Adsense

Jumaat, 24 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cincin RM1.3j

Posted: 24 Dec 2010 10:24 AM PST

Hip

pix_gal0
Brad Pitt, Angelina Jolie dikatakan akan berkahwin di India, Januari ini

WALAUPUN tiada khabar pasti mengatakan pasangan popular Brad Pitt dan Angelina Jolie akan melangsungkan perkahwinan selepas kira-kira lima tahun hidup bersama, namun perkembangan terbaru kehidupan kedua-dua bintang popular ini seakan menjurus kepada sebuah majlis yang menyatukan mereka secara sah sebagai suami isteri, tidak lama lagi.

Baru-baru ini, aktres tersohor berusia 35 tahun yang muncul bersama filem terbaru, The Tourist, itu dikatakan menghadiahkan sebentuk cincin yang difahamkan tertulis namanya dan anak-anak mereka kepada lelaki yang dicintainya, sempena ulang tahun hari lahir Pitt yang ke-47. Cincin itu dilaporkan bernilai RM1.3 juta! Lalu, apabila pemberian cincin tanda kasih sudah terlaksana, tentu saja peminat kini boleh mengharapkan berita mengenai perancangan perkahwinan mereka pula menyusul kemudian. Namun, ketika ini, kedua-duanya masih mengunci mulut berhubung perkara berkenaan. Malah tiada laporan rasmi memetik dua pelakon ini menyuarakan apa-apa berkaitan majlis pernikahan.

Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, pasangan yang sentiasa mendapat tempat di hati peminat dan media ini dikatakan bakal mengikuti jejak langkah Liz Hurley, Russell Brand dan Katy Perry, dengan melangsungkan perkahwinan mengikut adat Hindu.

Menurut Hindustan Times, perkahwinan dua bintang ternama ini akan berlangsung di Jodhpur, Rajasthan, serta mendapat restu sami Hindu yang didakwa pernah menyelamatkan perhubungan mereka menerusi amalan yoga berpasangan.

Gurudev Ramlalji Siyag, lelaki berusia 83 tahun yang menggambarkan dirinya sebagai seorang daripada wali India yang masih hidup dilaporkan pernah mengajar yoga dan teknik meditasi kepada dua bintang Hollywood berkenaan, ketika dia mengadakan siri jelajahnya di Amerika Syarikat.
Menurut seorang teman mereka, aktiviti berkenaan berjaya mengendurkan ketegangan akibat kehidupan mereka yang sentiasa sibuk. Maklum saja, pasangan ini selalu terbang ke sana ke mari sama ada untuk menjayakan sesebuah filem atau kerja amal, sambil membesarkan enam anak mereka.

"Mereka mengamalkan yoga Sidhha yang diajarkan guru terbabit dan kedua-duanya juga memulakan serta mengakhiri hari mereka dengan menyanyikan ayat keramat yang diberikan lelaki itu. Nyata, kaedah berkenaan mengubah corak perhubungan mereka kepada lebih baik. Mereka tidak minum arak sebanyak dulu dan juga tidak lagi bertegang urat," kata sumber berkenaan.

Pitt dan Jolie kini dikatakan merancang perkahwinan cara Hindu di sebuah lokasi diberi nama Adhyatm Vigyan Satsang Kendra, milik guru terbabit, pada Januari ini.

Beberapa kakitangannya memberitahu wartawan tempatan, pasangan itu mungkin tiba di bandar berkenaan untuk meraikan tahun baru dan kemudian menjalani acara pernikahan. Jika diikutkan kalendar Hindu, Pitt dan Jolie mungkin melangsungkan pernikahan pada pertengahan Januari nanti.

Rajasthan kian mendapat tempat di kalangan selebriti untuk dijadikan lokasi perkahwinan mereka, selepas Liz Hurley melakukannya pada 2007, diikuti pelawak Russell Brand dan isterinya, bintang pop Katie Perry di Ranthambore, Oktober lalu.

Negeri itu mempunyai banyak istana diraja yang kini dijadikan hotel mewah, di mana privasi golongan selebriti dapat dijaga sebaiknya.

Apa saja cerita yang dilaporkan, wakil kedua-dua bintang berkenaan nyata enggan mengeluarkan sebarang ulasan.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mesti Tonton: Dilema ejen CIA

Posted: 24 Dec 2010 10:23 AM PST

Hip

Berlatarkan era peperangan di Iraq, Fair Game dedah politik kotor Amerika

Filem: Fair Game

Genre: Drama, Thriller Pengarah: Doug Liman Pelakon: Naomi Watts, Sean Penn, Ty Burrell, David Andrews, Adam LeFevre, Sam Shepard, Bruce McGill Tayangan: Mulai 16 Disember

PADA awalnya, penonton seakan dibawa mengikuti sebuah kisah bagaimana pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk membuktikan kewujudan projek senjata berbahaya di Iraq, yang mampu menggugat keselamatan dunia.

Ketika itu, kisahnya menonjolkan bagaimana Valerie Plame (Naomi Watts) yang bekerja dengan agensi perisikan AS, CIA, mengembara ke sana-sini dalam usahanya memastikan siasatan berhubung kewujudan projek terbabit berjalan lancar. Antaranya dia menjejaki saintis yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan projek berkenaan.

Dalam usaha itu, khidmat suaminya, Joseph Wilson (Sean Penn) yang juga bekas duta turut diperlukan. Wilson dalam penelitiannya ketika berada di Niger pula mendapati, tiada bukti berlakunya pembelian uranium besar-besaran oleh negara Arab itu bagi menjayakan projek persenjataan mereka.
Begitupun, apabila Presiden George W Bush mengeluarkan kenyataan yang dilihatnya bercanggah dengan penemuan terbabit, Wilson menulis sebuah artikel dalam The New York Times yang dianggap oleh kerajaan sebagai menjatuhkan maruah mereka. Lalu, White House bertindak balas dengan menafikan pembabitan Wilson dalam siasatan, sebaliknya mendedahkan identiti isterinya sebagai ejen CIA dalam akhbar.

Dianggap antara skandal politik paling besar, pendedahan terbabit menyebabkan kehidupan Plame berada dalam keadaan tunggang langgang. Kerajaan yang pernah menjadi lambang kesetiaannya kini tidak ubah seperti musuh yang sukar ditewaskan. Kemelut dihadapi akibat pendedahan itu bukan saja meninggalkan kesan ke atas dirinya, malah turut menggoyahkan rumah tangga yang dikongsi bersama Wilson.

Kekuatan skrip yang dihasilkan Jez dan John Butterworth berdasarkan kisah benar sebagaimana diceritakan Plame sendiri, Fair Game: My Life as a Spy, My Betrayal by the White House tidak syak antara tunjang utama menjadikan filem ini begitu kukuh dan mampu membuatkan penonton khusyuk mengikuti perjalanan ceritanya.

Pertukaran rentak daripada sebuah kisah penyiasatan terhadap senjata berbahaya kepada sebuah pertentangan antara bekas ejen CIA dengan kerajaan sendiri berlaku dalam keadaan yang tidak disedari. Tiba-tiba saja, daripada debaran babak peperangan dan kekecohan di Iraq bertukar menjadi adegan 'pergaduhan' antara beberapa individu dengan kerajaan.

Begitupun, menerusi drama yang dipaparkan berikutnya, elemen cemas tetap wujud sampai ke penamat.

Kekuatan lakonan Watts dan Penn nyata menghidupkan lagi filem arahan Doug Liman, sutradara The Bourne Identity ini. Penghayatan yang baik oleh Watts, terutamanya, membuatkan khalayak bersimpati dengan dilema dihadapinya, daripada seorang ejen yang berkhidmat untuk negara, akhirnya dinafikan kebenaran serta hak oleh kerajaan sendiri.

Lebih daripada itu, Fair Game memberikan sebuah gambaran politik yang sememangnya boleh berlaku di mana-mana saja di dunia. Sesetengah kerajaan mampu keluar daripada kesilapan dilakukan dengan menggunakan apa saja cara yang dirasakan halal buat mereka, termasuk dengan 'memusnahkan' kehidupan rakyat.

Namun begitu, tidak ada makna demokrasi sekiranya tiada suara individu yang memperjuangkannya. Begitulah juga dengan Plame dan Wilson yang akhirnya kembali ke akar umbi, iaitu golongan rakyat jelata serta keadilan di meja penghakiman bagi mendapatkan kembali maruah yang tergadai.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.