Harian Metro: Rap |
Posted: 02 Dec 2010 06:45 AM PST WATAKNYA sebagai Eja, remaja kampung yang datang ke bandar dan menjadi artis popular dalam filem Diva arahan Sharad Sharan masih diingati peminat sampai hari ini. Malah, lakonan berkesan Balkisyh, 24, dalam filem itu turut meraih perhatian ramai, sekali gus tercalon dalam top 5 kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20. Sekalipun tidak menang, nama Balkisyh atau nama sebenarnya Balkisyh Semundur Khan duduk sebaris dengan pemenang kategori itu, Natasha Hudson (filem Chermin) dan Ainul Aishah (filem Nana Tanjung).
Ke mana menghilangnya pelakon berbakat besar berdarah kacukan Arab, Pakistan dan kaum Suluk ini dari dunia glamor? Justeru, sesi fotografi yang diatur Rap dengan Kiss di Studio Balai Berita, baru-baru ini menyingkap segalanya. Kiss yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan sendiri mengakui selepas bergelar ibu tidak banyak publisiti mengenai dirinya disiarkan di akhbar mahupun majalah tempatan. Bukan saja itu, tawaran berlakon juga tidak serancak dulu. "Tawaran berlakon juga tidak sebanyak dulu. Mungkin, orang di luar sana fikir badan saya sudah gemuk selepas bersalin dan tidak sesuai pegang watak utama dan karakter ditawarkan. "Sebab itu, saya juga berusaha untuk menurunkan berat badan daripada 49 kilogram kepada 45 kilogram. Sekarang saya perlu turunkan lagi empat kilogram lagi. "Pada masa sama, saya juga sedar tawaran berlakon kurang kerana perlu bersaing dengan pelakon baru yang bagaikan cendawan tumbuh ketika ini," katanya. Kiss berkata, kini dia menanti tawaran beraksi di layar perak dengan watak yang mencabar lakonannya.
"Sebelum ini, saya ada berlakon watak pembantu yang juga ada enam babak dalam filem Dukun, tapi masih belum ditayangkan lagi.
Adik ipar kepada pengarah terkenal dan produser World Evolution Brains Sdn Bhd, Jurey Latif ini juga tidak ingin bergantung kepada produksi milik keluarga suaminya yang juga penolong penerbit produksi itu, Mohd Aizad Rosli, 27, semata-mata. "Kalau ada watak sesuai abang Jurey akan tawarkan pada saya. Ketika produksi buat filem Libas dulu, saya tak dapat berlakon kerana mengandung ketika itu. "Saya juga tidak ada masalah untuk berlakon dalam produksi lain jika ada kelapangan kerana tidak terikat dengan produksi World Evolution," katanya.
Dia juga memegang watak utama dalam drama bersiri 13 episod Camping arahan Jet Li. Kiss juga berlakon dalam drama bersiri Gelora Di Hati Sara musim kedua terbitan Suhan Movies dan watak pembantu dalam drama bersiri Songkok untuk TV1. Tidak ketinggalan dalam drama seram Nek Nak, Soraya dan Radio. Pada sesi fotografi petang itu, Kiss hadir bersama suami dan anaknya, Nur Qalesya, 15 bulan yang tidur di pangkuannya. Namun, Qalesya bangun ketika fotografi baru dimulakan kerana ingin sama-sama bergambar bersama ibunya. Mujur ada suami yang membantu menjaga Qalesya sehingga sesi fotografi berakhir kira-kira jam 2 petang. Bercerita soal peribadi, Kiss mengakui mengakui rumah tangga yang dibina bersama suami kini lengkap dengan kehadiran anak pertama itu. "Terus terang, saya sukar berenggang dengan Qalesya kerana hubungan kami cukup akrab. Maklumlah, dia masih menyusu badan dan saya akan terus menyusukannya selagi dia mahu.
"Qalesya hanya akan minum susu formula apabila saya keluar bekerja. Saya juga sudah mula beri dia makan makanan pejal seperti nasi dan bubur," katanya. Sebagai ibu, Kiss mengakui sukar berenggang dengan anaknya itu.
"Mujurlah ada suami dan mak cik yang membantu menjaganya apabila saya bekerja," katanya.
"Qalesya juga pernah berlakon dalam telefilem Aku Bukan Rabiatul dengan menjadi anak kepada pelakon Intan Azura.
>PROFIL |
Posted: 02 Dec 2010 06:36 AM PST PENDERAAN kanak-kanak adalah antara masalah sosial semakin membimbangkan kini apabila ia turut meragut nyawa. Menurut sumber Tabung Pendidikan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia pada 2006, sebanyak 1,999 kes penderaan dilaporkan diikuti 2,279 (2007) dan 2,780 (2008).
Atas kesedaran ini juga pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki, 38, bersetuju menjayakan kempen Tangani Isu Penderaan Kanak-Kanak. Hentikannya Sekarang! yang dianjur Unicef. Malah, pengalaman yang dilalui sewaktu berhadapan dengan perceraian ibu bapanya pada zaman kanak-kanak digunakan bagi membantu pihak luar terutama ibu bapa mengenai bagaimana menangani masalah ini.
Afdlin tidak menafikan dalam situasi ibu bapa berdepan dengan tekanan dalam urusan harian, mereka cukup mudah melepaskan perasaan marah kepada anak-anak. Apatah lagi, kanak-kanak sifatnya memang nakal kerana masih belum mampu berfikir sendiri. Begitupun, ia bukanlah alasan.
"Paling utama adalah membentuk kembali budaya 'menjaga tepi kain orang.' Budaya ini tidak lagi wujud menyebabkan apa yang berlaku pada anak jiran di sebelah tidak kita ketahui.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |