KUALA LUMPUR: Penyanyi Tom (My Starz LG) tidak akan menarik semula keputusannya untuk mengambil tindakan selepas dipukul sekumpulan lelaki pada 11 Julai lalu.
Sehubungan itu Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 25, akan menunggu satu tarikh yang akan dimaklumkan untuk kes itu dibawa ke mahkamah.
"Kejadian itu membuatkan saya trauma selama seminggu dan saya tidak berhasrat menarik balik keputsan saya membawa kes berkenaan ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Redha di Hard Rock Café, pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, dia redha dengan apa yang berlaku dan sebolehnya tidak mahu terlalu mengingati kontroversi yang dianggap berlaku secara kebetulan itu.
Kata Tom setidak-tidaknya, dia mahu memulihkan semula semangatnya dengan mempertaruhkan bakat yang ada berbanding kontroversi silam.
"Saya mahu bersungguh-sungguh menceburi bidang nyanyian ini dan berharap semua ini dapat menutup kontroversi yang ada.
"Tetapi saya mengaku secara kebetulan, lagu-lagu yang saya nyanyikan untuk album terbaru ini iaitu Redha dan Cinta (Firdausi) mempunyai kaitan dengan pengalaman sendiri," katanya.
Album edaran Warner Music Malaysia tersebut memuatkan lima buah iaitu Lagu Untuk Kuala Lumpur ciptaan Noh Hujan/ LY dan lirik oleh Rafidah, Redha (LY dan Baiduri), Nokhtah Sandiwara (Taja Meet Uncle Hussain dan Tun Teja), Cinta (Firdausi) (LY dan Baiduri) dan Harus Akhiri (Manusia Putih, Nawfas dan Yoya).
Tom juga berasa lega apabila single pertamanya, Lagu Untuk Kuala Lumpur baru sahaja diputarkan di corong radio tempatan.
Menceritakan tentang kisah sebalik pembikinan album tersebut, Tom yang lebih terdedah kepada muzik pop mengakui agak sukar menyanyikan lagu bergenre balada.
"Bayangkan, saya perlu menghabiskan masa selama sembilan jam untuk merakamkan sebuah lagu balada iaitu Redha dan Cinta (Firdausi) kerana LY mahukan saya betul-betul menghayati lagu tersebut.
"Sebaliknya, Lagu Untuk Kuala Lumpur dirakam bersama Noh tidak sampai setengah jam. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan lagu-lagu dalam album ini kerana ia mencerminkan diri-sendiri. Selain itu, setiap lagu tersebut mempunyai mesej tersendiri," ujarnya yang merasakan berbaloisetelah setahun menunggu penghasilan album tersebut.
Tidak dinafikan, ramai juga komposer yang menawarkan lagu-lagu mereka kepada Tom. Namun dia hanya mampu memilih yang terbaik.
Pengalaman dapat bekerjasama dengan komposer terkenal, Taja juga memberikan satu kenangan indah buat Tom kerana telah lama dia menyimpan cita-cita untuk menyanyikan lagu ciptaan Taja.
Malah, dia tidak segan mengaku untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer dari luar negara pula selepas ini.
Tampil dengan imej ringkas dan bersinglet, Tom yakin dirinya mampu membawa diri dalam industri muzik ini selaras dengan imej sebenarnya di luar.
"Saya tak nak hipokrit dan menjadi diri orang lain dengan menukar imej yang berlainan daripada apa yang saya pakai di luar," kata ibu tunggal kepada Megat Aril Shakur, 2, ini.
Tom pernah berkahwin pada tahun 2007 dan bercerai pada April lalu.