Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nubhan tidak tiru sesiapaOleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM LANGKAH Nubhan, itulah judul album sulung Ahmad Nubhan Ahamad, 24, atau lebih mesra disapa Nubhan. Begitu simbolik sekali judul album perdana produk program realiti Akademi Fantasia 6 (AF6) ini yang membawa pelbagai maksud tersendiri buat dirinya. Sabar menanti, tiga tahun menjadi tempoh masa buat anak bongsu daripada lapan beradik ini lahir dengan album sendiri. Album Langkah Nubhan memuatkan tujuh buah lagu yang menampilkan beberapa komposer ternama negara seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul, dan tidak ketinggalan kumpulan 6ixth Sense yang baru berjinak-jinak mencipta lagu buat penyanyi lain. Ketika ditemui baru-baru ini, pelantun lagu Oh! Juwita melahirkan rasa puas hatinya dengan kelahiran album pertama itu. "Ramai yang tertanya-tanya mengapa saya mengambil masa yang terlalu lama untuk hadir dengan album. "Secara jujurnya, album Langkah Nubhan mengambil masa yang lama kerana saya mahu memastikan semua lagu yang dimuatkan dalam album ini bagus dan menepati cita rasa pendengar," ujar Nubhan teruja
Jelasnya lagi, hanya tujuh buah lagu daripada 45 buah lagu dipilih oleh dirinya bersama pihak pengurusan untuk dimuatkan ke dalam album. Nubhan juga tidak menolak faktor peralihan pengurusan baru dirinya yang kini berbumbungkan Artistes United Record Sdn. Bhd. juga membuatkan proses penerbitan albumnya terganggu seketika. "Tetapi, saya tidak 'hilang' terus. Saya muncul dengan dua lagu single Ada Untukmu serta Oh Juwita. "Selain itu, saya turut berlakon dan muncul dalam filem Lagenda Budak Setan, sebuah filem yang diangkat daripada novel hasil karya Ahadiat Akasyah. Walaupun hanya diberi watak sampingan, banyak yang sudah saya pelajari," ujarnya jujur. Teratur dan pantas Teruja bercerita mengenai album debutnya, Nubhan menganggap ini adalah sebuah permulaan untuk bergerak dengan lebih teratur dan pantas dalam bidang nyanyian. Namun dalam menghasilkan sebuah album sulung, cakap-cakap belakang turut terkena kepada diri penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini. Dia dicop sebagai seorang penyanyi yang tidak mempunyai identiti muzik tersendiri. Semuanya kerana Nubhan menyanyikan lagu ciptaan kumpulan 6ixth Sense dan Spider.
"Sebenarnya saya bertuah mendapat lagu-lagu daripada komposer berbakat. Jika peminat mengatakan saya tidak mempunyai identiti sendiri saya berpendapat hujah itu kurang tepat. "Saya menyanyikan lagu itu mengikut stail saya. Tidak meniru 6ixth Sense mahu pun Spider," katanya tegas justeru menangkis stigma umum terhadap dirinya. Sakit belakang Usia masih muda namun hakikatnya Nubhan kini sudah sering mengalami sakit belakang yang membuatkan persembahannya di atas pentas agak terhad. "Saya boleh menyanyi dan beraksi atas pentas seperti biasa. Tetapi tidak boleh berlebihan kerana bahagian di belakang pinggang akan terasa agak sakit. "Penyakit ini sudah lama saya hidapi malah semenjak kecil lagi akibat kemalangan kecil yang saya alami semasa kanak-kanak dahulu. Namun syukur kini keadaannya tidak teruk sangat kerana saya sudah menjalani rawatan secara tradisonal," katanya. DARI kiri: Fauzi Samad, Ning Baizura dan Michael Ang merupakan tunjang kepada pergerakan karier nyanyian Nubhan selama ini. Kehilangan ayah tercinta pada Januari tahun lepas, Ahamad Abd. Rahman akibat serangan jantung juga menimbulkan sedikit sebanyak kesan emosi kepada diri Nubhan. Justeru,dia juga mendekatkan diri dengan Allah dengan mendalami ilmu agama di sebuah surau yang terletak di kampungnya, Kuala Pilah dan sebuah madrasah tahfiz di Ampang. "Maklum sahaja dunia hiburan penuh d cabaran dan dugaan. Mendalami ilmu agama membuatkan saya lebih tenang dan hidup lebih teratur," katanya yang mula serius dengan ilmu agama selepas ayahnya meninggal dunia. | ||||
Posted: Rosyam Nor naik hantu!
GIGIH dan kagum Marilyn melihat usaha Rosyam Nor dalam menjayakan program Pilih Kasih, siri televisyen yang diterbitkannya. Sungguh komited melihat dia sendiri turun padang melakukan promosi untuk program yang bertujuan mencungkil bakat-bakat muda tanah air. Tabik untuk Rosyam Tapi baru-baru ini, Marilyn dengar Rosyam sudah mengamuk di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang. Malah suara jantannya sudah menggegarkan pembukaan pentas Pilih Kasih musim kedua Sabtu lalu. Marilyn tidak sempat lagi ke sana kerana masih sibuk dengan banyak hal peribadi. Dengarnya, suasana auditorium lebih tegang apabila suara lantang hero kegemaran ramai itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada kesemua 16 peserta Pilih Kasih 2. Pelik juga Marilyn sebab pemilihan dilakukan oleh juri-juri profesional. "Bagi saya anda semua tak mencapai apa yang saya harapkan. Saya amat kecewa dengan persembahan anda semua pada malam pertama program ini,"luahnya pada malam Sabtu lalu merangkap malam permulaan program realiti yang sudah masuk musim kedua tersebut. Realitinya, semua peserta Pilih Kasih 2 menjalani latihan setiap minggu untuk monolog, drama dan teater bersama tiga orang pengarah terkenal yang berbeza iaitu Hamzah Tahir, Aziz M. Osman dan Erma Fatima sebelum mereka dipertontonkan di khalayak ramai pada setiap hari Sabtu untuk Pentas Pilih Kasih. Ketiga-tiga tenaga pengajar inilah yang bertanggungjawab untuk membentuk dan mencungkil bakat-bakat yang ada pada setiap artis-artis Pilih Kasih ini. Kalau bagus persembahan yang ditunjukkan, maka baguslah pengajarannya dan jika sebaliknya, ini menunjukkan kecacatan yang ada pada cara pengarah-pengarah yang dilantik dalam mendidik peserta-peserta ini. Komen Rosyam pedas namun jujur: "Saya amat tidak berpuas hati dengan persembahan mereka semua tadi dan pengarah-pengarah ini patut memainkan peranan untuk mendidik mereka dengan lebih baik." "Dalam melahirkan bakat-bakat baru yang berkualiti, tenaga pengajar perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya dan bukan hanya mengajar sambil lewa. Peserta-peserta Pilih Kasih ini ibarat kain putih yang perlu dicorak dengan acuan yang betul dan pengarah-pengarah inilah yang perlu melakukan yang terbaik untuk mendidik mereka sampai mereka menguasai segala-galanya dengan baik,"sambungnya lagi. Marilyn: Nak juga dengar komen balas ketiga-tiga tenaga pengajar yang sudah bertungkus-lumus menggilap bakat anak-anak muda ini. Apa cerita? |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |