Adsense

Rabu, 17 November 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Aspirasi 'karyawan' muda

Posted:

Aspirasi 'karyawan' muda

Aspirasi 'karyawan' muda

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN


Kumpulan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat, Seremban, yang menjuarai Pertandingan Kid Witness News gembira dengan hadiah yang diterima.


IDEA cukup bijak, mengikut isu semasa dan mempunyai mesej mendalam yang diadun dalam filem pendek membawa tuah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat, Seremban, apabila dinobatkan sebagai pemenang pertama pertandingan Kid Witness News (KWN) Kebangsaan 2010.

Kumpulan enam karyawan cilik, Muhammad Afiq Samsuri, Muhammad Syahmi Abd. Zohir, Syazwan Samsuddin, Siti Nurfarzana Ismail, Asma Mashitah Mohamad Amin dan Nur Emmeylia Natasha Wan Azian, dibimbing dengan penuh dedikasi oleh guru mereka, Fatimah Talib.

Dengan kemenangan itu, sekolah berkenaan menerima hadiah daripada penganjur, Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic Malaysia) berupa kamera, trofi, sijil dan filem pendeknya akan mewakili Malaysia untuk bersaing pada KWN Antarabangsa 2010.

Filem selama lima minit bertajuk Communication With Love itu menceritakan imbasan perjalanan suka duka seorang kanak-kanak sejak hari pertama menjejakkan kaki di alam persekolahan.

Ia memaparkan bagaimana Adam cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru yang cukup asing baginya tambahan apabila berdepan dengan guru dan pelajar senior.

Lebih menyukarkan usahanya dan hampir melemahkan semangatnya untuk belajar, apabila dia mempunyai masalah berkomunikasi dengan orang lain kerana perasaan kurang yakin, menyebabkan dia tiada kawan di sekolah.

Namun, dengan bantuan seorang guru wanita yang sentiasa berkomunikasi bersamanya dan memupuk keyakinan dalam jiwanya, dia berjaya mengatasi semua kekurangan diri dan berubah menjadi seorang insan yang positif serta cemerlang dalam kerjayanya sebagai pendidik.

Walaupun guru itu sudah tiada di sampingnya, keyakinan diri yang diterapkan tidak pernah hilang dalam jiwa Adam.

Sementara itu, Fatimah berkata, tajuk filem pendek itu dipilihnya bagi membuktikan kasih-sayang seorang guru kepada setiap muridnya untuk memastikan mereka menjadi insan terbaik.

"Guru adalah individu penting yang memainkan peranan besar dalam memastikan pencapaian cemerlang dan nilai positif di kalangan pelajar.

"Tajuk ini dipilih kerana masalah komunikasi adalah antara isu semasa yang sedang menghantui masyarakat di negara ini terutama golongan pelajar sekolah.

"Ia menunjukkan kebanyakan pelajar sekarang kurang aktif atau kurang menonjol di sekolah kerana masalah kurang keyakinan untuk berkomunikasi dan jika ia diatasi, pastinya pelajar mampu berani menyuarakan pendapat dan bijak bertanya untuk mendapatkan ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Pemenang dan Penyampaian Hadiah KWN2010 di Golden Screen Cinema, Pusat Membeli-Belah Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Jeff Lee.

Menurut Fatimah, kumpulannya itu mengambil masa selama satu bulan untuk menyiapkan segala proses penghasilan filem berkenaan.

"Dari segi peserta kumpulan, saya menjalankan uji bakat dengan meminta 20 pelajar membaca skrip yang disediakan dan akhirnya saya memilih enam yang terbaik ini.

"Penggambaran pula dijalankan hampir setiap hari selepas waktu persekolahan kerana saya tidak mahu mengganggu pembelajaran mereka di kelas.

"Kami memang sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan ini kerana memang tidak menjangkakannya, memandangkan semua hasil kerja peserta daripada 21 sekolah seluruh negara yang lain hebat," ujarnya.

Sementara itu, naib juara KWN Kebangsaan 2010 dimenangi Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban dengan tajuk filem pendeknya, Safe The Frogs.

Manakala, tempat ketiga milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah Seremban yang menghasilkan filem pendek bertajuk Where Have All The Fish Gone.

Bagi tiga anugerah khas Dokumentari Hometown, ia dimenangi SK Serkat , Pontian, SMK Sultan Abu Bakar Kuantan dan SK St Thomas, Kuantan.

Anugerah Khas Bunyi pula diterima SMK Sri Kukup, Pontian, Anugerah Khas Penyuntingan (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Seremban), Anugerah Khas Skrip (SMK Air Merah, Kulim) dan Anugerah Khas Videografi (SMK King George V, Seremban).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mendalam atau mendatar?

Posted:

Mendalam atau mendatar?

Mendalam atau mendatar?

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my

SAYA harus akui bukan peminat setia siri Harry Potter. Buku-bukunya tidak saya baca, tetapi setiap satu filemnya saya tonton. Sehingga siri keenam, secara peribadi, saya memilih filem yang ketiga, Harry Potter and the Prisoner of Azkaban (2004) sebagai yang terbaik dari segi penceritaan dan nilai hiburan.

Masuk siri ketujuh, karakter Harry Potter bakal mencecah usia 17 tahun. Seiring dengan peningkatan usia lelaki itu, naskhah yang ditulis J.K Rowling semakin dewasa dan unsur-unsur sihirnya bertambah gelap. Siri ini bukan lagi sekadar produk fantasi untuk kanak-kanak kerana plotnya kian rumit.

Harry Potter and the Deathly Hallows Part 1 dibuka dengan suasana kelam, yang seterusnya menjadi teras kepada perasaan keseluruhan filem. Tiga sekawan iaitu Harry, Ron dan Hermoine digambarkan cuba 'mempertahankan' keluarga masing-masing daripada ancaman bahaya dalam pengembaraan akhir ini.

Sebagai contoh, Hermoine yang terpaksa memadamkan memori ibu bapanya dengan menghilangkan setiap kelibatnya dalam potret keluarga. Ministry of Magic juga terpaksa menerima hakikat bahawa Lord Voldermort kembali mengganas dan menggugat keamanan dunia sihir.

Trio Harry, Ron dan Hermoine harus melangsaikan tugas Dumbledore (yang sudah mati) dalam mencari serpihan Horcruxes untuk menentang kuasa jahat Voldermort. Akibat cabaran yang semakin besar dengan kerenah birokrasi serta pengkhianatan tersembunyi, harapan mereka tipis dan nyawa di ambang maut.

Warner Bros mempunyai sebab yang baik apabila memecahkan siri yang terakhir ini kepada dua bahagian filem. Selain keuntungan box-office dan cubaan memanipulasi jangka hayat Harry Potter dengan lebih lama, The Deathly Hallows dikatakan lebih jujur kepada buku asal.

Pengarah David Yates mempunyai lebih ruang untuk membangunkan cerita, terutamanya watak Harry, Ron dan Hermoine. Sifat mereka dibina dan diperhalusi dengan dimensi yang menarik; kuat dalam menempuhi rintangan untuk menyelesaikan masalah, tetapi lemah bila berdepan dengan emosi semulajadi manusia.

Bahagian pertama filem ini tidak menampilkan satu pun adegan di sekolah Hogwarts dan banyak tertumpu kepada pengembaraan di luar, terutamanya hutan. Mungkin penonton sesekali akan teringat kepada pengembaraan trilogi The Lord Of The Rings (2001-2003) yang mempunyai tona warna dan mood serius yang seakan-akan serupa.

Bagaimanapun, kelebihan memecahkan siri ketujuh ini kepada dua bahagian, ada sisi buruknya. Kerana Yates mempunyai banyak masa untuk memperincikan setiap peristiwa, filem ini dirasakan meleret-leret dan tidak kompak. Kerana mahu mendalami setiap peristiwa juga, filem ini dirasakan mendatar.

Maaf, barangkali peminat tegar Harry Potter tidak bersetuju dengan kenyataan ini.

Penonton yang tidak membaca buku mungkin akan sesat dan keliru terhadap peristiwa serta karakter yang saling berkaitan di antara filem-filem terdahulu. Justeru, saranan terbaik sebelum menonton The Deathly Hallows Part 1 ialah memastikan anda memahami enam siri sebelumnya.

Begitupun, penonton masih boleh terkesan dengan ketelitian imej janaan komputer (CGI), terutamanya semasa Hermoine menceritakan kisah dari buku wasiat Tales of Beadle the Bard. Lakaran-lakaran kartun itu mengingatkan saya kepada Corpse Bride (2005) arahan Tim Burton.

Antara lain yang menyerlah ialah adegan Harry diklonkan kepada tujuh orang serta visi yang dilihat Ron terpancar dari loket. Dalam visi itu, Harry dan Hermoine digambarkan dalam keadaan yang sensual, tetapi terbatas. Mujur Yates masih sedar Harry Potter asalnya produk untuk kanak-kanak.

Aksi-aksi pertarungan magis juga dipaparkan seimbang dengan penceritaan, tetapi mungkin mengecewakan mereka yang datang semata-mata untuk efek. Sejak siri kelima The Order of The Phoenix (2007), Harry Potter di tangan Yates tidak seringan garapan Mike Newell atau Chris Columbus.

Kematangan persembahan Daniel Radcliffe, Rupert Grint dan Emma Watson dapat dilihat, tetapi keseronokan sebenar menonton Harry Potter ialah gandingan pelakon hebat seperti Helena Bonham Carter, Ralph Fiennes, Bill Nighy, Jason Isaacs dan Alan Rickman di atas satu layar.

Adegan mereka duduk semeja semasa mesyuarat di Malfoy Manor adalah salah satu adegan terbaik. Merupakan antara babak terawal, The Deathly Hallows Part 1 juga berakhir dengan baik kerana memenuhi sifat sebuah filem yang kesudahannya memang sengaja dibiarkan tergantung.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.