Adsense

Khamis, 2 Disember 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sheila beri peluang artis bertudung

Posted: 02 Dec 2010 10:20 PM PST


LAKONAN empat pelakon ini dalam drama bersiri, Sakti Delima akan dapat ditonton menerusi slot Lagenda di TV3 bermula 3 Januari depan.


MENGENALI produser wanita yang cukup produktif ini, sering kali dia tidak pernah gagal memberikan santapan terbaik menerusi karya-karya terbitan syarikatnya, JS Pictures.

Bukan hanya menerapkan dakwah dan mesej menerusi drama-dramanya, tetapi Sheila Rusly juga amat menitik beratkan kelainan yang ingin ditonjolkan.

Sebagai penerbit yang terkenal dengan drama yang berkualiti, Sheila tidak mahu penonton berasa bosan dengan jalan cerita yang klise.

Biar susah mana sekalipun, Sheila enggan menjadikan ia sebagai satu halangan dalam melahirkan drama yang mampu meninggalkan impak kepada audiens.

Begitu juga tentang perihal imejnya yang bertudung. Di awal kemunculannya dengan imej tersebut, ramai yang agak skeptikal dengan kemampuan anak jati Kuala Lumpur itu meneruskan karier seninya sebagai seorang aktres.

Sekali lagi, Sheila membuktikan itu bukannya satu masalah besar asalkan dia bijak memilih dan mewarnakan watak yang dijayakannya dengan baik.

Meskipun pernah dikritik hanya mampu berlakon di bawah terbitan syarikat miliknya sahaja, Sheila sedikit pun tidak pernah melatah mahupun melenting.

Menerusi JS Pictures, kata Sheila, dia mempunyai sepenuh kebebasan untuk berkarya dalam memikirkan apa jua watak yang sesuai dengan penampilannya.

"Selalunya masyarakat menganggap kalau pelakon yang sudah memakai tudung, sukar sekali mendapat watak yang benar-benar memberikan kepuasan.

"Tetapi, kalau kita berfikir di luar kotak fikiran kita, saya percaya tiada yang mustahil dalam menghasilkan watak khusus untuk wanita bertudung.

"Sebagai anak seni, kita seharusnya lebih kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan untuk audiens kita," jelas Sheila bersungguh ketika ditemui di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Sheila sendiri sudah membuktikan sebelum ini apabila membawakan watak antagonis, Malika dalam drama bersiri Anak Betong dan Cucu Betong.

Menerusi drama bersiri terbaru, Sakti Dilema yang bakal menghiasi slot Lagenda di TV3 bermula 3 Januari depan, Sheila sekali lagi menampilkan kelainan yang pasti akan menarik perhatian audiens kelak.

Mana tidaknya, kali ini Sheila telah mengumpulkan artis-artis wanita yang bertudung untuk menerajui Sakti Dilema termasuk dirinya sendiri yang membawakan watak Siti Anggerik.

Lima aktres pilihan Sheila untuk drama ini ialah Bienda sebagai Siti Melur, Catriona Ross (Permaisuri Nirwana), Safura Ya'cob (Siti Tanjung), Liza Hanim (Dewi Bitara) dan Aida Khalida (Kemalasari).

"Inilah salah satu kelainan dalam drama ini dan saya memang mewujudkan watak-watak yang ada dalam drama ini khusus untuk kesemua pelakon ini.

"Sebagai teman seperjuangan, kadang-kala saya sedih mendengar keluhan mereka yang sukar mendapat watak yang sesuai dengan mereka.

"Sering kali watak yang diberikan kepada mereka begitu klise. Atas alasan itu, saya mahu membuka peluang kepada mereka dengan membuktikan kepada masyarakat bahawa tidak semestinya bertudung ia mampu menyekat bakat lakonan mereka," kata Sheila mempertahankan pendiriannya saat diajukan tentang rasional dia berbuat demikian.

Berbicara lanjut tentang Sakti Dilema, Sheila tidak menafikan sebagai penerbit, dia juga berdepan dengan situasi yang merumitkan dalam menjadikan Sakti Dilema sebagai karya terbaik.

Walaupun pernah menerbitkan drama bersiri untuk slot Lagenda sebelum ini, kelainan Sakti Delima terletak pada genre epik yang pertama kali diterbitkan oleh JS Pictures.

"Memang cukup mencabar menghasilkan sebuah drama epik secara total kerana segala aspek perlu dititik beratkan dari lokasi, busana sehinggalah ke tata rias.

"Tetapi, saya harus akui ia merupakan pengalaman yang cukup menakjubkan kerana berpeluang berlakon dengan pelakon yang kali pertama muncul dalam drama terbitan saya.

"Juga, seluruh krew yang menjalankan tanggungjawab dan kerja masing-masing seperti mana yang dirancang menjadikan penggambaran drama ini semuanya berjalan lancar," ujarnya tentang Sakti Delima yang merupakan adaptasi daripada kisah klasik Panca Delima.

Malah, Sheila juga sanggup mengeluarkan bajet yang besar dengan menyediakan busana khas untuk semua watak utama tersebut.

Begitu juga dengan pemilihan lokasi iaitu Sungai Congkak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor yang bertepatan sekali dengan konsep penceritaan Sakti Delima.

Ketika ditanya tentang harapannya, tiada lain yang Sheila harapkan melainkan drama bersiri 20 episod itu akan meninggalkan impak yang luar biasa dan menghiburkan audiens seperti drama-dramanya sebelum ini.

Pelakon lain yang turut membintangi Sakti Delima hasil tulisan Sofia J. Rhyland itu ialah Iqram Dinzly yang melakonkan watak Putera Nurfirdaus, Ungku Ismail (Andika) dan Syean (Faris).

Bienda tiada masalah

Berbanding dengan Safura dan Catriona Ross, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Penantian ini tidak berdepan dengan masalah meskipun dia bertudung.

Barangkali semua itu ada kaitan dengan personalitinya yang memang sedari awal sudah bertudung sejak menceburkan diri dalam bidang seni.

Bienda menjelaskan dia bertuah kerana sepanjang lebih lima tahun menjadi artis, dia tidak berdepan dengan masalah besar dalam membawakan pelbagai watak yang diberikan kepadanya.

Katanya, pengarah yang menggalas tanggungjawab tersebut benar-benar memahami kedudukannya sebagai wanita bertudung.

"Tetapi, dalam masa yang sama saya juga sebenarnya mengharapkan lebih ramai penerbit drama dan filem membuka mata bahawa apa yang penting adalah bakat.

"Adakah kerana seseorang itu bertudung rezekinya perlu disekat dan tidak boleh diberikan watak yang mampu mencabar kredibiliti mereka sebagai seorang aktres," ujar Bienda atau nama penuhnya, Nor Razlinda Razli memberikan pendapatnya.

Mengenai wataknya sebagai Siti Melur dalam drama itu, Bienda memberitahu, dia tidak ada masalah berlakon bersama pelakon lain.

Katanya, kali pertama berlakon di bawah arahan Jinggo memberikannya pengalaman berbeza dan pengarah itu cukup faham dengan situasinya sebagai wanita bertudung.

Pemilihan pelakon berdasarkan watak

Posted: 02 Dec 2010 10:19 PM PST


PASANGAN kekasih, Eira Syazira dan Azad Jasmin merupakan pelakon utama drama bersiri Anak Mami Mek Ani.


SEBAGAI stesen berbayar tunggal negara, Astro mahu terus menghasilkan produk yang berkualiti khusus untuk pelanggan mereka. Sedar akan kehendak masyarakat yang sering dahagakan produk yang kualiti, Astro memang tidak pernah kekeringan idea untuk memberikan yang terbaik kepada penonton mereka.

Saluran-saluran popular stesen itu seperti Astro Ria, Astro Prima dan Astro Oasis telah membuktikan kehebatan kandungan masing-masing sehingga mampu setanding dengan saluran televisyen yang lain.

Sebuah lagi saluran, Astro Warna yang terkandung dalam pakej Mustika juga merupakan antara yang semakin mendapat perhatian.

Sejak dilancarkan setahun yang lalu, memang tidak dapat dinafikan kelebihan Astro Warna adalah terletak kepada kandungan saluran itu yang hanya menyajikan program dari genre komedi sahaja.

Baik drama mahupun program hiburannya, setiap produk yang dihasilkan untuk saluran itu mempunyai pendekatan berbeza dalam memenuhi cita rasa penonton yang pelbagai.

Namun, apa yang menjadi persoalan apabila setiap program yang disiarkan di Astro Warna dilihat tidak mempunyai variasi dari segi pemilihan para pelakonnya.

Hampir kesemua programnya memperlihatkan barisan pelakon yang sama sehingga ada yang mempersoalkan apakah benar industri hiburan ketandusan pelakon yang boleh membawakan watak komedi.

Ketika diajukan pertanyaan tersebut kepada Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, pihaknya memang tidak menafikan perkara tersebut.

Katanya, memang sukar sekali untuk mencari pelakon komedi untuk diketengahkan dalam mana-mana penerbitan untuk saluran itu.

"Jika pelakon komedi lelaki, kami tidak mempunyai masalah kerana kalau dilihat, negara ini memang banyak pelakon komedi lelaki daripada pelbagai peringkat usia.

"Apa yang menjadi masalah utama apabila kami sukar sekali untuk mencari pelakon komedi wanita. Bukan satu tugas yang mudah dan kerana itulah, wajah-wajah serupa sahaja yang ditampilkan," jelasnya memberikan justifikasi terhadap masalah tersebut.

Nizam berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru Astro Warna di Cathay Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, Astro Warna telah menyediakan empat drama bersiri istimewa khusus buat penonton setia mereka iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak, Ada Aku Kisah, Gila-Gila dan Anak Mami Mek Ani.

Menyambung perbualan, Nizam memberitahu setiap pelakon yang dipilih untuk mana-mana program akan disesuaikan mengikut watak yang ditetapkan.

"Kami juga masih menggunakan khidmat pelakon komedi veteran seperti Datuk Aziz Sattar tetapi bukan untuk semua produk. Sebaliknya, kami akan mengkaji dan melihat watak yang sesuai untuknya dalam setiap program itu.

"Begitu juga dengan kemunculan Wan Maimunah dalam siri Anak Mami Mek Ani yang mana karakternya dalam drama itu amat bersesuaian dengannya.

"Jadi, persoalan pilih kasih mahupun keutamaan pada mana-mana artis juga tidak timbul kerana peluang sememangnya diberikan kepada semua pelakon. Asalkan watak tersebut bersesuaian dengan mereka," jelas Nizam yang juga Pengurus Saluran Astro Prima itu panjang lebar.

Dalam masa yang sama juga, dia tidak menafikan bukan mudah untuk memilih karya komedi terbaik yang layak disiarkan di Astro Warna.

Mujurlah katanya, dia mempunyai pasukan terbaik yang banyak membantunya dalam memilih serta mengkaji setiap kertas kerja yang dihasilkan oleh penerbit tempatan.

Mungkin secara mata kasar, komedi adalah genre yang dilihat cukup mudah tetapi Nizam tidak menolak cabaran yang perlu ditempuhinya.

"Memang saluran Astro Warna adalah untuk penonton yang mahu melepaskan tekanan dan berhibur tanpa perlu memeningkan kepala mereka.

"Tetapi, itu bukan bermakna kami memilih karya yang dihantar asal boleh sahaja semata-mata mahu memenuhi kuota yang ditetapkan. Kami tetap tidak akan berkompromi soal kualiti," ujarnya yang memberitahu menerima lebih daripada 10 buah kertas kerja setiap bulan.

Tambahnya, proses pemilihan dan saringan yang dilakukan memang cukup rumit sehingga hanya sekitar tiga atau empat judul sahaja yang diluluskan.

"Komedi yang kami mahu tonjolkan haruslah memiliki unsur humor yang mudah difahami dan boleh dikaitkan kepada semua pihak.

"Kita harus akui bukan semua unsur komedi itu dapat difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Ada kala apa yang kita suka tidak semestinya akan disukai oleh pihak yang lain.

"Dalam hal ini, Astro Warna lebih selesa untuk menyiarkan program komedi berdasarkan apa yang penonton mahukan," katanya lagi.

Tentang empat drama bersiri terbaru yang sudah pun ditayangkan itu, Nizam cukup berpuas hati dengan penghasilan setiap drama itu.

Baginya, dia cukup optimis empat drama itu mampu menarik perhatian peminat dan pencinta genre komedi kerana pendekatan masing-masing yang berbeza sekali gus memberikan kepuasan optimum.

Coca-Cola mencari penghibur

Posted: 02 Dec 2010 10:16 PM PST


AUGUSTINUS Gunadharma (berdiri, enam dari kanan) bersama lapan peserta Kawanku Bintang Coca-Cola dan para juri pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


JENAMA minuman berkarbonat, Coca-Cola bukanlah asing di lebih 200 buah negara di seluruh dunia. Bukan sekadar menyegarkan tekak, jenama Coca-Cola turut bergiat aktif dalam industri muzik melalui penganjuran konsert di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, pemberian alat pemain muzik, tajaan dan pelbagai lagi.

Kini, Coca-Cola mengorak langkah dalam industri muzik tempatan dengan menganjurkan sebuah rancangan realiti mencari penyanyi iaitu Kawanku Bintang Coca-Cola.

Coca-Cola memberi peluang kepada mereka yang berbakat menonjolkan kehebatan mereka dengan bantuan barisan tenaga pengajar yang hebat.

Disiarkan setiap hari Ahad mulai 28 November, pada pukul 10 malam di TV9, Kawanku Bintang Coca-Cola bukanlah seperti rancangan realiti lain kerana ia tiada penyingkiran sehingga pertandingan akhir.

Ujar Ketua Operasi Komersial Coca-Cola Malaysia, Agustinus Gunadharma, program lima episod itu bakal memperlihatkan tiga orang peserta solo, satu kumpulan duet serta tiga buah kumpulan pemuzik bertanding bagi bergelar juara sulung.

"Muzik amat penting dalam hidup bagi sebahagian pemuda-pemudi di Malaysia dan ia adalah landasan konstruktif untuk menyalurkan ekspresi diri, kreativiti dan kesungguhan masing-masing.

"Coca-Cola berasa bangga untuk menghasilkan sebuah rancangan realiti yang boleh memberi pengalaman positif kepada peserta, sambil menghiburkan para penonton.

"Kami akan menyediakan Coca-Cola Dream Team yang terdiri daripada orang-orang yang hebat di dalam industri muzik untuk membimbing mereka bergelar bintang yang sebenar.

"Tiada penyingkiran, setiap minggu, dua orang peserta akan berpeluang untuk dididik oleh Coca-Cola Dream Team dalam aspek vokal, koreografi, penggayaan dan penampilan di atas pentas.

"Setelah mengikuti sesi latihan tersebut, barulah semua peserta akan bertarung di episod akhir rancangan bersiri ini dan akan dinilai oleh barisan juri yang dilantik," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Kawanku Bintang Coca-Cola di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Peserta rancangan ini terdiri daripada empat orang penyanyi solo, iaitu Mohd. Amir Iqram (Bo), Nur Asnida Azhar (Shida), Fatimah Nazirah M. Ashari (Fatimah) dan Nini Arzieana (Nini).

Turut menyertai ialah satu kumpulan duet bernama Wanted Symphony dan tiga kumpulan pemuzik iaitu Ask Me Again, Brownees dan Statik.

Menurut Agustinus, Coca-Cola Dream Team terdiri daripada penerbit dan komposer, Helen Yap; perunding penampilan, Peter Lum; dan penyanyi terkenal Juwita Suwito.

Pada konsert akhir, para peserta akan menunjukkan kebolehan mereka di depan juri yang terdiri daripada Yuna, Noh Hujan serta penerbit dan komposer, Aubrey Suwito.

Juara Kawanku Bintang Coca-Cola akan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta dua tiket VIP bagi menghadiri konsert di mana-mana tempat di dunia serta mengikuti lawatan ke studio rakaman muzik di luar negara.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000 dan RM5,000.

Ujar Yuna selaku salah seorang juri, dia teruja dapat terlibat dalam penilaian bakat baru menerusi program ini kerana format rancangan Kawanku Bintang Coca-Cola lain daripada rancangan realiati yang sedia ada.

"Menarik tentang rancangan realiti ini, ia memperlihat penyertaan pelbagai jenis peserta iaitu mereka terdiri daripada solo, duet malah berkumpulan serta mereka membawa genre muzik yang berbeza-beza.

"Kawanku Bintang Coca-Cola unik kerana kesemua peserta sudah mempunyai identiti dan kelompok peminat tersendiri, mereka cuma perlu diberikan bantuan yang betul untuk lebih menyerlah," ujar Yuna.

Bersependapat dengan Yuna, bagi Noh, dia teruja untuk menyaksikan bakat lapan peserta yang terpilih dari sesi uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Noh berharap komennya, Yuna dan Aubrey Suwito akan membentuk mereka menjadi pemuzik handalan dan menyinar di persada muzik tempatan.

Ketepi soal hati

Posted: 02 Dec 2010 10:14 PM PST

BIARPUN pada awal kemunculannya dulu dia mendapat reaksi agak dingin, hanya disebabkan imej berbaju kurung, Ana Raffali kini semakin diterima ramai apabila mampu memancing perhatian peminat muzik bersama dendangan segar.

Perjalanan empunya nama Nur Hidayah Mohd Rafali, 25, yang mula menyerlah bersama lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur sekitar awal tahun dilihat selesa apabila sebuah lagi dendangannya, Tolong Ingatkan Aku berjaya melangkahkan kaki ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25.Sebagai orang baru, menakluk pentas program kelolaan TV3 yang dominan hampir tiga dekad lalu bersama 13 calon lain menyerlahkan portfolionya sebagai komposer muda merangkap penyanyi yang dijangka mampu melangkah lebih jauh. Siapa yang tidak teruja dapat beraksi di pentas gah itu dengan lagu ciptaan sendiri, sedangkan ketika zaman kecil dulu, saya hanya menonton program Muzik Muzik di kaca televisyen?

Bersama pengalaman yang tidak seberapa, peminat memberi kepercayaan kepada dua lagu saya untuk bertanding dan sudah pasti saya mahu membalas keyakinan mereka dengan memberi persembahan terbaik, katanya,

Tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi, bimbang rasa kecewa mencengkam diri, berada dalam senarai finalis sudah dianggap sebagai kejayaan cukup bermakna malah bagi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, 2010 mencatat 1001 kemanisan dalam kerjaya seninya.

Manakan tidak, selain AJL namanya turut disenaraikan sebagai calon awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular sekali gus menandakan gerbang 2011 bakal menjadi tahun gemilang
buat si manis itu.
Usai berkongsi rasa mengenai Muzik Muzik 25 dan ABPBH 24, senyumannya terus mekar apabila persoalan menyentuh populariti lagu dendangan bersama Sohaimi Mior Hassan diiringi Altimet, Kalau Berpacaran, yang kini kerap berkumandang di corong radio.

Katanya, lagu yang dihasilkan bersama penyanyi berpengalaman itu dalam sebuah bengkel seni mempunyai keistimewaan bukan hanya pada melodi, malah lirik yang kena dengan situasi semasa mengenai hubungan anak muda.

Apabila ditanya soal hubungan cintanya sendiri, gadis peramah ini tampak malu-malu, seterusnya membiarkan persoalan berlalu tanpa sebarang kepastian.
Sebagai gadis yang baru mengenal hidup selain masih merangkak mencari ruang di arena muzik, bagi saya soal hati biarlah diletak ke tepi dulu bagi mengelakkan masyarakat bosan hanya diulit cerita cinta.

Cinta tidak perlu dicari kerana ia datang sendiri dan jika suatu masa nanti sampai jodoh, tentu saya tidak akan teragak-agak berkongsi khabar gembira ini dengan semua, ungkapnya penuh bermakna.

Pernah dikaitkan dengan seorang lagi penyanyi baru, bagi Ana, mentornya, Aidit Alfian selalu mengingatkan tidak perlu gelabah mendengar gosip diri malah anggap ia sebagai usikan manja.

Bijak, berwawasan

MENYINGKAP pembabitannya dalam muzik, Ana mendedahkan betapa dia bermula di pentas gig dan memuat turun rakaman persembahan di dalam laman sesawang YouTube kira-kira dua tahun lalu.

Tanpa disedari, antara yang mengikuti paparan itu ialah Aidit, yang terus menghubunginya dan menyatakan hasrat membawa dirinya ke arus muzik perdana yang dimulakan menerusi single pertama, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.

Selepas memantapkan tapak bersama dua single, akhirnya album sulung direalisasikan dengan enam lagu iaitu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.

Misi gadis berjiwa besar ini juga cukup meluas malah menerusi syarikat penerbitan sendiri, Ana Raffali Enterprise, dia memiliki hak terhadap penerbitan lagu ciptaan sendiri, sesuatu yang kebiasaannya jarang difikirkan bakat baru lain.

Impian beraksi di pentas antarabangsa, Istana Budaya juga bakal direalisasikan pada 19 Disember ini bersama teman seperjuangan Monoloque, dua bakat muda itu sedang rancak mengatur perancangan supaya kemunculan mereka nanti dalam sebuah konsert akustik tidak menghampakan.

Tong sampah penyeluk saku

Posted: 02 Dec 2010 10:13 PM PST

AZLAN mengeluarkan dompet yang ditemui dalam peti surat di Taman Maluri, Cheras.
AZLAN mengeluarkan dompet yang ditemui dalam peti surat di Taman Maluri, Cheras.
Posmen temui pelbagai jenis dompet dalam peti setiap hari

KUALA LUMPUR: Peragut dan penyeluk saku menjadikan peti surat Pos Malaysia di sekitar bandar raya ini sebagai tempat memulangkan semula dompet mangsa selepas mengambil wang mereka.

Perbuatan penjenayah yang masih mempunyai perasaan untuk memulangkan dokumen penting milik mangsa mereka itu, dikesan kebanyakan posmen yang sering menemui pelbagai jenis dompet ketika mengutip surat setiap hari.Sekurang-kurangnya satu dompet ditemui setiap hari daripada 20 peti surat khususnya di kawasan yang disenarai hitam kerana mempunyai kadar jenayah tinggi seperti di Sentul, sekitar Jalan Pahang dan Pudu.
Minggu lalu, posmen, Mohd Sabri Yaacob, 24, menemui dompet milik penulis yang hilang dipercayai ada kaitan dengan penyeluk saku di dalam peti surat di Jalan Pahang, di sini.

Mohd Sabri menghubungi nombor pejabat yang tertera pada kad panggilan penulis yang ditemui dalam dompet berkenaan untuk memaklumkan mengenainya.

Mohd Sabri berkata, bukan sesuatu yang baru bagi posmen sepertinya menemui dompet di dalam peti surat kerana sejak bertugas dua tahun lalu beliau menemui beratus dompet.

Semua dompet yang ditemui boleh dikatakan tiada lagi wang yang tinggal tetapi hanya dokumen penting seperti kad pengenalan, kad kredit dan kad bank. Mungkin penjenayah tidak mahu menyusahkan mangsanya dengan kehilangan dokumen berkenaan.
Dompet yang ditinggalkan biasanya sudah buruk atau kusam, manakala yang masih cantik diambil kerana boleh dijual semula terutama yang ada jenama terkenal manakala dokumen berkenaan diikat dengan getah atau dibalut dengan kertas surat khabar sebelum ditinggalkan, katanya yang ditemui ketika mengutip surat di Taman Maluri di sini bersama rakan setugas, Azlan Abidin, 37.

Azlan yang bekerja sebagai posmen sejak lapan tahun lalu, berkata posmen yang menemui dompet berkenaan akan cuba menghubungi nombor telefon pemilik sekiranya ada sebarang maklumat di dalamnya kerana memahami betapa sukarnya apabila kehilangan semua dokumen berkenaan.

Jika tiada, kami akan masukkan semula ke dalam karung surat dan hantar kepada pihak bertanggungjawab di Pos Malaysia untuk tindakan seterusnya.

Selain dompet, kami menemui dokumen lain seperti pasport dan surat beranak. Malah, saya pernah menemui kad pengenalan polis milik sepasang suami isteri.

Kebiasaannya, kami banyak menemui dompet dan dokumen penting ini selepas cuti hujung minggu atau pada hari pertama bekerja termasuk pada musim perayaan, katanya.

Kaji larangan motosikal masuk bandar

Posted: 02 Dec 2010 10:11 PM PST

Bendung jenayah jalanan berleluasa

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji cadangan menguatkuasakan larangan motosikal persendirian memasuki bandar raya ini sebagai usaha terbaru membendung kegiatan jenayah jalanan, termasuk masalah sosial daripada terus berleluasa.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata cadangan itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan bandar raya ini sebuah metropolitan yang selamat dan sejahtera melalui pelaksanaan Pelan Greater Kuala Lumpur.Konsep Kuala Lumpur Bebas Motosikal harus dikaji, seterusnya dipertimbangkan untuk dilaksanakan kerana potensinya dalam membantu usaha kita memerangi jenayah jalanan, terutama membabitkan kes samun dan ragut sekitar bandar raya.
Ini sekali gus menyumbang kepada penurunan indeks jenayah di Kuala Lumpur pada masa depan seperti dicapai sepanjang tahun ini yang lebih baik daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditetapkan kerajaan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas majlis serah tugas Ketua Polis Kuala Lumpur kepada penggantinya, Datuk Zulkifli Abdullah sambil disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Difahamkan, pendekatan sama turut diamalkan di China, Syria dan beberapa negara Timur Tengah ketika ini khusus bagi membanteras penjenayah bermotosikal.

Bagaimanapun, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci kesesuaian cadangan itu termasuk mengambil kira faktor ekonomi kerana motosikal masih menjadi pengangkutan utama di kalangan rakyat negara ini, terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana.
Muhammad Sabtu yang kini memegang portfolio Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, berkata kertas kerja mengenai cadangan itu sudah dikemukakan kepada pihak berkenaan untuk diteliti.

'Dia umpama cucu kamu'

Posted: 02 Dec 2010 10:07 PM PST

BATU PAHAT: "Saya tahu kamu suka sama suka, tetapi gadis ini masih kecil dan bertaraf cucu kepada kamu. Selagi mangsa berusia bawah 16 tahun, undang-undang negara mengklasifikasikan tindakan kamu sebagai kes rogol.

"Kamu sepatutnya melindungi serta menasihatkan gadis ini dan bukan memujuknya melakukan hubungan seks," kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukum kepada seorang warga emas orang kurang upaya (OKU).

Tertuduh, Mohd Sairi Munajar@Munajat, 56, yang cacat kedua-dua tangannya dipenjara 10 tahun dan enam sebatan semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol remaja berusia 13 tahun di asrama pekerja di Kampung Dalam, Ayer Hitam pada Oktober 2009.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, tertuduh sepatutnya melindungi dan menasihatkan gadis berkenaan daripada melakukan perbuatan negatif, tetapi keadaan sebaliknya berlaku.Beliau berkata, kes rogol membabitkan mangsa di bawah umur semakin berleluasa dan hukuman lebih tegas perlu dikenakan sebagai peringatan dan amaran kepada masyarakat.


Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan kepada tertuduh yang juga seorang tukang kayu selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sairi dituduh merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun sembilan bulan di Asrama Pekerja Kilang, Syarikat Berjaya Perniagaan Kayu Kayan T dan Y di Batu 19, Kampung Dalam, Ayer Hitam, di sini, pada jam 11.30 malam, 24 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh merogol mangsa di tempat sama antara jam 2 petang hingga 11 malam pada 25 Oktober tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Mohd Sairi yang tidak diwakili peguam dalam prosiding semalam merayu supaya tidak dikenakan hukuman sebatan dengan alasan dia menghidap asma selain faktor usia.

Bagaimanapun, Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu kerana kesalahannya serius.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiah Saini, manakala dua peguam yang pernah membela tertuduh sebelum ini menarik diri daripada kes itu.

Menurut fakta kes, tertuduh mengenali mangsa selepas gadis itu tersilap menghantar SMS kepada nombor telefon bimbitnya.

Kedua-duanya berbalas SMS selama sembilan bulan sebelum lelaki terbabit memujuk mangsa melarikan diri dari rumah keluarganya di Gemas, Negeri Sembilan, dengan berjanji membawanya ke Genting Highlands, sebaliknya ke tempat lain sebelum dirogol.

Idam watak heroin filem

Posted: 02 Dec 2010 10:04 PM PST

KISS...impi watak heroin dalam filem yang lebih mencabar.
KISS...impi watak heroin dalam filem yang lebih mencabar.

WATAKNYA sebagai Eja, remaja kampung yang datang ke bandar dan menjadi artis popular dalam filem Diva arahan Sharad Sharan masih diingati peminat sampai hari ini.

Malah, lakonan berkesan Balkisyh, 24, dalam filem itu turut meraih perhatian ramai, sekali gus tercalon dalam top 5 kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Sekalipun tidak menang, nama Balkisyh atau nama sebenarnya Balkisyh Semundur Khan duduk sebaris dengan pemenang kategori itu, Natasha Hudson (filem Chermin) dan Ainul Aishah (filem Nana Tanjung).


Namun, selepas berkahwin dan berstatus ibu, nama pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah yang lebih mesra disapa Kiss seakan menyepi di persada seni tanah air.

Ke mana menghilangnya pelakon berbakat besar berdarah kacukan Arab, Pakistan dan kaum Suluk ini dari dunia glamor?

Justeru, sesi fotografi yang diatur Rap dengan Kiss di Studio Balai Berita, baru-baru ini menyingkap segalanya.

Kiss yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan sendiri mengakui selepas bergelar ibu tidak banyak publisiti mengenai dirinya disiarkan di akhbar mahupun majalah tempatan.

Bukan saja itu, tawaran berlakon juga tidak serancak dulu.

"Tawaran berlakon juga tidak sebanyak dulu. Mungkin, orang di luar sana fikir badan saya sudah gemuk selepas bersalin dan tidak sesuai pegang watak utama dan karakter ditawarkan.

"Sebab itu, saya juga berusaha untuk menurunkan berat badan daripada 49 kilogram kepada 45 kilogram. Sekarang saya perlu turunkan lagi empat kilogram lagi.

"Pada masa sama, saya juga sedar tawaran berlakon kurang kerana perlu bersaing dengan pelakon baru yang bagaikan cendawan tumbuh ketika ini," katanya.

  • Foto

    PENYAYANG...Kiss sukar berenggang dengan Qalesya.

  • Foto

  • Foto

    BAHAGIA...Kiss bersama suami dan anak mereka.

Kiss berkata, kini dia menanti tawaran beraksi di layar perak dengan watak yang mencabar lakonannya.


"Memang saya sudah lama tidak berlakon filem dan ingin kembali aktif sekarang.

"Sebelum ini, saya ada berlakon watak pembantu yang juga ada enam babak dalam filem Dukun, tapi masih belum ditayangkan lagi.


"Saya juga impi watak heroin dalam filem yang bertukar karakter pula selepas ini," katanya.

Adik ipar kepada pengarah terkenal dan produser World Evolution Brains Sdn Bhd, Jurey Latif ini juga tidak ingin bergantung kepada produksi milik keluarga suaminya yang juga penolong penerbit produksi itu, Mohd Aizad Rosli, 27, semata-mata."Kalau ada watak sesuai abang Jurey akan tawarkan pada saya. Ketika produksi buat filem Libas dulu, saya tak dapat berlakon kerana mengandung ketika itu.

"Saya juga tidak ada masalah untuk berlakon dalam produksi lain jika ada kelapangan kerana tidak terikat dengan produksi World Evolution," katanya.


Terbaru, Kiss yang dicungkil bakatnya dalam Pencarian Gadis Metro 2004 ini berlakon watak pembantu dalam telefilem Dimana Isteriku terbitan Global Station.

Dia juga memegang watak utama dalam drama bersiri 13 episod Camping arahan Jet Li.

Kiss juga berlakon dalam drama bersiri Gelora Di Hati Sara musim kedua terbitan Suhan Movies dan watak pembantu dalam drama bersiri Songkok untuk TV1.

Tidak ketinggalan dalam drama seram Nek Nak, Soraya dan Radio.

Pada sesi fotografi petang itu, Kiss hadir bersama suami dan anaknya, Nur Qalesya, 15 bulan yang tidur di pangkuannya.

Namun, Qalesya bangun ketika fotografi baru dimulakan kerana ingin sama-sama bergambar bersama ibunya. Mujur ada suami yang membantu menjaga Qalesya sehingga sesi fotografi berakhir kira-kira jam 2 petang.

Bercerita soal peribadi, Kiss mengakui mengakui rumah tangga yang dibina bersama suami kini lengkap dengan kehadiran anak pertama itu.

"Terus terang, saya sukar berenggang dengan Qalesya kerana hubungan kami cukup akrab. Maklumlah, dia masih menyusu badan dan saya akan terus menyusukannya selagi dia mahu.


"Qalesya juga senang dijaga dan tidak meragam pada waktu malam. Mungkin kerana dia menyusu badan dan 'melekat' dengan saya ketika tidur.

"Qalesya hanya akan minum susu formula apabila saya keluar bekerja. Saya juga sudah mula beri dia makan makanan pejal seperti nasi dan bubur," katanya.

Sebagai ibu, Kiss mengakui sukar berenggang dengan anaknya itu.


"Saya berasa risau juga hendak tinggalkan Qalesya yang masih kecil di rumah, tapi demi cinta pada karier seni saya terpaksa berjauhan dengannya ketika penggambaran drama di Perlis.

"Mujurlah ada suami dan mak cik yang membantu menjaganya apabila saya bekerja," katanya.


Ditanya sama ada dia tidak kisah jika Qalesya ingin mengikut jejaknya menjadi anak seni, Kiss berkata dia merestui apa saja minat anaknya bila dewasa kelak.


"Saya pernah bawa dia ke lokasi penggambaran dan dia sudah mula menunjukkan minatnya beraksi depan kamera.

"Qalesya juga pernah berlakon dalam telefilem Aku Bukan Rabiatul dengan menjadi anak kepada pelakon Intan Azura.


"Saya juga tidak tentukan masa depannya dan akan sentiasa menyokong minatnya dari belakang. Soal untuk menambahkan anak pula, kami merancang mendapat anak kedua dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.



>PROFIL
NAMA SEBENAR: Balkisyh Semundur Khan
ASAL: Lahad Datu, Sabah
UMUR: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 13 Julai 1986
KERJAYA: Pelakon
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Penolong Penerbit World Evolution Brains Sdn Bhd, Mohd Aizad Mohd Rosli, 24
ANAK: Nur Qalesya, 15 bulan
DRAMA: Ada Apa Dengan Pontianak, siri TV Gila-Gila Pengantin, Nek Nak, Cinta Ikon Kerana Seringgit di RTM, Klon Teja
FILEM: Diva, watak pembantu dalam Cinta Fotokopi, Tak Ori Tapi Ok dan Dukun
PENCAPAIAN: Pemenang tempat ketiga Pencarian Gadis Metro 2004 dan top 5 Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-20

Cuba rempuh berang disaman

Posted: 02 Dec 2010 10:02 PM PST

TUNDA...Ainol memeriksa kenderaan yang ditunda dalam Ops Helang, kelmarin.
TUNDA...Ainol memeriksa kenderaan yang ditunda dalam Ops Helang, kelmarin.

SUBANG JAYA: Seorang anggota penguat kuasa trafik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) nyaris dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang berang kerana disaman atas kesalahan meletak kereta di kawasan tidak dibenarkan, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika sepasukan anggota penguat kuasa MPSJ diketuai Penolong Pengarahnya, Ainol Salnee Salim membuat pemantauan pada Ops Helang di USJ10 dan SS15, di sini.


Ainol Salnee berkata, pada mulanya kenderaan itu dikesan meletak kereta di kawasan larangan terlalu lama dan tidak mengalihkan kenderaannya walaupun diminta pegawai penguat kuasa. "Selepas mendapati dia enggan beredar dari kawasan itu, kami mengeluarkan satu saman menyebabkan dia berang lalu mengeluarkan kata-kata kesat.

"Tidak cukup dengan itu, dia memecut kereta secara melulu dan hampir melanggar seorang anggota penguat kuasa yang berada di hadapan, mujur anggota berkenaan sempat mengelak," katanya.


Mengulas mengenai operasi berkenaan beliau berkata, ia dijalankan di pusat perniagaan USJ10 dan SS15 kerana terdapat aduan mengenai masalah tempat letak kereta yang kritikal terutama pada waktu rehat.


Katanya, MPSJ dan penyedia tempat letak kereta berbayar menyediakan 1,500 tapak untuk kemudahan orang ramai meletak kereta dan menjalankan urusan masing-masing di kawasan berkenaan."Kami memberi peluang kepada mereka untuk mengalihkan kenderaan ke tempat yang disediakan, tetapi mereka masih ingkar dengan meletak kereta sesuka hati tanpa mempedulikan lalu lintas yang sesak di kawasan itu," katanya.


Sementara itu, Ainol Salnee berkata, sebanyak 409 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan pada operasi itu dengan 15 kenderaan ditunda ke depoh tahanan kenderaan di Taman Perindustrian Subang 2.

"Kesalahan lain termasuk gagal menunjukkan kupon letak kereta dan menggunakan kupon yang tamat tempoh. Mereka dikompaun RM80 manakala kenderaan yang ditunda dikenakan bayaran RM178," katanya.

Tya Ariestya menyanyi pula

Posted: 02 Dec 2010 10:01 PM PST

TYA jalani latihan vokal.
TYA jalani latihan vokal.

JAKARTA: Tya Ariestya bercita-cita untuk menjadi artis serba boleh. Selepas mencapai kejayaan dalam lakonan dan pengacara, dia kini sudah bersedia untuk terjun dalam bidang nyanyian pula.

Pengulas rancangan sukan itu kini sudah menjalani latihan vokal sebagai persiapan untuk menceburi dunia baru itu.


"Jika untuk menyesuaikan vokal sudah melakukannya sejak dulu lagi kerana saya mempunyai asas menjadi pengulas.

"Tetapi itu untuk menjadi pengulas.

"Jika untuk menyanyi, ia sudah tentu berbeza. Kerana itu, saya perlu menjalani latihan untuk itu," katanya ketika ditemui sewaktu menjalani penggambaran klip video Super Mario di Jakarta Selatan, semalam.

Dalam pada itu, dia juga berkata sudah meluangkan masa untuk merakamkan single pertamanya, 'Percayalah,' bersama-sama kumpulan Abdul & The Coffee Theory.


"Banyak yang perlu saya belajar lagi," katanya.


Namun, dia begitu yakin dengan karier baru pilihannya itu walaupun sedar banyak cabaran yang perlu dihadapi."Ya, saya perlu yakin walaupun banyak pro dan kontra yang akan saya lalui kelak,. Tetapi, ia tidak akan menjadi masalah bagi saya," katanya.

Ceti jual Islam

Posted: 02 Dec 2010 09:59 PM PST

TAKTIK BARU...iklan along yang menawarkan pinjaman Islamik.
TAKTIK BARU...iklan along yang menawarkan pinjaman Islamik.

SUNGAI BULOH: Bosan dengan taktik promosi pinjaman lama, peminjam wang haram atau along kini beralih arah kepada sistem 'Pinjaman Islamik' bagi menambat kepercayaan pelanggan, sekali gus menjadikan mereka sebagai 'bank segera'.

Taktik terbaru itu dikesan di sekitar bandar ini apabila terdapat iklan dan risalah mengenai kegiatan terbabit ditampal di pokok dan papan tanda.

Modus operandi baru yang mengelirukan itu dikesan apabila iklan yang kononnya berbentuk pinjaman Islamik diberikan syarat pinjaman mudah dengan hanya menelefon nombor yang tertera dan akan menerima bayaran dengan cepat.


Antara syarat yang ditetapkan along terbabit antaranya pinjaman itu terbuka kepada kakitangan awam, badan berkanun atau swasta, proses pinjaman adalah melalui bank serta kemudahan pinjaman sehingga RM250,000.

Lebih menarik, mereka yang disenarai hitamkan bank turut layak membuat pinjaman.


Panggilan dilakukan Metroplus bagaikan dapat dihidu berikutan seorang lelaki dipercayai konco along terbabit yang menjawab pertanyaan meletakkan telefon selepas musykil dengan soalan yang banyak diajukan.


Tinjauan mendapati, iklan haram yang ditampal pada pokok itu dilekat menggunakan kertas berwarna kuning yang ditutupi plastik dan tertera nombor telefon bimbit along terbabit.Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Yazit, 39, berkata bandar Sungai Buloh tidak terlepas menjadi mangsa pemasang iklan haram sehingga mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan.


Katanya, tindakan melampau pengiklan yang mahu mengejar keuntungan tanpa menggunakan modal itu perlu dihentikan kerana ia bukan saja menyusahkan orang awam, malah menjatuhkan imej bandar berkenaan.

"Mereka bertopengkan sistem pinjaman Islamik supaya dapat mengaburi mata pelanggan dan mungkin juga pihak berkuasa. Banyak iklan pinjaman wang haram ini sudah luntur dakwatnya dan hampir terkoyak.


Yazit berkata, kegiatan memasang iklan pinjaman haram terbabit semakin berleluasa kerana lebih banyak iklan ditampal setiap kali ia ditanggalkan pihak berkuasa.


"Jika ditanggalkan pada sebelah petang, keesokan paginya, pasti lebih banyak iklan ditampal di tempat sama," katanya.


Pelajar sebuah kolej swasta, Zaharah Nordin Zakaria, 24, pula berpendapat masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membolehkan mereka bertindak segera.


"Orang ramai perlu mengadu dan jika sudah mengadu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tak ambil peduli, sekurang-kurangnya kita sudah tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.


"Hal selebihnya terpulang kepada PBT untuk melaksanakan peranan mereka," katanya.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata sebanyak 35,000 iklan haram sudah diturunkan MBSA sejak Januari hingga Oktober lalu.


"Di Sungai Buloh saja, kami menurunkan 4,500 iklan haram seperti iklan lelongan bank, khidmat perubatan tradisional, pinjaman wang dan ubah suai rumah melalui beberapa operasi secara berkala yang dilakukan pejabat cawangan MBSA kami di sana.


"Perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan banyak masalah seperti mengganggu dan menghalang pandangan jika iklan di tampal di papan tanda jalan. Oleh sebab itu kami akan terus memerangi kegiatan ini," katanya.


Menurutnya, pihak yang menggantung aktiviti itu boleh dikenakan tindakan Undang-Undang Kecil Iklan MBSA 2007.


Justeru itu, beliau meminta kerjasama masyarakat supaya tidak membuat tampalan iklan sesuka hati mereka tetapi sebaiknya memohon permit dari jabatan pelesenan sebelum menggantung iklan atau kain rentang yang mempromosikan produk mereka.

Sudah Lima Tahun Dayang Tiada Telefon Bimbit

Posted: 02 Dec 2010 09:58 PM PST

Dayang bakal mengeluarkan album ke lapan pada hujung tahun ini.

PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah,29, menjelaskan sudah lima tahun tidak menggunakan telefon bimbit selepas telefonnya hilang sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun.

Menurut Dayang, dia lebih selesa menjalani kegiatan harian tanpa telefon bimbit walaupun kebanyakan artis hari ini mempunyai pelbagai jenis telefon bimbit canggih.

Malah kata Dayang, tindakan tidak menggunakan kemudahan itu bukan bermakna dia dikongkong oleh keluarga mahupun pengurusnya.

"Jangan salah anggap, saya bukan dikongkong oleh pengurus saya (Shaliza), cuma saya selesa dengan hidup begini.

"Kalau orang ingin bercakap dengan saya, mereka boleh menghubungi saya melalui Shaliza atau keluarga kerana mereka sentiasa bersama-sama dengan saya.

"Apa-apa pun, saya bukanlah seorang yang tidak ambil tahu tentang gajet dan saya bukannya ketinggalan zaman. Saya juga memiliki barang-barang seperti I-Pod, permainan play station mudah alih (PSP), mahupun komputer riba, tetapi bukan telefon bimbit," katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Revolusi Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) di TV3 di sini, Khamis.

Tambah Dayang, dia mungkin akan memiliki telefon bimbit jika dirinya sudah mempunyai kekasih.

Dayang bersama Datuk Siti Nurhaliza, Ajai dan Mus May pada rakaman Revolusi AJL25 yang dihoskan oleh Faizal Ismail.

Bercerita mengenai AJL, penyanyi yang pernah menang bagi kategori penyanyi Etnik Kreatif Terbaik menerusi lagu Erti Hidup itu kecewa kerana AJL kali ini tiada lagi pembahagian kategori seperti sebelum ini iaitu Balada, Pop Rock dan Etnik Kreatif.

Ujar Dayang, sejak pembahagian kategori dihapuskan, AJL tidak lagi dilihat sebagai anugerah yang berprestij seperti sebelum ini.

"Saya harap agar kategori-kategori seperti Etnik Kreatif, Pop Rock, Balada, dikembalikan semula.

"Ia sekali gus dapat menyelamatkan genre muzik lain dan tidak tenggelam dengan trend muzik indie rock yang popular sekarang ini.

"Jangan sampai penyanyi-penyanyi tempatan sudah mula tidak kisah dan tidak berharap untuk menyertai AJL. Dulu, AJL dan Anugerah Industri Muzik (AIM) adalah sebuah anugerah berprestij yang berjalan seiring.

"Tapi bila kategori dihapuskan dan kebanyakan yang masuk ke peringkat akhir AJL hanyalah muzik-muzik jenis sama, takut satu hari nanti identiti muzik Malaysia akan hilang tanpa kita sedar," tegasnya.

Sementara itu, pada hujung tahun ini, Dayang bakal menghadiahkan sebuah album terbarunya yang berjudul, Sayang & Cahaya untuk para peminatnya.

Peserta 'Pilih Kasih 2' Disingkir Jika Langgar Disiplin - Rosyam

Posted: 02 Dec 2010 09:56 PM PST

Wajah-wajah artis Pilih Kasih musim kedua di majlis sidang media di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Khamis.

KUALA LUMPUR: Jika artis Pilih Kasih (PK) musim kedua melanggar disiplin, tanpa kompromi mereka akan ditendang terus.

Penerbitnya, Rosyam Nor nekad dengan pendiriannya memandangkan banyak isu berbangkit berkaitan disiplin yang dicetuskan oleh artis Pilih Kasih musim pertama (PK1).

"Saya menganggap isu disiplin ini sebagai virus yang tidak bagus untuk artis PK1. Jadi, saya ingin tekankan kepada mereka supaya tidak mudah lupa diri apabila berada dalam industri seni.

"Apabila mereka lupa diri, bakat mereka tidak berkembang sekali gus merosakkan jenama Pilih Kasih," katanya dalam sidang media di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, di sini, Khamis.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Tidak kurang kontroversinya, Rosyam turut memberikan penjelasan menyentuh tajuk Pilih Kasih yang menjadi kontroversi apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta agar tajuk rancangan itu diubah.

Katanya, tajuk tersebut terpaksa dikekalkan untuk musim kedua ini memandangkan pihaknya telah menggunakan nama Pilih Kasih sejak awal sesi ujibakat dilakukan.

"Kami terpaksa mengekalkan jenama Pilih Kasih untuk musim ini kerana segala persediaan telah dilakukan dari awal. Tetapi jika minta kami tukar tajuk untuk musim akan datang, baru kita akan tukar.

"Selaku penerbit, saya memohon maaf kepada Datuk Seri Dr. Rais," ujarnya sambil memperkenalkan 16 orang calon peserta PK2.

Mereka adalah Raffamie Karama, 25, Ku Hariz, 25, Bil Azali, 18, Jay Iswazir, 28, Afiq Meadin, 20, Bodt Sharade, 23, Fizi Ali, 21, dan Yuswan Yunus, 23.

Turut terpilih Livonia, 19, Leyla Krisya, 20, Shasha Alkhred, 21, Nur Jannah, 23, Lia Natalia, 18, Kris Cempaka, 25, Rosana Ainudin, 24 dan Mira Amnas, 19.

Rosyam mengakui setiap peserta yang berjaya dipilih itu akan dinilai berdasarkan bakat terlebih dahulu dan kemudian baru melihat rupa paras.

"Sebab itu kalau tengok artis PK2, ada yang tidak kacak dan cantik semuanya kerana kami mementingkan bakat mereka. Selepas itu, baru mereka diubah penampilan seperti artis.

"Saya sengaja menggelarkan mereka sebagai artis Pilih Kasih bagi membezakan artis lain. Jadi bila orang tanya artis mana, orang akan sebut artis Pilih Kasih. Tetapi tidak semestinya mereka boleh mendabik dada apabila sudah mendapat gelaran artis.

"Saya rasa tak keterlaluan untuk menggunakan gelaran artis sebab ini merupakan harapan kami untuk menjadikan mereka sebagai artis," beritahunya lagi.

Menariknya, selepas memenangi PK2, pemenang juara, naib juara dan tempat ketiga akan menerajui drama 26 episod Inspirasi Kasih yang dijadualkan menjalani penggambaran pada Mac 2011.

Reza Mohamed dikekalkan sebagai hos Pentas Pilih Kasih 2 secara solo berbanding berdua pada musim lalu. Ini kerana gandingannya sebelum ini, Raja Azura tidak dapat turut serta kerana terlibat dengan komitmen lain.

Sementara Iesya Toh, pengacara Selamat Pagi Malaysia dipilih sebagai hos Kisah Pilih Kasih 2 iaitu diari harian artis PK2.

Selain Rosyam, PK2 turut diterbitkan oleh Adi Shamsul Abdul Hayee dari White Wizard Pictures dan Mohamad Azizan Ahmad.

Dalam pada itu, pengarah Aziz M Osman merupakan pengarah drama pendek, Hamzah Mohamed Tahir (pengarah monolog), Fatimah Rahmad (pengarah teater), Fatimah Abu Bakar (tutor lakonan), Fauziah Nawi (pengkritik tetap) dan Dr Abu Hassan (pengkritik tetap).

Kisah Pilih Kasih 2 disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 4.30 petang di TV2. Siaran ulangannya pada pukul 10.30 malam hingga 11 malam, setiap Selasa hingga Sabtu.

Pentas Pilih Kasih 2 disiarkan pada setiap Sabtu, pukul 8.30 malam, mulai 11 Disember hingga 25 Disember ini manakala pukul 9 pada 1 Januari hingga 19 Februari. Siaran ulangannya pada setiap Isnin, pukul 1.30 petang.

Pentas Pilih Kasih 2 dibawakan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad (RTM), Negeri Sembilan dengan tajaan Telekom Malaysia (TM).

Kasut Sebelah Berbeza Gimik Identiti Iesya

Posted: 02 Dec 2010 09:56 PM PST

Iesya memakai pakaian berwarna putih berkonsepkan puteri impian semasa pelancaran albumnya, Impian di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Khamis.

KUALA LUMPUR: Pengacara Iesya menganggap pelancaran album sulungnya berjudul Impian sebagai hadiah ulang tahun paling bermakna dalam hidupnya.

Iesya yang menyambut hari lahir pada 28 November lalu melancarkan album tersebut selang sehari selepas itu di Hard Rock Cafe, di sini.

Bukan sahaja Iesya telah berjaya menunaikan impiannya untuk bergelar seorang penyanyi, malah dia juga berasa bertuah apabila berpeluang mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan.

Pada 28 September lalu, dia menerima tawaran sebagai hos program Kisah Pilih Kasih musim kedua yang disiarkan bermula 29 November lalu di RTM2.

Seiring dengan kelahiran album sulungnya, Iesya juga turut memperkenalkan pembaharuan kepada penampilannya iaitu dengan mengenakan kasut berlainan sebelah.

Iesya bersama albumnya, Impian.

Walaupun tampak janggal, Iesya tetap dengan pendiriannya untuk mengenakan kasut seperti itu lebih-lebih lagi mendapat respons yang baik daripada peminat semasa dia membuat persembahan.

"Selain daripada vokal, saya memilih untuk memberikan tarikan kepada kasut yang berlainan sebagai suatu stail dan identiti agar ia berbeza memandangkan ramai penyanyi yang ada dalam industri sekarang. Ia juga sebagai suatu strategi untuk memperkenalkan Iesya.

"Saya rasa stail seperti ini lebih funky sesuai dengan beberapa konsep lagu yang saya bawakan. Setakat ini, saya telah mengumpul banyak kasut tetapi tidaklah sampai 100 pasang," katanya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Seri Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pengacara Selamat Pagi Malaysia ini bukan sahaja membuat kejutan dengan kasutnya, malah dia turut tampil dengan pakaian yang pelik.

Iesya tampil kelainan dengan memakai kasut berlainan sebelah.

Menurutnya, pakaian tersebut merupakan rekaan gabungan pereka Malaysia dan Singapura.

Sesuai dengan nama albumnya, Impian, Iesya mengatakan pakaian berwarna putih tersebut melambangkan seperti seorang 'puteri impian'.

"Idea untuk membuat pakaian ini tiada inspirasi daripada sesiapa sebaliknya ia lebih kepada konsep puteri impian dan funky kerana menepati beberapa lagu rancak dalam album saya," ujarnya lagi yang berseri-seri kerana memakai barangan kemas dan aksesori tajaan Reefa Gold & Jewellery berjumlah RM200,000.

Sebanyak enam lagu yang dimuatkan dalam albumnya iaitu Tiada, Bersama Nanti, Luka, Anak Adam (duet bersama Jeffeatz), Semanis Janji dan lagu bonus Semanis Janji dalam bentuk minus one.

"Album ini sangat istimewa buat saya kerana ia menggabungkan kreativiti penulis lirik, komposer dan penerbit yang berpengalaman seperti Mohariz Yaakub, Rina Khan dan Mansor Mohd.

"Saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan mereka dan menghormati mereka sebagai orang lama dalam industri muzik ini.

"Saya tidak boleh berangan-angan sahaja selepas album ini terhasil sebaliknya akan terus mencari komposer yang lebih baik dan kalau boleh nak bawa lagu-lagu saya ke persada antarabangsa bermula dengan beberapa negara Asia selepas Singapura," katanya yang dijangka akan mencuba nasib di negara Brunei dan Indonesia.

Daphne Tarik Keputusan Bersara

Posted: 02 Dec 2010 09:55 PM PST

PELAKON, pengacara dan model, Daphne Iking menarik keputusannya untuk bersara sebelum ini bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan projek sistem solar yang diceburinya.

Sebelum ini, Mingguan mStar mendedahkan Daphne pernah memutuskan untuk mengundurkan diri daripada dunia seni sekali gus melebarkan sayap ke bidang baru tersebut.

"Perniagaan itu belum kukuh dari segi kewangan, tetapi momentum semakin meningkat. Oleh itu, saya tidak begitu selesa melepaskan profesion utama.

"Lagipun saya perlu memastikan kos pendidikan Isobell dijaga," katanya kepada mStar Online.

Daphne (paling kanan) hadir ke majlis penyampaian royalti 'Siri Warisan: P. Ramlee On Coins', di Kuala Lumpur, Khamis.

Sementara itu,Daphne Iking berkata, dia akan berhenti mengacarakan program NTV7's The Breakfast Show selepas empat tahun mengacarakan program kegemaran ramai tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dia sedang mempertimbangkan dua program iaitu dari stesen televisyen yang sama dan stesen lain.

"Ia adalah program wanita dan dokumentari," katanya yang dianugerahkan Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-23 lalu.

Dalam pada itu, Daphne yang membintangi filem Belukar akan bercuti ke negara India dari 11 hingga 18 Disember ini.

Sebelum itu, jelitawan ini akan membawa diri ke Indonesia mulai 6 Disember ini atas urusan persendirian.

"Saya tertarik dengan keindahan dan kerohanian negara India. Saya akan melawat tempat seperti Agra, Jaibur, Taj Mahal, Golden Temple serta menghadiri resepsi perkahwinan teman baik saya di Sabah yang penuh tradisi India," katanya yang mendapat ilham daripada filem dan buku Elizabeth Gilbert, 'Eat, Pray, Love'.

Waris P.Ramlee Dapat Royalti RM50,000

Posted: 02 Dec 2010 09:54 PM PST

Othman menyampaikan cek kepada Gurlina (dua dari kiri) dan Gurnarisasca (tiga dari kiri).

PETALING JAYA: Waris Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, menerima royalti "Siri Warisan, P.Ramlee On Coins" sebanyak RM50,000 daripada syarikat membuat duit syiling, KLMint Sdn Bhd (KLMint).

Dua orang cucu Allahyarham yang juga anak kepada Allayharham Nasir P.Ramlee iaitu, Gurlina,39, dan Gurnarisasca,32, menerima cek tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif KLMint, Othman Abdullah.

Royalti tersebut berdasarkan kepada penjualan wang syiling kenang-kenangan program "Siri Warisan, P.Ramlee On Coins" yang telah dilancarkan pada 11 November lalu oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Syiling tokoh seni itu dijual dalam tiga koleksi yang bersalut emas, perak dan tembaga.

Manakala Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan)turut menerima sumbangan royalti dengan jumlah yang sama daripada syarikat tersebut.

Norazmin Nordin menyampaikan cek kepada Datuk Freddie (tengah).

Naib Presiden KLMint, Norazmin Nordin menyampaikan cek kepada Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dalam satu majlis yang diadakan di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Khamis.

Artis-artis yang hadir termasuk Atilia, Dynas, Daphne Iking, Sazzy Falak, Datuk Sarimah Ahmad dan Datin Julie Sudiro.

Freddie dalam ucapannya berkata, "Siri Warisan, P.Ramlee On Coins" bermatlamat untuk mengenang jasa Allahyarham sebagai ikon industri seni negara.

"Karya-karya Allahyarham masih hidup dalam hati peminat daripada pelbagai peringkat usia. Apabila Karyawan didekati KLMint, kami terus bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka menjayakan hasrat tersebut," katanya.

Dynas, Atilia, Datuk Sarimah Ahmad, Sazzy Falak dan Daphne Iking.

Beliau menyifatkan projek berkenaan sebagai satu usaha yang begitu berjaya kerana mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada peminat koleksi wang syiling kenang-kenangan.

Sementara itu, Gurlina dan Gurnarisasca bersyukur atas pemberian royalti tersebut dan bercadang menyalurkan sebahagian royalti itu kepada Yayasan P.Ramlee yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.

KLMint dengan kerjasama Karyawan kini sedang merancang untuk mengadakan beberapa program jelajah bagi membuka gerai Sri Warisan di beberapa lokasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Singapura, Johor, Sabah dan Sarawak.

Program jelajah tersebut bakal diselitkan dengan beberapa program menarik berbentuk apresiasi terhadap P. Ramlee oleh para artis terkenal masa kini.

Nubhan Belum Sedia Cipta Lagu Sendiri

Posted: 02 Dec 2010 09:53 PM PST

PETALING JAYA: Penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan mengakui masih belum bersedia untuk mencipta lagu sendiri seperti rakan-rakan artis yang lain.

Katanya, dia sedar perkara tersebut penting bagi meletakkan namanya berada sebaris dengan nama-nama besar seperti Aizat atau Faizal Tahir.

Namun begitu bagi mengatur langkah pertama, anak kelahiran Negeri Sembilan ini sudah bersedia bersaing dalam industri muzik tanah air dengan kemunculan album pertamanya berjudul Langkah… Nubhan.

"Saya akui untuk ke pergi sebaris dengan mereka saya perlu pandai untuk mencipta lagu sendiri, namun buat masa ini saya masih belum bersedia.

"Sebagai artis yang masih hijau dalam industri ini, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Insya-Allah suatu hari nanti saya akan sampai ke tahap itu. Namun begitu album pertama ini merupakan peringkat permulaan bagi perjalanan seni saya," ujarnya di Majlis Perlancaran Langkah Nubhan di Borneo Baruk, di sini, Rabu.

Album memuatkan tujuh buah lagu ini merupakan langkah pertama Nubhan bagi menempatkan diri dalam industri muzik tanah air.

"Impian untuk mempunyai sebuah album solo akhirnya terlaksana setelah penantian selama tiga tahun. Bagi saya ini merupakan titik tolak kepada kerjaya saya sebagai seorang artis.

"Album ini membabitkan komposer terkenal tanah air seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul dan komposer baru iaitu 6ixth Sense," ujarnya.

Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6) ini juga memperjuangkan genre muzik pop bebas yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.

Antara lagu yang terkandung dalam album ini ialah Ada Untuk Mu, On Juwita, Seadanya Aku, Aku Atau Dia, Beri Rasa dan Di Redup Matamu.

Menurut Nubhan pemilihan lagu bagi album ini dibuat mengikut kesesuaian suara dan trend pasaran.

"Kami telah memilih tujuh buah yang terbaik dan sesuai dengan suara saya daripada 45 buah lagu yang diterima.

"Akhirnya tujuh lagu ini dipilih mengikut pendapat sebulat suara," ujarnya.

Lebih istimewa, sebuah lagu berbahasa Cina turut dimuatkan dalam album tersebut yang dialih bahasa daripada lagu ciptaan Tam Spider berjudul Ai Mei Chou. Ia adalah bertujuan untuk memasuki pasaran pendengar berbangsa Cina.

Album yang dijangka mampu memenuhi citarasa semua pendengar muzik tanah air ini telah berada dipasaran sejak pertengahan bulan Oktober.

Rais Saran Penggiat Seni Kreatif Guna Peruntukan RM425 Juta

Posted: 02 Dec 2010 09:53 PM PST

Rais (kiri) berbual dengan U-Wei selepas menyaksikan pra-tonton secara tertutup filem "Hanyut" di Finas, semalam.

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif di saran mengambil peluang daripada peruntukan RM425 juta yang disediakan kerajaan bagi mempertingkat serta menghasilkan karya seni tempatan yang berkualiti tinggi dan boleh diterima di peringkat antarabangsa.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata untuk tujuan itu, kementerian akan memperhebatkan usaha mempromosi dan memberi penerangan mengenai dana tersebut kepada penggiat industri kreatif agar tujuan dan faedah daripada peruntukan itu dapat difahami.

Beliau berkata daripada RM200 juta yang diperuntukkan pada Belanjawan 2010, hanya RM75 juta sahaja digunakan setakat ini.

Oleh itu, dengan penambahan sebanyak RM200 juta lagi dalam Belanjawan 2011 berserta RM100 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta baki Belanjawan 2010 sebanyak RM125 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM425 juta, maka penerangan yang meluas mengenainya perlu diadakan, katanya.

"Saya fikir mereka (pemain industri) berminat dengan dana tersebut tetapipenerangan mengenai dana ini tidak dibuat dengan menyeluruh. "Jadi, saya telah meminta beberapa program dibuat supaya penerangan mengenai dana ini dapat diperjelaskan dengan lebih meluas kepada semua penggiat industri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pra-tonton filem "Hanyut" di studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, Khamis.

Rais berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai penggiat industri kreatif memohon menggunakan dana tersebut kerana kadar faedahnya amat rendah, sejajar dengan usaha kerajaan membantu mempergiatkan industri perfileman negara.

Mengenai dana SKMM itu, beliau berkata, dana yang baru diluluskan itu bukanberbentuk pinjaman sebaliknya lebih kepada sumbangan dan bantuan yang tidakhanya dikhususkan kepada industri perfileman tetapi juga untuk produksi lainyang berbentuk kreatif dan berkaitan dengan media, animasi, teknologi sertaberkaitan komunikasi.

Dana Industri Kreatif yang dilancarkan Disember tahun lepas hanya mengenakankadar faedah dengan nisbah antara dua hingga empat peratus bagi setiap pinjamanmanakala Bank Simpanan Nasional (BSN) diberi mandat sebagai institusi pemberipinjaman yang akan berinteraksi dengan penggiat seni kreatif sekali gus mengurus,mentadbir dan menguatkuasakan apa-apa peraturan berkaitan dengan dana berkenaan.

Dana yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan aktiviti industri kreatif seperti penerbitan filem, muzik, animasi, pembangunan dan aktiviti berkaitan, adalah antara peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas. Mengulas mengenai filem "Hanyut" yang diarahkan oleh U-Wei Saari, Rais berkata sebanyak RM5 juta telah dipinjamkan kepada penerbitan filem itu melalui Dana Industri Kreatif.

Ini menjadikan jumlah keseluruhannya, sebanyak 24 syarikat telah membuat pinjaman setakat ini, katanya.

Rais berkata jumlah pinjaman sebanyak RM5 juta untuk filem "Hanyut" itu sememangnya kecil jika dibandingkan dengan peruntukan yang diperoleh oleh penerbit filem Hollywood, tetapi beliau yakin jumlah itu memadai untuk meletakkan filem arahan U-Wei itu di tahap yang dapat diterima dari segipenceritaan dan teknik pembikinannya. "Harapan kita ialah supaya filem seperti ini dapat melonjakkan kepimpinan filem tanah air serta tidak lagi berada di tahap pertengahan di mana masyarakat dunia tidak tertarik dengannya,"katanya.

"Hanyut", filem epik yang diadaptasi daripada novel Joseph Conrad berjudul"Almayer Folly", berkisar tentang Almayer, seorang pedagang Inggeris yang berjuang untuk meneruskan kehidupan di Malaysia pada abad ke-19.

Filem tersebut menampilkan pelakon Hollywood Chris Vance, yang terkenalsebagai "Whistler" dalam drama TV popular antarabangsa "Prison Break" bersama beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Diana Danielle, Sofia Jane dan Khalid Rashid. Dalam filem "Hanyut", Vance melakonkan watak utama sebagai "Kasper Almayer".

Kristen Stewart & Robert Pattinson Pasangan Paling Bergaya

Posted: 02 Dec 2010 08:24 PM PST

Pasangan Kristen Stewart dan Robert Pattinson dinobat sebagai paling bergaya

PASANGAN kekasih dalam filem popular Twilight Saga, Kristen Stewart dan Robert Pattinson diumumkan sebagai pasangan paling bergaya oleh majalah InStyle.

Menurut editor majalah tersebut, pasangan ini mendapat undian tertinggi daripada pembaca dengan menilai cara pemakaian mereka yang lebih berunsur keremajaan berbanding pasangan-pasangan selebriti lain.

Pemilihan mereka dikatakan lebih kepada populariti yang diraih dari filem tersebut berbanding penilaian kepada gaya yang ditonjolkan.

Pasangan kedua ialah Sarah Jessica Parker dan Matthew Broderick dan diikuti pasangan Johny Depp dan Vanessa Paradis.

Manakala pasangan yang benar-benar bergaya seperti Jennifer Lopez mendapat kedudukan kesepuluh dalam carta pasangan selebriti paling bergaya mengikut undian peminat.

Saman RM1 juta, Ning harap penyelesaian baik

Posted: 02 Dec 2010 08:23 PM PST

"Saya harap perkara ini tidak sampai ke mahkamah dan biarlah ia berakhir segera," ujar Ning Baizura berhubung kes saman RM1 juta oleh penerbit album dan pengurus warga Itali, Luigi Bajona.

Luigi yang pernah menguruskan beberapa persembahan Ning di Itali, termasuk menyanyi di hadapan Prince Albert di Paris, mendakwa penyanyi itu memfitnahnya pada 24 Januari 2009 melalui laman sosial Facebook.

Difahamkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 12 Oktober lalu untuk pengurusan kes saman terhadapnya.

Bagaimanapun, kata Ning, sehingga hari ini, kes itu belum mencapai sebarang keputusan untuk tindakan seterusnya.

"Kes ini masih diteruskan, tapi belum ada tarikh perbicaraan kerana menurut peguam saya, kes ini tidak relevan, dan tak tahu dia (Luigi) nak saman atas dasar apa. Kalau dia kata saya fitnah dia menerusi Facebook, itu tidak benar kerana tak ada bukti pun saya mengata dia. Malah saya tak pernah tulis nama dia pun.

"Sebenarnya, dia nak saman malu ke atas saya kerana album East to the West (2007) yang diterbitkannya itu tak berjaya dan dia menyalahkan saya atas semua ini. Pada dia, saya telah banyak merugikannya.

"Tetapi berdasarkan kontrak, itu adalah tanggunjawabnya sebagai penerbit untuk menguruskan karier seni saya. Dan tidak ada lagi undang-undang yang boleh menyalahkan artis sekiranya mereka rugi," cerita Ning tanpa berselindung.

Jelas Ning, dia ada cuba berbincang dengan Luigi untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah, namun terpaksa dilupakan setelah Luigi memintanya memohon maaf secara terbuka.

"Dia suruh saya minta maaf dan siarkan pada media dan juga Facebook saya, tetapi saya rasa itu melampau kerana saya tidak bersalah. Sekiranya saya memohon maaf, itu jelas menunjukkan saya bersalah.

"Apa yang saya tahu, dia sebenarnya dah lama nak saman saya. Sebelum ini, dia pernah nak saman saya bersama syarikat Ning Associates, tetapi setelah berbincang dengan peguam saya, dia tak jadi nak saman. Sekarang, dia nak saman saya secara personal pula," jelas penyanyi yang popular dengan lagu 'Teguh' dan 'Ke Sayup Bintang'.

Isteri kepada jejaka Inggeris, Omar Sharif Christopher Layton Dalton ini juga tidak menafikan turut merasai kesan dari saman itu dan berasa khuatir sekiranya ia akan menjejaskan periuk nasinya sebagai artis.

"Buat masa ini, karier saya masih berjalan dengan baik. Tetapi saya rasa risau juga sekiranya nanti ia akan mempengaruhi orang lain untuk tidak bekerjasama dengan saya. Tapi saya percaya, masyarakat pandai menilainya," kata Ning yang ditemui ketika pelancaran album sulung anak didiknya, Nubhan, di sebuah kelab di ibu kota, kelmarin.



Sayangkan Nubhan

Menyentuh tentang Nubhan, Ning berkata, dia tetap akan menyokong dan membantu Nubhan walaupun pihak pengurusan Artisted United Record (AUR) sudah bertukar tangan.

"Saya sayangkan Nubhan dan saya anggap dia seperti adik sendiri. Sejak awal kemunculannya dulu, saya percaya dengan bakat dia. Saya percaya, Nubhan boleh berjaya," katanya.

Selebriti tempatan tak mahu ketinggalan dalam berfesyen

Posted: 02 Dec 2010 08:23 PM PST

Apabila menyebut nama penyanyi Lady Gaga, pasti ramai yang sudah dapat mengagak imej dan fesyen serta penampilannya. Imejnya yang agak pelik itu pernah mencetuskan kontroversi. Mana tidaknya, aksi beraninya dalam berfesyen menimbulkan kerut di wajah sesiapa yang melihatnya. Ada yang menggeleng kepala, ada juga tunduk tanda setuju dengan keberaniannya. Pun begitu, penyanyi itu tidak berganjak dan meneruskan imejnya itu.

Namun apa sahaja imejnya, dia menjadi ikon kepada ramai selebriti, malah kepada remaja untuk meneruskan fesyen pelik. Kini imejnya telah menjadi ikutan ramai termasuk selebriti di negara kita. Tidak mengira sama ada sewaktu mengadakan persembahan atau bersantai, Lady Gaga antara ikon fesyen terkini di Hollywood.

Tidak hanya Lady Gaga, malah penampilan penyanyi Rihanna dengan berambut pendek seakan menjadi trend masa kini. Pun begitu, cubaan selebriti tempatan untuk 'bergaya lebih' mendapat maklum balas berbeza. Ada yang suka dan tidak kurang sebaliknya. Mengambil dua penyanyi Barat itu sebagai idola dalam berfesyen, fesyen selebriti kita ada kalanya dikritik hebat. Ada yang beranggapan fesyen itu keterlaluan dan tidak sesuai dengan adab ketimuran. Sejauh mana keberanian artis kita untuk terus berfesyen?

Ariel rela lepaskan Peterpan

Posted: 02 Dec 2010 08:21 PM PST

Sekalipun belum mendapat keputusan muktamad mengenai kes video porno miliknya dan beberapa selebriti wanita, Ariel sudah bersedia melepaskan keahlian kumpulan Peterpan.

Ariel berkata begitu di luar mahkamah sewaktu rehat prosiding kesnya. Dia mengakui tidak mahu Peterpan hancur hanya kerana dirinya seorang. Katanya lagi, ahli kumpulan itu boleh mencari pengganti penyanyi utama kerana Peterpan sudah ada legasi tersendiri.

Keputusan meninggalkan Peterpan bagaimanapun tidak dipersetujui beberapa pihak kerana yakin Ariel akan terlepas daripada sebarang hukuman dan akan menjalani kehidupan seperti biasa.

Peterpan yang popular dengan lagu 'Ada Apa Denganmu' bakal muncul dikhabarkan sedang sibuk menyiapkan lagu baru dan hanya menantikan Ariel untuk merakamkan suaranya.

Hujan ligat bisnes

Posted: 02 Dec 2010 08:20 PM PST




BIARPUN diangkat sebagai band indie nombor satu negara, Hujan tetap pemuzik yang sama, tidak seinci pun mereka berubah. Jiwa dan minat mereka masih terletak di landasan yang sama seperti dulu iaitu muzik.

Bermula dengan penubuhan Hujan pada Februari 2006 dan menghadapi pelbagai pahit getir, kini, Hujan yang dianggotai oleh Noh (vokal), Hang Dimas (keyboard) dan Izzat (bass) boleh menuai hasil daripada penat lelah mereka.

Wang bukan lagi masalah utama untuk mereka menggerakkan jentera Hujan. Bagaimanapun menurut Noh, istilah mewah yang diberi kepada mereka terlalu besar kerana hakikat sebenarnya Hujan bukan satu band yang mewah dengan wang ringgit, meskipun baru sahaja dilantik sebagai duta produk perbankan dalam talian untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) selama setahun.

"Bersyukur nama kami semakin besar tetapi untuk kata kami mewah, rasanya belum lagi. Apa yang saya boleh katakan ialah kami kini lebih senang, tidaklah seperti dulu, banyak hal tergendala kerana kesempitan wang.

"Sebenarnya banyak wang kami dilaburkan untuk memajukan Hujan dan diri saya sendiri. Macam saya, banyak menghabiskan wang pada peralatan muzik, Dimas pula pada syarikat kami Morning Rocket dan Izzat pula seorang penyimpan wang yang tegar dalam Amanah Saham Berhad," ujar Noh tentang aliran wang Hujan.

Dimas yang boleh disifatkan pengurus dan pekerja pemasaran band Hujan mengangguk kepala tanda setuju dengan apa yang diluahkan Noh.


HUJAN kini lebih serius dengan masa depan mereka.


Sambil tertawa Dimas berkata: "Kalau kami band yang mewah, awal-awal lagi saya sudah beli kereta mewah tetapi saya masih pemandu setia kereta Kancil."

Tidak layak digelar sifu

Izzat yang merupakan ahli Hujan yang paling baru dan pendiam turut menghembuskan lafaz lega apabila diberi peluang untuk bersama band itu sejak tahun lepas.

"Setakat hari ini, Hujan sentiasa sibuk dengan kerja dan tawaran persembahan. Alhamdulillah sejak bersama Hujan, saya sudah mampu menyimpan duit dan merancang untuk membeli rumah tahun depan sebagai aset," kata gitaris berusia 29 tahun itu.

Tambah Dimas, meskipun kedudukan Hujan semakin selesa, mereka tidak boleh terleka.

Justeru, Hujan menubuhkan Morning Rocket yang merupakan syarikat yang bukan sahaja menerbitkan album Hujan tetapi juga syarikat yang menjana pendapatan tambahan Hujan menerusi penjualan pelbagai barangan Hujan serta artis lain.

"Morning Rocket ditubuhkan pada September lalu. Selain barangan Hujan seperti pakaian, kami juga menjual barangan artis lain seperti Yuna, Pop Shuvit, Seven Collar T-Shirt, DJ Fuzz dan yang akan datang band Pesawat.

"Morning Rocket menjadi hab kepada dunia perniagaan buat Hujan dan artis lain kerana semua barangan yang ada dijual secara talian menerusi laman sesawang www.morningrocket.com.

Respons yang kami terima amat memberangsangkan, walaupun baru dibuka, kami telah menerima banyak tempahan. Kemeja-T Hujan habis dijual hanya dalam dua hari," ujar Dimas yang bertutur seumpama seorang ahli perniagaan pula.


TUMPUAN. Hujan kini berjaya mengumpul sehingga 100,000 pengikut pada laman sesawang MySpace mereka.


Melihat kejayaan mereka hari ini, ada yang melabelkan Hujan sebagai sifu band indie di Malaysia. Tertawa dan terkejut dengan kenyataan itu, baik Noh, Dimas mahupun Izzat dengan rasa rendah diri memberitahu mereka masih belum layak untuk menerima gelaran sifu.

"Saya bersyukur sangat kalau orang anggap kami begitu tetapi pada masa yang sama kami tidak layak lagi untuk dipanggil sifu. Tunggulah kami sudah hasilkan 10 album, ini baru permulaan perjalanan Hujan," tegas Noh.

Tutur Dimas, sebagai band yang ingin membangunkan muzik Malaysia, mereka bersedia membantu mana-mana band dan artis baru.

"Impian kami ingin melihat muzik Malaysia dipenuhi dengan penyanyi berkualiti, jadi kami tidak kisah untuk membantu selagi termampu termasuk berkongsi pengalaman kami," ucap Dimas yang merupakan bapa kepada seorang anak.

Lonely Soldier Boy

Seiring dengan pelancaran album ketiga mereka berjudul Lonely Soldier Boy di Berjaya Times Square baru-baru ini, banyak perubahan dilihat dalam muzik Hujan.

Lebih terarah kepada muzik berentak perlahan iaitu balada daripada lagu rancak, Hujan menjelaskan album yang dihasilkan dengan kos RM30,000 itu masih kekal dengan identiti Hujan.

Meskipun 14 buah lagu dalam album tersebut dikeluarkan pada tahun ini tetapi kebanyakan lagu berentak perlahan itu ditulis oleh Noh sejak tahun 2006 lagi.

"Album baru ini lebih mesra pendengar kerana campur lagu lama dan baru, bezanya album dulu tujuh lagu, sekarang kami berpeluang muatkan lebih banyak lagu dalam album," jelas Noh lagi mengenai album yang dibikin selama empat bulan itu.

Menariknya lagu Lonely Soldier Boy yang diangkat sebagai judul album itu merupakan lagu saduran daripada animasi Jepun, Mospeada dan ia merupakan cerita animasi Jepun kegemaran Noh ketika kecil.

Setelah mendapat kebenaran hak cipta daripada syarikat di Jepun dengan bantuan syarikat pengedar album Hujan iaitu Warner Music Malaysia, lagu itu diubah kepada versi Hujan sendiri.

"Lagu itu sudah lama. Tercetusnya idea untuk menggunakan lagu itu adalah pada tahun 2006. Kalau nak tahu dalam banyak-banyak lagu tema animasi Jepun, lagu itu paling saya ingat dan saya suka," beritahu Noh yang turut menghiburkan peminat dengan lapan buah lagu selepas majlis sidang media.


TUNANG Noh, Mizz Nina (kanan) tidak ketinggalan hadir pada majlis pelancaran album Lonely Soldier Boy memberi sokongan buat Noh dan Hujan.


Dimas pula mencelah memberitahu, album ketiga Hujan itu merupakan album mereka yang paling lama dan teliti pembikinannya. Mereka juga mengupah jurutera bunyi terbaik untuk proses mixing dan mastering album tersebut.

Malah, album itu disifatkan album yang paling mencabar buat Noh kerana banyak lagu balada dan nada tinggi.

"Saya tanya pada Noh, boleh ke dia nyanyi lagu-lagu nada yang tinggi, dia kata okey. Jadi, untuk album ini vokal Noh memang agak berbeza kerana ada peningkatan daripada dulu," jelas Dimas mengenai album yang menjalani rakaman di Malaysia dan juga Indonesia.

Album yang telah berada di pasaran sejak 25 November lalu mempertaruhkan lagu seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Bagaikan Matahari, Inspektor Remos, Kita Tak Peduli, Bahgia, Kasihan, Kotak Hati, Walaupun Jauh, Jangan Kejutkan dia, Hampir, Sentiasa Ada, Aku Yang Asing dan Di Kala Bulan Bermain Biola.

Selebriti jurujual kek

Posted: 02 Dec 2010 08:18 PM PST


CHEF KHOR BENG GEE (duduk, tengah) bersama barisan selebriti yang mewakili Crowne Plaza Kuala Lumpur (dari kiri), Sharnaaz, Aeril, Juliana, Shahz dan Fizo.


SERAMAI 30 orang selebriti tempatan akan bergabung tenaga bagi mempromosikan kek dalam satu acara amal iaitu Kejohanan Kek Coklat yang diadakan pada esok, 4 Disember bertempat di ruang legar, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Selangor

Kejohanan seumpama itu adalah kali keempat yang dianjurkan, menyaksikan 15 hotel bertaraf lima bintang mengambil bahagian menyertai acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 itu.

Apa yang akan memeriahkan lagi acara ini adalah setiap hotel yang mengambil bahagian akan diwakili selebriti pilihan masing-masing yang bakal bertindak sebagai 'jurujual' kek-kek coklat yang dihasilkan daripada kepakaran dan daya kreatif chef masing-masing.

Para selebriti harus menggunakan apa jua cara promosi untuk melariskan jualan kek-kek coklat yang diwakili masing-masing.

Tujuan utama acara ini dijalankan adalah untuk mengumpul dana bagi Tabung Perlindungan Kanak-kanak.

Harga bagi sepotong kek bermula dari RM15 dan seratus peratus jualannya akan disalurkan kepada dana berkenaan.

"Di samping dapat bertemu dengan para selebriti terkenal, pengunjung dapat beramal," ujar pengurus acara, Bill Bora.

Tambahnya: "Acara jualan ini lebih menumpukan kutipan dana untuk kanak-kanak khususnya daripada golongan miskin yang memerlukan bantuan kewangan."

Salah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang mengambil bahagian dalam acara amal ini ialah Crowne Plaza Kuala Lumpur. Baru-baru ini, hotel tersebut telah mengadakan satu sidang media bagi memperkenalkan selebriti yang mewakili mereka. Turut hadir ialah chef hotel tersebut iaitu Chef Khor Beng Gee.

Lima selebriti muda telah dipilih untuk menjadi 'jurujual' kek hotel tersebut pada ac acara tersebut iaitu Juliana Evans, Shahz Jaszle, Fizo Omar, Aeril Zafrel dan Sharnaaz Basir Ahmad.

Antara selebriti tempatan lain yang terlibat bersama hotel-hotel lain yang bakal diwakili masing-masing ialah Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Amber Chia, Lisdawati, Fauzi Nawawi, AC Mizal, Emilia Rosnaida, Marsha, Julia Ziegler, Sharifah Amani, Diana Danielle, Eja, Fahrin Ahmad, Zamarul Hisham, Gambit dan ramai lagi.

Selain jualan kek, acara ini juga akan diserikan dengan pertandingan mengikut kategori. Hanya dua kategori yang akan dipertandingkan iaitu, kek coklat terbaik dan kek coklat paling kreatif.

Rihanna bakal jadi ibu?

Posted: 02 Dec 2010 08:17 PM PST


RIHANNA


PENYANYI popular, Roby Rihanna Fenty atau lebih dikenali dengan panggilan Rihanna mengakui dirinya sudah mula memikirkan dengan serius untuk membina keluarga bahagia bersama kekasih beliau. Matt Kemp.

Malah, tanpa berselindung penyanyi tersebut turut bercadang untuk 'bersara' sebentar dalam dunia hiburan serta telah bersedia untuk hamil sekali gus menjadi seorang ibu.

"Mungkin dalam tempoh setahun atau 10 tahun lagi. Bila-bila masa sahaja kalau sudah bersedia. Saya sebenarnya harus meraih impian saya dahulu sebelum mempunyai anak. Sampai masanya nanti, saya akan tahu," kata penyanyi yang popular dengan lagu Umbrella ini.

Rihanna juga yakin akan menjadi seorang ibu yang baik kecuali anak yang dilahirkan nanti seorang bayi perempuan.

"Jika saya mempunyai anak perempuan, dia mungkin akan menjadi pemberontak," katanya.