Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Solo itu bahagia - AnuarMENJENGAH ke teluk rasa figura ternama Anuar Zain, sekali lagi pertanyaan tentang kesendirian tanpa suri di penghujung usia 40 tahun disuakan ke mukanya. Sedikit lelah yang enggan dijelmakan, pelantun yang masih berhantu dengan alunan Lelaki Ini teguh mendakap syukur. Terima kasih Tuhan katanya kerana diperlengkapkan kehidupan bahagia beriring utuh karier. Teman dan keluarga juga berkelip indah, menemani siang malam seorang Anuar Zain. Dia masih beraja tanpa permaisuri dan 2010 yang bakal ditinggalkan ini, langkahnya teratur tidak bergugah oleh terkilan atau sepi bersendirian yang masuk mencelah. "Saya seorang yang sabar dan sangat bersyukur. Jika tiada jodoh sekali pun untuk saya, mungkin itulah aturan terbaiknya yang telah ditentukan kepada saya. "Saya sendirian, solo tanpa teman hidup tetapi tidak bermakna saya dalam kesepian. Walaupun belum berkahwin dalam usia begini, saya ada ramai kawan yang berkualiti," pertahan Anuar meladeni hakikat hidup membujang. Menambah resam orang bujang, Anuar juga tidak terdesak atau merintih jodoh tak sampai. "Saya bukan orang yang suka berdrama sebegitu rupa. Saya menikmati hidup saya sepenuhnya dan tidak merosakkan jiwa dengan perkara sebegitu. "Fokus sahaja dengan kerja dan kenapa harus menjadi mangsa perasaan kerana saya reda jodoh itu kerja Tuhan. Tapi bila saya kata saya reda, ada pula menggelarkan saya sebagai 'poyo'. Biarlah," ucapnya. Berbaki kurang tiga minggu sebelum 2011 menyelinap ke posisi, Shahrul Anuar Zain yang bugar bersandar vokal lunak ada berharap. Biarlah 2011 mencurahkan hasil yang baik untuk semua. Kepada dirinya sendiri, dia tidak meletak sebarang visi khusus. "Saya jenis sukar untuk bercakap tentang visi, lainlah kalau berkaitan dengan album atau lagu baru. Ada perkara tertentu yang datang tanpa dijangka. Tetapi biasalah, bila masuk tahun baru, orang akan cakap tentang penambahan usia atau peralihan hidup. "Saya masih Anuar Zain yang dikenali umum, jika ada peralihan dari segi kematangan itu takrifan orang luar terhadap saya. Dalam soal kerja, ia masih sama," ucapnya sedar ada janji kepada peminat yang belum diselesaikan.
Janji Bukan berjanji untuk menamatkan zaman bujang tetapi janji terhadap album yang masih berdepan proses pembikinan. Mulanya September kemudian terheret ke bulan Disember, belum ada tanda-tanda bahawa album baru yang kerap diperkatakannya menunjukkan tanda kelahiran. "Sudah tertangguh lebih tiga bulan, saya sedar ramai yang merungut kenapa begitu lama. Bukan terlalu mahukan hasil yang sempurna tetapi saya mahukan kelainan. "Sekarang ia dalam proses mixing. Semua lapan buah lagu telah siap, awal tahun depan mungkin album akan siap sepenuhnya," katanya yang menjual single terbaru, Ku Berjanji Karna Cinta sebagai pengubat rindu peminat setianya. Kedatangan tahun baru juga memberi laluan kepada kerja yang telah ditumpahkan sepenuh hati sepanjang penghasilan lagu Sedetik Lebih akan membuahkan hasil. Bukan sekadar lagu tema yang sering dinyanyikan oleh naskhah terdahulu, tetapi sentuhan indah Edry dan Yusri Abdul Halim untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa itu memberi makna kepuasan kepada Anuar. Dirakamkan bersama 40 pemuzik daripada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), proses penghasilan lagu itu sahaja cukup sebagai satu kekaguman Anuar terhadap kreativiti dan kredibiliti trio tiga beradik KRU itu. "Melodi lagu itu sangat bagus dan saya sukakan elemen yang menjadi signatur kepada Edry. Saya terima tawaran itu kerana mahukan suasana berkerja orang yang berbeza-beza, kerja dengan Edry serta pihak KRU. Itu semua penting untuk profil kerjaya saya. Diberi kepercayaan menyanyikan dua versi lagu tema, Sedetik Lebih untuk versi bahasa Melayu dan The Memories dalam versi Inggeris, Anuar menambah: "Untuk projek lagu tema itu, kami bersama-sama berbincang dan saya turut memberi input dari segi idea dan penyampaian, jadi pendengar boleh kenal stail saya dalam lagu berkenaan dan saya sukakan hasilnya," katanya dalam sesi fotografi yang disusun pihak KRU di Hotel Marriot Putrajaya, Khamis lalu. Diusulkan satu kebarangkalian melihat kelibat Anuar dalam projek filem KRU Motion Pictures untuk masa akan datang, adik Ziana Zain itu pantas menggeleng kepala.
"Saya tak pandai berlakon dan tak adil untuk pelakon lain. Cukuplah, saya pernah mencuba berlakon tapi gagal. Ada artis lain boleh jadi penyanyi dan pelakon sekali gus, tapi bukan saya. "Lakonan saya sangat 'keras'. Saya cuma tengok sekali sahaja filem yang saya lakonkan (Bintang Hati). Saya tak sanggup tengok, segan,' katanya yang pernah dipelawa pihak KRU untuk membintangi filem Magika sebelum ini. Menolak kemungkinan ketibaan Sedetik Lagi untuk penayangan Hikayat Merong Mahawangsa sekitar Mac nanti bakal bertindih kelancaran promosi album terbaru yang direncanakan terzahir pada waktu yang sama, Anuar yakin terhadap strategi yang telah disusun. Dalam santai pertemuan singkat itu, Anuar berkongsi pelbagai luahan termasuklah soal jaringan laman sosial Facebook mahupun Twitter yang sedang menjadi trend semasa, baik di kalangan artis mahupun masyarakat umumnya. "Terus-terang saya katakan, saya tidak ada akaun peribadi Facebook atau Twitter. Ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk menggunakan kelebihan yang ada menerusi laman sosial berkenan. "Untuk saya, saya sangat pentingkan privasi. Untuk apa saya ada laman sosial sedangkan saya sudah boleh bertemu ramai orang setiap masa. Peribadinya, saya melihat ada bahayanya jika teknologi itu diaplikasi secara melampau," katanya. Cukuplah dihina atau diperlekehkan di laman sosial orang lain, untuk memiliki laman sosial peribadi satu perkara yang mustahil untuknya. Secara rasmi, Anuar cuma didaftarkan atas satu akaun Facebook Fan Page yang dikendalikan oleh pengurusannya. | ||||
Terima hadiah rumah sebelum nikah Posted: Terima hadiah rumah sebelum nikah
BERAGAM rasa, teruja dan berdebar terlihat pada wajahnya. Kelmarin, semua separuh sabar menanti Rabecca Nur Al-Islam, 24, mengotakan janjinya berkongsi bahagia tentang ikatan penting bernama pernikahan. Senyumnya meleret menyembunyikan debar di sebalik baju kurung moden sentuhan Ezuwan Ismail yang bersalut ke tubuhnya. Rabecca atau panggilan mesranya, Becca membongkar segala pertanyaan sejak seminggu lalu apabila pertama kali membuka mulut tentang tarikh hari bahagianya. Tanggal 14 Januari 2011 menjadi angka keramat yang dipilih Rabecca sebagai detik bercantumnya dia dengan belahan jiwa digelar 'sayang' - seorang peguam dan bapa tunggal kepada dua cahaya mata berusia 14 dan 7 tahun. Lelaki yang dimaksudkan, Nor Azam Datuk Sulaiman, 42, seperti yang pernah dihebahkan media sebelum ini. Di rembang petang bertempat di Butik Harrods, KLCC, Kuala Lumpur, Becca melanjutkan bicara tentang lelaki kelahiran Kuching, Sarawak itu. "Dia bukan Datuk, orang korporat, bukan juga dari tanah seberang. Saya mengenalinya sejak tiga tahun lalu. "Biarpun jarak usia kami 18 tahun, saya tidak menganggapnya satu masalah. "Kami akan bernikah 14 Januari 2011 di rumah baru saya di Ampang, Selangor. "Keesokan harinya, saya dan sayang mengadakan resepsi persandingan di Hotel Flamingo manakala sebuah acara diadakan di Restoran Berputar, Menara Kuala Lumpur pada hari ketiga. "Untuk majlis belah pihak keluarga saya di Johor Bahru keluarga bakal suami di Kuching, kami belum menetapkan tarikhnya," jelas Rabecca yang akan menerima 15 berbalas 17 dulang hantaran daripada pihak lelaki. Bakal suaminya tidak dapat hadir semasa sidang akhbar itu atas urusan kerja. Kata Rabecca, dia menetapkan bulan madu di Eropah pada Februari. "Saya akan menjemput pihak media datang ke rumah baru yang kini dalam proses pengubahsuaian sekitar dua minggu sebelum majlis pernikahan kami. "Itu janji saya," ungkapnya. Sensasi Bintang: Kenapa kalian memilih Januari 2011? RABECCA: Ia sebagai simbolik genap tiga tahun usia perkenalan kami. Kami keluar bertemu janji buat kali pertama juga pada tarikh tersebut. Sejak bila kalian mula menjalin cinta? Kami bertemu secara kebetulan pada sebuah acara tiga tahun lepas. Dia menghubungi saya setelah mendapatkan nombor telefon daripada kenalannya. Beberapa bulan bercakap menerusi telefon hampir setiap hari, kami mula rapat. Kenapa dia mahu cepat melamar Rabecca sedangkan kalian baru berkenalan? Saya sendiri terkejut dengan keputusannya. Dia berharap perkahwinan kami jadi yang kedua dan terakhir buatnya. Saya yang baru berusia 22 tahun ketika itu menolak lamarannya dan beri syarat dua tahun lagi kerana ada sasaran dalam karier. Saya tambah lagi setahun. Bila majlis merisik dan pertunangan? Pihak lelaki datang merisik ke kediaman keluarga saya di Ampang pada 25 Ogos lalu. Ia sekadar majlis kecil-kecilan yang dihadiri sekitar 10 orang. Majlis pertunangan pula mungkin dilangsungkan beberapa jam sebelum kami bernikah. Berapa jumlah mas kahwin dan hantaran kalian? Dia bagi dirinya (tergelak). Saya tidak tahu jumlah mas kahwin dan wang hantaran nanti. Saya bersyukur kerana dia tunai janjinya menghadiahkan sebuah rumah di Ampang untuk saya. Apa yang menariknya tentang bakal suami? Dia merupakan seorang bapa yang baik. Saya pula menyayangi budak-budak. Sifat sama ada pada dirinya. Sebaik saja kami berkenalan, saya dapat mengambil seorang anak angkat (Nor Adam Daniel, 3). Itu juga situasi paling berharga buat saya apabila bertemu dengan calon suami dan Adam. Apa rancangan selepas mendirikan rumah tangga kelak? Masih berlakon atau meninggalkan dunia seni? Saya tidak akan berhenti berlakon. Ada kebarangkalian saya akan memperlahankan kerjaya lakonan saya. Saya ingin membuka perniagaan kerana minat mendalam terhadap bidang fesyen. Saya bercita-cita untuk menghasilkan jenama baju dan kasut sendiri. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |