Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Bront tidak berubahTUJUH tahun bergelar seorang pelakon, tetapi baru tahun ini nama Bront Palarae mula menjadi tumpuan. Semuanya kerana anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu berjaya meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Belukar pada Festival Filem Malaysia ke-23 pada 24 Oktober lalu. Rupa-rupanya, pengiktirafan terhadap dirinya tidak terhenti di situ sahaja. Mengulangi kejayaan yang sama, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin sekali lagi meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem juga menerusi filem yang sama pada Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung Sabtu lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Dua kemenangan yang diperolehi tahun ini, meletakkan Bront pada tahap yang berbeza. Dia kini tersenarai dalam kalangan pelakon kelas A seiring dengan popularitinya yang semakin bertambah. Meskipun begitu, Bront yang ditemui sejurus usai pengumuman senarai pemenan majlis anugerah tersebut memberitahu dia masih dalam proses menyesuaikan diri, dengan tumpuan yang diperolehinya hari ini. "Saya bersyukur dengan anugerah yang saya terima dan masih terkejut dengan pengiktirafan yang diberikan. Secara jujur, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tumpuan orang kerana saya tidak rasa saya popular, popular ke?," soalnya kembali. Tegasnya, meskipun dia semakin ligat berlakon dan sudah memenangi dua anugerah yang besar tetapi tiada perubahan yang besar berlaku dalam hidupnya. "Saya masih Bront yang dulu, sama, tidak berubah pun. Bayaran lakonan yang saya terima masih sama. Kalau nak kata peminat mula kenal saya, mungkin juga, tetapi situasi itu sudah berlaku sejak saya membintangi drama bersiri Sindarela. "Setakat hari ini tidak ada situasi yang buat saya rasa popular. Kalau saya keluar ke mana-mana, masih ramai orang yang buat tidak tahu dengan saya yang mana saya rasa itu adalah situasi normal. "Cuma kadangkala ada orang minta bergambar, baru saya sedar ada juga orang minat saya. Selama ini, saya berlakon kerana minat bukannya mahu popular," katanya yang pernah menjadi pengacara Beat TV bersama pengacara dan pelakon, Dynas Mokhtar. Bonus dan impak
Tidak menyifatkan pengiktirafan yang diterima terlalu lewat kerana baginya kejayaan hari ini merupakan permulaan buatnya. "Kalau ikutkan agak awal, saya baru berusia 32 tahun belum tua sangat (ketawa). Saya seronok buat kerja yang saya suka, bila orang bagi anugerah itu saya terima dengan hati yang terbuka. "Bagi saya, apa yang diperolehi hari ini adalah satu permulaan kerana ada orang seni yang sudah berbelas tahun berlakon dan berkarya tetapi belum dapat sebarang pengiktirafan walaupun mereka bagus. "Anugerah ini satu bonus, apa yang lebih penting adalah impak sesebuah karya kepada penonton kerana satu anugerah tidak akan diperolehi tanpa kerjasama seluruh tenaga produksi," balas Bront yang berdarah Melayu-Pakistan sebelah ibu dan Siam-Cina sebelah bapanya. Jarang muncul dalam majalah ataupun akhbar untuk tujuan publisiti membuatkan ramai peminat yang kurang mengenali Bront. Jika ada pun, semuanya menceritakan perihal kerja. Akuinya, dia lebih suka peminat mengenalinya menerusi kerja-kerja seninya bukannya kisah peribadi. "Saya lebih suka orang kenal saya melalui kerja dan kejayaan berbanding kisah peribadi, lagi pun tidak ada kisah peribadi yang boleh saya ceritakan. "Lebih baik popular kerana kerja, ada pelakon seangkatan saya yang pernah popular sudah tidak kelihatan. "Akhirnya yang tinggal adalah kualiti kerja bukannya populariti. Jadi untuk kekal dalam industri, saya seorang pelakon yang memilih karya, jika watak yang ditawarkan pernah saya bawa sebelum ini, saya tidak akan ambil," ujarnya lagi. Watak Nik seorang penyiasat insurans dalam filem Belukar membawa tuah kepada Bront, tetapi tegasnya disebabkan pengarah filem itu Jason Chong, merupakan seorang pengarah yang bagus, sesiapa sahaja yang memegang watak Nik selainnya juga akan menang. "Saya berterima kasih kepada Jason kerana beri watak itu kepada saya. Dia seorang pengarah yang bagus. Kalau watak Nik itu diberi kepada pelakon lain, saya percaya orang itu turut akan bawa pulang anugerah. "Kerjasama yang baik dalam seluruh produksi dan watak Nik itu sendiri memang agak berat menyebabkan saya dapat anugerah ini," tuturnya dalam senyuman. | ||
Cungkil Rahsia Pasangan Selebriti Posted: Cungkil Rahsia Pasangan SelebritiOleh RONI HIDAYAT RIDWAN PROGRAM ini bakal menguji keserasian antara pasangan selebriti dalam menjawab soalan kuiz berkaitan rumah tangga. ASTRO sememangnya tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan pelbagai program menarik buat tatapan penonton. Terbaru, mereka kini muncul dengan sebuah program permainan dikenali sebagai Serasi Bersama yang menguji tahap keserasian pasangan selebriti. Ia merupakan sebuah rancangan berkonsepkan kuiz yang melibatkan selebriti popular tanah air, yang mana mereka akan diajukan pelbagai soalan yang berkaitan dengan rahsia rumah tangga. Merupakan sebuah program yang diadaptasi daripada rancangan Mr. & Mrs. yang cukup popular di England ketika ini, ia turut menampilkan Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira sebagai hos bersama. Menurut Aznil, menerusi program tersebut, sebanyak tiga pasangan akan bertanding dan mereka akan diajukan dengan pelbagai soalan yang merangkumi rahsia rumah tangga mereka. Pasangan yang dapat memberikan jawapan yang sama paling banyak akan memenanginya. "Menariknya tentang Serasi Bersama, penonton akan dapat menyaksikan begitu bahagianya setiap pasangan yang mengambil bahagian dan menerusi rancangan ini dapat dicungkil tentang rahsia perkahwinan mereka. "Kepada pasangan yang muncul sebagai pemenang, kesemua wang kemenangan yang diraih mereka akan didermakan kepada badan kebajikan yang mereka pilih sendiri," ujar Aznil ketika ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan baru-baru ini. Menurutnya lagi, kebanyakan pasangan yang menyertai rancangan itu juga sudah lama mendirikan rumah tangga iaitu lebih daripada 10 tahun dan ada yang baru mengecapi nikmat berumah tangga. Antara pasangan selebriti yang menyertai rancangan ini seperti pasangan Aziz M. Osman, Bienda, Mustapha Kamal, Adlin Aman Ramlie serta tidak ketinggalan pasangan penulis novel terkenal, Ahadiat Akashah dan pasangan jurulatih bola sepak, Dollah Salleh. Rapatkan Hubungan Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pemilihan Aznil dan Shahira untuk menjadi pengacara sememangnya bertepatan dengan konsep rancangan yang mula disiarkan sejak 19 Disember lalu setiap Sabtu dan Ahad, pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104). Tambah Azlin, pihaknya yakin dengan kemampuan kedua-dua pengacara berkenaan yang mampu untuk berinteraksi dengan bersahaja bersama pasangan hingga membuatkan mereka lebih terbuka untuk berkongsi rahsia kepada penonton. "Menerusi program ini, bukan kemenangan yang menjadi keutamaan kerana apa yang lebih penting pasangan selebiriti yang menyertai rancangan ini juga dapat melakukan kerja amal," ujarnya. Bagi pasangan yang sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga, Monoloqe dan isterinya Dahlia Nadira Juhari, dia menganggap rancangan ini mampu untuk merapatkan hubungan mereka sebagai pasangan suami isteri. Menurutnya, memandangkan dia dan isterinya sibuk dengan kerjaya masing-masing, maka menerusi penglibatan mereka dengan Serasi Bersama telah memberi peluang untuk mereka lebih menyelami keserasian sebagai pasangan suami isteri. "Boleh dikatakan masa untuk kami berdua bersama agak terhad memandangkan isteri saya seorang kakitangan sebuah bank dan saya pula sibuk dengan kerja dan banyak menghabiskan waktu di studio. "Lagipun, saya rasa ia sebuah rancangan yang menarik dan tidak salah kalau kami nak mencuba. Malah, soalan yang diajukan juga terlalu umum dan tidak salah rasanya untuk dikongsi bersama penonton," ujarnya. Sementara bagi Dollah Salleh pula, dia merasakan tidak salah buat dia dan isteri jika dapat berkongsi sedikit tentang rahsia kebahagiaan rumah tangga yang telah dibina mereka sejak 23 tahun lalu. Menurut Dollah, dia terpanggil untuk menyertai rancangan tersebut setelah diajak oleh isterinya yang telah mendapat panggilan daripada pihak Astro yang mengundang mereka. "Pada mulanya saya kata kepada isteri mahu fikir dahulu sebelum buat keputusan. Bagaimanapun, setelah menonton sendiri rancangan berkenaan di laman YouTube untuk versi luar negara, saya mendapati rancangan ini memang cukup menarik," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |