Adsense

Khamis, 18 November 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Projek amal Zainal dan rakan-rakan

Posted:

Projek amal Zainal dan rakan-rakan

Projek amal Zainal dan rakan-rakan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


KETIGA-tiga penghibur tersohor ini membuat persembahan atas nama amal dan demi kanak-kanak yang kurang bernasib baik.


HANYA dengan satu panggilan telefon yang tidak sampai lima minit, penghibur terkenal, Zainal Abidin berjaya memujuk kawan baiknya, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy.

Bagi Amy sendiri, entah mengapa dia sendiri berasa sukar sekali untuk menolak tawaran Zainal yang mengajaknya menyertai persembahan amal, A Gift From The Heart yang akan berlangsung di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang pada 23 November ini.

Sedangkan, kata Amy, ketika itu, dia mempunyai agenda lain yang perlu dipenuhi yang tidak kurang pentingnya.

"Namun, atas nama amal dan mengenangkan persahabatan saya dengan Zainal yang sudah terjalin begitu lama, saya menerima tawarannya tanpa berfikir panjang.

"Saya cukup kagum dengan apa yang Zainal mahu lakukan iaitu membantu golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa dan agama.

"Untuk itu, saya perlu mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada Zainal kerana masih teringat kepada kawan lamanya ini untuk mempelawa saya menyertai persembahan amal ini," seloroh Amy ketika ditemui pada sidang akhbar yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Zainal dan Amy, A Gift From The Heart juga menampilkan penghibur tersohor negara, Datuk Sheila Majid yang dari awal lagi sudah menyatakan persetujuannya untuk melibatkan diri dalam persembahan itu.

Persembahan amal itu diadakan bertujuan untuk mengumpul dana dan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan, Friends of Kapar yang terletak di Kapar, Selangor.

Melihatkan gandingan mantap tiga penghibur handalan negara itu, pastinya persembahan amal yang diinisiatifkan oleh Zainal itu tidak akan dilepaskan oleh peminat setia masing-masing.

Sheila, Amy nyanyi percuma

Dalam masa yang sama, Zainal mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu turut sama membantu dalam projek ini.

Bukan itu sahaja, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Hijau dan Orak Arek itu juga berbesar hati sekiranya ada artis lain yang mahu membantunya dalam persembahan serupa ini di masa hadapan.

"Saya harus berterima kasih kepada Amy dan Sheila kerana sudi bersama-sama saya. Mereka melakukan persembahan ini dengan percuma dan begitu juga dengan barisan pemuzik yang akan mengiringi persembahan kami malam itu nanti," ujarnya.

Tambahnya, dia sudah pun merancang untuk meneruskan persembahan amal seperti ini di masa hadapan dengan membantu badan amal lain pula.

Selepas ini, dia mahu membantu kanak-kanak buta dan anak-anak orang asli yang ada di negara ini tanpa mengira kaum, agama dan bangsa kerana bagi Zainal, setiap kanak-kanak yang kurang bernasib baik harus dibantu.

Persembahan A Gift From The Heart juga akan menyaksikan ketiga-tiga figura unggul dunia hiburan itu akan melelong barangan peribadi mereka pada malam itu nanti.

Kemungkinan besar Amy akan melelong cermin mata hitamnya manakala Sheila pula memilih set kotak tujuh albumnya yang siap telah ditandatangan. Zainal pula masih belum mempunyai sebarang rancangan.

Pada malam itu nanti, persembahan yang dijadualkan berlangsung selama satu setengah jam hingga dua jam itu akan diiringi oleh lapan pemuzik di bawah pimpinan Acis selaku pengarah muzik.

Pastinya, peminat akan dihiburkan oleh mereka dengan rangkaian lagu-lagu popular masing-masing yang sudah menjadi makanan ruji mereka dalam setiap persembahan yang dilakukan.

Sudah pasti lagu keramat Sheila dan Zainal, Ikhlas Tapi Jauh turut dilagukan dalam persembahan yang mengenakan bayaran sebanyak RM50 itu dan 80 peratus daripada penjualan tiket akan disalurkan kepada Friends of Kapar.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mereka perintis AlHijrah

Posted:

Mereka perintis AlHijrah

Mereka perintis AlHijrah

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


TUJUH wartawan penyiaran yang bakal menerajui meja berita TV AlHijrah.


DALAM menyampaikan mesej kepada umum, penyiaran merupakan jalur yang cukup berkesan dalam memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi mesej ucapan malah, berbentuk gambar.

Stesen penyiaran yang baru bertapak, TV AlHijrah akan menjadi medium baru buat seluruh rakyat Malaysia.

Usaha stesen TV berkenaan ialah menyampaikan mesej yang mengangkat nilai Islam secara universal dan kontemporari terus kepada penonton setia mereka.

Menganggap kehadiran mereka sebagai meneruskan legasi penyiaran negara, langkah utama AlHijrah yang memulakan siarannya secara tidak rasmi pada 1 November lalu itu bukan hanya tertumpu kepada cabang penyiaran berita malah dokumentari, filem, drama dan program hiburan.

Di sebalik kekuatan sesebuah stesen penyiaran, intipati sesebuah program tentu sahaja antara perkara utama yang menjadi perhatian penonton.

Berita antara aset utama sesebuah stesen penyiaran yang sering dibandingkan oleh penonton dengan sesebuah stesen penyiaran yang lain.

Justeru, dalam memastikan kandungannya tepat dan padat ia sebenarnya banyak bergantung kepada bahan yang diperolehi daripada tenaga kerjanya.

Nur Amalina Faisal (Amna), Syafinaz Yunus (Finaz), Ardi Herman Mohd. Mardzi (Ardi), Syafiq Zulkifli (Syafiq), Divesh Kumar Danial (Danial), Nur Nazirah Naziruddin (Nazira) dan Nur Zaimah Ali (Zaimah) merupakan nama-nama yang menjadi perintis penyiaran berita di AlHijrah.

Mereka inilah yang bakal menggalas tanggungjawab memastikan intipati berita di AlHijrah antara yang terbaik di negara ini.

Bagi Nur Amalina atau Amna yang berasal daripada Bagai Serai, Perak, 23, dia memilih AlHijrah sebagai platform untuk meneruskan minat dalam bidang penyiaran.

Dia merupakan bekas guru dan tutor bahasa Arab yang mencabar diri mempertaruhkan minat dan kebolehan bahasa sebagai wartawan penyiaran.

Bekas graduan bahasa dan kesusasteraan Arab dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan itu sebetulnya menganggap kerjaya di bidang penyiaran saling tidak tumpah dengan kerjaya guru yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Bezanya, guru mengalirkan maklumat di dalam kelas yang hanya sampai kepada kelompok kecil iaitu pelajar manakala di bidang penyiaran, bilangan penerimanya berkali ganda.

Masih menerapkan nilai pendidikan dalam dunia penyiaran, Amna menyifatkan TV memainkan peranan yang hampir sama dengan sekolah.

"Apa yang saya perhatikan, pelajar terutamanya golongan remaja banyak terkesan dengan apa yang disiarkan dalam televisyen dan ini berkait rapat dengan apa yang telah mereka pelajari ketika menonton sesebuah rancangan.

"Sebab itulah bagi saya AlHijrah menjadi pilihan kerana mesej dan konsep Islam yang ditonjolkan dan saya anggap ia cukup sesuai dengan jiwa saya," kata Amna yang berpengalaman sebagai guru sejak berusia 18 tahun.

Menarik minat golongan bukan Islam menonton stesen yang menerapkan nilai Islam seperti AlHijrah tentu sahaja bukan cabaran yang kecil.

Mempelbagaikan pemilihan tenaga kerjanya, Danial, 31, pemuda berketurunan India yang memeluk Islam pada tahun 1997 yang juga merupakan juara program Cari Menantu musim pertama di TV9 antara tarikan yang diketengahkan oleh AlHijrah sebagai stesen TV Islam yang universal.

Sebagai salah seorang wartawan penyiaran di AlHijrah jelas Danial, ini merupakan peluang baginya memberitahu kepada penonton yang berbilang bangsa bahawa Islam bukan hanya untuk orang Islam tetapi bersifat menyeluruh.

"Pada masa yang sama, kelembutan Islam itu harus ditunjukkan supaya penonton bukan Islam tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam.

"Ia secara tidak langsung kita berkongsi Islam itu dengan semua orang," kata Danial.

Sementara itu, pengacara dan penyampai berita berpengalaman, Nizal Mohammad, yang dijemput berkongsi pengalaman dengan perintis wartawan penyiaran AlHijrah itu.

Nizal melihat, kesemua wartawan muda itu memiliki karisma dan sangat positif terhadap karier yang baru dibina itu biarpun rata-rata daripada mereka tiada pengalaman dalam bidang penyiaran.

Hanya tiga daripada mereka iaitu Finaz sebelum ini berpengalaman sebagai wartawan penyiaran di ntv7 dan pembaca berita di TV9, Nazirah pula berpengalaman sebagai pembaca berita sukan di Bernama TV dan bekas penyampai di radio Putra FM.

Seorang lagi ialah Zaimah yang sebelum ini sempat menimba pengalaman sebagai wartawan pelatih di Astro Awani selama empat bulan.

"Bercakap mengenai prestasi yang ditunjukkan, hanya tiga hari masa yang diperlukan oleh mereka untuk menunjukkan kebolehan di bidang penyiaran.

"Di samping keyakinan diri dan lontaran suara yang bagus, saya juga tekankan kepada mereka tentang penampilan diri yang sentiasa perlu diambil kira setiap masa kerana mereka merupakan orang yang menjadi perhatian umum," kata Nizal.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.