Adsense

Isnin, 20 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Langkah baru

Posted: 19 Dec 2010 04:16 PM PST

Hip

Dafi bertuah jadi pengarah urusan syarikat pada usia muda

DALAM usia 22 tahun hidupnya yang genap pada 14 Disember lalu, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri sudah bergelar Pengarah Urusan syarikat. Pada usia yang muda itu, memang tanpa ilmu, pengalaman dan keyakinan diri, bukan mudah untuk bergelar seorang ahli perniagaan dengan jawatan paling kanan.

Kini, syarikat pengurusan, Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd (LOL) sudah enam bulan beroperasi. Ditubuhkan semata-mata untuk menguruskan kariernya selain merancang melebarkan kerjaya seni lebih luas suatu masa akan datang. Lebih bermakna, LOL secara rasminya diumumkan sempena ulang tahunnya baru-baru ini yang disambut dengan cukup meriah bertemakan Masquarade Nite The New Beginning.

Menurut Dafi, sesuatu pencapaian yang sangat membanggakan buat dirinya selepas tiga tahun berkecimpung di dalam industri seni.

"Syukur kepada tuhan apabila dalam usia yang sangat muda ini saya berjaya menubuhkan syarikat sendiri yang dibantu dengan rakan kongsi iaitu Afeeq.

"Dengan tertubuhnya syarikat ini, saya sudah tahu apa benda yang hendak saya buat dan insya-Allah inilah kerjaya yang akan saya usahakan sepanjang hidup saya.
"Sebenarnya syarikat ini ditubuhkan untuk menguruskan karier saya. Tapi dalam masa yang sama syarikat ini turut menyediakan khidmat bakat seni, tidak kira baik penyanyi, pelakon atau yang berkaitan dalam bidang seni," katanya yang turut menyediakan khidmat menguruskan acara atau majlis hiburan.

Atas diri sendiri dan keyakinan yang tinggilah, Dafi menyahut cabaran untuk mengharungi perit jerih sebagai anak seni, disamping bergelar ahli perniagaan demi meningkatkan kariernya.

"Saya rasa sesuatu yang sangat baik apabila membuka syarikat sendiri kerana saya harus ambil tahu semua aspek perniagaan. Dan ia adalah pengalaman yang menarik kerana sebelum ini saya tidak pernah ambil tahu apa yang berlaku. Apa yang saya tahu apabila diundang adalah menyanyi saja," katanya.

Dafi yang dilahirkan pada 14 Disember 1988 adalah peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima. Dia boleh dianggap pelajar AF yang bertuah ketika itu. Sejurus selepas tersingkir, Dafi mendapat tawaran daripada Erma Fatima untuk mengacarakan rancangan Xpresi Remaja di RTM2.

Dia juga membuat penampilan secara cameo dalam filem Apa Kata Hati. Selain itu, Dafi pernah dipilih menyumbangkan suara untuk watak Troy dalam High School Musical versi bahasa Melayu.

Popular dengan lagu Bila Terasa Rindu yang dicipta sepenuhnya dan diterbitkan oleh Edry KRU. Lagu itu turut dijadikan dalam runut bunyi filem Duyung. Dafi digandingkan dengan Shila dalam untuk lagu Rentak Optimis. Lagu itu dicipta khas untuk menjadi tema bagi minum ringan terkenal. Sebelum itu, dia pernah 'disatukan' dengan penyanyi dari Indonesia, Gita Gutawa untuk muncul dalam iklan ais krim.

Album terbaru tahun depan

DITANYA mengenai pengunduran dirinya daripada syarikat KRU Studios adakah disebabkan menghadapi masalah, Dafi secara jujurnya menjadikan KRU Studios sebagai idolanya untuk memajukan syarikatnya sendiri.

"Saya berundur daripada KRU secara suka rela dan tiada apa yang berlaku. Bila kontrak bersama KRU tamat, saya harus merancang sesuatu dan kini sudah tibanya masanya untuk saya bergerak sendiri.

"Bila difikirkan sampai bila saya mahu duduk di bawah orang dan saya cukup berbangga dengan kejayaan yang diraih KRU Studios hari ini.

"Saya juga gembira apabila saya keluar daripada KRU Studios, mereka turut menawarkan apa saja bentuk bantuan sekiranya saya memerlukan, saya akui mereka sangat banyak ilmu terutamanya pengalaman yang ingin saya pelajari.

"Saya juga mengambil mereka sebagai contoh kerana mereka pun bermula di bawah orang lain dan akhirnya mereka bergerak sendiri dan berjaya di peringkat yang sangat tinggi hingga hari ini, saya ingin jadi seperti mereka," katanya.

Memandangkan LOL ditubuhkan demi menjaga karier Dafi, mereka masih belum merancang untuk mencari bakat baru untuk berada di bawah syarikatnya.

"Buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari artis lain bernaung di bawah LOL kerana fokus utama adalah kepada karier saya, untuk jangka masa akan datang memang itu adalah rancangannya.

"Saya juga sudah merancang aktiviti seni saya untuk 2011 yang akan lebih fokus kepada kerjaya saya dalam bidang nyanyian. Jika tahun ini, karier seni saya lebih kepada bidang lakonan, kini saya mahu kurangkan dan menyiapkan dulu album saya.

"Sekarang saya tengah fokus kepada persiapan membuat album terbaru saya di mana singlenya akan keluar pada Januari depan di bawah syarikat LOL, saya juga akan bekerjasama dengan Omar K.

"Album penuh dengan enam lagu akan diterbitkan pada pertengahan tahun depan dengan konsep yang lebih sesuai dengan usia saya kini. Ia akan lebih matang dan lebih rancak daripada sebelum ini.

"Sebaik saja album ini siap kami akan bergerak aktif untuk langkah promosi dan saya mahu mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi mempopularkan album ini nanti," katanya yang banyak berlakon pada tahun ini antaranya Hotel Mania, Misteri Alam Hitam, Kecoh Bendul, Opah Popular dan beberapa telefilem lain.

Sementara itu, majlis ulang tahunnya yang ke-22 turut dihadiri insan tercinta iaitu bapanya Datuk Seri Ismail Sabri dan ibunya Datin Seri Muhaimi Zainal Abidin.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

One Nation Emcees ke dunia filem

Posted: 19 Dec 2010 04:13 PM PST

Hip

TAMPIL bertiga sewaktu menghiburkan tetamu majlis pelancaran program Layar Baru di Mutiara Damansara.

TAMPIL bertiga sewaktu menghiburkan tetamu majlis pelancaran program Layar Baru di Mutiara Damansara.

Terjun ke layar perak, papar kisah salah guna teknologi digital

WALAUPUN anggota kumpulan One Nation Emcees belum terjebak dalam perangkap paparan lucah ataupun aksi tidak bermoral, yang disebarkan di internet mahupun telefon bimbit, namun masing-masing mengaku perlu sentiasa berhati-hati.

Dalam dunia serba canggih, dengan pelbagai maklumat kini disalur secara digital, Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe) sentiasa berwaspada, apatah lagi ketiga-tiganya kini memegang status selebriti. "Kemajuan teknologi hari ini membuatkan kita tidak berdaya menghalang perkara seperti itu daripada terjadi. Dengan kamera telefon bimbit pun, pelbagai rakaman boleh dibuat dan dimiliki, termasuk paparan yang mencemarkan maruah diri.

"Bukan sekadar orang biasa, artis sendiri tidak terlepas daripada menjadi mangsa teknologi. Jadi, kami sentiasa berjaga-jaga. Kehidupan artis yang sering terdedah kepada masyarakat, membuatkan kami perlu lebih berhati-hati," ujar Mimi.

Ditemui selepas pelancaran program Layar Baru oleh Primeworks Studios, baru-baru ini, Mimi berkata, dia bersyukur apabila masih bersih daripada rakaman bukan-bukan yang mampu mencemarkan dunia siber. Begitupun dia mengaku, sebagai bekas penari, tentunya ada sebahagian daripada gambarnya sebelum ini memaparkan dirinya dalam keadaan yang agak berani.

"Paling penting, sebagai individu, jangan sekali-kali kita berbuat jahat kepada orang lain. Dengan cara itu, kita juga berharap orang lain tidak akan berbuat perkara sama terhadap kita," katanya, disokong dua lagi rakan sekumpulan.
Mimi, Zydee dan Jojoe turut terbabit dalam filem yang dihasilkan pengarah baru daripada program Layar Baru, Aidilfitri Yunos, berjudul Klip 3GP. Dalam filem terbabit, turut berlakon bersama mereka bekas anggota kumpulan terbabit, Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), selain Zahiril Adzim, Fikhree Abu Bakar, Adeline Anthony, Amanda Misbun dan Sara Ali.

Filem yang ditulis oleh Sofea Aliza itu menggabungkan empat penceritaan yang mempunyai kisah tersendiri. Kisah pertama mengenai Eddie yang mengecapi kejayaan perniagaan internetnya pada usia seawal 20-an. Kisah kedua pula mengenai Maya Akhtar, seorang wartawan yang komited terhadap kerjayanya, menjadi mangsa ugutan Sunny yang memiliki rakaman video hubungan sulit mereka.

Kisah ketiga pula mengenai Suria, Mina dan Zakiah, tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan hujung minggu di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, malam itu menjadi satu peristiwa yang menyeramkan apabila mereka diburu makhluk mengerikan.

Manakala kisah terakhir mengenai Sandra, seorang pelajar yang menjadi mangsa deraan seksual oleh Jefri. Suatu hari, Sandra diperkosa beramai-ramai oleh geng motosikal yang dianggotai oleh Jefri dan abang kandung Sandra sendiri iaitu Burn. Kejadian perkosaan itu dirakamkan geng itu melalui kamera telefon bimbit Jefri.

Kehidupan watak yang berbeza ini akhirnya bersulam dan berkait melalui pembocoran klip 3GP mereka kepada masyarakat melalui internet dan dunia mereka bertembung dalam satu kemuncak yang dramatik.

Pikul watak berani dan mencabar

PADA mulanya, Mimi berasakan, dia tidak mampu memenuhi tawaran yang diberikan oleh pengarah filem terbabit, berikutan jadual persembahan One Nation Emcees sendiri agak ketat.

Begitupun, apabila beberapa kali dipujuk, wanita ini bersama-sama tiga lagi temannya bersetuju untuk menjayakan filem itu.

"Filem ini dirakam pada Jun tahun depan. Saya menerima tawaran ini setelah diterangkan alasan mengapa mereka benar-benar ingin menggunakan khidmat saya. Wataknya agak mencabar dan berani. Mereka mahukan pelakon baru untuk menjayakan watak terbabit.

"Demi memberikan sokongan kepada pengkarya baru, serta sama-sama memberikan peringatan kepada masyarakat mengenai gejala rakaman lucah di Internet, saya setuju melakonkan watak Maya Akhtar ini. Ia dihasilkan menggunakan inspirasi kisah betul. Saya sendiri membaca kisah yang terjadi," kata Mimi.

Menurut Mimi, dia dan anggota kumpulan itu bertuah apabila dapat bekerjasama dengan pasukan pembikin filem profesional. Justeru, tidak banyak kerenah yang timbul sepanjang penggambaran dilakukan.

Bukan sekadar berlakon, mereka turut diberikan amanah menjayakan album runut bunyi untuk filem ini. Mereka menunggu waktu untuk merakamkan sebuah lagi lagu yang bakal dimuatkan dalam album itu. Dua lagu yang sudah dipersetujui untuk dimuatkan sama ialah Syukur dan Bayanganmu (lagu yang turut menampilkan penyanyi Sabhi Sadhi).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.