Adsense

Isnin, 20 Disember 2010

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Maya pengacara yang bagus - Vee

Posted:

Maya pengacara yang bagus - Vee

Maya pengacara yang bagus - Vee

Oleh Haryati Karim
haryati.karim@kosmo.com.my



TAHUN 2011 menyaksikan perubahan besar dalam pasukan program wanita popular di Malaysia, Nona, apabila ia tidak lagi diterajui oleh pengacara dan pelakon jelita, Maya Karin sebaliknya ia digantikan dengan seorang lagi pelakon terkenal, Vanidah Imran atau Vee.

Pilihan pasukan Nona itu menunjukkan, Vee dilihat mampu menarik kembali penonton kerana dia dipilih daripada beberapa calon yang mempunyai kelayakan sama sepertinya.

Namun, bagi Vee ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai pengacara Nona di Cruise Tasik Putrajaya baru-baru ini, tugas yang berat menantinya.

"Besar tanggungjawab yang diberi kepada saya. Bagi saya kejayaan Nona bukannya datang daripada seorang individu sahaja sebaliknya atas kerjasama semua pihak.

"Soal siapa ganti siapa itu, saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana saya juga pernah lihat Maya mengacara Nona, dia seorang pengacara yang bagus. Saya pula orang baru dalam Nona, harap semua orang memberikan sokongan," ujarnya.

Disoal tentang tahap keyakinannya untuk menaikkan rating program Nona, dalam senyuman, Vee tidak dapat menyembunyikan kegusarannya.

"Saya sebenarnya sangat gementar dan teruja apabila dipilih jadi pengacara Nona kerana ramai orang di luar sana dibesarkan dengan Nona.

"Saya bimbang juga tidak mencapai piawaian yang penonton harapkan tetapi dengan tunjuk ajar penerbit dan krew produksi Nona, saya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik," tuturnya yang telah menjalani rakaman lima episod Nona untuk tayangan Januari depan.

Jelas Vee lagi, dia seorang yang terbuka dengan kritikan, malah dia mengalu-alukan pendapat penonton terhadap prestasinya dalam Nona apabila ditayangkan bermula 2 Januari depan.

"Saya tidak kisah kalau orang cakap gaya pertuturan saya tidak bagus atau apa-apa kritikan. Sebab bagi saya dengan kritikan saya akan menjadi seorang pengacara yang lebih baik.

"Jadi kepada penonton, jangan malu atau segan untuk mengkritik saya. Sekarang ini sudah ada banyak ruang untuk mereka berikan kritikan atau komen selain e-mel, saya juga miliki akaun di laman sosial Facebook," katanya.

Kurangkan lakonan


Vee bersama krew produksi yang menjayakan Nona.


Ramai yang tidak tahu, isteri kepada aktor Rashidi Ishak itu sangat mengagumi Datin Normala Shamsuddin dan pernah berlakon dalam iklan Fair & Lovely sebagai kakak dan adik ketika Vee berusia 18 tahun.

Dia tidak menyangka, selepas 20 tahun, dia pula menjadi seperti idolanya, terlibat dalam program Nona, satu perkara yang diimpikan selama ini.

"Saya memang tidak sangka akan menjadi pengacara Nona seperti Normala, ia bagai mimpi jadi kenyataan kerana saya memang membesar bersama program Nona," balasnya.

Nama Vee hari ini, satu nama yang cukup besar dalam dunia lakonan, penglibatannya dalam Nona secara tidak langsung akan menjejaskan peluangnya untuk terus berlakon memandangkan jadual waktunya yang agak ketat.

Bagaimanapun, kata Vee, tahun 2011 memang disasarkan untuknya mengurangkan aktiviti lakonan dan menumpukan perhatiannya kepada keluarga dan pelajaran yang sedang disambung di Universiti Terbuka Malaysia.

"Mula-mula saya dapat panggilan pada bulan Oktober, masa itu rasa macam tidak percaya, saya tanya suami, boleh atau tidak saya jadi pengacara Nona? Dia beri galakan dan sokongan, itu yang menyebabkan saya terima tawaran ini.

"Lagi pun, tawaran itu datang tepat pada masanya sebab saya ingin memperlahan kerjaya lakonan pada tahun depan untuk beri tumpuan pada pelajaran dan keluarga serta inginkan satu perubahan dalam kerjaya saya. Jadi pengacara Nona, saya seperti sudah ada kerja yang tetap dan jadual boleh dirancang untuk disesuaikan dengan waktu kuliah.

"Sebelum dipilih jadi pengacara Nona pun saya telah perlahankan kerjaya lakonan, drama bersiri terakhir saya adalah Isabella bersama Rosyam Nor," ucap ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.

Meskipun begitu, tidak bermakna Vee akan hilang terus daripada radar dunia seni, terangnya, dia masih akan terlibat dalam lakonan cuma jadual waktunya tidak boleh padat seperti dahulu.

"Saya masih berlakon cuma tidak akan ambil drama bersiri yang panjang. Kalau telemovie atau filem itu masih boleh lagi kerana penggambarannya tidak akan mengambil masa yang lama. Saya seorang pelakon, tidak mungkin saya tinggalkan dunia lakonan," ujarnya.

Vee mahu jadi guru

Selepas 17 tahun bergelumang dengan dunia lakonan, wanita berusia 36 tahun ini sudah mula melihat masa depannya bukan sebagai seorang pelakon sebaliknya sebagai seorang guru.

Beritahu Vee, dia mengetahui yang dia mempunyai minat mengajar apabila dia menjadi guru kursus lakonan untuk Kelab Pencinta Filem Sekolah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini.

"Kursus selama tiga hari yang melibatkan 150 orang pelajar sekolah itu amat menyeronokkan saya kerana saya dapat lihat hasil didikan saya dalam masa yang singkat.

"Cuma kekurangan saya adalah aspek teori kerana selama ini saya hanyalah pelakon, kalau ingin mengajar secara praktikal itu bolehlah. Sebab itu saya sambung belajar supaya selepas ini tiada orang akan mempersoalkan tahap pendidikan saya kerana saya memang ke arah untuk menjadi seorang pendidik," katanya.

Bicaranya yang akan menggenggam segulung ijazah dalam tempoh tiga tahun lagi, dia berkeinginan untuk menjadi guru dalam bidangnya iaitu lakonan.

"Lihatlah macam mana, sekarang saya baru berada dalam semester tiga, memang agak sukar melakukan semua perkara dalam masa yang sama tetapi saya harus lakukan sesuatu untuk masa depan kerana dulu waktu saya mula berlakon saya sepatutnya sambung pelajaran tetapi saya abaikan kerana lakonan.

"Saya ingin nasihatkan kepada semua pelakon baru, habiskan pelajaran, baru masuk ke dunia lakonan kerana dunia lakonan akan sentiasa ada, jadi tidak perlu tergesa-gesa sehingga mengabaikan pelajaran," tutur Vee lagi.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sedetik Lebih, promosi awal Hikayat Merong Mahawangsa

Posted:

Sedetik Lebih, promosi awal Hikayat Merong Mahawangsa

Sedetik Lebih, promosi awal Hikayat Merong Mahawangsa

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

SUDAH tentu ramai di kalangan peminat filem tempatan sudah menonton promo video filem Hikayat Merong Mahawangsa di laman Youtube. Menontonnya buat pertama kali, pasti ramai menyangka filem tersebut dihasilkan oleh produksi dari luar negara.

Itulah kehebatan yang dapat disaksikan melalui filem terbaru keluaran KRU Studios yang akan menjengah pawagam pada 10 Mac 2011 akan datang. Sebuah filem epik yang sangat dinantikan dan diuar-uarkan sebagai sebuah filem terhebat yang pernah dihasilkan oleh anak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, setakat ini filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem terhebat yang pernah dihasilkan dan pihaknya yakin para peminat akan memberi sambutan cukup hangat.

"Sebelum ini saya memang ada perancangan untuk menerbitkan sebuah filem epik. Kemudian filem ini terhasil setelah saya membaca sendiri buku Hikayat Merong Mahawangsa dan kemudian terus tertarik untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan buku tersebut.

"Ia bukan sahaja sebuah filem aksi, malah turut dimuatkan dengan elemen-elemen percintaan. Selain jalan ceritanya yang menarik, kehebatan filem ini juga turut dibantu dengan teknik imej penjanaan komputer (CGI)," ujarnya.

Menurut Norman, pihaknya juga sangat gembira kerana sasaran mereka untuk memasarkan filem ini sekurang-kurangnya di 60 buah negara telah tercapai dan rata-rata melahirkan rasa kagum terhadap filem berkenaan.

Ujarnya, apa yang lebih membanggakan ketika dia cuba memasarkannya di luar negara, filem tersebut dianggap menelan belanja sehingga puluhan juta ringgit, sedangkan kos sebenarnya adalah RM8 juta sahaja.

Sementara itu, Norman menjelaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membawa filem Hikayat Merong Mahawangsa ke festival-festival filem yang sesuai untuk dipertandingkan.

Bagaimanapun, ujarnya lagi soal menang atau kalah tidak menjadi keutamaan bagi dirinya kerana apa yang lebih penting adalah untuk membuktikan kepada pihak luar bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan sebuah filem bertaraf antarabangsa.

"Sebagai seorang ahli perniagaan, sudah tentu saya lebih mengutamakan keuntungan tetapi melalui produk yang berkualiti kerana ia adalah suatu kepuasan bagi saya. Kalau menang anugerah, itu merupakan satu bonus," ujarnya.

Sedetik Lebih

Biarpun hanya akan ditayangkan lebih kurang tiga bulan akan datang, namun KRU Studios telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan lagu tema untuk filem berkenaan yang berjudul Sedetik Lebih.

Menurut Norman, pengenalan lagu tema tersebut merupakan salah satu cara mereka untuk mempromosikan filem berkenaan sebelum ditayangkan di pawagam.

"Pihak kami turut memperkenalkan lagu tema terlebih dahulu dan disertakan klip video kepada umum. Cara yang sama dilakukan untuk filem-filem terbitan KRU Studio yang lain, antaranya Cicak Man, Jin Notti dan Magika.

"Lagu Sedetik Lebih ini pula diciptakan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim dan ia dihasilkan dengan sususan melodi yang cukup indah serta lirik lagu yang mempunyai maksud tersendiri," ujarnya.

Menurut Norman lagi, apa yang lebih menarik mengenai lagu berkenaan juga apabila muziknya telah dimainkan oleh orkestra Dewan Filharmonik Petronas.

Ketika ditanya kenapa Anuar Zain menjadi pilihan pihaknya untuk menyanyikan lagu tersebut, Norman menjelaskan penyanyi berkenaan dilihat memiliki karisma serta vokal yang cukup mantap.

Ujarnya, dia yakin penyanyi yang kini sudah menjangkau usia 40-an itu mampu membawakan lagu Sedetik Lebih dengan baik, di samping turut berpuas hati kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan penyanyi tersebut.

Sementara itu, mengenai proses pembikinan klip video lagu itu pula, Norman memberitahu, ia mula dihasilkan pada bulan Oktober yang lalu dengan kos sebanyak RM 30,000.

"Hanya sehari tempoh yang diambil untuk menghasilkannya dan kami amat berterima kasih kepada Dewan Filharmonik Petronas kerana sudi untuk menaja lokasi penggambaran klip video ini," ujarnya.

Satu penghormatan

Memandangkan sebelum ini Anuar Zain sendiri belum pernah menjalinkan sebarang kerjasama dengan pihak KRU Studios, dia menganggap pemilihannya itu untuk menyanyikan lagu Sedetik Lebih sebagai satu penghormatan yang cukup besar.

Menurut Anuar, antara sebab dia menerima tawaran KRU Studios kerana tertarik dengan melodi dan lirik lagu berkenaan dan merasai suatu kelainan ketika menghayatinya.

"Ketika pertama kali mendengarnya, saya terus tertarik dengan lagu ini dan yang lebih menggembirakan lagi apabila saya diberitahu ia akan dijadikan lagu tema untuk filem terbitan mereka.

"Setelah mencapai persetujuan, saya mula merakamkan lagu ini pada bulan Jun yang lalu. Manakala pembikinan klip video pula dilakukan dua bulan yang lalu," ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran lagu Sedetik Lebih baru-baru ini.

Menurut Anuar, dia sendiri tidak menafikan terdapat juga beberapa cabaran yang terpaksa dilalui sewaktu merakamkan lagu berkenaan memandangkan ia dirakamkan dengan dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada Edry sendiri sepanjang merakamkan lagu tersebut. Malah, dia juga turut berpuas hati dengan hasil pembikinan klip video yang diarahkan oleh Yusry.

Mengenai pandangannya tentang filem berkenaan pula, Anuar meluahkan rasa kagumnya dan tidak menyangka bahawa ada anak tempatan yang mampu untuk menghasilkan sebuah filem epik yang cukup hebat.

"Pada saya filem Hikayat Merong Mahawangsa ini adalah antara filem yang terbaik yang pernah dihasilkan dan secara jujurnya saya merasakan ia setanding dengan filem-filem epik luar negara," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.