Adsense

Isnin, 27 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Penghargaan terindah

Posted: 26 Dec 2010 12:42 PM PST

Hip

Noorkhiriah, Fauzi Nawawi mengecapi saat paling manis dalam kerjaya lakonan

DIPILIH sebagai yang terbaik berdasarkan kecemerlangan lakonan sememangnya penghargaan terindah bagi seseorang aktres mahu pun aktor apatah lagi dalam majlis pengiktirafan gah seperti Anugerah Skrin (ASK) 2010.

Bagi dramatis, persaingan sengit dengan ramai nama besar yang cukup menonjol dalam setiap penerbitan membuatkan ramai yang belum berpeluang membawa pulang trofi sedangkan lakonan sama hebat, cuma nasib tidak menyebelahi mereka. Jika tahun lalu di anugerah sama Noorkhiriah, 34, hanya meraih gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, selepas lebih sedekad melayari jerih perih sebagai anak seni, Jumaat lalu diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Menganggap kejayaan itu hasil gabungan tenaga kerja produksi dan kerjasama pelakon selain naskah yang bagus garapan Shahrulezad Mohameddin, pelakon yang hamil anak kedua itu berjanji akan terus meningkatkan mutu lakonannya.

"Ketika membintangi drama ini, saya hamil anak sulung dan hari ini tatkala diumumkan sebagai pemenang, saya mengandung enam bulan, anak kedua. Ini rezeki anak namun saya tidak mungkin berjaya tanpa restu suami serta Allah Taala," katanya.

Mengimbas semula watak GRO bernama Ayu, babak paling sukar tentu saja adegan menghisap rokok, mabuk dan bergaya seksi yang cukup kekok untuk dibawakan apatah lagi pada saat kandungan sedang membesar.
"Apabila mendapat tawaran ini, saya tidak terfikir kesukaran membawakan karektor Ayu ketika sedang hamil tambahan pula adegan mabuk di hadapan masjid antara babak terawal yang saya jalani pada hari pertama puasa.

"Ia dapat diselesaikan seperti diharapkan. Apa pun saya tidak akan berubah atau hanya mengharapkan ganjaran besar selepas ini kerana itu bukan saya," katanya yang akan bercuti hingga Mac depan untuk melahirkan dan berpantang.

Seperti mana Noorkhiriah, kemenangan Fauzi Nawawi sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama dapat dijangka apabila begitu cemerlang dalam Sebelum Akhirat namun dia tidak mahu mengharap memandangkan calon lain antara aktor hebat idolanya termasuk Rosyam Nor.

"Saya mendapat naskah yang baik serta gandingan mantap daripada barisan pelakon lain termasuk isteri saya, Lisdawati. Gabungan skrip, olahan, pelakon dan keseluruhan penggerak Sebelum Akhirat yang membolehkan saya meraih trofi ini," katanya yang menganggap watak Mubarak cukup mencabar malah dirinya turut disengat lipan ketika adegan dalam kubur.

Sementara itu, Sebelum Akhirat meraih pengiktirafan bagi Pengarah Terbaik Drama dengan sentuhan Murali Abdullah yang melihat trend kisah keagamaan kini sebagai pilihan khalayak untuk kembali kepada akar umbi.

"Saya meyakinkan Fauzi membawakan watak Mubarak yang tersasar jauh dari kehidupan malah banyak babak diolah semula supaya tidak terkeluar dari syariat namun mesej yang cuba disampaikan ditonjolkan dengan cara yang lebih kreatif.

"Trofi ini (Pengarah Terbaik Drama) merangsang saya menghasilkan karya terbaik yang mampu memberi mesej kepada orang ramai malah kisah sebegini juga menjadi peringatan kepada saya untuk lebih dekat dengan Allah," katanya.

Bagi Shahrulezad Mohameddin yang menerima anugerah bagi Lakon TV Terbaik menerusi Antara Garisan seterusnya Drama Terbaik mengenepikan pencabar terdekat, Sebelum Akhirat, katanya semua calon pastinya menonjolkan naskah terbaik hingga dipilih sebagai finalis.

"Drama saya sudah dipertandingkan sembilan kali tetapi hanya pada tahun ke sembilan membawa pulang trofi Drama Terbaik termasuk bagi beberapa kategori lain," katanya mengenai bingkisan yang mengajak insan tidak mudah menjatuh hukum terhadap orang lain.

Komen pemenang

Anugerah Khas Yasmin Ahmad – Shaheizy Sam
"Sama ada kecil atau besar watak, saya membawakan dengan sepenuh hati kerana ia amanah orang. Mungkin inilah pengiktirafan yang diberikan berkat kesabaran saya mengharungi dunia lakonan sejak kecil, Sekarang orang sudah nampak bakat ini. Saya tidak sangka meraih penghargaan sebegini. Sasaran saya ingin menjadi orang yang berlainan dalam setiap penerbitan," katanya.

Lakon Layar Terbaik Filem – Syamsul Yusof
"Calon lain lebih berpengalaman, justeru saya tidak menaruh sebarang harapan. Namun saya perlu lebih banyak belajar daripada mereka yang berpengalaman. Anugerah ini pengiktirafan kepada seluruh produksi Evolusi KL Drif 2 terutama Rizal Ashreff selaku penolong pengarah. Saya juga banyak belajar daripada ayah. Apa pun harapan saya selepas ini tiada lagi isu yang timbul," katanya.

Pelakon Terbaik Wanita Filem – Sharifah Amani
"Semua ini untuk Allahyarham Yasmin Ahmad. Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini tetapi penghargaan paling bermakna apabila ibu mengusap wajah dan berkata dia bangga dengan pencapaian saya. Saya memang mahu membanggakan keluarga dan negara," katanya.

Pelakon Terbaik Lelaki Filem – Bront Palarae
"Naskah Belukar cukup bagus dan mencabar namun tekanan utama ketika penggambaran lebih kepada memenuhi kehendak pengarah. Saya cuma fokus sepenuhnya. Begitu pun rasanya kejutan ketika FFM belum reda, dan kini saya menerima kejutan sekali lagi. Saya tidak akan malukan anugerah ini dengan memberikan hasil terbaik untuk produk seterusnya," katanya.

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem – Aaron Aziz
"Walaupun tidak dibenarkan bertanding dalam sebarang anugerah disebabkan status kerakyatan, saya tidak ralat. Cuma kemenangan ini secara peribadi begitu bermakna sekali pun kerap menang di Singapura. Persaingan di negara ini cukup sengit. Boleh dikatakan di sinilah Hollywood Melayu," katanya.

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama - Isma Yusoof
"Dalam tempoh tiga tahun lebih menceburi bidang seni, inilah pengiktirafan yang terus membakar semangat saya. Kemenangan ini juga atas dasar kerja berpasukan seluruh keluarga besar Antara Garisan," katanya yang kini mahu dikenali sebagai Azma Aizal Yusoof.

INFO: SENARAI PEMENANG

  • Pemenang Rancangan Realiti Terbaik
    -Program Showdown 2010 (episod 10)
  • Pemenang Lakon Layar Terbaik Filem
    -Shamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2)
  • Pemenang Drama Komedi Terbaik
    -Simpang Tiga
  • Pemenang Lakon TV Terbaik
    -Shahrul Ezad Mohameddin (Antara Garisan)
  • Pemenang Rancangan Hiburan Terbaik
    -Anugerah Bintang Popular Berita Harian
  • Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama
    Fadzilah Mansor (Sebelum Akhirat)
  • Pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama
    -Isma Yusoof (Antara Garisan)
  • Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem
    -Fazura (Pisau Cukur)
  • Pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem
    -Aaron Aziz (Evolusi KL Drift 2)
  • Pemenang Rancangan Bual Bicara Terbaik
    -RTM Isu Khas Gaza Palestin Kami Bersamamu
  • Pemenang Laporan Khas/Berita Terbaik
    -TV3 Aduan Rakyat Berbumbung Langit
  • Dokumentari @ Majalah Terbaik
    -Astro Prima Epik Suatu Ketika Laskar Senoi
  • Pemenang Videografi Drama Terbaik
    -Datang Bulan
  • Pemenang Pelakon Wanita Terbaik Filem
    -Sharifah Amani (Mualaf)
  • Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Filem
    -Bront Palarae (Belukar)
  • Pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama
    -Noorkhiriah (Antara Garisan)
  • Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama
    -Fauzi Nawawi (Sebelum Akhirat)
  • Pemenang Pengarah Terbaik Filem
    -Allahyarham Yasmin Ahmad (Muallaf)
  • Pemenang Pengarah Terbaik Drama
    -Murali Abdullah(Sebelum Akhirat)
  • Rancangan Muzikal Terbaik
    -TV3 Anugerah Juara Lagu 24
  • Anugerah YASMIN AHMAD
    -Shahiezy Sam
  • Drama Rantaian Terbaik
    -Nur Kasih
  • Filem Terbaik
    -Mualaf
  • Drama Terbaik
    -Antara Garisan

  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    ASK2010 Sangat sederhana

    Posted: 26 Dec 2010 12:04 PM PST

    Hip

    pix_gal0
    ANUGERAH Skrin 2010 berlangsung dalam suasana yang sangat sederhana. Perjalanan selama dua jam setengah itu dirasakan bagai terlalu lama hingga tidak sabar menantikan ia berakhir. Keseluruhan program ini dilihat mendatar serta tiada momentum.

    Adakah nasib ASK tahun ini sama seperti tahun lalu? Apakah TV3 lebih serius memikirkan persiapan Anugerah Juarah Lagu (AJL) yang bakal berlangsung pada 9 Januari depan?

    Pembukaan daripada dua hosnya iaitu Awal Ashaari dan Vanidah Imrah dengan celoteh meleret mereka sudah cukup memberikan gambaran awal betapa selama dua jam setengah itu, penonton akan melalui satu perjalanan yang meresahkan. Barangkali masih terlalu awal untuk Vanidah dan Awal mengendalikan majlis besar seperti ini. Bermula dengan agak gugup, perlahan-lahan mereka mewujudkan keserasian dan sesekali memang mencetuskan sedikit senyuman kepada penonton, sekurang-kurang dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kedua-dua mereka kelihatan bekerja keras untuk menghidupkan majlis yang hambar.

    Usaha mereka untuk berlawak bukan saja kelihatan tidak asli tetapi juga seakan dipaksa.

    Mujur kemunculan seketika pelakon veteran Datuk Aziz Satar atau Pak Aziz menggamatkan sedikit suasana berlangsungnya ASK2010. Kemunculan Pak Aziz menyampaikan trofi bersama dengan Erra Fazira dan Eja membuatkan penonton terhibur dan menyebabkan dewan kecoh seketika. Kehadiran seniman itu, sedikit sebanyak memecahkan tembok kebosanan penonton.

    Lebih-lebih lagi apabila Erra dan Eja bagaikan mengambil giliran untuk menyakat Aziz menjadikan keadaan menjadi bertambah gamat dan kecoh. Walaupun Aziz adalah orang nama, ternyata kemunculannya masih lagi relevan. Sekurang-kurangnya dengan pemilihannya sebagai penyampai trofi, ada sesuatu yang boleh diingati penonton. Tidaklah hanya kepincangan majlis itu saja yang diperkatakan.
    Bukan saja penonton di dalam dewan yang dirundung kebosanan, penonton di rumah turut berasakan perkara sama. Komen mengenai kebosanan ASK yang meleret menghiasi dinding laman sosial Facebook. Kebanyakan peminat industri hiburan turut meluahkan kekecewaan dengan persembahan yang dihidangkan pada malam itu.

    Meskipun membariskan nama popular, namun ia bukan jaminan untuk menjadikan majlis berkenaan berjaya. Mungkin juga kerana pilihan lagu yang belum mesra telinga menyebabkan penonton sukar untuk menyerapkannya ke dalam jiwa mereka.

    Pembukaan ASK 2010 umpamanya bukan calang-calang. Dengan membariskan tiga penyanyi wanita yang bersuara mantap iaitu Noryn Aziz, Adibah Noor dan Jaclyn Victor dengan lagu Aku dan Duniaku masih belum cukup untuk membuatkan penonton panas.

    Kemunculan pasangan Mizz Nina dan Noh Hujan menyanyikan lagu Kurnia dengan harapan boleh mencuri tumpuan kerana mereka baru bertunang, nampaknya menjadi gimik yang tidak menjadi. Barangkali apabila menyebut nama Noh, penonton mengharapkan sesuatu yang agresif daripada penyanyi berkenaan tetapi sayangnya pada malam itu, persembahan Noh lebih pasif.

    Turut mewarnai pentas pada malam itu ialah persembahan daripada barisan pelakon yang akan mewarnai muzikal Terima Kasih Cinta. Ia juga tidak lebih daripada promosi awal muzikal itu pada Februari nanti.

    Satu-satunya kelainan tahun ini, ASK 2010 apabila menampilkan tiga pemuzik handalan iaitu Datuk Ahmad Nawab, Hillary Ang dan Genervie Kam yang menampilkan persembahan secara instrumental menerusi lagu tema drama rantaian Nur Kasih, filem Isabella dan Sabar Menanti.

    Kemunculan dua beradik yang paling dinantikan iaitu Ziana Zain dan Anuar Zain juga nampaknya tidak menjanjikan apa-apa kelainan. Mungkin strategi dua beradik ini mempertaruhkan single terbaru mereka iaitu Pawana dan Berjanji Karna Cinta membuatkan penonton terpinga-pinga kerana lagu itu belum popular di hati peminat sekaligus membuatkan tindakan kedua-dua penyanyi itu bukanlah langkah yang bijak.

    Persembahan penutup daripada Faizal Tahir bagaimanapun sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan. Faizal mengakhiri majlis pada malam itu dengan sedikit intro daripada lagu Hanyut dan juga sebuah lagu rancak berjudul Superhero.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.