Murad (Mamat) dan Shahmira Mohamed (Shuib) tampil petang itu bagi meraikan wakil-wakil media massa melalui acara Amazing Race. Menerusi program itu, wakil-wakil media massa bukan sahaja bersaing dalam acara mencari harta karun tetapi juga menunjukkan bakat menyanyi dan menari. Kumpulan Jijah The Legend memenangi acara Amazing Race, manakala The Girls pula memenangi kategori persembahan terbaik di mana masing-masing menerima baucer membeli-belah di Jusco. | ||
Posted: Air mata jujur dua sahabatOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SUDAH pun namanya program realiti, drama dan kejutan memang tidak dapat dipisahkan. Ibaratnya seperti irama dan lagu. Seperti mana program lain, Idola Kecil musim ketiga (IK3) terbitan TV9 juga tidak terkecuali pada konsert mingguan keenam yang mengangkat tema penghormatan kepada Datuk Siti Nurhaliza itu apabila tiada sebarang penyingkiran yang berlaku. Namun, itu bukan drama yang telah menarik perhatian audiens yang hadir menyaksikan rakamannya di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, minggu lalu. Sebaliknya, gelagat dua peserta IK3 iaitu Hadi dan sahabatnya, Harris pada malam itu telah menggamatkan studio tersebut apabila air mata mereka mengalir deras tanpa dipaksa. Semuanya selepas kesemua lapan peserta IK3 perlu melalui situasi yang agak tegang ketika nama mereka dipanggil oleh pengacaranya, Alif Satar dalam suasana yang cukup mendebarkan. Lebih-lebih lagi tumpuan diberikan kepada Hadi yang dilihat mempunyai potensi untuk disingkirkan gara-gara kegagalannya menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu dengan baik. Bukan sekadar lupa lirik tetapi ada bahagian not tertentu, nyanyian Hadi tergelincir daripada landasannya lalu membuatkan ramai yang menyangka kanak-kanak comel itu akan menjadi mangsa seterusnya. Sebaik sahaja Alif mengumumkan tiada penyingkiran pada minggu itu, keadaan menjadi tidak terkawal apabila Hadi dan Harris berterusan menangis tanpa henti sehingga perlu ditenangkan oleh keluarga masing-masing. Bertemu dengan Hadi dan Harris usai rakaman tersebut, dalam nada teresak-esak, masing-masing memanjatkan kesyukuran apabila tiada penyingkiran pada episod tersebut. Untuk Hadi atau nama sebenarnya, Abdul Hadi Abdul Mazlan, dengan penuh jujur dia mengakui dia cukup takut seandainya namanya yang akan disebut oleh Alif sebagai peserta yang akan tersingkir. Memang dari awal lagi, dia sudah mempunyai firasat tersebut berdasarkan kepada persembahannya yang kurang memberangsangkan atas faktor tidak sihat. "Saya tidak dapat memberikan persembahan yang baik kerana demam dan selesema sejak beberapa hari sebelum konsert ini. Kerana itu, saya memang menyangka saya yang akan tersingkir. "Syukur Alhamdulillah apabila tiada penyingkiran dan saya berazam untuk membuat persembahan terbaik pada minggu ini kerana saya mahu bertanding sehingga ke peringkat akhir nanti," katanya tersekat-sekat sambil menyapu air mata yang tidak henti mengalir itu. Namun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menafikan kemunculan Siti Nurhaliza yang turut bertindak sebagai juri jemputan pada malam itu telah mengganggu konsentrasinya. Apatah lagi, ketika Hadi membuat persembahan, penghibur bersuara emas itu juga menyanyi bersamanya dan memang terpancar jelas kanak-kanak berusia 12 tahun itu terkedu apabila nampak Siti melakukan sedemikian. Jika Hadi mengalirkan air matanya kerana takut menjadi mangsa penyingkiran, berlainan pula dengan Harris. Anak kelahiran Pulau Pinang itu tidak menafikan dia juga bimbang seandainya disingkirkan tetapi apa yang lebih menyedihkan jika dia tidak dapat lagi bersaing bersama Hadi. Sesungguhnya persahabatan mereka memang cukup akrab dan lebih-lebih lagi, belum ada seorang pun peserta lelaki yang tersingkir. Atas alasan itulah, Harris menjelaskan seboleh-bolehnya dia tidak mahu Hadi dan seorang lagi peserta lelaki, Muhammad Afif Abdul Halim atau Afif disingkirkan. "Kami memang berkawan rapat dan kami juga mahu bertanding sehingga ke peringkat akhir nanti. Siapa yang tidak takut jika nama mereka dipanggil sebagai peserta yang tersingkir. "Saya akui kesemua peserta yang ada dalam pertandingan ini memang bagus dan hebat," kata Harris atau nama penuhnya, Nor Harris Nor Rashidi itu dalam nada tenang. Anak kecil berusia 11 tahun itu telah menyampaikan lagu Pastikan dengan cukup cemerlang dengan gaya tersendiri sehingga mendapat pujian Siti dan juri tetap IK3, Atilia. Selain Hadi, Harris dan Afif, lima peserta lain yang akan meneruskan perjuangan mereka untuk minggu ini ialah Shazlin Salamat atau Shazlin, Angelica Paujin (Angel), Farra Noradzlina Safwan (Farra), Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri) dan Nol Balqis Ahmad Tajudin (Balqis). Secara keseluruhan, kesemua peserta telah memberikan persembahan yang menarik dan interpretasi tersendiri terhadap lagu-lagu nyanyian Siti Nurhaliza. Afif misalnya, telah menyelitkan elemen rap pada pertengahan lagu Ku Milikmu yang mendapat pujian Siti dan Atilia. Begitu juga Puteri dengan penuh beremosi menghayati lagu Dialah Di Hati yang merupakan sebuah lagu yang begitu sukar dinyanyikan seperti mana dikatakan Siti. Mengulas tentang elemen kejutan pada konsert mingguan keenam itu, Penerbit IK3, Nurul Ashikin Halim memberitahu ia bukanlah sesuatu yang dirancang. Katanya lagi, penyingkiran akan tetap berlaku kerana sedari awal sejak IK3 mula bersiaran, tidak mungkin 10 peserta yang bertanding akan mara ke peringkat akhir pada 25 Disember ini. "Dua konsert terawal memang tidak ada penyingkiran dan ia hanya dilakukan selepas itu. Buat masa ini sukar untuk saya katakan berapakah bilangan peserta yang akan ke final. Semuanya akan terjawab pada minggu ini," katanya yang memberitahu tema untuk minggu ini akan menyaksikan para peserta menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka. Tentang tema minggu keenam yang memberi penghormatan kepada Siti Nurhaliza pula, Nurul Ashikin menjelaskan pihaknya memang sudah lama mahu melakukan tribute untuk penyanyi hebat itu. Malah, untuk dua musim terdahulu, puas pihaknya menjemput Siti sebagai juri jemputan tetapi kerana kesibukannya serta waktu yang tidak sesuai menyebabkan hasrat itu tertangguh seketika. "Lagipun tahun ini merupakan tahun ke-15 pembabitannya dalam bidang seni. Jadi, sesuai sangatlah jika Siti diberi penghormatan oleh IK3," katanya yang gembira dengan respons menggalakkan daripada masyarakat terhadap IK3. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |