Berita Harian: Hip |
Posted: 17 Nov 2010 03:33 PM PST Hip Bibit kasih Mizz Nina, Noh terjalin selepas menyelami lagu yang dinyanyikan bersamaLAGU Kurnia boleh dianggap dendangan cinta buat Mizz Nina, 30 dan bakal suaminya, Noh atau nama sebenar Mohammad Noh Salleh, 26 apabila nukilan yang dihasilkan bersama dan kemudian dilagukan berdua sekitar Disember lalu membibitkan rasa yang sukar dimengertikan. Baik Mizz Nina mahu pun vokalis Hujan itu, sekali pun perasaan cinta hadir hanya selepas menyelesaikan rakaman lagu berkenaan, tanpa mengambil masa panjang kata sepakat diambil untuk mengabadikan tarikh 6 November lalu sebagai hari pertunangan mereka. "Rasanya perasaan ini hadir hanya selepas menyelesaikan rakaman untuk album Kurnia walaupun jika dilihat semula liriknya, ramai beranggapan ketika itu kami sudah menjalin cinta."Hakikatnya kami mula serius selepas urusan rakaman album saya disiapkan. Mengenakan persalinan serba putih yang dikenakan ketika hari pertunangannya, anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim itu kelihatan cukup anggun apatah lagi ditemani bakal putera hidupnya yang tampak segak berbaju Melayu sentuhan Saiful Baharim. "Majlis pertunangan kami dihadiri kira-kira 50 tetamu termasuk di pihak Noh yang datang dari Miri dan Kuching. Mereka membawa lima dulang hantaran termasuk cincin berbalas lima dulang," cerita Mizz Nina lagi mengenai majlis pertunangan yang berlangsung di kediaman keluarga di Bukit Antarabangsa, sehari selepas Deepavali yang lalu. Akui penyanyi yang semakin popular dengan lagu, What You Waiting For itu, mereka bukan sengaja mahu merahsiakan majlis berkenaan sebaliknya demi menghormati permintaan ibu bapa yang hanya ia dihadiri kaum keluarga terdekat. Hanya genap 10 hari selepas itu mereka sedia memaklumkan berita gembira itu kepada media dan bagai sudah ditakdirkan, Restoran Seri Melayu yang menjadi detik bersejarah pertemuan pertama Noh dengan bakal bapa mentuanya menjadi lokasi sidang media berkenaan. "Memang awalnya saya berdebar mahu bertemu keluarga Nina buat kali pertama pada Aidilfitri lalu. Namun selepas bertemu selain Tan Sri sendiri memanggil saya untuk berbincang mengenai saya dan Nina, barulah debaran itu hilang kerana beliau sungguh toleransi malah menghormati kerjaya saya sebagai pemuzik. "Bagi saya Nina cukup istimewa, tenang dan sentiasa memahami situasi saya. Sebagai anak seni, kami sentiasa berkongsi pandangan malah jika saya tension, dialah penyelamat keadaan. Kiranya kehadiran Nina banyak mengubah sikap kurang elok saya. "Lebih penting, dia menghormati orang tua. Sikap itu dapat saya lihat apabila dia dipertemukan dengan ibu saya pada Anugerah Juara Lagu (AJL) lalu. Mungkin rasanya waktu itulah saya melamarnya," kata Noh pula mengingati detik awal percintaan mereka. Sudah sedia hidup berkeluarga Ditanya tidakkah perkahwinan terlalu awal boleh menggugat kerjaya, akui bekas anggota Teh Tarik Krew itu, dia tidak mahu kerjaya menyekat kehidupannya yang ingin berkeluarga sebaliknya akan bekerja lebih keras untuk menghasilkan album seterusnya. "Saya akan pergi sejauh mungkin di bidang ini dan perkahwinan tidak mungkin menghalang seseorang mengejar cita-cita. Sebagai insan, kita harus mengikut naluri dan jatuh bangun seseorang bergantung kepada cara dia bekerja, bukannya status," katanya penuh bermakna. Kata Noh lagi, sebagai bakal teman hidup dia akan sentiasa memberi sokongan kepada Nina malah mereka juga saling memberi buah fikiran bagi meningkatkan kerjaya selain yakin pencinta muzik tidak melihat seseorang penyanyi bersandarkan status sebaliknya produk mereka. Di atas hakikat berkenaan, pasangan yang berbeza usia empat tahun itu juga sudah merancang masa depan bersama meski pun tarikh hari bersejarah kira-kira lapan bulan lagi dengan merencana pelbagai perkara termasuk persediaan bergelar ibu bapa. Walaupun memaklumkan hanya bersedia menimang cahaya mata pada hanya selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, Mizz Nina akui ia dilakukan demi memastikan masanya dapat diperuntukkan buat si kecil memandangkan album baru akan menyusul selepas pernikahan mereka. Bercerita lanjut mengenai konsep perkahwinan idaman, graduan daripada sebuah universiti di Australia itu memaklumkan masih terlalu awal tetapi sebuah syarikat perunding perkahwinan Favour's By Eddy yang pernah menguruskan majlis perkahwinan kakak dan abangnya akan dipertanggunggjawabkan mengemudi acara. "Dua majlis iaitu pernikahan dan resepsi yang akan diadakan pada 3 Julai secara tertutup manakala untuk teman media, satu majlis persandingan yang lebih santai dijadualkan berlangsung di tempat lain tetapi masih di ibu negara," kata Mizz Nina lagi. Mengimpikan sebuah majlis pernikahan yang berciri klasik dengan rona hitam putih, acara resepsi yang berlangsung tiga hari selepas itu pula lebih cenderung kepada aroma romantik dan protokol kerana turut menjemput tetamu kenamaan. |
Posted: 17 Nov 2010 03:15 PM PST Hip Ayu Raudhah memilih 21 Januari 2011 untuk dinikahkan dengan Zaquan AdhaRONA bahagia jelas terpancar di wajah pelakon ini. Senyuman manis yang sentiasa terukir dari bibir seulas limaunya itu cukup untuk menggambarkan bahawa Ayu Raudhah ini sedang enak mengulit bahagia. Sejak mengikat tali pertunangan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha pada 17 Oktober lalu, hati wanitanya subur dan mekar dengan bunga-bunga cinta. Siapa sangka, majlis yang sepatutnya acara merisik bertukar menjadi majlis pertunangan. Ketika ditemui pada majlis pelancaran program baru untuk sebuah stesen TV baru-baru ini, adik kepada pelakon Rozita Che Wan ini cukup ceria bercerita menjelang detik-detik hari bahagianya itu. Sekadar berkongsi kegembiraan, pelakon yang cukup terkenal dalam drama bersiri Nur Kasih ini berkata, dia kini sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada Zaguan."Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka yang majlis merisik itu akhirnya menjadi majlis pertunangan. Lagipun sewaktu pihak lelaki memberitahu yang mereka hanya ingin datang ke rumah untuk merisik, saya pun tak adalah buat persiapan rapi sebab mereka yang meminta kami supaya tidak menyediakan apa-apa. Apapun, saya rasa bersyukur kerana majlis itu berlangsung dengan lancar dan sempurna," katanya. Selepas janji diikat, Ayu berkata dia sepakat memilih tarikh 21 Januari 2011 untuk menamatkan zaman anak daranya bersama jejaka pilihan hatinya itu. "Mula-mula kami ingin memilih tarikh 11 Januari 2011, malangnya harinya tidak bersesuaian kerana jatuh pada hari Selasa dan bukannya hari cuti. Tarikh 21 Januari dipilih kerana ia jatuh pada hari Jumaat dan mahu mengambil keberkatan penghulu segala hari itu. Ia tak ada kena mengena dengan tarikh lahir atau sebagainya. "Buat masa ini, saya tak terfikir lagi apakah konsep majlis itu nanti. Untuk majlis di rumah lelaki, saya serahkan saja pada Zaquan. Bagi pihak Zaquan, dia tak kisah dan setuju saja apa yang saya mahukan," katanya. Adat orang popular, majlis lama lagi berlangsung, sudah ada pihak yang sudi ingin menaja pakaian pengantin. "Mereka ini adalah antara pereka yang sudah bersetuju menaja busana saya pada majlis itu nanti," katanya. Berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda darinya bagi setengah orang adalah perkara yang cukup membimbangkan. Namun perkara itu tidak berlaku kepada Ayu. Baginya perbezaan usia sebanyak tiga tahun bukanlah halangan besar untuk sehidup semati dengan Zaquan. "Saya tak anggap usia satu halangan buat kami untuk hidup bersama. Dia sebenarnya jauh lebih matang dari usianya yang sebenar,"tutur gadis berusia 26 tahun ini. Apabila kedua-duanya berada dalam dunia glamor, pastinya banyak dugaan yang menanti. Tidakkah timbul kebimbangan di hati gadis ini jika suatu hari nanti badai menerjah rumah tangga mereka. "Sebagai manusia, kita hanya berserah pada Tuhan. Apa yang penting, saya dan dia harus sama-sama menghadapi apa saja dugaan yang melanda dan saling menjaga hati antara satu sama lain. Dan sekiranya Zaquan meminta saya supaya mengundurkan diri dalam bidang lakonan atas sebab mahu menjaga keharmonian rumah tangga, saya sedia berbuat demikian,"katanya. Tidak pernah campur urusan Rita Rudaini SEBOLEH mungkin dia cuba mengelak untuk ditanyakan soalan mengenai kontroversi yang menimpa birasnya, pelakon Rita Rudaini. Kata Ayu, dia tidak mahu mengulas perkara itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Sebelum ini, Ayu didakwa turut mencampuri urusan Rita apabila dikatakan menyebarkan fitnah terhadap Rita kepada ibu mertuanya sehingga memburukkan lagi keadaan. "Apa yang saya boleh katakan, saya tidak buat seperti yang didakwa Rita. Katanya, saya berkata begitu dalam satu majlis yang diadakan oleh sebuah portal hiburan. "Bagaimana saya boleh didakwa mengeluarkan kenyataan itu sedangkan saya tidak menghadiri acara itu? Jadi, untuk tidak memanjangkan perkara ini, adalah lebih baik saya diamkan diri dan tidak mengulas lanjut perkara ini," katanya mengharapkan pengertian. Kehadiran Ayu pada majlis itu adalah untuk mempromosikan drama Anak Mami Mek Ani dan dia memegang watak sebagai Suzy yang juga anak mami. Mengulas wataknya itu, Ayu berkata dia puas hati dengan watak Suzy kerana pengarahnya memberi peluang kepadanya untuk memegang watak sebagai antagonis iaitu gadis yang mengada-ngada. "Watak ini berbeza dengan watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Sebelum ini sering memegang watak gadis lemah lembut, tapi kali ini saya jadi perempuan jahat dan mengada-ngada. Nada suara saya dalam cerita itu buat orang yang mendengarnya meluat," cerita Ayu lagi. Turut membintangi drama itu ialah Eira Syazira, Isaac dan Sheila Mambo.Ia akan ditayangkan di Astro Warna mulai 30 November depan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |