Berita Harian: Hip |
Posted: 15 Dec 2010 09:49 AM PST Hip BAGI mereka yang sudah menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, pastinya ada yang ketawa terbahak-bahak melihat aksi Awie yang melakonkan watak Usin dikejar hantu. Ironinya, dalam filem itu wajah Awie dilihat garang dan serius. Tidak nampak langsung ciri-ciri pelakon komedi atau pelawak. Tetapi karektor Usin yang dibawakan dengan bersahaja memang hidup. Itulah Awie. Kalau 10 atau 15 tahun dulu, dia cukup dikenali dengan watak hero, lelaki macho yang melakonkan watak aksi atau pertarungan. Kini, kebolehannya sudah dipelbagaikan. Sememangnya di pentas nyanyian keunggulan ikon rock ini sudah terbukti. Di persada lakonan pula, kini keterampilan menjiwai aneka watak juga sudah teruji. Apabila tabir 2011 menjelma sedikit hari lagi, akan menyerlahkan pula sentuhan keramat Awie apabila dia mula bergelar sutradara pula.Skrip filem yang menentukan hala tuju insan insan bernama Ahmad Azhar Othman di arena pengarahan sudah lima tahun terperap dengan hanya menunggu waktu paling tepat untuk diangkat ke layar besar. Menggunakan Merah 2 sebagai judul, anak guru silat itu menggarap plot kisah bersandarkan pengalaman sendiri sekali gus mahu menonjolkan keunikan persilatan Melayu sehebat seni mempertahankan diri yang sering disogokkan penerbitan Hong Kong. Akuinya yang pernah dipertanggungjawabkan menjadi pereka gerakan lagak ngeri dan pembantu pengarah dalam beberapa filem, produksi yang dianggarkan menelan kos hampir RM2.5 juta bakal ditinggalkan sebagai warisan kepada generasi muda.
"Sekalipun Merah 2 mengambil masa untuk direalisasikan, buah tangan sulung ini bakal menjadi warisan saya kepada anak bangsa kerana persilatan Melayu antara tinggalan nenek moyang yang tidak boleh diketepikan begitu saja," katanya. Mempertaruhkan watak antagonis dan protagonis yang sama hebat skil pertarungan, Awie yang pernah membintangi sebuah filem usaha sama Thailand, Brave, menjadikan karya itu sebagai panduan apabila setiap aksi atau pukulan bukan dibuat-buat sekali pun ada di kalangan pelakon dikejarkan ke hospital dek kecederaan. "Itulah pentingnya rekaan gerakan dan latihan sebelum memulakan penggambaran kerana filem aksi tidak seperti karya lain. Jika perlu berlatih dengan pesat, ikut arahan dan perlu memusatkan fikiran sebaik saja di tengah lokasi," katanya yang menjadi pereka gerak aksi bagi filem Merah, Iskandar, Baik Punya Cilok, Bara dan Getaran. Biar pernah dicop dengan pelbagai gelaran dek kecenderungannya terhadap persilatan dan aksi lasak selain dilabel kaki gaduh, sisi sebenar vokalis Wings itu sebenarnya penuh dengan sifat humor apatah lagu selepas melalui fasa sebagai suami dan bapa kepada lima cahaya mata. Malah barangkali imej rocker yang selama ini digambarkan kasar membuatkan peminat atau mereka yang sekadar mengenalinya dari jauh beranggapan keperibadian pemilik tubuh sasa juga tidak jauh berbeza dengan selebriti Barat yang suka diulit kontroversi. Enggan memanjangkan cerita lama, perbualan di sudut santai Holiday Villa Subang Hotels & Suites itu beralih semula kepada topik kerjayanya sambil sesekali figura terkenal itu menghirup kopi panas mengimbas bab ke bab pengalaman hidupnya. Awie dalam Konsert Gemuruh DT Tempoh 21 tahun menghambakan diri kepada dunia seni dengan bermula sebagai 'budak penjaga set dram' kepada banyak band tersohor termasuk Search ialah detik terindah untuk dikenang apabila kesukaran pada awal perjalanan membuatkan dia cukup menghargai setiap saat dilalui. "Pada usia 17 tahun saya sudah bekerja di Panggung Anniversary dan berpeluang bekerja untuk pemuzik ternama seperti Search, Ella & The Boys, Sweet Charity serta ramai lagi hingga menaikkan semangat saya untuk berada di tempat mereka suatu masa nanti. "Pernah sekali saya dimarahi bos kerana hilang daripada tempat kerja walaupun sepatutnya tugas saya memastikan dram Yazit sempurna, semata-mata mahu memenuhi undangan menyanyi... Tetapi ketika itu cuma di majlis orang kahwin," katanya lagi sambil tertawa mengenang nostalgia lalu. Hari ini, budak penjaga dram itu sudah mengukuhkan jenama Wings dengan deretan anugerah dan pengiktirafan hasil kerja keras sejak ditubuhkan pada 1985 dan kini, bersama anggota kumpulannya yang lain termasuk Black, Joe dan Eddie, legasi muzik mereka diteruskan. Sambil bercerita, sesekali pandangan terarah kepada insan yang lebih dulu mengenal sepak terajang dunia seni, Amy (Search) yang kini menjadi sahabat baiknya apabila kedua-dua kumpulan mereka digandingkan lagi dalam persembahan mega, Konsert Gemuruh DT dengan Sunway Surf Beach Sunway Lagoon sebagai penutup tirai musim ini iaitu pada 25 Disember. Akui Awie lagi, sebagai pemuzik mereka tetap menjalani latihan di studio sebagai persediaan menghadapi siri jelajah yang turut berlangsung di Kuantan, Pahang dan Pulau Pinang manakala penjagaan stamina di gimnasium antara rutin yang tidak dilupakan dalam jadual mingguan. "Saya sendiri selaku vokalis perlu kerap berlatih kerana menyanyi dan bermain muzik ialah skil yang perlu dimantapkan hanya menerusi latihan, tambahan pula membawakan hampir 30 lagu secara terus menerus ialah cabaran yang besar. Bukan bermakna kami sudah biasa mengadakan persembahan atau konsert, latihan boleh dilonggarkan dek pengalaman. "Kebiasaannya dua minggu sebelum persembahan, apa yang sudah dijalankan terus digandakan dan pada peringkat itu, kami akan mula latihan bersama Search selain memilih repertoire dendangan untuk ketiga-tiga show besar itu nanti," katanya yang turut terbabit dengan promosi Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR). Sementara itu, dalam kesibukan dengan kerjaya seni dan menguruskan Awie Entertainment, Awie masih punya ruang untuk mengembangkan perniagaan butik pakaian dan kelengkapan di Malay Rock Station di Setiawangsa. Daripada sebuah gerai, operasi dipindahkan ke sebuah kedai yang menghimpunkan pakaian, beg, aksesori pelbagai jenama produk yang didatangkan khas dari Jepun seperti Shiroi Neko, Emperor Eternity, Yakuza Ronin dan Minute Mirth, sekali gus membuktikan kesungguhan Awie selaku usahawan butik.
|
Posted: 15 Dec 2010 09:45 AM PST Hip Kumpulan Alif Ilham tampilkan album pembacaan kitab suci cara paling inovatifMEMBARISKAN kanak-kanak berusia lingkungan enam hingga 14 tahun, kumpulan Alif Ilham (Alif Ba Ta) Iqra' mengajak rakan sebaya mereka mendekati al-Quran menerusi pembelajaran Iqra' secara nyanyian bermelodi yang mampu menarik kelompok sasaran. Jika pada 2001 barisan generasi pertama kumpulan itu mencatatkan jualan album cemerlang hingga mencecah 50,000 unit dalam tempoh tiga minggu dipasarkan, pendekatan unik pilihan lagu qasidah dan syair dengan susunan melodi baru mampu memenuhi cita rasa ramai. Istimewanya, sasaran album dalam tiga versi bahasa yang boleh dimuat turun dalam konsep Nada Dering Pemanggil itu bukan hanya di Malaysia malah strategi menyeluruh syarikat produksi Kesan Formatif (M) Sdn Bhd turut meliputi pasaran luar negara. Penerbitnya, Rohaizar Ramle, berkata pendekatan inovatif sebagai penggalak kanak-kanak memahami dan membaca al-Quran dengan lancar yang diperkenalkan cukup mudah diikuti serta dihafal sekali gus merangsang minat si kecil untuk mengikutinya."Kali ini kita tidak memperkenalkan album fizikal sebaliknya menggunakan konsep muat turun bagi memudahkan pengguna atau ibu bapa di mana saja mendapatkan pilihan lagu dikehendaki malah bersama versi bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Arab, ia antara pemangkin untuk meneroka pasaran luar. "Bagi kami, kecenderungan kanak-kanak terhadap pembelajaran Iqra' harus dipupuk namun pendekatannya perlu diambil kira apabila dalam tempoh awal kehidupan, mereka lebih tertumpu pada kegiatan menyeronokkan seperti menyanyi sambil belajar," katanya. Berikutan sambutan terhadap penghasilan terdahulu, syarikat terbabit merakamkan semula beberapa lagu lama termasuk Alif Ba Ta Iqra' manakala sebuah dendangan baru berjudul 1 Allah is 1 Islam berkonsepkan ukhwah diselitkan sebagai bonus.
Tujuh tunjang utama Alif Ilham (Alif Ba Ta) Iqra' ialah Rabiatul Adawiyah Sulaiman, 10; Norazizah Azizi, 13; Muhd Farhan Iman Mahfuz, 7; Muhd Aiman Faqis Abu Hassan,10; Adam Hakeem Rohaizar, 11; Anis Hanani Abdul Hamid, 13, Muhd Farhan Iman Mahfuz, 10 dan paling muda, Muhd Aqil Qayyum. "Kami sendiri agak terkejut apabila kehadiran calon melebihi 300 orang pada sesi uji bakat sekali gus membuktikan album terdahulu mempunyai kelompok pendengar seawal usia pra sekolah hingga peringkat sekolah rendah yang kemudian diperturunkan pula kepada adik-adik mereka. "Tapisan memang agak ketat kerana personaliti turut diambil kira selain vokal. Cuma disebabkan mereka masih kanak-kanak, pelbagai kelas perlu dihadiri termasuk vokal, tarian, persembahan dan pembinaan sahsiah diri yang dibuat beberapa bulan sebelum masuk studio," katanya lagi. Rohaizar berkata, imej juga penting untuk menangkap perhatian ramai apatah lagi ia turut menonjolkan perbezaan dengan anggota asal kumpulan terbabit apabila setiap ahli mengenakan pakaian kebangsaan negara tertentu terutama yang mempunyai majoriti masyarakat Islam. Bagi ibu bapa atau pihak sekolah yang mahu memuat turun dendangan Alif Ilham (Alif Ba Ta) Iqra' atau mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk mereka, anda boleh melayari www.iqra.my atau ke laman sosial Facebook, Alif Ba Ta Iqra. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |