Adsense

Jumaat, 3 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ketepi soal hati

Posted: 02 Dec 2010 03:50 PM PST

Hip

pix_gal0
Ana Raffali elak peminat bosan dengan cerita cinta

BIARPUN pada awal kemunculannya dulu dia mendapat reaksi agak dingin, hanya disebabkan imej berbaju kurung, Ana Raffali kini semakin diterima ramai apabila mampu memancing perhatian peminat muzik bersama dendangan segar.

Perjalanan empunya nama Nur Hidayah Mohd Rafali, 25, yang mula menyerlah bersama lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur sekitar awal tahun dilihat selesa apabila sebuah lagi dendangannya, Tolong Ingatkan Aku berjaya melangkahkan kaki ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25.

Sebagai orang baru, menakluk pentas program kelolaan TV3 yang dominan hampir tiga dekad lalu bersama 13 calon lain menyerlahkan portfolionya sebagai komposer muda merangkap penyanyi yang dijangka mampu melangkah lebih jauh. Siapa yang tidak teruja dapat beraksi di pentas gah itu dengan lagu ciptaan sendiri, sedangkan ketika zaman kecil dulu, saya hanya menonton program Muzik Muzik di kaca televisyen?
Bersama pengalaman yang tidak seberapa, peminat memberi kepercayaan kepada dua lagu saya untuk bertanding dan sudah pasti saya mahu membalas keyakinan mereka dengan memberi persembahan terbaik, katanya,

Tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi, bimbang rasa kecewa mencengkam diri, berada dalam senarai finalis sudah dianggap sebagai kejayaan cukup bermakna malah bagi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, 2010 mencatat 1001 kemanisan dalam kerjaya seninya.

Manakan tidak, selain AJL namanya turut disenaraikan sebagai calon awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular sekali gus menandakan gerbang 2011 bakal menjadi tahun gemilang
buat si manis itu.
Usai berkongsi rasa mengenai Muzik Muzik 25 dan ABPBH 24, senyumannya terus mekar apabila persoalan menyentuh populariti lagu dendangan bersama Sohaimi Mior Hassan diiringi Altimet, Kalau Berpacaran, yang kini kerap berkumandang di corong radio.

Katanya, lagu yang dihasilkan bersama penyanyi berpengalaman itu dalam sebuah bengkel seni mempunyai keistimewaan bukan hanya pada melodi, malah lirik yang kena dengan situasi semasa mengenai hubungan anak muda.

Apabila ditanya soal hubungan cintanya sendiri, gadis peramah ini tampak malu-malu, seterusnya membiarkan persoalan berlalu tanpa sebarang kepastian.
Sebagai gadis yang baru mengenal hidup selain masih merangkak mencari ruang di arena muzik, bagi saya soal hati biarlah diletak ke tepi dulu bagi mengelakkan masyarakat bosan hanya diulit cerita cinta.

Cinta tidak perlu dicari kerana ia datang sendiri dan jika suatu masa nanti sampai jodoh, tentu saya tidak akan teragak-agak berkongsi khabar gembira ini dengan semua, ungkapnya penuh bermakna.

Pernah dikaitkan dengan seorang lagi penyanyi baru, bagi Ana, mentornya, Aidit Alfian selalu mengingatkan tidak perlu gelabah mendengar gosip diri malah anggap ia sebagai usikan manja.

Bijak, berwawasan

MENYINGKAP pembabitannya dalam muzik, Ana mendedahkan betapa dia bermula di pentas gig dan memuat turun rakaman persembahan di dalam laman sesawang YouTube kira-kira dua tahun lalu.

Tanpa disedari, antara yang mengikuti paparan itu ialah Aidit, yang terus menghubunginya dan menyatakan hasrat membawa dirinya ke arus muzik perdana yang dimulakan menerusi single pertama, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.

Selepas memantapkan tapak bersama dua single, akhirnya album sulung direalisasikan dengan enam lagu iaitu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.

Misi gadis berjiwa besar ini juga cukup meluas malah menerusi syarikat penerbitan sendiri, Ana Raffali Enterprise, dia memiliki hak terhadap penerbitan lagu ciptaan sendiri, sesuatu yang kebiasaannya jarang difikirkan bakat baru lain.

Impian beraksi di pentas antarabangsa, Istana Budaya juga bakal direalisasikan pada 19 Disember ini bersama teman seperjuangan Monoloque, dua bakat muda itu sedang rancak mengatur perancangan supaya kemunculan mereka nanti dalam sebuah konsert akustik tidak menghampakan.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kena bijak pancing penonton

Posted: 02 Dec 2010 03:38 PM PST

Hip

ENGGAN meletakkan sebarang kutipan sasaran, Primeworks Studios sebaliknya lebih menumpukan strategi memancing penonton ke pawagam untuk menyaksikan Aku Tak Bodoh yang mula ditayangkan semalam, berikutan saingan sengit filem lain termasuk judul blockbuster dari Hollywood.

Pengurus Besar Filem dan Drama syarikat berkenaan, Ahmad Puad Onah, berkata pertembungan dengan produk luar negara dan pertambahan bilangan filem Melayu yang menanti giliran di pawagam harus dijadikan cabaran untuk merancang strategi terbaik memikat penonton.

Senarai filem Melayu yang bakal masuk panggung suku akhir tahun ini semakin bertambah manakala yang siap dan dalam pembikinan untuk tahun depan sekitar 50 judul, sekali gus menampakkan peningkatan produktiviti namun kualiti harus dijaga bagi mengelakkan penonton mengenepikan produk tempatan. Sebagai penerbit, kita tidak boleh anggap persaingan sebagai kekangan, sebaliknya cari apa yang penonton mahu kerana cita rasa penonton sentiasa berubah namun bagi kami, Aku Tak Bodoh mempunyai keunikan apabila bertepatan dengan cita rasa seisi keluarga, katanya ketika ditemui pada malam gala filem itu baru-baru ini.

Tayangan khas yang diadakan seminggu selepas tayangan media itu dihadiri kira-kira 100 penonton terdiri daripada wakil syarikat pengiklan selain karyawan filem termasuk pengarah, Datuk Yusof Haslam.

Filem lakonan Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Aeril Zafrel, Aizat Hassan dan Namron itu diadaptasi daripada filem box-office Singapura, I Not Stupid Too, arahan Jack Neo, namun diubahsuai mengikut kesesuaian budaya, bahasa dan sensitiviti masyarakat Malaysia dengan memberi penekanan terhadap sebuah keluarga Melayu.

Menurut Ahmad Puad, persaingan sengit ini juga semakin mencabar berikutan pertambahan produk tempatan yang menunggu giliran hingga tayangan filem Melayu terpaksa diletakkan selang seminggu menjelang beberapa bulan sebelum akhir tahun berbanding sebelum waktu puncak iaitu tempoh biasa - dua minggu.
Dengan tayangan banyak filem pada beberapa bulan terakhir tahun ini dan jumlah besar tahun depan, rasanya lebih baik Aku Tak Bodoh merebut tarikh tayangan yang diberikan, tambahan pula ini musim cuti sekolah. Malah kami yakin ibu bapa akan mengambil peluang ini untuk menyelami luahan hati anak.

Ia dekat dengan penonton kerana inilah senario kehidupan berkeluarga apabila ibu bapa terlampau sibuk hingga anak rasa dipinggirkan dan teman sebaya menjadi rujukan,"katanya lagi.

Begitupun, melihat kutipan yang diraih beberapa produksi tempatan sejak akhir-akhir ini dengan filem Estet sebagai pembuka tirai pada 4 November hanya meraih RM350,000, disusuli Krayon (11 November) sekadar RM20,000, manakala 2 Alam (18 November) yang disasar meraih RM40 juta cuma memungut RM230,000, dapat diandaikan sememangnya cabaran begitu sengit.

Kehadiran filem besar dari Hollywood terutama yang mensasarkan penonton muda seperti Harry Potter, Rapunzel dan Megamind menyukarkan lagi filem Melayu untuk membuat kutipan memberangsangkan, walaupun RM1 juta.

Diminta ulasannya berhubung dakwaan sebuah akhbar mengenai filem 2 Alam sudah memungut RM2 juta pada hari pertama tayangan, Ahmad Puad yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya dia berkata, daripada senarai kutipan filem Melayu yang dikeluarkan FINAS, bagi lima hari tayangan bermula 18 November, filem yang diterbitkan dR Movies Productions itu meraih RM233,606, sekali gus menunjukkan Aku Tak Bodoh juga bakal teruji dengan sambutan penonton.

Namun, pihaknya yakin dengan garapan Boris Boo selaku sutradara filem itu, tambahan pula sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi tujuan promosi sama ada di akhbar, televisyen dan radio. Mereka percaya, hebahan berterusan mampu mengingatkan penonton terhadap kemunculan filem ini.

Selepas Estet, Crayon dan 2 Alam, penonton kini dapat menonton filem Ngangkung yang mula ditayangkan 25 November lalu, diikuti Aku Tak Bodoh (2 Disember), Hantu Kak Limah Balik Rumah (9 Disember), Aku Masih Dara (16 Disember), Janin (23 Disember) dan Damping Malam (25 Disember).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.