Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Bon Jovi idam istirehatAPA lagi agaknya yang dimahukan oleh sebuah grup yang mampu mencatat penjualan album lebih dari 125 juta, tampil di lebih daripada 2700 buah konsert di lebih dari 50 negara di depan lebih dari 35 juta peminat? Grup yang diberikan anugerah Ikon Gobal sewaktu acara Anugerah Muzik Eropah MTV ini sedang mencatat sejarah yang semakin baik dalam kehidupan bermuzik mereka. Bon Jovi, sebuah grup yang terus berjalan dalam kepuasan ciptaan mereka yang tersendiri. Jujurnya dalam penjelajahan itu cuma satu perkara yang diidamkan mereka. Teringin untuk berehat dan menikmati kehidupan santai adalah impian yang sedang diulit Jon Bon Jovi (vokalis), Richie Sambora (gitaris), Tico Torres (dram dan David Bryan (pemain keyboard) untuk masa terdekat. Sebelum sempat melabuhkan sosok mereka untuk beristirehat, terlebih dahulu mereka memberi buah tangan terbaru buat pencinta kumpulan yang ditubuhkan pada 1983 ini. Greatest Hits, album terisi 28 buah lagu mereka adalah sebuah persembahan kompilasi kedua khas buat para peminat. Ikuti perbualan bersama sang vokalis yang kekal kacak di usia 48 tahun, Jon Bon Jovi perihal kompilasi terbaru ini. Kalian telah meluncurkan sebuah album koleksi hits pada tahun 1994, tidakkah kekok untuk membikin sebuah lagi album kompilasi? Ia tidak membuat kami berasa kekok sebaliknya tua (ketawa). Saya sebenarnya telah menolak idea ini namun ia bertimbal balik kepada kompromi dan komitmen terhadap syarikat rakaman. Saya berada di Nashville beberapa tahun lalu dan saya berniat untuk membikin sebuah album country. Memandangkan kami merupakan sebuah grup yang diiktiraf, pihak penerbit kami mahu menyatakan keengganan tetapi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat rakaman kami menyatakan bahawa mereka kehilangan berjuta dolar dan bertanya, tidak bolehkah Bon Jovi menimbangkan cadangan membuat sebuah album Greatest Hits? Jadi awalnya kalian enggan keluar lagi dengan sebuah album kompilasi. Apa yang merubah pendirian kalian? Berhadapan dengan pelbagai pertikaian. Pertama sekali, kami sudah lama tidak keluar dengan album kompilasi dalam durasi 16 tahun dan keduanya, ada generasi baru yang belum mendengar muzik kami. Album Greatest Hits ini merupakan satu pakej hasil terbaik kami. Pendengar setia kami juga akan mendengar lima buah lagu baru dalam album tersebut. Bagaimana kalian membuat keputusan dalam susunan lagu-lagu dalam album tersebut? Kalian pasti mempunyai idea tentang bagaimana para peminat mendengar album tersebut. DARI KIRI: David Bryan (keyboard), Tico Torres (dram), Jon Bon Jovi (vokalis) dan Richie Sambora (gitaris) mengidamkan istirehat yang cukup. Terdapat perbualan tentang perkara tersebut tetapi saya tidak terlalu memikirkan perkara tersebut. Lagu-lagu katalog kami seperti Wanted Dead or Alive dan Livin' on a Prayer pastinya diletakkan di cd yang pertama. Lagu-lagu yang tidak begitu besar di Amerika Syarikat seperti Someday I'll Be Saturday Night dimasukkan ke cd yang kedua. Kami mempunyai pengalaman yang berbeza begitu juga pasaran. Segala kredit dan kritikan boleh ditujukan kepada saya dan saya sebenarnya mahu mendengarnya. Kenapa dimasukkan lagu-lagu baru ke dalam album Greatest Hits ini? Jujurnya, kami mahu peminat yang mempunyai album kami yang terdahulu mendapat sesuatu yang ekstra. Material baru ini perlu secocok dengan konsep album Greatest Hits ini yang mempamerkan kerja-kerja kalian setakat ini. When We Were Beautiful dan lagu-lagu baru yang lain ditulis khas untuk album ini. Ini adalah lagu-lagu rock paling antemik yang pernah mempamerkan siapa diri kami dan di mana kami berdiri. Lagu-lagu yang sangat optimistik dan memberi semangat. Single What Do You Got merupakan klip video pertama kalian yang dirakamkan secara tiga dimensi (3D)! Semuanya berlaku secara tidak sengaja. Saya mempunyai teman yang bekerja di syarikat Sony dan mereka teruja dengan teknolgi 3D dan menawarkan kami untuk membikin klip video. Setelah terbabit dengan 50 buah pembikinan klip video, saya fikir kami memerlukan sesuatu yang baru dan menarik. Grup Bon Jovi sering mempunyai bunyi yang unik. Pernahkah kalian terfikir untuk membuat satu perubahan yang drastik? Ada perkara yang boleh diberikan secara ekstrem seperti menuju ke Nashville untuk merakamkan album Lost Highway. Tetapi sebenarnya, kami melakukan perkara yang kami mahu lakukan. Kami berasa yakin bahawa selama ini muzik kami terlah berkembang dan semakin matang. Kami memberi kesedaran secara sosial dan dalam masa yang sama, tetap dengan pendirian kami. Ini adalah evolusi perjalanan tanpa terlalu mencuba. Khalayak melihat lagu-lagu boy bands, remaja, heavy metal, grunge dan rap datang dan pergi. Jika kita terus bertahan dengan pendirian dan jati diri kita serta mengembangkan bunyi sendiri, kita akan bertahan di situ. BON JOVI menganggap setiap momen yang dilalui adalah sebuah penceritaan buat mereka. Di mana sebenarnya mendapatkan inspirasi untuk lagu-lagu tulisan kamu? Jika kamu membuka mata dan telinga, sebenarnya setiap hari ada sahaja lagu yang mahu dituliskan. Jika kalian memerhatikan pihak penyelamat lombong di Chile, pasti ada cerita yang mahu ditulis. Begitu juga jika kamu melihat kanak-kanak ke sekolah, itu juga sebuah penceritaan. Minggu yang sibuk adalah satu cerita. Setiap hari adalah sebuah peluang baru untuk membuahkan memori. Kadang kala tentang kamu dan terkadang tentang dunia di kelilingmu. Instrumen yang digunakan ketika menulis lagu? Keutamaan adalah gitar tetapi saya turut menulis beberapa lagu mengunakan piano. Kedua alat muzik tersebut memberikan rasa yang berbeza. Saya boleh katakan, beberap alagu yang lebih intimasi berasal daripada piano. Lagu-lagu rock pula lebih senang datang daripada gitar. Tetapi kini, saya banyak menggunakan gitar untuk menulis lagu. Grup Bon Jovi mempunyai lima juta peminat di laman peminat Facebook kalian. Apa pendapat kalian tentang jaringan sosial dan adakah kalian sendiri kerap menggunakan Facebook atau Twitter? Pernah terjadi, saya melihat anak perempuan saya sempat ber-SMS sambil menonton sesuatu di laman Youtube dan sekaligus menonton kaca tv. Saya bertanya anak saya, bagaimana dia melakukan tiga pekerjaan dalam satu masa. Dia melihat saya dan bertanya kembali, "Tidakkah anda dapat melakukannya dalam satu masa?". Saya menggeleng dan lantas membaca suratkhabar di bilik yang lain dan terasa seperti seorang lelaki yang tua. Saya tidak serba boleh dalam hal tersebut. Saya juga tidak 'tweet' di laman Twitter. Saya rasa umum tidak perlu tahu apa yang saya lakukan pada setiap masa. Laman Facebook kami juga dikendalikan oleh orang lain. Tapi sungguh menakjubkan apabila dapat mencecah lima juta peminat yang berminat dengan kalian dan hanya menekan satu butang untuk mempamerkan minat mereka. Perniagaan rakaman kini sudah berubah secara dramatik sebenarnya dan laman sosial adalah salah satu sebabnya. Siri jelajah Asia kalian yang terakhir adalah pada 15 tahun lalu. Ada perancangan untuk kembali menemui peminat-peminat di Asia? Kami sangat berminat tetapi kami ingin menjelajah dalam keadaan yang teratur dan tidak terlampau eksesif. Sejak siri jelajah Crush yang lalu, kami cuma untuk terlibat dalam seratus konsert setahun. Tetapi memandangkan sukses rangkaian konsert The Circle dan album kompilasi ini, kami telah memanjangkan lagi siri jelajah dengan penambahan 30 persembahan. Mungkin tahun depan baru kami dapat menjelajah Asia. |
Fandy, vokalis baru Kerispatih Posted: Fandy, vokalis baru KerispatihKERISPATIH SEGAR. Dari kiri: Anton, Arie, Fandy, Badai dan Andika mempersembahkan single Tertatih sebagai tanda penyegaran grup berasal Jakarta ini. PERTEMUAN dengan grup Kerispatih baru-baru ini pada Anugerah Nagaswara yang dilaksanakan di Istora Senayan, Jakarta, 7 Disember lalu, menjawab pelbagai persoalan yang timbul selama ini tentang posisi vokalis terbaru mereka. Pada anugerah yang dianjurkan oleh pihak Nagaswara tersebut, Kerispatih menerima tiga nominasi melalui kategori Grup Terbaik, Grup Dengan Penampilan Terbanyak dan Klip Video Terbaik. Grup berasal Jakarta ini memulakan perjalanan muzik mereka dengan album perdana bertajuk Kejujuran Hati yang dilancarkan pada tahun 2005. Album tersebut memperkenalkan Sammy, Badai, Arief, Andika dan Anton kepada umum melalui single, Kejujuran Hati dan Lagu Rindu. Memperkenalkan Fandy Santoso mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sammy gara-gara kes dadah, ahli grup yang lain dengan senang hati menerima vokalis baru tersebut yang hadir dengan kelainan tersendiri. Sammy disahkan positif dadah selepas ditangkap pada tanggal 2 Februari 2010 di kawasan Pedurenan Sawit Setiabudi, Jakarta Pusat. "Fandy dipilih mengisi posisi vokalis grup ini hasil pemilihan kami bersama. Kami akui momen paling sukar dalam grup Kerispatih adalah sewaktu transisi mencari vokalis. "Perbezaan yang muncul dalam grup ini terjadi pada aspek karakter vokal dan stail nyanyian. Mengenai perbezaan lain-lain kami tidak mahu membahaskan perkara tersebut kerana tidak mahu membuahkan polemik-polemik baru," ujar Badai mewakili grup yang diasaskan pada tahun 21 April 2003 ini. Terpilihnya Fandy menjadi vokalis Kerispatih membuatkan dirinya harus banyak belajar. Peserta program Indonesian Idol musim ke-empat ini yang sudah mula bergabung dengan Kerispatih sejak bulan Mei lalu berasa dirinya jauh daripada perkataan sempurna dan terus belajar agar mendapatkan persembahan yang baik. "Harus tetap belajar, saya tidak pernah merasa sempurna, tetap terus belajar, menjadi vokalis yang tetap baik persembahannya dan tujuan untuk menjadikan diri saya lebih baik," ujar vokalis tersebut. Mengaku tidak mempunyai kesulitan yang besar hasil bantuan ahli-ahli grup yang lain, dia kini lebih banyak menggunakan ruang yang ada untuk menyesuaikan diri. Malah kata jejaka berusia, sebelum menjadi vokalis Kerispatih, dirinya merupakan penggemar berat grup tersebut. Akuinya dia sering mengikuti perkembangan serta mengumpul album-album Kerispatih. Kini setelah menjadi vokalis grup yang diidolakannya dulu, dia enggan dirinya disamakan dengan Sammy dan dia berusaha menunjukkan karakter sebenar dirinya. "Saya di sini mengisi kekosongan, dengan karakter saya sendiri. Saya tidak pernah meniru Sammy," ujar Fandy yang sangat kagum dengan sosok Sammy. Menurutnya Sammy mempunyai karakter tersendiri sebagai vokalis. Memulakan nafas baru bersama Fandy, grup ini muncul dengan sebuah single terbaru yang berjudul Tertatih. Single tersebut mula beredar di Indonesia sejak 22 Julai lalu dan sudah pun menjalani proses pembuatan klip video bagi tujuan promosi lagu tersebut. Badai selaku pemain keyboard juga mengaku dalam klip video mereka ka kali ini, Kerispatih sengaja memberikan banyak ruang bagi vokalis baru mereka untuk tampil dalam klip tersebut. Hal ini dilakukan agar khalayak dapat mengenal sosok Fandy secara lebih dekat. Menurut Badai lagi, Kerispatih yang sering tampil dengan imej romantis akan muncul lebih gembira dan ceria untuk album terbaru mereka. "Kami sedang berjuang. Anggaplah apa yang terjadi pada Kerispatih dahulu sebagai sebuah pengajaran dan pengalaman," ujarnya menutup perbualan. - SOFIATUL SHIMA WAN CHIK |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |